Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 43

Hati Makyung Bedah berderau. Dia segera bersembunyi. Dia tidak mahu Shamsul melihatnya. Dalam masa yang sama, dia ingin melihat kelakuan suami kesayangan Maryam itu.

“Mari sayang. Tidak ada sesiapa lagi di rumah.”

“Isteri you?”

“Dia dah pergi mengajar. Dia kan cikgu. Kita ni murid-muridnya!” jawab Shamsul dengan ketawa miang.

“Murid yang ponteng sekolah?”

Ketawa mereka pecah bergema ke seluruh ruang. Tidak lama mereka hilang. Kedengaran pintu bilik di tingkat atas ditutup dengan kuat.

“Astaghfirullahhalazim... inikah kerja Shamsul selepas Maryam keluar? Alangkah kejinya!” Makyung Bedah menutup mukanya dengan kedua tapak tangan. Dia malu membayangkan dosa yang sedang dilakukan oleh menantunya di bilik tidur Maryam!

“Ya ALLAH! Apa yang harus aku buat? Kenapa nasib Maryam jadi begini?”

Dia masuk ke biliknya. Dia termenung panjang.

“Kenapa cepat sangat kau nak kahwin Yam? Bukankah dulu kau janji akan kerja dan bela mak dulu sebelum kahwin? Sekarang, kau baru saja kerja. Biarlah lama sikit. Kau kumpul duit dulu. Mak mana ada duit nak buat majlis kahwin untuk kau. Setakat majlis nikah tu, mak mampu.”

“Mak, Yam takut Abang Shamsul berubah hati. Yam sayang sangat dengan dia.”

“Dia sayang kau tak?”

“Dah tentulah mak. Kalau tak kenapa dia nak kahwin dengan Yam?”

“Kalau benar dia sayangkan kau, dia akan tunggu sampai kau bersedia.”

“Sekarang Yam dah bersedia,” balas Maryam dengan cepat.

“Masalahnya, mak tak ada duit...”

“Mak, yang nak kahwin tu Yam. Tahulah Yam uruskan majlis Yam tu. Mak jangan risau sangat. Abang Shamsul tu ahli perniagaan yang berjaya. Syarikatnya ada di mana-mana. Keretanya ada ada beberapa buah. Takkan nak buat majlis kami pun dia tak mampu,” potong Maryam dengan bangga.

Maryam memang menguruskan semuanya. Dia buat keputusan dan mengatur segala keperluan tanpa menyusahkan Makyung Bedah. Malah Makyung Bedah langsung tidak dibawa berunding dalam semua perkara!

Walaupun hatinya sakit, dia terpaksa tersenyum demi Maryam. ‘Biarlah, asalkan Maryam bahagia.’ Dia memujuk hati.

Bahagiakah Maryam?

Seminggu berada di rumah Maryam, belum sekali dia bertemu muka dengan Shamsul. Setiap malam dia akan duduk sahaja di biliknya. Bila siang, dia akan keluar jika semua orang sudah keluar.

Shamsul tidak pernah menyedari kalau perbuatan sumbangnya sedang diperhatikan oleh sepasang mata seorang ibu.

Makyung Bedah menyimpan semua rasa benci dan marah yang ada dalam hatinya dengan tabah. Namun semakin hari dia rasa macam duduk di atas bara api. Dia rasa macam bersekongkol dengan Shamsul yang begitu leka melakukan dosa.

Akhirnya malam itu, dia munculkan diri ketika Shamsul dan Maryam sedang bersantai di ruang tamu.

“Bila mak sampai?” tanya Shamsul, agak terkejut.

“Dah masuk dua minggu mak di sini.”

“Hah? Awak tak cakap dengan saya pun mak datang.” Shamsul menoleh kepada Maryam.

“Perlukah. Bukan ada apa yang kurang pun kalau dia ada di sini,” jawab Maryam tanpa menoleh. Matanya tertumpu kepada siaran TV.

“Saya ni suami awak. Rumah ini rumah saya. Sekurang-kurangnya awak kena minta izin tuan rumah untuk bawa sesiapa pun masuk ke sini.” Shamsul mula berang.

Hati Makyung Bedah rasa bersalah.

“Mak dari rumah Abang Man. Dia akan tinggal di sini buat sementara waktu,” balas Maryam.

“Siapa suruh awak pandai-pandai buat keputusan ni?” Shamsul semakin melenting.

“Dia mak saya. Ini pun rumah saya. Apa salahnya?”

“Soalnya awak tak bincang dengan saya dulu. Awak buat keputusan sendiri. Awak tak tahu hukum ke? Awak kena minta izin saya dulu.”

Maryam ketawa sinis.

“Kenapa ketawa?”

“Saya rasa kelakar bila awak pandai bercakap pasal hukum. Sejak bila awak nak jadi pak imam? Tak usahlah. Saya ni anak pak imam. Saya tahu hukum. Tapi, perlukan saya utamakan hukum kepada orang yang tidak pernah ikut hukum?”

“Awak jangan kurang ajar sangat!” tengking Shamsul dengan kaut.

“Awak yang tak pernah ajar. Sebab itu saya kurang ajar!” jerit Maryam pula.

Makyung Bedah semakin sesak nafas menyaksikan pertengkaran itu. Inikah kebahagiaan yang Maryam cari?

“Sudahlah. Jangan bergaduh kerana mak. Mak yang salah kerana masuk rumah orang tak beri salam. Maafkan mak,” kata Makyung Bedah, cuba berkias.

“Awak dengan mak awak sama saja!” Shamsul bangun dan mencapai kunci kereta.

“Awak nak ke mana?”

“Suka hati sayalah! Awak sendiri buat apa-apa tak ada nak cakap dengan saya!”

Deruman kereta Shamsul berlalu pergi.


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.