Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 41

Beberapa hari Makyung Bedah tidak keluar dari bilik ketika Azman dan isterinya ada di rumah. Dia sengaja berbuat begitu agar Nafisa terlupa akan kehadirannya di rumah itu. Dia cuba melengah-lengahkan masa.

Namun Nafisa itu ibarat jerat yang tidak pernah melupakan tugasnya. Beberapa hari dia memang diamkan diri dan memberikan Azman peluang untuk selesaikan masalah itu. Selepas melihat tidak ada sebarang tindakan dibuat, dia mula bertindak nekad.

Pagi itu, Nafisa menunjukkan kuasa. Riuh rendah ruang tamu dengan jerit pekiknya.

“You nak pergi mana ni, sayang?” tanya Azman sambil mengekori Nafisa yang membimbit sebuah beg besar.

“I balik rumah papa I. I tak suka tinggal di sini lagi. You sengaja bawa orang lain ke sini kerana tak nak I terus tinggal di sini kan?”

“Siapa yang cakap dengan you macam tu?”

“Habis you masih bela perempuan tua itu di sini. You kata nak hantar dia ke tempat lain tapi you tak buat pun!”

“Berilah I masa. Adik-adik I tu tak ada di rumah sekarang. Inikan cuti sekolah. Mariam pergi makan angin dengan keluarganya. Surya pula dengan keluargannya.”

“Tidak! I tak kisah macam mana you nak buat dan ke mana you nak hantar dia. I tahu you bawa dia keluar dari sini! Sekarang! Kalau tidak, I yang akan keluar dari sini!” jerit Nafisa.

Jeritan itu tidak langsung mengejutkan Makyung Bedah. Dia sudah tahu keadaan sebenar. Dia sudah tidak takut berdepan dengan musibah mendatang.

“Ada apa bising-bising ni Man?” Makyung Bedah keluar dari bilik dan berpura-pura tenang.

“Mak, mak pergi berkemas sekarang. Saya hantar mak balik kampung.”

“Kenapa pula? Kau yang kata mak kena tinggal di sini sampai bila-bila. Kau dan adik-adik kau yang rancang semua ni. Sekarang, kenapa pula mak nak balik?” Makyung Bedah merenung tajam wajah Nafisa yang kelat.

Nafisa memang cantik. Tetapi kecantikannya itu tidak asli. Semuanya bertempek dengan alat solek.

“Mak, tolong faham keadaan saya,” kata Azman separuh merayu.

“Mak memang selalu faham. Kita orang miskin dan tak ada apa-apa. Kau menumpang harta orang, jadi sedarlah.”

“Apa yang mak cakap ni? Saya tak menumpang harta siapa-siapa. Saya hanya nak rasa bahagia dengan cara hidup saya.”

“Jadi, kau nak kata mak kau ini mengganggu kebahagiaan kau?”

Azman terkulat-kulat. Nampak sangat fikirannya tengah risau dan serabut.

“Mak, tolonglah... janganlah nak rosakkan hidup saya ini. Marilah saya hantar mak balik kampung. Atau saya hantar mak ke rumah Maryam atau Surya. Mak duduk dengan mereka pulak,” rayu Azman.

Makyung Bedah menjeling ke arah Nafisa yang tersenyum menang.

“Mak tak nak!” Tiba-tiba timbul kekuatan dalam diri Makyung Bedah untuk menentang Azman dan Nafisa.

“Mak! Jangan degil boleh tak? Jangan sampai saya...”

“Kau nak halau mak dari sini? Kau nak buat macam mana kau halau Humiara? Kerana perempuan ini kau sanggup buat semuanya. Kau tahu kau hidup dengan harta dia. Kau dah besar kepala Man. Mak dan arwah ayah tak ajar kau zalim pada orang! Bertaubatlah Man. Masih ada masa untuk kau minta ampun pada ALLAH. DIA Maha Pengampun. Tinggalkan perempuan ini dan cari Humaira!” Makyung Bedah memotong cakap Azman. Dia tidak kisah lagi apa yang akan berlaku. Dia sayangkan Azman. Dia juga kasihankan Humaira dan anak-anaknya.

“Mak! Jangan melampau sangat!” sergah Azman dengan kuat.

“Mak ke kau yang melampau! Kau dah sesat jauh, Man. Marilah kembali ke pangkal jalan.”

“Mak!” Azman menghampiri Makyung Bedah dan cuba menamparnya. Namun ketika tangannya diangkat, Ningsih menjerit dari belakang.

“Tuan! Jangan jadi anak derhaka!”

Azman menahan kemarahannya. Tubuhnya mula menggigil. Nafisa melihat semua itu dengan hati yang sakit dan marah.

“Sekarang you memang nak pilih dia kan. Biar I pergi saja dari sini!”

“Jangan pergi sayang. Tolong jangan tinggalkan I...” rayu Azman.

“You anak mak kan? You sayang sangat dengan mak you kan? Jadi you pergilah ikut dia!” Nafisa mengangkat begnya dan berjalan ke arah pintu.

Azman mengejar. Dia memeluk erat tubuh Nafisa. Dia merayu, “Sayang, jangan buat I macam ni. You tahu I sayangkan you. You tahu I tak boleh hidup tanpa you. You tahu I sanggup buat apa saja demi you.”

“Buktikan! Jangan pandai cakap saja,” balas Nafisa.

Azman teragak-agak. Nafisa segera membalas pelukannya. Mata Azman direnung manja. Akhirnya, Azman berpaling kepada Makyung Bedah. Dia bercekak pinggang. Wajahnya marah seperti singa yang sedang kelaparan.

“Mak, tolong keluar dari rumah saya sekarang juga!”

“Man, mengucaplah Man. Kau sedang dirasuk iblis! Ingat pada ALLAH, Man. Tengok muka mak ni. Mak ini ibu yang mengandung dan melahirkan kau. Air susu mak yang membina tulang temulang kau. Istighfarlah Man....”

“Sudah! Aku kata kau keluar, kau keluar sekarang! Perempuan tak guna!”

Dam! Jantung Makyung Bedah gugur dan relai. Darah membuak dari hatinya yang memang sudah lama remuk. Namun dia masih tidak berganjak. Dia masih mahu memeluk anak lelaki tunggalnya. Dalam tubuh Azman mengalir darah Imam Ismail keturunan Imam Yunus. Dia dari keturunan orang baik-baik. Bukan dari calang-calang keturunan.

“Aku kata, kau keluar!” pekik Azman lagi.

“Man, tolong tengok muka mak. Tolong ingat pada arwah ayah. Tolong ingat pada arwah tok. Mereka orang beriman. Man lahir dari benih keturunan mereka. Keturunan kita tidak ada yang zalim dan kejam!”

“Keluar, aku kata!” tengking Azman dengan kuat.

Makyung Bedah sudah tidak mampu menahan lagi. Tangisnya mula pecah memenuhi ruang. Terhinggut-hinggut tubuhnya. Dia rasa semakin tidak berdaya untuk berdiri.

“Bedah! Kau kena kuat, Bedah. Jangan lemah, Bedah!” Dia berkata kepada dirinya sendiri. Dia cuba kumpulkan semangat yang ada dan bangun menuju ke arah Azman. Tubuh Azman dipeluk dengan rindu. Dia mencium seluruh muka anaknya dengan penuh kasih sayang.

“Mak rindukan Man. Mak nak anak mak yang dulu. Mak sayang Man...” Air matanya terus mengalir. Basah muka Azman dengan rembesan air matanya.

“Sudah! Aku tak perlukan seorang mak yang miskin papa kedana macam kau!” Azman cuba meleraikan pelukan Makyung Bedah. Dia menggunakan sepenuh tenaganya. Akhirnya, pelukan seorang ibu terlerai.

“Sampai hati kau Man...” Hanya itu yang mampu terluah oleh Makyung Bedah ketika itu. Dia hanyut oleh arus air mata yang sangat deras.

“Ningsih, kau kemas semua barang-barang perempuan tua ini! Aku tak nak tengok walau sehelai kain dia pun dalam rumah aku. Lepas itu kau buang dia keluar dari rumah ini. Aku tahu, selepas aku balik dia tak ada lagi dalam rumah ini,” kata Azman kepada Ningsih.

“ALLAH hu AKBAR! Azman... anakku!” raung Makyung Bedah dengan tubuh yang longlai dan jatuh ke lantai.

Azman menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet duit. Dari dompet itu dia mengeluarkan beberapa keping wang kertas bernilai seratus ringgit.

“Nah! Kau ambil duit ni. Anggap ini harga air susu yang kau banggakan sangat tu!” Azman membalingkan wang itu kepada Makyung Bedah. Dengan cepat dia menarik tangan Nafisa dan berlalu meninggalkan rumah itu.

“Ya ALLAH! Besarnya dugaan yang KAU berikan padaku...” tangis Makyung Bedah dengan pilu. Dia pejamkan mata. Dia cuba tabahkan hati.

Ningsih ikut menangis tersedu-sedu. Tidak tahan dia melihat dan mendengar trajidi apa yang berlaku. Tidak disangka, majikannya telah mengulangi kisah Malim Kundang yang derhaka itu.

“Ibu, sabarlah. Mari kita pergi dari sini. Jangan biarkan hati ibu disakiti lagi. Marilah bu...” pujuk Ningsih sambil memeluk tubuh Makyung Bedah. Lama mereka berpelukan.

Tiba-tiba Makyung Bedah tubuhnya mula kuat. Dia mengesat air matanya. Luka hatinya dibiarkan berdarah. Namun hidup harus diteruskan. Dia tidak mahu menyerah kalah. Dengan perlahan dia memaksa dirinya untuk bangun. Dia mengutip wang kertas yang bertaburan di lantai dan mengucupnya berkali-kali.

“Kau sangat takbur, Azman. Kau bayar harga air susu dan pengorbanan aku dengan kertas yang tak bernilai apa-apa untuk seorang ibu. Tak apalah Azman. Hari ni kau menang. Hari ni kau berjaya hancurkan hati seorang ibu. Tapi kau lupa akan janji ALLAH, Azman. Jika benar air susuku yang kau minum...”

“Ibu! Tolong jangan sumpah dia! Tolong ampunkan dia, ibu!” Ningsih segera memeluk tubuh Makyung Bedah. Sangat bimbang hatinya untuk mendengar kata-kata Makyung Bedah seterusnya.

Makyung Bedah beristighfar. Dia menyapu mukanya dengan kedua tapak tangan.

“Ya, saya kena kuat menghadapi semua ini. Hidup seorang ibu tak boleh musnah kerana seorang anak. Tapi ke mana saya nak pergi...” rintih Makyung Bedah

“Mari saya hantarkan ibu ke rumah Nyonya Humaira,” kata Ningsih sambil membantu Makyung Bedah bangun.

“Saya malu nak bertemu dengan bekas menantu saya itu.”

“Kenapa ibu harus malu?”

“Kerana rahim saya tidak melahirkan anak yang baik. Kerana saya tidak beruntung dan mendapat anak yang soleh dan berbudi. Anak saya telah menghancurkan hidup Humaira dan cucu-cucu saya. Saya malu, Ningsih,” balas Makyung Bedah dengan perlahan.

“Kalau macam tu, apa kata ibu telefon anak-anak ibu yang lain. Minta mereka ambil ibu di sini.”

Makyung Bedah masih kebingungan. Semuanya berlaku dengan cepat. Dia belum mampu mempercayai bahawa Azman telah menghalaunya. Azman juga telah menghina dan menafikan haknya sebagai ibu. Azman telah membayar penat lelah dan jasanya sebagai ibu dengan kepingan wang kertas itu.

Aduhai anak...

Lafaz benci seorang anak berdengung-dengung di telinganya. Dia menutup telinganya dengan dua tapak tangan. Tidak sanggup didengar dan diingat. Hanya air mata yang berjuraian...

“Ya ALLAH! Ya ALLAH!” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh bibirnya yang mula kering.


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.