Makyung Bedah duduk
dengan tenang. Di sekelilingnya ialah sekumpulan anak muda yang menjadi
penuntut Fakulti Seni yang ingin mendengar kisah kehidupan masa lalunya. Ada
bermacam soalan mengenai pengalaman dan kisah silamnya di lantai makyung. Dia
mendengar dan menjawab semua soalan itu dengan baik.
Cuma pada satu soalan,
dia terkedu pilu. Dia sebak. “Adakah anak-anak mak mewarisi bakat besar mak?”
Makyung Bedah menahan
rasa. Dia cuba sembunyikan apa yang penuh di hatinya ketika itu. Hal Azman
malam tadi belum reda bergelombang di dadanya. Sekarang dia berdepan dengan
soalan yang terlalu menyentuh hati.
“Tak ada anak yang
berminat. Seni makyung ni dianggap seni lapuk,” jawab Makyung Bedah.
“Eh, mana ada macam tu.
Inilah seni pusaka bangsa. Ini seni kita.”
“Sayang kalau mak tak
ada pewaris untuk bakat mak ini.”
Makyung Bedah hanya
menghadiahkan senyuman kepada golongan anak muda itu. Dia bangga dengan mereka.
Kalaulah Surya berada di tengah-tengah mereka itu, alangkah gembiranya hati
seorang ibu.
Tidak. Sebenarnya dia
tidak kisah kalau Surya tidak sukakan makyung. Yang dia kisah hanyalah sikap
Surya yang sudah lupakan dia sebagai ibu.
“Mak, bolehkah kita dengar
suara mak.” Seorang anak muda meminta.
“Benar mak. Kita nak
sangat dengar suara dan nyanyian mak.”
“Mak dah lama
tinggalkan pentas itu. Bunyi gong dan gendang pun dah lama tak dengar. Bimbang
pula kalau sumbang. Kelak ia akan merosakkan irama makyung itu sendiri.”
“Tak apa. Sikit pun tak
apa, mak.”
“Benar mak. Kami
teringin nak dengar suara primadona makyung.”
Makyung Bedah tidak
mampu menolak lagi. Dia meneliti wajah mereka satu persatu. Ada permintaan yang
tulus dari kerdipan mata mereka. Ada harapan yang tinggi dalam hati mereka. Lalu
Makyung Bedah membetulkan duduknya. Dia menajamkan minda dan ingatan. Dia
menumpukan sepenuh perhatian kepada irama makyung.
Akhirnya dia menyanyi
dengan asyik. Dia melepaskan rindu dendamnya. Dia mengimbau masa silamnya.
“Merdunya suara mak.
Asyik kami mendengarnya,” kata Marinah sambil memeluk Makyung Bedah dengan tulus
selepas selesai sahaja dendangan irama makyung keluar keluar dari bibir Makyung
Bedah.
“Mak, mahukah mak ajar
saya makyung? Saya nak jadi perimadona macam mak.”
“Tak usahlah. Lebih
baik kamu pergi belajar muzik lain yang lebih moden. Lagipun mak dah tua. Dah
tak layak nak mengajar anak-anak muda. Nanti semakin buruk tohmahan masyarakat
terhadap mak dan makyung.”
Anak-anak muda itu
saling berpandangan. Mereka tidak mengerti apa maksud kata-kata Makyung Bedah
itu.
Akhirnya pertemuan itu
usai. Makyung Bedah pulang ke kampung dihantar oleh Marinah.
“Terima kasih kerana
layan mak dengan baik,” kata Makyung Bedah ketika mereka bersalaman.
“Harap mak tak serik
dengan saya. Harap mak masih sudi berjumpa saya.”
“Rumah ini sentiasa
terbuka untuk Inah. Datanglah kalau ada masa.”
“Mak, bolehkah saya
minta sesuatu?” Marinah menggenggam tangan Makyung Bedah sambil matanya
merenung tepat ke arah wajah itu.
“Mintalah. Asal jangan
minta duit. Sebab mak ni bukan orang kaya. Tengok saja rumah mak ini. Hanya ada
atap untuk berteduh dan lantai tempat berpijak. Mak bukan orang mewah. Mak
miskin segalanya. Kerana mak miskin, anak-anak....” Sampai di situ, Makyung Bedah
tidak mampu meneruskan kata-katanya.
“Saya tak perlukan
harta mak. Saya dah ada semuanya.”
“Habis, Inah nak minta
apa?”
“Kasih sayang mak
sebagai ibu,” ujar Marinah perlahan.
“Apa maksud Inah?”
“Sudikan mak terima
saya sebagai anak mak. Sudikah mak berikan kasih sayang seorang ibu kepada saya?”
Makyung Bedah rasa
keliru.
“Tak baik menagih kasih
sayang dari orang lain ketika ibu kita masih ada. Kasih ibu itu hingga ke
syurga. Janganlah Inah cuba mensia-siakannya.”
“Mak, saya tak ada ibu
sejak kecil. Mak saya pergi mengadap Tuhan ketika melahirkan saya. Jadi saya
memang tak pernah merasai pelukan kasih seorang ibu. Entah kenapa, bila saya
jumpa mak dan tidur sebilik dengan mak saya mula merindui apa yang saya tak
ada.”
Mata Makyung Bedah
terbuka luas. Baru dia tahu erti permintaan Marinah. Sesungguhnya ALLAH itu
Maha Adil dan Maha Pengasih. Marinah ditakdirkan hadir dalam hidupnya untuk
mengisi kekosongan hati seorang ibu.
Makyung Bedah menarik
Marinah ke dalam pelukannya. Kepala gadis itu diusap-usap dengan penuh kasih
sayang. Dia bahagia. Dia gembira. Terasa seolah-olah sedang memeluk Maryam dan
Surya.
Marinah menangis
teresak-esak. Dia mengelus-ngeluskan kepalanya ke dalam pelukan Makyung Bedah
seperti seekor anak kucing yang baru bertemu ibunya.
Lama mereka membiarkan
diri dihanyutkan perasaan yang berbeda. Marinah dengan perasaan seorang anak
dan Makyung Bedah dengan perasaan seorang ibu.
“Terima kasih mak
kerana sudi menerima Inah sebagai anak. Insya-ALLAH Inah akan jaga mak seperti
seorang anak menjaga ibu kandungnya.”
“Janganlah berjanji
apa-apa. Sebab kalau mungkir, dah jadi munafik.”
“Wah, nampaknya Cik
Marinah nak potong trip saya ni,” kata Imran yang tiba-tiba muncul di hadapan
mereka.
“Trip? Trip apa?”
Marinah tercengang. Wajahnya dihurung hairan.
Makyung Bedah ketawa
kecil. Dia rasa kelakar dengan cara Imran menyergah Marinah.
“Mak? Trip apa ni?”
Marinah semakin tidak faham.
“Imran ni pun dah angkat
mak ni jadi mak dia. Sekarang, Inah pula yang nak angkat. Jadi dia rasa
tercabar dan rasa Inah nak potong trip dia,” jawab Makyung Bedah, masih ketawa.
Marinah ikut ketawa.
“Terima kasih kerana
dah jaga mak saya dengan baik selama di Kuala Lumpur,” kata Imran selepas
ketawa mereka usai.
“Mak saya juga. Saya
mesti jaga,” balas Marinah.
“Mak saya dulu!” kata
Imran lagi. Kemudian mereka berbalas senyum. Hati Makyung Bedah semakin girang.
Gelagat kedua-duanya begitu menghiburkan.
Akhirnya Makyung Bedah
melepaskan Marinah pergi dengan hati yang berat. Walaupun begitu, dia rasa
senang dengan pertemuan itu.
“Mak, ada gambar dan
cerita mengenai mak dalam surat khabar hari ni,” kata Imran selepas deruman
kereta Marinah semakin sayup menjauh.
“Bila pula ada orang
surat khabar yang jumpa mak?”
“Mungkin mak tak
perasan. Mereka ada dalam sesi soal-jawab dengan para siswa tu.”
“Aduh, malunya mak!”
Makyung Bedah menutup muka seperti anak kecil yang malu bertemu orang yang
tidak dikenalinya. Sudah lama orang melupakan siapa dirinya. Dengan adanya
berita itu, pasti ramai orang yang membaca dan melihatnya.
“Apa yang mereka tulis?”
tanya Makyung Bedah, berpaling ke arah Imran.
“Tentang bakat mak.
Tentang seni yang ada dalam diri mak.”
“Itu saja?”
Imran angguk.
Makyung Bedah menarik
nafas lega. Dia memang berharap agar hal kehidupan dan keluarganya tidak
diketahui umum. Kalau boleh dia memang tidak mahu Surya yang terkenal itu
dikaitkan dengan dirinya.
“Im, hari tu mak jumpa
Abang Man di Kuala Lumpur,” kata Makyung Bedah mengubah topik perbualan.
“Hah? Habis dia cakap
apa dengan mak? Apa alasan dia tak balik dan tengok mak begitu lama?” Imran
teruja.
Makyung Bedah diam
merenung ke depan. Hatinya masih rasa kesal dengan hajat memeluk Azman yang
tidak kesampaian. Semuanya kerana wanita yang mengepit pinggang Azman itu.
“Mak?” Imran menepuk
bahu Makyung Bedah.
“Ada apa Im?”
“Apa yang mak menungkan
ni? Apa yang Abang Man cakap dengan mak? Mesti ada yang melukakan hati mak,
kan?” Imran sengaja menduga.
“Dia tak cakap apa-apa.
Semuanya berlaku dengan cepat. Mak tak sempat nak peluk dia. Mak tak sempat nak
cium dia puas-puas. Dia pergi dengan terburu-buru. Mungkin dia tak nak wanita
di sebelahnya tahu siapa dia.”
“Bukankah wanita itu
menantu mak? Takkan dia masih nak berselindung dan berahsia. Menantu mak pun
tak peluk mak?”
“Dia wanita lain. Dia
bukan Humaira isteri Azman. Dia orang lain!”
Imran terkebil-kebil.
“Mak, Im semakin tak
faham.”
“Apa yang Im tak faham.
Maknanya Azman ada perempuan lain selain bini dia. Tak tahu itu isterinya atau
kekasihnya. Sampai hati Azman...”
Imran mula faham. Dia
diam dan tidak berani bertanya lagi. Cuma hatinya ralat. Kenapa Azman buat
Makyung Bedah macam tu? Apa salah ibu tua itu? Tidak takutkah Azman kepada
laknat ALLAH kepada anak yang derhaka dan tidak menunaikan kewajipannya
terhadap ibu bapa?