Azman diam. Dia menarik
tangan Nafisa. Namun dengan keras, Nafisa menarik tangannya dari genggaman
Azman. Dia naik berang.
“I nak you buat
keputusan sekarang. Kalau you nak dia terus tinggal di sini, I akan balik ke
rumah papa I.” Suara Nafisa sengaja dikuatkan. Dia seperti sengaja berbuat
begitu agar Makyung Bedah mendengarnya.
“Sayang, sabarlah. Mari
kita bincang hal ini. Jom, kita ke pejabat dulu. Dah lama you tak masuk pejabat
kan?” Suara Azman pula lembut memujuk rayu.
Nafisa diam. Tangan
Azman segera memimpin tangan Nafisa menuju ke kereta. Tidak lama kereta itu
menderum pergi.
Sekali lagi guruh
berdentum di dada seorang ibu. Perasaan Makyung Bedah dihenyak dengan kejam.
Azman tidak mengaku dia ibunya. Azman hanya kata, “Inilah orang yang menjaga I
sejak kecil.”
Dia menahan sakit. Hina
sangatkah dia hingga Azman malu nak mengaku dia ini ibunya. Sembilan bulan Azman
membesar dalam rahimnya. Tidak cukup selesakah rahimnya hingga Azman membalas
semuanya dengan kesakitan ini?
“Bu, sabarlah ya. Mari
duduk dan bertenang,” kata Ningsih menarik tangan Makyung Bedah ke arah sofa.
“Kenapa dia malu nak
mengaku saya ini ibunya? Apa muslihatnya membawa saya dari kampung sedangkan
dia bencikan saya!” Makyung Bedah menahan esakan. Kolam air matanya sudah penuh
dan melimpah.
“Bu, aku pun tak tahu
mahu bilang apa. Tapi Nyonya Nafisa itu memang orangnya zalim. Dia garang dan
suka marah-marah. Aku lebih suka kepada Nyonya Humaira yang lemah lembut dan
beriman!” kata Ningsih.
Tangis Makyung Bedah
terhenti. Dia segera berpaling dan menatap tajam wajah Ningsih.
“Jadi, kamu kenal
Humaira?”
Angguk.
“Tapi hari tu kamu kata
tak tahu menahu dan tak kenal.”
“Ibu, aku disuruh tutup
mulut.”
“Azman yang suruh kamu
berbohong dengan saya?”
Angguk lagi.
Makyung Bedah termenung
lama. Dia semakin keliru dengan sikap Azman. Dia semakin tidak memahami
kehendak anaknya itu.
“Nyonya Humaira itu
sangat baik. Aku kerja lama dengan dia. Dia yang bawa aku ke sini.”
“Maknanya kamu pernah
kerja di rumah ibu bapa Humaira?”
“Aku kerja dengan dia
sebelum dia kahwin sampai dia dihalau keluar dari sini,” jawab Ningsih.
“Halau? Siapa yang
halau dia?” Fikiran Makyung Bedah makin dipenuhi tanda tanya.
Ningsih membetulkan
duduknya. Dia seperti sudah bersedia untuk berkisah mengenai Humaira dan
anak-anaknya.
“Tuan Azman menghalau
dia dan anak-anak. Dia diceraikan kerana Nyonya Humaira tidak sanggup dimadukan
dengan Nyonya Nafisa.”
“Habis, bukankah ini
rumah dia?”
“Rumah ini Nyonya
Humaira dah berikan kepada Tuan Azman. Ada banyak lagi harta yang ditukar hak
milik. Dia terpaksa.”
“Siapa yang memaksa?”
“Tuan Azman. Dia suami
yang sangat zalim. Dia kaki pukul. Nyonya Humaira selalu dipukul sesuka hati.
Pernah Nyonya Humaira berdarah-darah luka kerana dibantai dengan tali pinggang.
Hidup dia sangat sengsara di rumah ini...” Ningsih sudah mula menangis.
Makyung Bedah mengucap
dalam hati. Betulkah cerita ini? Betulkah itu Azman anaknya? Setahunya sejak
kecil Azman orangnya lemah lembut dan penyayang. Dia mewarisi sikap arwah
ayahnya, Imam Ismail. Tetapi kenapa Azman berubah begitu dahsyat? Lalu dia rasa
dia perlu mencari jawapan sebenar. Dia tidak boleh membiarkan persoalan
melingkari akalnya hingga dia tidak memikirkan hal lain selain Azman.
“Kamu tahu di mana Humaira
tinggal?” tanya Makyung Bedah kepada Ningsih.
“Tahu bu. Kerana pada
malam Nyonya Humaira bersama anak-anaknya dihalau keluar saya yang
menghantarnya.”
“Tapi, kenapa kamu
tinggal di sini? Kenapa tidak ikut dia keluar dari rumah ini?”
“Saya memang enggak
mahu tinggal di sini. Tetapi, Nyonya Humaira merayu minta saya pulang ke sini.
Katanya dia boleh uruskan dirinya dan anak-anak. Dia menangis merayu pada saya,
bu.”
Makyung Bedah bertambah
bingung dan celaru.
“Tapi kenapa?”
“Sebab dia terlalu
sayangkan tuan. Katanya kalau saya tak ada di sini, siapa yang akan uruskan
makan minum dan pakaian tuan. Dia tidak mahu tuan susah. Hatinya sangat mulia,
bu. Nasibnya sangat malang...” Ningsih tersedu-sedu lagi.
Makyung Bedah cuba
memahami perasaan Humaira. Lalu dia mula mengerti kenapa Azman mengelak diri
dari menyebut nama Humaira. Rupanya semua cerita Azman mengenai Humaira bohong
semata-mata.
“Kamu kena bawa saya
berjumpa dengan Humaira. Saya ingin bertemu dia dan minta maaf bagi pihak anak
saya. Saya ingin memeluk cucu-cucu saya. Boleh tak?”
Sambil menyapu air
matanya, Ningsih mengangguk.
Makyung Bedah rasa
lega. Dia melupakan seketika hajatnya untuk pulang ke kampung. Dia berjanji
kepada dirinya, selagi dia tidak bertemu dengan Humaira dia tidak akan ke
mana-mana.