Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 2

Makyung Bedah membetulkan duduknya. Dia masih ingin mengimbau kisah lalu. Dia masih ingin merindui anak-anaknya. Hati seorang ibu tidak sama dengan hati seorang anak.

Azman dan Maryam dengan alasan yang sangat menyakitkan. Hanya kepada Surya dia menaruh harapan. Surya belum kahwin. Belum ada keluarga. Anak bongsunya itu belajar hingga ke menara gading. Namun selepas tamat belajar, dia gila untuk menjadi penyanyi.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, Bedah.” Itu yang selalu dikatakan kepadanya.

“Dia belajar sampai universiti, akhirnya dia tak nak bekerja. Dia nak jadi penyanyi. Tak kisah juga kalau dia jadi penyanyi, tapi biarlah penyanyi biasa saja. Tapi dia jadi penyanyi rock. Kau tengoklah pakaiannya tu, macam peminta sedekah. Koyak di sana sini. Apakah itu imej rock yang diagung-agungkan itu?”

Mak Semah ketawa mengekek.

“Dengan muzik yang bising tu, dia kata itu seni,” sambungnya lagi.

Mak Semah tetap ketawa.

“Aku tak bergurau Semah. Kalaulah arwah Abang Mail masih ada, aku tak tahu macam mana nasib Surya,” kata Makyung Bedah.

Dalam hati memang dia tidak berkenan dengan pilihan kerjaya Surya. Namun, sebagai ibu dia tetap mendoakan yang terbaik untuk Surya. Dia juga tetap merindui anak itu. Dia tetap ingin bertemu dan memeluk Surya. Kalau boleh dia tetap ingin tidur bersama dan mengusap-usap anak itu seperti sewaktu kecilnya.

“Mak, tahun ini jadual kerja saya penuh. Mungkin hari raya pun saya tak akan beraya di kampung.”

“Semua orang pun ada kerja. Tapi takkan pula tak ada cuti. Kalau Su cuti, marilah balik ke sini. Mak akan masakkan masakan yang Su suka.”

“Mak jangan nak bandingkan kerja saya dengan orang lain. Sebagai artis, saya kena kerja ketika masih laku. Jadual persembahan saya dah disusun sejak awal tahun hingga ke akhir tahun. Saya kena ikut, tak boleh tidak.” Surya berkata tegas.

“Su, kalau tak dapat balik lama baliklah sehari dua. Mak rindu sangat pada anak bongsu mak yang sorang ni. Mak nak makan sama-sama. Nak tidur sama-sama.”

“Tengoklah nanti mak. Saya tak nak janji apa-apa.” Surya mematikan talian. Dia tidak dapat merayu lagi.

Aduhai anak...

Makyung Bedah kembali kepada keadaan dirinya sekarang. Imbauan ingatan itu berlalu. Suara dan alasan anak-anak hilang dari pendengarannya.

Dia mendongak ke awan. Gumpalan awan yang memutih mengusik hatinya. Indahnya alam ciptaan ALLAH. Awan memutih di langit. Rumput menghijau di bumi. Manusia diciptakan dari tanah yang kering untuk hidup berkasih sayang.

Di manakah kasih sayang anak-anak untuknya?

‘Mereka sibuk. Aku tak boleh nak berkecil hati. Tidak baik seorang ibu berkecil hati kepada anak-anaknya.’ Itu yang dibisikkan kepada hati. Itu juga yang diajarkan kepada diri akan sentiasa kuat dan tidak lemah dengan perasaan rindunya.

Namun kali ini dia kalah. Segera dia mendongak ke awan sekali lagi. Kali ini bukan ingin melihat awan gemawan yang memutih cantik tetapi ingin menahan air mata agar tidak menitik!

“Astaghfirullahhalazim… ya ALLAH… kuatkanlah hati hamba-MU ini.”

Mukanya diusap berkali-kali. Tidak mudah memujuk hati yang rindu. Namun dia tidak akan mengalah dan terus dihanyutkan oleh arus rindu itu.

“Cepatnya masa berlalu. Mereka semua sudah dewasa. Mereka sudah ada kehidupan sendiri. Abang, anak-anak kita dah semakin jauh dari Bedah…” Makyung Bedah berbisik sambil mendongak ke langit.

Lama termenung dan memujuk hati. Lalu dia mulaterkenang kepada sejarah dirinya.

Suatu masa dulu, siapa yang tidak kenal dengan Makyung Bedah. Dia adalah primadona makyung yang pernah tersohor di seluruh ceruk negeri Kelantan. Sebut nama Bedah, orang akan teringat kelentikan jemarinya menari makyung. Orang akan terkenang kelunakan suaranya menyanyi makyung. Hingga nama Makyung itu melekat di pangkal namanya dari muda hingga kini. Tua muda mengenalinya dengan Makyung Bedah!

Tiba-tiba dia rindu pada pentas makyung.

Bibirnya mula menguntum senyuman. Sungguh senang hatinya ketika membayangkan dia bergerak dengan liuk lintuk yang lemah gemalai mengikut alunan muzik. Jari jemarinya lentik dan ada seberkas rotan di tangannya. Sekali sekala rotan itu dipukul ke pahanya.

Pentas itu bukan pentas biasa.

Ia bukan hanya pentas makyung tetapi juga pentas cinta. Ia menjadi saksi cinta antara dia dengan arwah suaminya. Bunga-bunga cinta berkembangan di pentas itu. Setiap kali dia menari dan menyanyi, dia ditemani sepasang mata dan sebuah senyuman paling bermakna dari seorang jejaka!

“Awak sangat cantik. Secantik bulan purnama. Sayalah pungguk yang mabuk merindu.”

“Benarkah?” Dia mengerdipkan mata. Kemudian tersipu malu. Dia memang berani di pentas namun dia menjadi takut untuk terus ditatap oleh jejaka itu.Dengan sehelai selendang dia menutup wajahnya.

Ismail. Jejaka itu dari keturunan orang baik-baik.Anak imam masjid di kampungnya. Keluarganya sangat alim dan sangat dihormati. Selain itu, dia satu-satunya anak muda kampung itu yang belajar sekolah pondok di Patani hingga mampu menjadi imam.

Imam muda dan penari makyung!

Namun, cinta itu anugerah Tuhan. Ia sebuah rasa yang tidak ada benteng dan sempadan.

“Kenapa orang alim macam awak nak habiskan masa di bangsal makyung?”

“Sebab saya sukakan awak. Tak salah kalau saya nak tengok buah hati saya setiap hari.”

“Tapi… kita tak setaraf. Awak bintang di langit. Saya pula rumput di bumi. Tempat awak bukan di sini. Pilihan hati awak pula sepatutnya bukan pada saya.”

“Siapakah yang berani meletakkan gaung pemisah itu? ALLAH tak pisahkan darjat hamba-NYA melalui harta dan kedudukan. Darjat seorang makhluk ALLAH dinilai dari iman dan taqwanya.”

“Tapi awak memang dari golongan orang-orang beriman. Awak dari keturunan imam sedangkan saya pula dari kalangan…”

“Jangan. Jangan diucapkan kata-kata itu.Iman sesaorang tidak terletak pada keturunannya. Iman itu memang tak boleh dipusakai. Iman itu di hati dan hanya DIA yang mampu menilainya. Kopiah sebesar bakul pun belum tentu dikira orang beriman kalau hatinya berkarat!” tegas jejaka itu dengan suara meninggi.

“Awak ni, mana ada kopiah sebesar bakul!” Dia cuba mengendurkan suasana. Kemudian dia ketawa, perlahan dan penuh hati-hati. Dia tidak mahu membuat Ismail terasa hati. Walaupun perumpamaan yang dikatakan oleh Ismail dirasakan sangat kelakar.

Ismail sangat sederhana. Dari segala segi dia sederhana. Tidak sombong. Tidak membangga diri. Sikap itulah yang membuatkan hati Makyung Bedah semakin dekat dan ingin terus bersamanya.

Hari berganti hari, tali kasih mula bertaut erat dengan rasa sayang. Rasa cinta mula bersemi dengan rasa rindu. Akhirnya, tanpa rintangan dan halangan dari kedua-dua pihak mereka disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang meriah.

Ketika itu, hanya ALLAH yang tahu perasaannya. Dia sangat bahagia. Ismail kekasih hati menjadi suami peneman hidup. Darjat dan kedudukan tidak menjadi halangan untuk mereka bersatu.

“Mak harap Bedah dapat jadi isteri dan ibu yang baik kepada Mail. Mak serahkan Mail pada Bedah. Dia anak yang baik dan mak harap Bedah dapat menjaganya dengan baik.” Itu pesan Hajah Fatimah ketika memeluknya selepas majlis akad nikah.

Dia sangat terharu. Hajah Fatimah tidak memandang rendah kepada dirinya.

“Terima kasih mak. Bedah janji akan jaga anak mak. Bedah janji akan jadi isteri yang taat. Bedah janji akan jadi menantu yang berbudi. Harap mak sudi beri tunjuk ajar pada Bedah.” Hanya itu yang mampu diucapkan. Dia menangis dan Hajah Fatimah menarik dia ke dalam pelukannya.

Sangat manis kenangan itu. Hajah Fatimahmertua yang sangat baik. Dia pengasih dan sangat penyayang.

“Bolehkah abang minta sesuatu dari Bedah? ” tanya Ismail selepas seminggu mereka menjadi suami isteri.

“Mintalah. Bedah dah jadi milik abang.Lafaz akad dah mengikat kita.”

“Abang nak Bedah berhenti bermain makyung. Abang nak Bedah tumpukan kepada rumah tangga. Kita sama-sama menjaga keluarga kita nanti. Dan yang paling abang nak ialah Bedah belajar agama. Kita belajar sama-sama.”

Dia terpempan seketika. Permintaan itu sangat tulus dan dia tidak rasa seperti dipaksa.

“Beratkah permintaan abang?” tanya Ismail inginkan kepastian selepas lama suasana sepi.

“T… tidak. Bedah akan berhenti. Hidup dan mati Bedah hanya untuk abang.”

“Jangan! Itu salah.”

“Apa yang salah?” Dia menoleh. Wajah suaminya direnung dengan keliru.

“Hidup dan mati seorang insan biarlah kerana ALLAH. Kita tidak boleh bergantung dan menyanjung selain dari ALLAH.”

“Tapi syurga isteri di telapak kaki suami.”

“Pun dengan keredaan ALLAH. Syurga dan neraka juga milik DIA. Jangan sekali-kali melakukan sesuatu kerana berharap untuk mengejar pahala. Sebaliknya biarlah kita buat sesuatu dengan ikhlas kerana ALLAH.”

Lalu dengan rela hati dan ikhlas jiwa, dia menurut perintah. Itu yang terbaik untuk dirinya sebagai isteri. Seorang wanita, bila sudah berkahwin akan menjadi milik suami. Dia perlu setia dan dia wajib taat akan suaminya.

Begitulah, selepas berkahwin dia meninggalkan pentas makyung. Muzik makyung ditukar kepada alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir.

Hidupnya mula berubah. Dia menjadi lebih tenang dan aman.

Tiba-tiba hati Makyung Bedah semakin bergetar dengan rindu.Daripada rindukan anak-anaknya, kini dia merindui cinta sejatinya.

“Abang, Bedah sangat rindukan abang…” bisiknya perlahan.Ia hanya didengar oleh dirinya sendiri.

Dia tunduk. Air mata yang disekat dan ditahan tadi, kini dibiarkan terburai. Bukan lagi titik-titik kecil tetapi deraian bagai hujan. Dia tidak mahu menahan lagi. Kadang-kadang dia perlu menangis untuk melepaskan sesak di dada.

“Abang pergi tinggalkan Bedah.Anak-anak juga tinggalkan Bedah. Abang…” Makyung Bedah teresak-esak.

Sungguh pilu rasa hatinya. Sungguh parah rindu di jiwanya.

Kicau burung semakin nyaring. Burung-burung itu seolah-olah sedang mentertawakannya.Dia mengesat air mata. Dia malu kepada dirinya sendiri. Tiba-tiba dia rasa mungkir pada ikrarnya untuk tidak menangisi nasib dirinya.

“Ya ALLAH, bahagiakan suamiku di sisi-MU. Ya ALLAH, selamatkan anak-anakku bersama perlindungan-MU.Jangan hukum mereka ya ALLAH. Sesungguhnya aku akan reda dengan semua dugaan-MU ini.”

Makyung Bedah mengaminkan sebuah doa yang tulus dari hati.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.