Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 16

Makyung Bedah angguk. Dia membelek helaian majalah itu. Matanya sekali lagi terpaku kepada gambar-gambar Azman dan Maryam bersama keluarga masing-masing tersenyum gembira bersama pengantin.

“Azman pun tak beritahu kau?”

Tanpa menoleh, Makyung Bedah menggeleng. Matanya masih tertumpu pada gambaranak-anaknya itu.

“Astgahfirullahhalazim… apa dah jadi dengan mereka, Bedah?”

“Semah, kau tengok wajah anak-anak aku. Ceria semuanya. Kau tengok wajah cucu-cucu aku. Ini anak-anak Maryam. Comelnya mereka!” kata Makyung Bedah tanpa mempedulikan kata-kata Mak Semah.

“Bedah, tak sangka mereka begini sekali mereka buat kau. Aku ingat, bila dah ada pelajaran tinggi, gaji besar dan hidup mewah mereka pandai hormat dan sayangkan orang tua. Rupanya… aku silap. Baru aku faham kata-kata kau tempoh hari bahawa biar sikit tapi bagus. Kalau banyak tapi semuanya busuk, buat apa!”

“Semah, ini menantu perempuan aku. Cantiknya bini Azman…” Makyung Bedah semakin berpura-pura tidak mendengar apa yang diucapkan Mak Semah.

Mak Semah merenung wajah sahabatnya dengan dada sebak. Dia tahu Makyung Bedah sedang berjuang dari sebuah gelombang lara yang sangat hebat. Dia juga sedang menahan diri dari perasaan luka yang sangat menyakitkan.

“Bedah, aku harap kau bersabar. Sayangnya aku tak mampu nak berjalan seperti dulu. Kalau tidak, aku yang akan cari anak-anak yang tak mengenang budi itu!” kata Mak Semah sambil menarik tangan Makyung Bedah dan menggenggamnya erat.

Ada getaran yang sedang ditahan dalam genggaman itu.

“Semah, kau jangan risau. Sejak Abang Mail meninggal, aku dah ajar diriku untuk tabah. Kau ingat macam mana aku bekerja keras untuk membesarkan anak-anak yatim ini. Aku buat kuih untuk jualan. Aku ambil upah cuci pinggan mangkuk di kedai makan. Aku menari makyung di serata tempat kalau ada undangan. Semuanya bukan untuk aku tapi untuk mereka. Jadi, aku dah biasa diduga, Semah.” Makyung Bedah tersenyum. Dia mendongak. Bukan untuk melihat burung di ranting pokok. Tidak juga untuk melihat awan yang berarak tenang.

Namun seperti biasa, dia cuba menahan air mata menitik dari birai mata.

“Bedah, kau jangan tersenyum macam tu.Kau jangan nak berpura-pura dengan aku. Jangan sembunyikan kepedihan hati kau tu. Aku ni dari kecil kenal kau.Aku mampu membaca apa yang ada dalam dada kau!” Tiba-tiba suara Mak Semah meninggi. Senyum Makyung Bedah yang sumbang dan pura-pura itu menyakitkan hatinya.

Mendengar kata-kata Mak Semah itu, tidak semena-mena tangis Makyung Bedah menderu. Tubuhnya bergegar.

Mak Semah mendekatkan dirinya. Dia memeluk tubuh kurus sahabatnya itu dengan tangisan juga. Mereka bertangis-tangisan.

“Dulu Azman dan Maryam kahwin dan mereka malukan aku kepada orang kampung. Sekarang, Surya pula. Dia memang tak nak aku ada dalam majlis itu sebab dia dah kahwin dengan anak Datuk Seri. Dia bimbang kalau orang tahu dia anak orang kampung yang miskin macam aku…”

“Azman dan Maryam takkan tak nasihatkan adiknya.”

“Semah, Azman suruh aku jauhkan diri dari Surya. Maryam suruh aku jangan ganggu Surya lagi. Alangkah hinanya diri aku ni pada mereka, Semah,” kata Makyung Bedah di celah esakannya.

Esakan Mak Semah semakin bergema. Memang semua peristiwa yang berlaku itu masih belum dilupakannya. Masih ada dalam ingatannya. Kalau Makyung Bedah terluka dengan perbuatan Azman dan Maryam ketika itu, dia juga ikut merana. Geram dan marah membuatkan dia tidak dapat tidur dan makan selama berhari-hari.

Sekarang Surya pula menoreh hati yang sedia luka itu. Memang merah darahnya. Memang pedih seperti disiram cuka!

“Aku dah tak ada sesiapa di dunia ini, Semah,” rintih Makyung Bedah lagi.

“Aku dan Imran masih ada untuk kau,” bisik Mak Semah, di celah esakan.

“Apa salah aku? Tak cukupkah kasih sayang aku sejak dalam kandungan hingga mereka dewasa? Atau tak maniskah air susu yang mereka hisap dari tubuhku ini?” Makyung Bedah membiarkan air matanya merembes di pipi. Dia juga membiarkan hingus meleleh dari hidung.

“Kau tak salah Bedah. Hanya anak-anak kau tu yang tak tahu membalas jasa.”

“Abang Mail dah pergi.Kalau dia ada mungkin nasib aku tak begini, Semah.” Makyung Bedah terus merintih. Dia seperti tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Mak Semah.

“Nasib baik Abang Mail dah tak ada. Kalau dia ada, satu hati lagi akan terluka.”

“Ya ALLAH… kenapa begini berat dugaan yang KAU berikan padaku…” rintihan Makyung Bedah semakin bergetar.

Sejak tadi Imran mendengar dan merasai semuanya.Hatinya memang ikut tersentuh dan bergetar.Dia menahan diri. Dia perlu kuat untuk menjadi pelindung kepada dua wanita itu. Namun, kekuatannya tidak lama. Ketabahannya bergoncang. Air matanya mula menitik. Dia segera melarikan diri ke dapur. Dia melarikan kesedihan itu. Dia tidak mahu kedua-dua wanita itu melihat air matanya.

Di dapur, Imran melepaskan tangisnya. Dia teresak-esak.

“Ya ALLAH, kenapa anak-anak Mak Bedah boleh buat dia macam tu?Mereka tu semua sekolah tinggi. Kenapa mereka begitu derhaka!” rintih Imran penuh sendu.

Lama dia melayan tangisnya.

Lama dia memujuk hatinya agar bertenang.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.