Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 55

Dari pintu, dia terdengar Makyung Bedah sedang mengaji. Dia berdiri menunggu. Lama. Namun selepas melihat Makyung Bedah tidak berhenti mengaji dan selamba saja seolah-olah tidak menghiraukan kedatangannya, Surya hilang sabar. Tidak sanggup dia berdiri dan menunggu begitu.

“Mak! Apa yang mak sedang buat ni?” tengking Surya.

Makyung Bedah berhenti membaca. Dia menutup Al-Quran. Entah untuk kali berapa Surya menengkingnya begitu, dia sudah lupa. Dia seorang ibu, bukan tunggul yang tidak ada perasaan.

“Apa ni Surya? Dahlah kau masuk tak beri salam. Lepas tu dengan suara meninggi, menengking. Kau ingat kau sedang bercakap dengan siapa?” Makyung Bedah cuba berhemah.

“Heh! Tak payahlah nak ajar aku. Aku tengah sakit hati ni. Mak jangan nak tambah dengan leteran murahan mak tu!”

Makyung Bedah bangun dan meletakkan kitab suci Al-Quran di atas meja. Dia cuba bertenang dan cuba memujuk diri agar tidak rasa sakit dengan apa yang sedang didengarnya.

“Kan aku dah kata, mak jangan keluar dari bilik kalau orang semua belum pergi kerja? Kenapa mak degil? Sekarang, suami aku dah nampak mak. Apa aku nak jawab dengan dia?” tanya Surya dengan suara nyaring dan kering tanpa rasa berdosa.

Makyung Bedah mula faham erti kemunculan Surya di hadapannya pagi itu. Kesakitan yang cuba dielakkan, berdenyut perlahan. Dalam kesakitan itu, dia hanya mampu berdoa di dalam hati: “Ya ALLAH, KAU ampuni anakku ini. Jangan kau letakkan dosa ke atasnya ya Tuhan. Kalau benar dia anakku, KAU berikan dia rahmat-MU.”

Makyung Bedah tunduk, dia mengharapkan doanya benar-benar dimakbulkan ALLAH. Dia sayangkan Surya. Anak itu lahir dengan kerelaan dan pengorbanannya.

“Kenapa diam? Kenapa tak nak jawab?” tengking Surya lagi.

Makyung Bedah yang sedang hanyut dalam doanya, terkejut. Doanya tidak sempat diaminkan. Dia merenung wajah Surya. Tiba-tiba ALLAH memberinya ilham.

“Kau jawablah, mak ini peminta sedekah yang menumpang di sini. Kau beritahu mertua dan suami kau bahawa, kau sangat kasihan dengan orang tua ini lalu kau mengutip dan memberi tempat perlindungan dari panas dan hujan. Kau beritahulah begitu, agar orang memandangmu dengan rasa kagum, anakku!” kata Makyung Bedah dengan sebak. Sangat perit lehernya ketika mengucapkan kata-kata itu. Duri-duri kecewa dan kecil hati sedang menyucuk-nyucuk nubarinya.

“Senanglah mak cakap! Aku yang kena jawab dan berdepan dengan mereka. Mak apa tahu?” Tengkingan Surya semakin meninggi. Langsung tidak ada belas. Tiba-tiba dia rasa perlu mencabut duri kecewa itu dari hatinya.

“Aku memang tak tahu, Surya. Yang aku tahu, seorang anak perlu mengasihi ibunya. Yang aku tahu, seorang anak tidak boleh meninggikan suara kepada ibunya. Aku memang tak tahu kalau dalam kitab yang kau baca, lain pula hukumnya. Aku memang tak tahu kalau dalam hukum yang kau belajar, darjat seorang ibu itu berada di bawah tapak kasut anaknya!”

Surya terdiam rasa tersindir. Dia mengetap bibir. Lama dia berdiam diri. Makyung Bedah sempat meneliti wajah Surya yang dirasakan sangat kusam dan tidak bercahaya!

“Surya, mak sayang kau. Mak tak nak kau terus hidup macam ni. Berdirilah di bumi nyata,” sambung Makyung Bedah. Kali ini suaranya diperlahankan untuk memikat perhatian Surya.

“Apa maksud mak ni?”

“Kalau kita orang miskin, kenapa tak nak mengaku? Kenapa mesti nak berbohong? Sampai bila nak berlakon dan berbohong? Satu hari kalau orang tahu, nasib kau akan lebih teruk dan buruk, Surya!”

“Orang takkan tahu kalau mak tak buat perangai di sini.”

“Jadi, kau nak kurung mak sampai mati?”

“Kalau itu yang boleh buat orang tak tahu siapa aku sebenarnya, aku akan buat.”

“Kau tak takut pada Tuhan? Kau tak takut balasan ALLAH?” Makyung Bedah menduga. Surya bukan calang-calang anak. Dia khatam Al-Quran dua kali. Dia belajar agama di masjid. Dia ada ijazah dari sebuah universiti. Akalnya cerdik. Kenapa dia tidak mampu berfikir akan dosa dan pahala?

“Mak, dosa pahala tu biar aku yang tanggung. Aku cuma nak mak duduklah diam-diam. Mak cuba jaga nama baik aku. Aku tak nak hidup susah macam dulu, mak. Tolonglah!”

Bergegar dada seorang ibu. Makyung Bedah hanya mampu menelan air liur. Dia semakin faham harga dirinya di hati Surya. Anaknya sangat nekad ingin hidup mewah dan dipandang mulia. Hatinya sedang dirasuk iblis. Semua ajaran baik yang diberikan oleh arwah Ismail sejak kecil dilupakan begitu sahaja. Ia berkecai bersama kemegahan dunia!

Air susu yang diberikan kepada Surya, sedang dibalas dengan tuba yang sangat pahit!



Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.