Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 35

Seminggu Makyung Bedah melayan duka laranya. Walaupun sudah berikrar untuk kuat, namun dia tetap tidak kuat. Semua kata-kata dan perbuatan anak-anaknya tetap muncul dalam ingatannya kalau dia tinggal sendirian.

Untuk menghilangkan gundah gulananya, dia kerap menyanyi makyung dan bermonolog sendirian.

ee..ee..ee..ee

Timbul nak cerita kisah kasih sayang

Pengorbanan seorang ibu gak adik kakak weh..

Susah payah jerit perih suka duka gak tuan puan we..

Eee..eee…eee…eee…

Seorang ibu berkorban apa saja

Kerana nak besarkan anak-anaknya

La tuan weh..

Bila anak besar anak berjaya jadi orang

Hidup senang kaya raya disanjung mulia

Mereka tu lalu lupakan ibu.

Tiap bulan hantar duit untuk beli hati ibu.

Eee…eee..eee…

Kasih dan sayang seorang ibu ya tuan puan wei..

Siang malam dia merindu dia merintih

Dok ingat rindu dendam cintanya pada anak-anak

Eee…eee..yalah tuan we..

Kata orang syurga itu letaknya

di bawah tapak kaki ibu ya tuan puan

Kena jaga adab sopan budi bahasa dan tata tertib

Dan kena jaga hati ibu, jangan sampai terluka .

Eee..ee..ee..eee..ee..

Setiap kali selesai menyanyi, dia akan menangis teresak-esak. Tidak ada orang lain yang mendengar semuanya melainkan Haji Awang, ketika dia datang untuk melihat tanah sawahnya.

Lama Haji Awang duduk di tangga. Dia menjadi serba salah samada ingin menegur Makyung Bedah atau sekadar mendengar sahaja. Akhirnya dia teringat pada akrabnya persahabatan antara keluarga arwah Imam Yunus dengan keluarganya. Dan dia rasa bertanggungjawab menegur perbuatan Makyung Bedah.

Haji Awang memberi salam.

Makyung Bedah membalas salam itu sambil keluar menjengah.

“Eh, abang haji dari mana?” Makyung Bedah keluar dan duduk di anjung, agak jauh dari Haji Awang untuk tidak menimbulkan fitnah.

“Aku datang tengok padi aku. Terdengar kau menyanyi-nyanyi. Masih gemersik suara kau. Lagunya sangat mendayu-dayu,” jawab Haji Awang, jujur.

“Saja suka-suka, bang aji,” jawab Makyung Bedah dengan malu. Dia tidak tahu kalau ada orang yang mendengar nyanyiannya. Apa lagi yang mendengar itu adalah Haji Awang.

“Bedah, kenapa kau jadi macam ni Bedah?”

“Jadi macam mana, abang haji?” Makyung Bedah rasa keliru.

“Sepatutnya kau habiskan masa kau dengan mengaji dan berzikir.Itu yang arwah ajar pada kau, kan? Sekarang, kenapa kau balik kepada makyung?”

“Saya tak balik kepada makyung, abang haji. Saya cuma mengisi masa lapang saya yang sunyi.”

“Bedah, berserah diri kepada ALLAH itu lebih baik pada saat kau sedih, sunyi dan kecewa. Janganlah buat kerja-kerja yang membuang masa macam ni,” kata Haji Awang lagi.

“Abang haji, saya pun mengaji. Sekarang hampir satu hari satu juz saya mengaji. Balik dari masjid setiap pagi saya mesti mengaji. Tidak pernah saya lupakan apa yang arwah Ayah Yunus dan Abang Mail ajar kepada saya. Tidak pernah, bang aji.” Makyung Bedah cuba membela diri. Dia rasa Haji Awang telah tersalah teka mengenai keadaan dirinya. Dia tidak pernah lalai dalam mengingati ALLAH. Tidak sekali-kali!

Haji Awang terdiam. Suara Makyung Bedah yang sebak bergetar itu membuatkan dia rasa bersalah.

“Maafkan aku, Bedah.Aku tak kata kau tak mengaji. Aku cuma tak nak kau buang masa dengan menyanyi makyung ni. Habiskan masa sepi kau dengan mengaji. Gandakan masa bersama zikir adalah lebih baik dan mendapat pahala.”

“Orang tak tahu perasaan saya, bang aji.”

“ALLAH Maha Mengetahui. Kau serahkan diri pada DIA.Kau luahkan rasa hati kau pada DIA. Hanya DIA yang akan memberikan ketenangan dan kekuatan pada hamba-NYA, Bedah. Tidak ada yang lain melainkan DIA,” balas Haji Awang.

Makyung Bedah semakin sebak mendengar nasihat itu. Nada suara Haji Awang, seakan-akan suara arwah mertuanya Imam Yunus, lembut dan tenang.

“T… terima kasih abang haji. Maafkan saya kerana tersasar cari ketenangan dengan cara yang salah.”

“Bedah, aku dah anggap kau saudara aku. Kalau kau tersasar, akan jadi tanggung jawab aku untuk membetulkannya. Terserahlah pada kau nak ikut atau tidak. Tanggungjawab aku sesama bangsa dan agama dah selesai.”

“Abang haji, terima kasih banyak-banyak. InsyaALLAH, saya akan ikut nasihat abang haji. Tegurlah saya abang haji. Saya dah tak ada sesiapa lagi sekarang,” kata Makyung Bedah dengan esakan kecil.

“Aku dah dengar semuanya dari Mahmud. Aku juga kesal dengan perangai anak-anak kau. Sabarlah Bedah. Setiap yang berlaku, dalam perhatian ALLAH. Kita hanya mampu berserah. Perbanyakkan doa agar hati anak-anak kau segera dimasukkan iman dan takwa. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, janganlah kau segan untuk meluahkan kepada aku.”

Haji Awang bangun. Dia berjalan meninggalkan halaman rumah Makyung Bedah.

Makyung Bedah rasa terharu dengan perhatian lelaki itu. Haji Awang, dia bukan sahaja dihormati di kampung itu kerana kekayaannya tetapi juga ia disegani kerana sikap rendah diri dan alimnya.

Benar kata Haji Awang, dia kena pasrah dan banyak berdoa.

Dia kena yakin kepada ketentuan ALLAH. Setiap yang berlaku ada hikmahnya
Previous: Bab 34
Next: bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.