Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 58

Makyung Bedah sangat resah. Dadanya berdebar sahaja. Sejak malam tadi perasaannya tidak menentu. Ketika itu hanya wajah Imran dan Mak Semah saja yang muncul di ruang matanya.

Selesai solat subuh, dia semakin gelisah. Dia langsung tidak dapat melakukan rutin biasanya, mengaji.

Dia mengemas sejadah sebelum keluar dari bilik itu dan menikmati udara segar di luar. Dia merenung langit. Awan yang berarak tenang itu tidak dilihat cantik.

‘Kenapa dengan kau, Semah? Apa yang berlaku, Im?’ Soalan itu muncul bertubi-tubi dalam hatinya.

Tidak lama, dia segera masuk ke bilik. Dia rasa dia perlu tidur untuk meredakan resah. Ketika matanya hampir terlelap, pintu dibuka dengan kasar.

“Mak! Bangun!” jerit Surya.

Dengan lemah dan perlahan, Makyung Bedah bangun. Ketika itu, Surya menarik sebuah beg pakaian dan mencampakkan ke arah Makyung Bedah.

“Mak! Cepat kemaskan pakaian!”

“Kita nak ke mana Surya? Nak balik kampung ke?”

“Jangan tanya apa-apa. Aku kena keluarkan mak dari sini. Mak memang sengaja nak susahkan aku. Aku tak tahan lagi dengan mak ni!” jawab Surya, separuh menengking.

Makyung Bedah bangun dan mencapai kain baju dan barang-barangnya dari almari. Tanpa melipat dengan baik, dia menyumbat kesemuanya ke dalam beg yang diberikan.

“Ke mana kau nak hantar mak Surya?”

“Aku dah beri amaran pada mak, jangan keluar dari bilik ini waktu pagi sebelum semua orang ke pejabat. Tapi, mak degil. Mak memang nak jahanamkan hidup aku. Sekarang, mak rasa balasannya. Aku akan hantar mak pergi jauh dari sini!” jerit Surya.

Makyung Bedah rasa terlalu sebak. Dia rasa ingin menangis tetapi entah kenapa kali ini air matanya terlalu mahal. Dadanya bergetar. Kalbunya pula bergegar. Tangannya tetap mengemas. Barang terakhir yang diambilnya ialah kitab suci Al-Quran yang memang dibawa dari kampung. Dia mendakap al-Quran. Lama. Rasa tenang hatinya. Rasa lapang jiwanya. Syafaat dari kitab suci itu dapat dirasakan dengan izin ALLAH.

“Heh, cepatlah! Kau jangan nak buang masa aku!” Surya menengking lagi.

Makyung Bedah berisghfar dalam hati. Dia tetap tidak mahu mengalah pada perasaan terluka dan kecewa. Dia tidak mahu tunduk kepada bisikan iblis yang minta dia menyumpah Surya.

“Dia anak derhaka! Dia tak layak dikasihi. Marah dia! Benci dia!” Suara segerombolan iblis terngiang di telinga dan terdetik di hati.

“Astaghfirullahhalazim... Astaghfirullahhalazim... Nauzubillahhiminzalik!” jerit Makyung Bedah. Jeritan itu bukan sahaja membuatkan iblis dan syaitan bertempiaran meninggalkan hatinya malah ia seperti terlucut dari bertenggek di tubuh Surya juga.

Surya terpaku. Dia terdiam lama.

“Dah, marilah. Mak dah siap ni,” ajak Makyung Bedah dengan tenang. Dia menyarungkan tudung labuh dan menjinjit beg pakaian keluar dari situ.

Surya mengekorinya.

Sampai di garaj kereta, Makyung Bedah berhenti. Matanya meneliti kereta yang berderetan.

“Kereta mana yang mak layak naik?” Makyung Bedah menoleh ke arah Surya.

“Aku hantar mak naik teksi saja. Aku tak nak ada orang nampak mak dalam kereta aku,” jawab Surya, kembali angkuh. Dia segera menelefon teksi.

Makyung Bedah diam sahaja. Dia rasa lapang kerana Surya mahu membebaskannya dari bilik itu. Jiwanya rasa bebas dan aman. Dia mendongak ke langit dan menarik nafas lega. Dia mengucap syukur di dalam hati kerana masih diberi peluang menikmati keindahan langit dan bumi milik ALLAH.

Sebuah teksi sampai. Surya segera mendekati teksi itu dan bercakap dengan pemandunya. Entah apa butir bicaranya. Kemudian dia mengeluarkan sekeping duit lima puluh dan menghulurkan kepada pemandu itu.

“Mak, masuklah.” Surya membuka pintu. Dengan patuh, Makyung Bedah segera masuk. Sebelum pintu ditutup tiba-tiba Bik Sumi muncul. Tangan Makyung Bedah ditarik dan disalami dengan rembesan air mata.

“Mak cik, tolong maafkan saya.”

“Saya juga minta maaf kalau selama saya di sini, saya pernah menyakitkan hati kamu. Pernah memerintah kamu sedang saya bukan majikan kamu. Tolong halalkan semua yang kamu buat untuk saya,” balas Makyung Bedah sambil menepuk bahu Bik Sumi.

Bahu itu bergoncang dengan kuat. Bik Sumi teresak-esak mendengar kata-kata Makyung Bedah itu.

“Heh, sudahlah. Janganlah nak berdrama sangat. Kau nak sedih sangat tu kenapa? Aku anak dia pun tak sedih!” tengking Surya.

Makyung Bedah menoleh ke arah Surya. Tengkingan Surya itu tidak menyakitkan hatinya. Sebaliknya perkataan yang baru dilafazkan Surya itu telah menambat hatinya.

“Surya, kau mengaku mak ni ibu kau? Kau tak malu sebut kau tu anak mak?” tanya Makyung Bedah, mencari kepastian.

Surya terkesima. Dia mula perasan akan kata-katanya tadi. Dia sudah terlajak kata!


Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.