Dia ingin mengubati luka hatinya itu dengan bacaan ayat-ayat ALLAH itu.
Dia rasa tenang dengan bacaan ayat-ayat sudi itu. Alunan suara yang merdu
kedengaran begitu santun bersama taranum yang sempurna. Semuanya berkat
usahanya belajar ketika arwah suaminya masih hidup. Tidak sia-sia dia
meninggalkan pentas makyung dan mengikut Ismail ke masjid setiap malam.
“Kalau benar-benar Bedah sayangkan abang, Bedah kena buktikan bahawa
Bedah boleh mengaji dan menjadi seperti orang lain,” kata Ismail pada satu
malam selepas beberapa bulan mereka berkahwin.
“Apa maksud abang?”
“Bedah kena ikut abang ke masjid setiap malam. Bedah kena ubah cara
hidup Bedah. Bedah kena tutup aurat kerana aurat seorang wanita muslim itu
hanya untuk muhrimnya.”
“Bedah akan buat semuanya demi abang,” balasnya dengan tulus.
“Jangan! Jangan buat kerana abang.”
“Habis, Bedah nak buat kerana siapa?”
“Bedah buatlah kerana ALLAH. Semua yang abang beritahu ini adalah
mengikut hukum ALLAH. Semua ini perintah ALLAH yang ada dalam Al-Quran. Kalau
Bedah buat kerana abang, pasti kalau abang dah tak ada, Bedah akan
meninggalkannya. Tapi kalau Bedah buat kerana ALLAH, dalam keadaan apapun Bedah
tetap akan buat.”
Benar kata Ismail. Dia mesti melakukan semuanya kerana ALLAH. Dari
sekecil-kecil perkara hingga kepada yang sebesar-besarnya, niatnya mesti kerana
ALLAH. Itu yang diajar oleh Ismail.
Oleh yang demikian, walaupun Ismail telah lama tiada Makyung Bedah
tidak pernah meninggalkan apa yang telah diajar. Solat dan membaca Al-Quran,
berbuat baik dan bersedekah, semuanya masih menjadi kewajipannya. Ismail suami
yang baik. Orang yang baik sangat disayangi ALLAH. Sebab itu, dia pergi dalam
usia sangat muda. Empat puluh tahun!
Bacaan Makyung Bedah sedikit bergetar. Dia terasa seperti sedang
mengaji di hadapan Ismail seperti dulu. Dia berhenti seketika untuk memberi
kelegaan kepada hatinya. ‘Abang Mail sudah tiada.’ Dia memberi keyakinan kepada
hati.
Ketika matahari mula meninggi, dia berhenti mengaji. Seperti biasa
juga, ibadat pagi akan diakhiri dengan dua rakaat solat sunat duha.
Hatinya yang gundah gulana, sedikit sebanyak terubat jua. Benar kata Semah.
Buat apa dia mengenang anak-anak yang ‘membuangnya’. Dia sudah semakin tua. Dia
akan pergi meninggalkan dunia ini bila-bila masa sahaja. Bukan hanya anak-anak
yang akan ditinggalkan. Semuanya tidak akan dibawa bersama. Yang akan dibawa
hanya kain putih. Yang akan menjadi bekalnya ialah sedekah jariah dan amal
ibadatnya.
Doa anak-anak yang soleh?
“Aku berserah kepada-MU ya ALLAH.” Dia bangun. Telekong dan sejadah
segera dikemas. Kemudian dia berjalan ke anjung yang mengadap ke sawah. Sawah
itu milik keluarga Ismail. Selepas Pak Imam Yunus meninggal, ia menjadi milik
Ismail kerana adik beradiknya yang lain semua sudah keluar dari kampung dan
memiliki harta masing-masing. Oleh kerana hanya Ismail yang tinggal di kampung
itu, maka sawah itu diserahkan kepadanya.
“Kami serahkan pada kau saja Mail. Sebab kau tinggal di kampung. Kau
jaga dan uruskanlah harta pusaka ini dengan baik,” kata Long Jali selepas
sebulan pemergian Imam Yunus.
“Tapi, saya tak nak makan harta
yang bukan milik saya. Kita kena bahagikan harta ini mengikut hukum
faraid,” kata Ismail pula.
“Kami dah berikan kepada kau, maknanya itu milik kau,” kata Kak Ngah
Shimah pula.
“Tapi, arwah ayah tentu tak suka kita buat cara ni.”
“Arwah ayah lagi bahagia kerana kami memberi kesenangan kepada kau,
anak bongsunya yang sangat disayangi ini. Esok kita ke pejabat tanah. Kita
uruskan semuanya. Kami nak kau dan anak-anak kau hidup senang. Hanya ini tanda
kasih sayang kami,” kata Long Jali dengan tegas.
Ismail tidak boleh menolak lagi. Tanah sawah dan tanah tapak rumah itu
menjadi miliknya.
Namun, selepas Ismail pergi tanah itu bertukar tangan. Sebagai ibu yang
tidak mampu, dia tetap ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.
Amran, Maryam dan Surya memerlukan belanja yang banyak semasa di universiti.
Tidak ada jalan lain selain menjual tanah itu kepada Haji Awang, jirannya.
Itupun atas nasihat Kak Ngah Shimah.
“Akak pun tak mampu nak bantu kamu, Bedah. Anak-anak akak juga sedang
belajar. Apa kata kau jualkan saja tanah sawah itu.”
“Tapi, itukan tanah pusaka kak.”
“Memang itu tanah pusaka. Ia milik kau dan anak-anak Ismail. Sekarang,
kau sangat memerlukan duit untuk menyara anak-anak yatim itu. Kami semua tak
dapat nak bantu kau. Jual saja Bedah. Kalau arwah Ismail ada pun dia akan buat
keputusan yang sama,” jawab Kak Ngah Shimah lagi.
Dengan segala berat hati, akhirnya tanah lima relong itu menjadi milik
Haji Awang. Duitnya semua digunakan untuk ketiga-tiga anaknya. Dia langsung
tidak mengambilnya. Dia berjimat cermat menampung kehidupan dengan duit yang
lain.
“Maafkan Bedah bang...” bisik Makyung Bedah. Dia segera membacakan
Al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada arwah suaminya dan arwah ayah mertuanya.
Itu yang selalu dilakukan tatkala dia merindui kedua-duanya.
Lalu dia teringat kepada dirinya. Siapakah yang akan mendoakannya?
Siapa pula yang akan mengirim sedekah untuknya?
Serta merta muncul rasa ngilu di celah hatinya. Ngilu hati seorang ibu
yang tercucuk duri derhaka anak-anaknya!
“Astaghfirullahalazim...” Makyung Bedah segera tersedar. Kalaulah dia
mampu melupakan semuanya, alangkah senangnya hati.
**