Sudah sebulan Makyung
Bedah tidak dapat dihubungi. Sudah puas Imran mencuba, namun talian tetap tidak
bersambung. Dia tahu talian itu tidak akan bersambung lagi.
“Telefonnya dah
dimatikan mak,” kata Imran.
“Atau dia terlupa mengecas
bateri dan telefon itu mati.” Mak Semah cuba berprasangka baik.
“Mungkin juga. Tapi, Im
tak rasa begitu,” kata Imran dengan wajah cuak. Entah kenapa dia rasa tak sedap
hati. Setiap kali terkenangkan Makyung Bedah dan terbayangkan wajah zalim Surya
dia rasa bimbang dan sangat takut.
“Habis, apa yang Im
rasa?”
Imran termenung. Dia
tidak berani menuduh tetapi kata hatinya memang mengesyaki ada perkara buruk
telah berlaku. Mungkinkah Surya sudah dirasuk iblis?
“Entahlah mak. Kita
tunggu saja dia telefon kita.”
“Kalau dia tak
telefon?” tanya Mek Semah, ragu-ragu.
“Kita cari nombor
telefon Surya dan telefon dia.” Imran menjawab dengan nada berat. Dia sendiri
seperti tidak yakin dengan jawapannya itu.
Mak Semah meletakkan harapan
di dalam hati. Semoga dia dapat segera mendengar suara Makyung Bedah. Semoga mereka dapat berkumpul
kembali.
Keresahan di hati Mak
Semah tidak sehebat yang dirasai oleh Makyung Bedah. Di bilik kecil itu, dia
sudah kekeringan air mata. Surya memang sudah meninggalkan bilik itu bersama
telefon bimbit miliknya.
Dia rasa sangat sedih
dan kecewa. Dunianya gelap gelita. Dunianya hanya di bilik sempit itu. Tidak
ada lagi suara Imran dan Mak Semah yang didengarnya. Tidak ada lagi
cerita-cerita dari kampung yang sampai kepadanya.
‘Ya ALLAH, kenapalah
KAU berikan dugaan begini berat kepadaku,’ bisik hatinya setiap kali dia rasa
sedih dengan keadaan dirinya.
Seminggu telah menjadi
sebulan. Telefon bimbitnya tetap tidak dipulangkan. Makyung Bedah hilang upaya
untuk merayu. Dia tahu Surya memang sengaja ingin dia sengsara. Dengan kata
lain, Surya juga gembira kalau dia cepat mati!
“Makanlah mak cik.
Kalau mak cik tak makan, saya yang kena marah nanti,” kata Leha, pembantu rumah
di rumah banglo itu. Dia susah hati apabila melihat Makyung Bedah tidak
menyentuh makanan yang dibawa kepadanya.
“Aku tak selera nak
telan makanan ni.”
“Makanlah sikit. Atau
mak cik minum susu ni. Biar mak cik sihat.” Leha masih tidak jemu memujuk.
Makyung Bedah diam
membatu. Dia memang tidak boleh memaksa dirinya untuk makan dan minum. Untuk
apalah dia berlapar kalau tekaknya mampu menelan semua makanan yang dihidangkan
itu?
Akhirnya, keadaan
tubuhnya semakin lemah dan tidak berdaya. Setiap hari hanya terbaring di katil.
Semakin dia lemah, semakin kuat pula ingatannya kepada Mak Semah dan Imran.
“Semah, kalau aku mati
dulu aku harap kau maafkan segala salah silapku padamu.”
“Kau tak akan mati. Aku
yang akan mati dulu sebab aku yang sentiasa sakit. kau sihat saja.”
“Mati itu tak tentu
keadaannya, Semah. Kadang-kadang orang sedang tidur pun boleh mati. Kau ingat
Abang Mail? Dia tak pernah sakit. Tapi tiba-tiba dalam tidur dia tinggalkan aku
dan anak-anak.”
Semua kenangan dan
ingatan bersama Mak Semah di kampung sangat menyentuh hati Makyung Bedah. Ah!
Semah. Adakah peluang kita bertemu lagi?
Hal dan keadaan Makyung Bedah yang tidak
menyentuh makan dan tidak menghirup minuman itu telah disampaikan kepada Surya.
Pagi itu selepas Fazrin
ke pejabat, Surya ringankan kaki untuk menjengah Makyung Bedah di bilik
belakang rumah itu. Memang benar. Makyung Bedah tidak menyentuh makanan yang
dihantar kepadanya. Nasi dan air masih tidak luak. Roti, buah-buahan dan
makanan lain juga memang tidak disentuh langsung.
“Mak ni dah kenapa? Dah
diberi makan tetapi tak makan? Mengada-ngada ni kenapa?” marah Surya dengan
mata yang melorot tajam ke arah Makyung Bedah.
“Mak nak balik kampung
Surya. Mak nak duduk rumah mak. Tolong hantarkan mak balik. Mak janji akan ikut
apa saja syarat kau!” rayu Makyung Bedah dengan linangan air mata.
“Syarat saya, mak kena
tinggal di sini sampai mati!” tengking Surya.
Makyung Bedah bangun
dari pembaringan. Tubuhnya yang lemah cuba dikuatkan. Dia perlu berdepan dengan
Surya demi masa depannya.
“Surya, sekali lagi mak
rayu pada kau. Tolonglah hantarkan mak balik kampung. Kalau kau tak nak hantar
sampai kampung pun, kau hantarlah sampai stesen bas. Biar mak cari jalan balik
sendiri,” rayu Makyung Bedah dengan suara menahan tangis.
“Tidak! Mak tak boleh
ke mana-mana!” tegas Surya pula.
“Apa yang kau nak
sebenarnya dari ibu tua yang tak berharta ini, Surya?”
“Aku tak nak apa-apa!
Aku hanya nak mak duduk diam-diam. Jangan sampai ada yang tahu mak di sini.
Jangan sampai ada orang tahu, mak tu mak aku!”
“Kalau macam tu, biar
aku tinggal di kampung saja. Kalau kau tak nak orang tahu aku ni mak kau, aku
tak akan mengaku kau tu anak aku!” balas Makyung Bedah dengan suara meninggi
juga. Dia juga ikut sudah mula ‘berkau aku’ mengikut rentak Surya. Dia rasa
kesabarannya mula hilang.
“Sudah mak! Aku tak nak
bergaduh dengan mak. Mak makan ni. Jangan sampai mak sakit kerana tak makan.
Kalau mak sakit, aku juga yang susah.”
Surya melangkah keluar
tanpa menoleh lagi.
Makyung Bedah menelan
air liur. Kali ini lebih pahit dari sebelumnya. Dia merenung hidangan di
hadapannya. Gelas air putih dicapai dan dia meneguk perlahan. Terasa tekaknya
mula nyaman. Benar kata Surya, dia kena makan agar dia tidak sakit. Dia tidak
mahu jatuh sakit. Kalau dia sakit, siapa yang akan menjaganya? Kalau dia di
kampung, Imran ada. Mak Semah ada. Orang kampung pun tidak akan membiarkan dia
terlantar sendirian.
Serta merta dia memaksa
selera. Sangat payah namun dicuba juga. Sedang dia terkial-kial menelan nasi
yang ada di mulutnya, pintu biliknya ditolak perlahan. Wajah Leha, tersembul
dengan senyuman senang.
“Kalau mak cik rasa nak
makan apa-apa, cakaplah dengan saya. Saya boleh masakkan,” kata wanita itu
dengan ramah.
Hati Makyung Bedah rasa
tertambat dengan kata-kata itu.
“Esok, bolehkah awak
masakkan saya sayur labu dengan daun selasih. Juga boleh tak gorengkan saya
ikan kering butir nangka. Dah lama saya tak makan,” kata Makyung Bedah.
“Yang sayur tu saya
boleh masak. Tapi yang ikan kering tu, saya tak tahu itu ikan apa?” tanya Leha
dengan sengih.
Makyung Bedah tidak
menjawab. Baru dia teringat, mungkin ikan itu tidak ada di Kuala Lumpur.
Mungkin ikan itu hanya ada di Kelantan sahaja.
Dia terus memaksa diri
menghabiskan nasi di pinggan. Sangat payah. Nasi putih akhirnya disulami air kosong
sahaja...