Seharian itu, Makyung
Bedah menghabiskan harinya dengan resah. Ternyata rumah besar itu tidak
memberikan ketenangan kepada jiwa tuanya. Dia perlukan angin segar dari sawah
bukan penghawa dingin. Dia ingin mendengar suara azan dari Bilal Zamani. Dia
ingin solat berjemaah di masjid. Dia ingin itu dan ini. Semua keinginan itu
tiada di rumah Azman ini.
Usai solat isyak, dia
keluar untuk mencari makan. Tengah hari tadi dia hanya makan nasi untuk
pengalas perut. Dia memaksa selera yang tidak ada.
Dia terkejut melihat
makanan yang banyak terhidang di meja. Macam-macam ada. Daging, ayam, ikan besar
dan udang besar.
“Banyaknya kau masak
Ningsih? Siapa yang nak makan ni?”
“Nanti tuan balik, dia
akan bawa kawan-kawannya. Mereka akan makan dan berbual-bual.”
“Tiap-tiap hari macam
ni?”
“Kalau tuan pergi luar
negeri, kawan-kawannya tak datang. Jadi, ringanlah sikit kerja aku!”
Makyung Bedah
termenung. ‘Dia meraikan kawan-kawannya tapi dia melupakan ibunya ini...’ bisik
hati Makyung Bedah dengan hati pedih seperti dihiris.
Dengan cepat dia memujuk
hati. ‘Sekarang aku dah ada bersama dia. Aku akan di raikan setiap hari.’
“Ibu, kok termenung? Nah,
ini nasinya. Ibu nak makan lauk apa? Mari, saya ambilkan,” kata Ningsih.
“Tak apa. Biar saya
ambil sendiri. Pukul berapa biasanya anak saya balik?”
“Biasanya jam begini
sudah balik kecuali kalau dia ada meeting, baru lambat sikit.”
Makyung Bedah angguk.
Dia duduk merenung juadah yang dihidangkan dalam pinggan mangkuk yang cantik
dan nampak mewah.
“Kalau macam tu, biar
saya tunggu dia. Dah lama saya tak makan bersama dia,” kata Makyung Bedah.
Ningsih meninggalkan
dia sendirian di meja makan.
Tidak lama, kedengaran
enjin kereta Azman memasuki halaman. Wajah Makyung Bedah ceria, senang hati.
Suara Azman didengar sedang berbual-bual. Makyung Bedah menanti Azman masuk.
“Man, mari kita makan.
Mak tunggu Man dari tadi,” ajak Makyung Bedah.
“Mak! Mak buat apa kat
sini?”
“Mak tunggu Man. Mak
nak makan dengan Man. Dah lama mak tak makan dengan Man. Mati Man, biar mak
sendukkan nasi dulu. Man tentu lapar.” Makyung Bedah bangun dan mengambil
sebiji pinggan.
“Mak, mak boleh tolong
Man tak. Sekejap lagi kawan-kawan Man datang. Mereka akan makan di sini. Mak
boleh tolong makan di dapur. Man tak nak mereka tengok mak di sini,” suruh
Azman.
“Tapi kenapa? Biarlah
mak berkenalan dengan mereka. Ingat masa kecil-kecil dulu. Man suka bawa
kawan-kawan makan di rumah. Kadang-kadang mereka tidur di rumah kita. Mak tak
kisah. Mak tak marah. Malah mak yang masak untuk mereka. Kita makan sama-sama.
Mak rindukan saat itu, Man,” kata Makyung Bedah, bersungguh-sungguh.
“Mak, tolong lupakan
yang lama tu. Sekarang, keadaan dah berubah. Mak, tolonglah. Mak pergilah makan
di dapur.”
“Kenapa Man?”
“Saya tak nak
kawan-kawan saya tengok mak. Mari, saya suruh Ningsih siapkan makan mak di
dapur,” kata Azman. Dia menarik tangan Makyung Bedah. Tanpa rela Makyung Bedah
akur.
“Ningsih! Tolong
siapkan makan malam mak saya ni!” laung Azman ke arah Ningsih yang sedang
mengemas.
Luluh hati Makyung
Bedah. Relai jiwa raganya. Dia menahan air mata. Dia menahan ombak pilu yang
sedang membadai hati.
‘Sampai hati kau Man...’
rintih hati kecilnya.
Azman segera keluar ke
ruang makan. Tidak lama kedengaran enjin kereta memasuki halaman. Suasana mula
riuh rendah. Azman melayan kawan-kawannya dengan penuh mesra.
Ada dua buah kereta
Ningsih menghidangkan
makanan di atas meja. Dia hanya mendengar dan melihat apa yang berlaku. Tidak
berani dia campur urusan anak beranak itu.
“Jemput makan, ibu.”
Makyung Bedah merenung
hidangan dengan hati dan jiwa yang kosong. Seleranya menjauh.
“Kamu simpanlah makanan
ni. Saya tak ada selera. Saya nak masuk tidur sekarang.” Makyung Bedah bangun
dan berjalan ke arah biliknya.
Sampai di bilik, dia
menghempaskan diri ke katil. Lalu semuanya tidak mampu ditahan lagi. Air mata
seorang ibu gugur untuk ke sekian kalinya.
“Ya ALLAH! Beratnya dugaan
yang KAU berikan pada hamba-MU yang lemah ini. Aku semakin tidak berdaya ya
ALLAH...” rintih Makyung Bedah bersama limpahan air mata yang memang dibiarkan
membasahi bantal.
Dari dalam bilik dia
mendengar suara Azman berbual-bual mesra dan ketawa. Riuh rendah ruang tamu itu
dengan gelak tawa mereka.