Balik dari masjid,
Makyung Bedah duduk merenung bintang di langit. Nombor telefon yang diberikan
oleh Imran masih digenggam. Dia masih ragu-ragu dan keliru samada akan
menelefon Maryam atau tidak.
Sudah lama hatinya
tidak berdenyut sakit. Dia amat bimbang kalau kesakitan itu muncul semula.
Sedang dia berkira-kira, telefon di ruang tamu berdering.
Makyung Bedah bangun dan
segera menuju ke meja telefon.
“Assalamualaikum mak!”
Suara Maryam di hujung talian.
Dada Makyung Bedah
berombak. Dia menjawab salam itu penuh debar. Entah kenapa dia rasa begitu
tidak tenteram dengan panggilan itu.
“Mak, saya ada hal nak
bincang dengan mak.”
“Cakaplah.” Makyung
Bedah menjawab tidak mesra. Dia sudah tahu apa yang akan dikatakan oleh Maryam.
Dia bersedia.
“Kami dah bincang adik
beradik. Dan kami dah buat kata putus. Kami nak mak kahwin dengan Pak Mud.”
Diam. Jantung Makyung
Bedah semakin berdenyut kencang.
“Mak,dengar tak ni?”
Makyung Bedah masih
mendiamkan diri. Dia tidak berani mengeluarkan patah-patah perkataannya. Dia
bimbang akan terlanjur berkasar dengan Maryam.
“Mak setuju atau tidak,
kami tetap nak mak bernikah dengan Pak Mud.”
“Apakah hak kamu nak
memaksa mak begitu?” Makyung Bedah cuba berlembut walaupun hatinya sebenarnya
sudah mengganas panas kawah lahar!
“Apa pula alasan mak
untuk menolak? Kami buat semua ni demi mak. Kami tak nak mak tinggal sorang-sorang.”
“Kamu bukan buat kerana
aku! Tapi kamu buat kerana diri kamu sendiri! Kamu tak nak aku keluar dari
kampung ni. Kamu tak nak balik jenguk aku. Kamu tak nak...” Makyung Bedah
terkedu. Dia mengulum ayat yang tertinggal. Debarannya terhambur menjadi ombak
air mata. Dia tidak kuat untuk berdepan dengan situasi itu.
Giliran Maryam terdiam.
Mungkin dia terkena dengan alasan yang disebut oleh Makyung Bedah itu.
“Apa salahnya mak
bernikah dengan Pak Mud tu?”
“Apa yang kau merepek
ni Yam? Aku ni dah tua. Bukan masanya nak berfikir soal nikah kahwin. Aku nak
fikirkan soal nak mati saja,” jawab Makyung Bedah dengan cepat.
“Kalau mak kahwin
dengan dia, kan mak boleh buat amal ibadat bersama-sama? Pak Mud tu pun tak ada
isteri. Dia hanya ada Senah. Kalau Senah dah kahwin takkan dia nak terus
tinggal dengan Pak Mud. Mesti dia akan tinggalkan Pak Mud dan ikut laki dia!”
“Apa kena mengena
dengan aku, Yam?”
“Memang tak ada kena
mengena tapi mak dengan Pak Mud senasib. Tinggal bersendirian tanpa anak. Lebih
baik kalau mak dan dia bersatu. Masing-masing dapat menumpang kasih dan
menghabiskan hari tua bersama.”
“Jadi, kau adik beradik
boleh lepas tangan pada aku?”
Senyap. Tidak ada
reaksi dari pihak Maryam.
“Yam, dengar sini
baik-baik. Tolong kau cakap dengan abang dan adik kau, tak usah nak jual orang
tua ni kepada seorang suami hanya kerana kamu semua nak bebas dari
tanggungjawab. Aku tak akan kahwin dengan sesiapa. Aku masih sayangkan arwah
ayah kamu!” kata Makyung Bedah dengan suara meninggi dan keras.
“Mak, ayah dah lama
mati. Tak guna mak nak ingat dia lagi,” kata Maryam pula.
“Dia tidak mati dalam
hati aku. Hanya anak-anak yang dah lupakan dia. Aku dah janji pada diri aku,
tidak akan ada orang yang akan menggantikan dia dalam hidup aku.”
“Mak berhenti hidup
dalam khayalan. Ayah dah mati!”
“Aku tak berkhayal. Aku
tahu dia dah mati.”
“Jadi, kenapa mak tak
nak mulakan hidup baru. Bina hidup baru dengan Pak Mud. Habiskan hari tua mak
dengan gembira.”
“Aku bukan muda lagi,
Yam. Aku dah nak mati. Sepatutnya dalam usia yang semakin lanjut ini aku hidup
bahagia dengan anak cucuku bukan dengan lelaki lain. Tapi, anak cucuku semakin
jauh dan cuba membuang aku.”
Makyung Bedah ingin
meluahkan sepuas-puasnya isi hatinya yang berbuku selama ini.
“Mak, kami tetap akan
nikahkan mak dengan Pak Mud. Mak suka atau tidak, pernikahan itu tetap akan
berlaku. Saya dah atur semuanya dengan Pak Mud. Dia dah setuju. Mak jangan nak
buat alasan lagi.” Maryam semakin tegas dan suaranya keras memaksa. Makyung
Bedah rasa sangat teraniaya dan tercabar.
Beraninya Maryam
mengatur perjalanan hidupnya. Di mana rasa kasih sayangnya kepada seorang ayah.
Dia tidak akan lemah menyerah. Dia perlu berjuang dan kuat melawan.
“Cubalah kau buat kalau
kau berani. Aku panggil orang surat khabar dan dedahkan hal ini kepada umum. Kau
paksa aku kahwin gara-gara nak lepaskan tanggungjawab kau sebagai anak!” tegas
Makyung Bedah.
Rasanya tidak ada apa
yang perlu didengar lagi dari mulut anak bertuahnya itu. Dengan cepat Makyung
Bedah meletakkan gagang. Sangat tersayat hatinya. Maryam tidak bertanya khabar
dirinya. Sihatkah dia? Sudah makankah dia? Sebaliknya dia muncul dengan isu
yang sangat menyakitkan hatinya.
Dia berjalan keluar ke
anjung. Punggungnya dilabuhkan di situ.
“Abang, kenapa
anak-anak abang jadi macam ni?” kata Makyung Bedah sambil mendongak ke langit.
Bintang-bintang berkerlipan di langit yang cerah direnung dengan hati resah.
Dia tidak mengharapkan
kasih sayang Mahmud untuk menggantikan cinta Ismail di hatinya.