Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 57

Pagi itu, Fazrin sengaja berdiri lama di tepi tingkap yang mengadap ke arah bilik stor. Dia sengaja ingin melihat sekali lagi kalau-kalau perempuan tua tempoh hari muncul lagi.

Memang benar. Seorang perempuan yang kurus dan berkerudung keluar berdiri dan mendongak-dongak ke langit.

‘Siapa wanita itu? Bibik kata dia tak tahu. Surya kata, aku salah lihat. Sekarang, adakah aku tersalah? Itu manusia bukan hantu. Itu memang seorang wanita. Sah. Sangat jelas.’ Fazrin berbisik kepada dirinya.

Dia segera turun ke bawah. Dia mencari Bik Sumi.

“Bik! Bik!” laungnya. Namun tidak ada bayang Bik Sumi yang keluar.

“Kenapa abang cari Bik Sumi?” Tiba-tiba Surya muncul di belakang Fazrin.

“Mana bibik?”

“Ada di dapur, menyiapkan sarapan. Ada apa bang?”

“Abang nampak lagi perempuan itu. Kali ini memang abang yakin sangat-sangat. Abang tak bermimpi dan abang tak berkhayal. Memang ada seorang perempuan tinggal di bilik stor itu. Siapa? Abang nak pergi tengok,” kata Fazrin sambil melangkah ke arah pintu belakang.

Surya panik dan gugup. Namun dia segera tersedar dan mampu mengawal diri. Dengan cepat dia menarik lengan Fazrin. Langkah Fazrin segera dihentikan.

“Abang, tunggu dulu. Abang tak payah ke sana. Biar saya yang pergi. Atau kita panggil bibik yang pergi tengok.”

“Kenapa?”

“Tak ada apa. Cuma saya tak sedap hati. Mana tahu itu hantu. Mana tahu itu perompak yang menyamar sebagai orang tua,” jawab Surya membuat alasan.

“Kalau macam tu, sayang pun jangan pergi. Bahaya! Kita suruh pengawal yang bertugas tu yang pergi.”

“Yalah. Nanti Su suruh dia pergi tengok. Tapi abang jangan bising-bising akan hal ini. Jangan sampai mama dan papa tahu.”

“Kenapa pula?”

“Sebab, Su tak nak mereka risau. Biar kita selesaikan sendiri hal ni.”

Fazrin angguk. Kata-kata Surya masuk juga dek akal.

“Dahlah. Mari kita bersarapan dulu. Abang tu dah lambat nak ke pejabat.” Surya menarik tangan Fazrin untuk duduk di meja makan. Dia segera menuangkan minuman yang sedia ada dalam teko warna emas di atas meja itu.

Bik Sumi dibantu oleh Leha keluar membawa mangkuk mi goreng yang masih berasap panas. Mereka segera menghidangkannya sebelum masuk semula ke dapur.

“Abang makan dulu. Su nak ambil air di dapur,” kata Surya mencari helah.

Fazrin angguk. Dia tidak mengesyaki apa-apa.


Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.