Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 33

Langkah Makyung Bedah yang longlai akhirnya berakhir di pusara Ismail, kekasih hati junjungan jiwa.

“Abang, Bedah rasa tak kuat lagi berdepan dengan sikap anak-anak kita. Makin hari mereka makin meracun hati Bedah. Anak-anak kita...” Makyung Bedah memeluk batu nesan yang sudah berlumut. Dia rasa sangat sebak. Dia sembamkan mukanya di atas pusara itu.

Akhirnya dia terkulai lemah.

Deruan enjin motor semakin mendekat. Makyung Bedah mendengar dengan baik. Enjin itu dimatikan. Suara Imran yang panik menerjah telinga.

“Mak! Mak! Kenapa ni mak?”

Makyung Bedah cuba membuka mata, namun dia tidak upaya. Sangat berat.

“Mak, kuatkan semangat mak. Jangan macam ni mak. Mak dah janji akan kuat dan tabah menghadapi apa jua dugaan. Mari kita kongsi semua ini, mak.” Imran menepuk-nepuk belakang Makyung Bedah. Namun, tetap tidak ada reaksi.

Imran mati akal. Dalam panik dia berlari ke arah motornya. Kebetulan ada sebotol air masak yang dibawa sebagai bekalnya ke kebun. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai botol itu dan berlari semula ke arah Makyung Bedah.

“Mak, bangunlah mak. Jangan menyerah kalah, mak,” kata Imran sambil merenjiskan air ke muka Makyung Bedah.

Dengan perlahan, mata Makyung Bedah terbuka. Hati Imran rasa lega.

“Im, mak ada di mana?” tanya Makyung Bedah, terpinga-pinga bingung.

Imran mula faham apa yang berlaku. Makyung Bedah berjalan dengan dada dan fikiran yang kosong. Dia berjalan dengan membawa penderitaannya.

“Mak terlalu ikutkan hati. Mak ada di kuburan arwah suami mak. Mari kita balik mak,” kata Imran cuba menyedarkan Makyung Bedah.

Makyung Bedah merenung ke arah baru nisan. Dia mengumpul ingatan. Benar. Dia berjalan ke situ selepas berjumpa dengan Pak Mud.

“Im, Maryam paksa mak kahwin dengan Pak Mud.”

“Dia tak boleh paksa mak. Keputusan hidup mak adalah di tangan mak. Mak jangan fikirkan sangat hal itu. Dia tak akan berani,” pujuk Imran.

“Sampai hati dia, Im.”

“Mak, sudahlah. Mari kita balik. Mak Im sedang tunggu mak di rumah. Sejak pagi dia risaukan mak. Dia belum makan dan minum kerana bimbangkan mak. Marilah, jangan biarkan sahabat baik mak terus resah gelisah,” ajak Imran sambil bangun.

Makyung Bedah bangun dengan lemah dan agak terhoyong-hayang. Imran segera memimpinnya ke arah motor. Kemudian dia menghidupkan enjin dan meninggalkan tanah perkuburan yang sepi itu.

Sampai di rumah, Makyung Bedah segera pula dipimpin naik ke rumah.

“Bedah? Apa terjadi Im?” Mak Semah menyambut Makyung Bedah panik seketika apabila melihat wajah Makyung Bedah yang pucat keletihan.

“Mak, nanti kita cerita. Biar Im buatkan Mak Bedah air. Dia sangat lemah. Mungkin sejak semalam dia tak makan,” kata Imran, bergegas ke dapur.

“Kenapa kau jadi macam ni, Bedah? Kau tahu aku sangat risaukan kau. Sejak awal pagi aku menelefon kau, tapi tiada jawapan.” Mak Semah memeluk tubuh lemah Makyung Bedah.

“Maafkan aku kerana buat kau risau, Semah. Aku tak tahu kenapa aku jadi macam ni. Aku tak kuat nak harungi semua ujian ini, Semah. Baru aku rasa sembuh, mereka toreh lagi hati aku.”

“Aku tahu Bedah. Kau kena kuat.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Mak Semah. Sesungguhnya Makyung Bedah lebih kuat dari dia. Kalau dia melalui detik itu, entah macam mana keadaan dirinya.

Imran keluar dengan segelas susu panas dan sepinggan nasi goreng.

“Mak, mari makan mak. Mak mesti tak bersarapan ni. Kalau pun nak puasa, tunggu bulan puasa ya mak.” Imran cuba melawak. Dia menyuakan sesudu nasi goreng ke mulut Makyung Bedah.

“Mak tak ada selera, Im.” Makyung Bedah menolak suapan itu.

“Janganlah macam tu, Bedah. Makanlah sikit,” kata Mak Semah.

“Mak, janganlah buat Im macam ni. Mak kena makan kalau mak nak sihat. Im tak nak mak jatuh sakit lagi. Sekarang, mak dah jadi tanggungjawab Im. Kalau mak sakit, Im juga yang susah nanti,” pujuk Imran sambil menyuakan sekali lagi nasi itu ke mulut Makyung Bedah.

“M... maafkan mak kerana menyusahkan Im...” Tiba-tiba Makyung Bedah menangis. Tangisannya menderu macam angin. Esakannya menenggelamkan suaranya. Sangat sayu dan pilu hatinya mendengar kata-kata Imran itu.

“Mak, maafkan Im. Im tak bermaksud nak kata mak ni menyusahkan Im. Im cuma nak kata kalau mak sakit, Im ikut susah hati. Maafkan Im mak.” Imran ikut sebak. Dia menyembamkan mukanya di bahu Makyung Bedah.

Timbul rasa bersalah di hati Makyung Bedah kerana membuat hati Imran sedih begitu. Serta merta dia mengesat air mata dan membetulkan dirinya. Dia sedar ketulusan hati Imran. Sudah tidak ada tangan lain yang akan menyuapkan nasi ke mulutnya selain tangan anak Semah itu.

“Im, dahlah. Mak dah rasa lapar sangat ni,” kata Makyung Bedah sambil menepuk bahu Imran.

Dengan cepat Imran menyuapkan sesudu nasi ke mulut Imran.

“Aku dah bercakap dengan Maryam, Semah.” Makyung Bedah memulakan cerita sambil mengunyah perlahan.

“Apa dia kata?”

“Dia tetap nak paksa aku kahwin dengan Mahmud. Dia kata dah uruskan semua dengan Mahmud.”

Imran terus menyuap sambil mendengar semua cerita dengan hati yang sasar. Tak sudah-sudah Maryam hendak cari pasal dengan Makyung Bedah.

“Habis, kau macam mana?” tanya Semah, menduga.

“Aku akan berjuang untuk diri aku. Aku tak akan biarkan Maryam mengatur hidup aku yang tinggal tak berapa hari lagi ni. Aku tak akan menyerah, Semah. Aku akan minta dari ALLAH agar tidak mentakdirkan aku menjadi isteri Mahmud. Aku dah tua, Semah. Mahmud tu kawan baik arwah Abang Mail. Dia sendiri tak sanggup nak mengkhianati arwah,” jawab Makyung Bedah dengan nada bersemangat.

“Inilah Mak Bedah yang Im sanjung. Berjuang untuk diri sendiri. Untuk itu mak kena makan lebih banyak dan mak tak boleh lemah dan letih,” ujar Imran pula. Memang dia senang hati melihat Makyung Bedah dalam keadaan begitu dan tidak menyerah kepada nasib tanpa berjuang.

Makyung Bedah cuba tersenyum. Dia cuba membuatkan hati Imran gembira.

“Terima kasih Im,” kata Makyung Bedah sambil menyapu kepala Imran dengan penuh kasih sayang.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.