Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 44

“Mak tengok apa yang mak buat?” Maryam menoleh kepada Makyung Bedah dengan tenungan tajam. Dia seperti sedang bercakap dengan orang lain, bukan dengan seorang ibu yang telah melahirkannya.

“Apa yang mak buat Yam?”

“Mak dah porak porandakan hidup saya. Mak datang dan menambahkan masalah saya!” tengking Maryam dengan kuat.

“Hidup kau dah memang porak poranda sebelum mak datang lagi. Kau jangan nak salahkan mak, Yam,” kata Makyung Bedah cuba pertahankan diri.

Maryam terdiam.

“Kau jangan ingat mak tak tahu, Yam.”

“Mak, kalau mak nak tolong baikkan rumah tangga saya lebih baik mak pindah dari sini.”

“Ya. Aku fikir pun macam tu juga. Boleh tak kau tolong hantarkan aku balik kampung. Di sana, tempat yang paling sesuai untuk orang tua yang tak guna macam aku ni...” Makyung Bedah rasa lehernya seperti tercekik duri. Dia menelan air liur. Sangat pahit. Sepahit hidupnya.

“Tidak! Mak tak boleh balik kampung. Saya akan hantarkan mak ke rumah Surya. Biar dia pula jaga mak. Saya nak jaga rumah tangga saya. Suami saya tak sukakan mak. Jadi, saya kena patuh pada suami.”

Makyung Bedah merenung wajah Maryam. Hati seorang ibu memang sudah relai dan punah ranah. Tetapi kasih sayang seorang ibu masih ada dalam hatinya. Dia sangat kasihkan Maryam. Hanya ALLAH yang tahu akan perasaan itu.

“Mak bangga kerana kau isteri yang patuh. Kalau arwah ayah kau ada, dia pun bangga kerana anaknya seorang yang taat kepada suami. Cuma, ketaatan kau tak bertempat. Kau sanggup abaikan seorang ibu kerana seorang lelaki. Kau lupa bahawa hubungan antara suami isteri ada kata pemutusnya iaitu talak. Tapi kasih sayang seorang ibu, membawa ke syurga,” kata Makyung Bedah dengan senyuman yang dipaksa.

“Sudahlah mak. Saya tahu apa yang saya buat.”

“Yam, tolong hentikan maksiat dan dosa yang sedang suami kau buat di rumah ini,” kata Makyung Bedah lagi. Dia rasa perlu sampaikan apa yang dia tahu. Dia tidak mahu bersubahat dengan Shamsul.

“Apa maksud mak? Mak baru saja tinggal di sini. Jangan sampai mak nak karang fitnah terhadap suami saya pula!” Maryam berpaling. Renungannya masih tajam dan menikam.

“Memang aku baru duduk di sini. Dan ALLAH nak tunjukkan semuanya. Kenapa rumah yang besar ini tidak ada cahaya-NYA? Kerana di rumah ini ada banyak perkara mungkar sedang berlaku.”

“Perkara mungkar apanya mak?”

“Yam, jangan kau butakan mata hati kau kerana sayangkan seorang lelaki. Cuba celik dan siasat. Cuba jangan lena sangat hingga ditipu hidup-hidup. Mak tak nak masuk campur. Sebab kau pun tak suka, kan?”

Makyung Bedah bangun dan berjalan ke biliknya. Biarlah Maryam uruskan sendiri hal rumah tangganya. Dia tidak akan mencampurinya.

Selepas Makyung Bedah hilang ke biliknya, Maryam segera menghubungi Surya. Semua yang berlaku diceritakan. Dia berharap Surya akan faham keadaan dirinya.

“Kami dah jaga mak. Sekarang giliran kau pula!” kata Maryam dengan tegas.

“Macam mana aku nak jaga dia Kak Yam sedangkan Abang Fazrin tak tahu aku ni ada mak. Aku tak nak kerana mak, aku dibuang dari keluarga itu. Aku sayangkan kehidupanku sekarang.”

“Kalau macam tu, biar mak balik kampung je. Kita pun tak perlu nak susah-susah lagi.”

“Jangan kak! Aku tak nak wartawan terjumpa mak.”

“Kalau macam tu, kau harus jaga mak. Nak tak nak, memang kau kena jaga. Abang Azman pun tak nak jaga sebab bini baru dia tu tak suka!”

“Biarlah mak tinggal di rumah akak untuk sementara waktu ni.”

“Sampai bila?”

“Sampai kita dapat satu jalan ke mana nak hantar mak.”

“Kau cakap senang. Abang Shamsul dah kata dia tak suka mak tinggal dengan kami. Kau pun kena fikirkan pasal rumah tangga akak. Akak pun nak jadi isteri yang taat. Kalau suami tak suka, macam mana akak nak terus jaga,” kata Maryam, bersungguh-sungguh.

Lama Surya diam. Dia berfikir dan berfikir.

“Hanya ada dua jalan. Kau jaga mak atau kita hantar dia ke kampung!” Maryam membuat keputusan muktamad.

“Baiklah, aku jaga mak. Tapi Kak Yam hantarlah waktu semua orang dah pergi kerja. Aku tak nak mereka tahu mak ada bersama aku,” balas Surya pula.

Makyung Bedah mengemas beg pakaiannya. Dia tahu dia tidak diperlukan di rumah Maryam. Dia tidak mahu memaksa diri berlama-lama di situ. Biarlah dia keluar dari situ sebelum keadaan menjadi bertambah porak poranda.

Tidak banyak barang yang dia bawa dari kampung. Hanya beberapa helai baju, telekong dan sebuah Al-Quran terjemahan, sebagai peneman sepinya.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Dia menjawabnya. Suara Marinah menerjah telinga.

“Mak? Mak kat mana?”

Hati Makyung Bedah tiba-tiba rasa lega dan lapang. Suara Marinah seperti embun yang menyejukkan suasana.

“Mak kat rumah anak mak. Inah kat mana?”

“Inah kat kampung. Inah nak bercuti dengan mak. Tapi, mak tak ada.”

“Inah, Inah tunggu ya. Mak nak balik esok.”

“Mak nak balik dengan siapa?”

“Anak mak akan hantar mak balik. Inah tunggu ya!” kata Makyung Bedah dengan riang. Dia yakin akan dapat bersama Marinah di kampung.

Usai perbualan dengan Marinah, Makyung Bedah berbaring dengan senyum senang. Kalau Maryam dan Surya tidak sudi mengasihinya, biarlah dia mencari kasih sayang Imran dan Marinah di kampung.

Bermacam gambaran gembira dibayangkan sebelum matanya terlelap...


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.