Makyung Bedah membeli bermacam lauk. Ayam, udang, ketam,
ikan dan daging dibelinya. Imran menjinjit semuanya ke kereta.
“Mak nak buat kenduri ke ni?” tanya Imran dengan hairan
ketika melihat Makyung Bedah belum habis berbelanja.
“Ish, kenapa pula Im cakap macam tu?”
“Yalah. Banyak sangat mak beli ni. Mak duduk sorang saja. Kenapa
beli banyak-banyak,” kata Imran.
“Kita makan bertiga. Mulai sekarang mak tak nak makan sorang
lagi.”
“Maksud mak?” Imran merenung wajah Makyung Bedah yang masih
nampak pucat dan belum pulih sepenuhnya.
“Kita makan bertiga,” ulang Makyung Bedah. Suaranya mula
meninggi.
Imran segera faham. Dia tidak berani bertanya lagi melainkan
mengekori sahaja di belakang Makyung Bedah dengan patuh.
“Im, jom kita ke kedai buku,” ajak Makyung Bedah selepas
keluar dari pasar basah.
“Mak nak beli apa?”
“Mak nak beli majalah hiburan.”
Imran terkejut. Sekali lagi dia menoleh dan merenung wajah
Makyung Bedah. Dia benar-benar keliru. Namun dengan tenang dan senyum, Makyung
Bedah melorotkan matanya dengan lembut.
“Ingat mak tak pandai baca majalah hiburan?”
Imran rasa hendak ketawa namun dia menahannya.
Kaki mereka melangkah masuk ke Kedai Buku Muda Osman, sebuah
kedai buku yang terbesar di Bandar Tanah Merah.
Makyung Bedah melilau ke arah rak yang penuh dengan majalah.
Dia memang kurang pandai membaca huruf rumi. Dulu dia
bersekolah Melayu dengan tulisan jawi. Itupun dia setakat kenal huruf sahaja.
Pelajarannya tidak setinggi mana.
Tiba-tiba matanya terpaku kepada sebuah majalah.
“Im, tolong mak belikan majalah tu!” tunjuk Makyung Bedah.
Imran menoleh. Sebuah majalah hiburan. Majalah itu lebih
menjurus kepada gossip dan perkembangan terkini artis-artis di Malaysia.
Imran akur. Dia mencapai majalah itu.Pada muka depan majalah itu, ada gambar persandingan Surya. Hati Imran
berderau! Tangannya menggigil ketika majalah itu dicapai.
‘Inikah yang dia cari di bandar ini?’ bisik hati Imran. Dia
segera ke kaunter bayaran dan membayar majalah itu.
“Nah mak. Tapi jangan tengok di sini. Kita tengok di rumah
nanti.” Imran menghulurkan majalah itu dengan senyum yang terpaksa. Derau
hatinya belum lagi berhenti.Lalu dia mencongak-congak apa yang ada
dalam dada Makyung Bedah hingga dia jatuh sakit.
‘Ya ALLAH! Tolong berikan kekuatan kepada dia,’ bisik hati
Imran.
Makyung Bedah pula faham maksud kata-kata Imran itu. Dia
segera menyimpan majalah itu bersama barang-barang yang dibeli.Sepanjang jalan dia berlagak tenang dan menyimpan rasa
gundah gulananya.
Imran juga menyimpan derau hatinya.Dia tidak berani berbual-bual macam biasa. Sepanjang jalan hanya
berdiam diri sahaja.
“Im, terus ke rumah Im ya. Mak tak nak balik dulu. Mak nak
berbual-bual dengan mak Im sebentar,” kata Makyung Bedah ketika kereta dipandu
oleh Imran masuk ke jalan kampung mereka.
Imran angguk perlahan. Memang itu yang ada di hatinya.Dia ingin mengajak wanita itu singgah di rumahnya. Dia tidak
mahu Makyung Bedah melihat semua gambar itu sendirian dan menangis sendirian.
“Dah balik dah dua beranak ni!” kata Mak Semah yang duduk
menyandar pada kerusi malas mengadap ke arah halaman.
“Eh, macam mana mak keluar ni?” tanya Imran dengan hairan.
Tadi sebelum keluar, dia meletakkan Mak Semah di ruang tamu, di hadapan
televisyen.
“Mak menginsut perlahan-lahan.”
“Mak, berapa kali Im kata. Mak jangan buat macam tu. Nanti
mak jatuh,” kata Imran.
“Im, mak bukan budak kecil yang langsung tak tahu nak fikir.
Mak menginsut bukan berjalan. Macam mana mak nak
jatuh?” jawab Mak Semah pula.
“Anak kau ni teliti sangat, Semah.Sayang sangat dia pada kau. Yalah, macam kau sayang dia masa dia kecil.
Dia nak main bola kat padang pun kau tak beri sebab takut dia jatuh. Sekarang,
kau terimalah balasan dia pula!” kata Makyung Bedah sambil ketawa mengekek.
Mak Semah dan Imran ikut ketawa. Santai dan ceria.
“Im, turunkan semua barang-barang yang kita beli tadi tu,”
suruh Makyung Bedah.
“Tapi mak.”
“Kan mak dah kata, mak nak makan bertiga. Kalau mak bawa
balik barang-barang tu, takkan mak kau nak datang makan di rumah mak setiap
hari,” kata Makyung Bedah.
Imran patuh. Dia tidak mahu bertanya lagi. Dia cuba memahami
hati seorang ibu yang kesepian.
“Semah, kau tak apa-apa kalau aku tumpang bermanja dengan
anak kau, kan?” tanya Makyung Bedah selepas Imran pergi.
“Anak aku anak kau juga. Imran membesar depan mata kau.Anak-anak kau tu dah jadi macam adik beradik dia,” balas Mak
Semah pula.
Makyung Bedah memaksa sebuah senyuman. Rasa yang tersendat
di hati tiba-tiba berdenyut. Dia teringat kepada majalah yang dibeli tadi.
“Im! Bawakan majalah tadi!” laung Makyung Bedah kepada Imran
yang sedang membawa barang-barang ke dapur.
Imran keluar dengan majalah di tangannya. Kemudian majalah
itu bertukar tangan. Makyung Bedah merenung kulit majalah itu. Benar kata Pak
Mud. Surya sangat cantik seperti seorang puteri raja dalam pakaian pengantin
yang bergemerlapan itu.
“Semah, aku dah dapat menantu. Tengok ni,” kata Makyung
Bedah menunjukkan gambar Surya pada kulit majalah itu.
Mak Semah mengambil majalah itu. Matanya merenung gambar
tanpa berkelip. Dia menoleh kepada Imran kemudian kepada Makyung Bedah.
“B… benarkah apa yang aku lihat ini, Bedah?” Mak Semah
tergagap. Dia sangat terkejut dan sangat tidak percaya. Tidak pernah ada
ura-ura dan cerita perkahwinan Surya yang didengar dari mulut Makyung Bedah.
“Benar Semah. Dia dah berkahwin tanpa pengetahuan aku.
Cantik wajah dia, kan?” Makyung Bedah merenung wajah Surya di kulit majalah.
Matanya berkaca. Namun dia menahan kaca itu agar tidak pecah. Dia masih mahu
menikmati kecantikan Surya di hari bahagianya.
“Siapa yang mewalikan?”
“Siapa lagi, wali dialah.”
“Azman?” Suara Mak Semah meninggi.