Makyung Bedah mengelek
beg pakaian yang dibawanya dari kampung keluar dari rumah besar milik Azman itu
dengan deraian air mata. Nasib baik ada Ningsih yang baik budi ingin
menghantarnya ke rumah Maryam.
Dia tahu kedatangannya
ke rumah itu juga tidak disukai. Buktinya, Maryam langsung tidak senyum ketika
menyambut dia di pintu pagar.
“Apa masalah mak ni,
dah duduk rumah besar dan selesa masih tak puas hati.” Maryam berleter ketika
kaki Makyung Bedah menjejak masuk ke rumah itu.
“Tuan yang halau ibu.
Saya tak tahu nak hantar ke mana. Jadi saya hantar ke sini.” Ningsih yang
menjelaskan hal sebenar kepada Maryam.
Makyung Bedah tetap
diam, membisu seribu bahasa. Sukar untuk dijelaskan perasaannya kepada Maryam.
Dia hanya mampu pasrah dan menerima takdir itu dengan hati yang terluka.
Maryam membawa Makyung
Bedah ke sebuah bilik. Bilik itu sederhana besar. Tidak berperabut. Hanya katil
bujang dan sebuah almari pakaian.
“Ini bilik mak.
Maaflah, hanya ini yang mampu saya sediakan untuk mak. Mak rehatlah. Saya dan
anak-anak saya nak keluar sekejap,” kata Maryam sambil melangkah pergi. Namun
beberapa langkah, dia menoleh kepada Ningsih.
“Kalau kamu nak balik,
tolong tutup pintu dan pagar saya. Jangan kamu lama-lama di sini nanti bos kamu
bising pula,” katanya.
Ningsih angguk
perlahan.
“Ibu, saya harap ibu
selesa di sini. Kalau ibu ada apa-apa masalah, ibu telefon saya. Ini nombor
saya. Dan ini, nombor telefon Nyonya Humaira.” Ningsih menghulurkan sekeping kertas yang bertulis
tangan.
Makyung Bedah
mengambilnya. Walaupun dia tidak tahu membaca, tetapi dia tetap menyimpan
kertas itu dengan baik di dalam beg duitnya. Mana tahu di masa-masa akan datang
dia memang perlukannya.
“Ningsih, terima kasih
atas kebaikan kamu kepada saya. ALLAH akan membalasnya kerana saya tidak ada
apa-apa untuk membayar semua kebaikan dan jasa kamu.”
“Bu, saya buat semua
ini bukan minta dibalas. Saya belas melihat keadaan ibu. Sayang saya sendiri
bekerja di rumah itu. Kalau tidak...”
“Tak apalah Ningsih.
Kamu dah buat yang sepatutnya kepada saya,” potong Makyung Bedah.
Ningsih pergi
meninggalkannya sendirian di bilik itu. Suasana kembali sepi dan jiwa Makyung
Bedah mula sunyi. Kesedihan yang ditanggung muncul kembali. Semua perbuatan dan
kata-kata Azman mula melintas di dalam ingatan.
Air matanya mengalir
perlahan. Puas dipujuk hati agar tidak berduka. Namun air mata tidak mampu
ditahan.
Maryam langsung tidak
menjenguk dan bertanyakan hal dirinya sepanjang hari dan malam itu. Nasib baik
Ningsih ada membekalkan dia biskut dan air mineral. Itulah yang mengisi
perutnya malam itu.
Sepanjang malam dia
menyerahkan diri kepada ALLAH. Dia berzikir dan mengaji.
Keesokan pagi, selesai
solat subuh dia menjengah keluar dari bilik. Maryam dan anak-anaknya sedang
kelam kabut untuk ke sekolah.
“Yam,” panggil Makyung
Bedah cuba menarik perhatian Maryam.
Maryam menoleh seketika.
Anak-anaknya sudah berlari keluar kerana bas sekolah sudah sampai.
“Kalau mak nak makan
apa-apa, mak masaklah. Saya ni tak ada orang gaji macam rumah abang tu. Saya cuma
upah orang datang mencuci dan mengemas seminggu sekali. Mak masak untuk mak saja.
Kami semua makan kat luar,” kata Maryam sambil tergopoh gapah menuju ke kereta.
Makyung Bedah angguk
perlahan. Dia menghantar mereka pergi dengan mata yang bergenang.
Rumah itu tidak sebesar
rumah Azman. Hanya rumah teres dua tingkat. Rumah orang kebanyakan di Kuala
Lumpur. Hanya lebih besar dari rumah mereka di kampung. Hiasannya memang cantik
dan nampak mahal. Namun, mata Makyung Bedah tidak melihat adanya kebahagiaan
dalam rumah itu.
Ia nampak gelap dan
tidak ada cahaya. Ia nampak kusam dan tidak bermaya. Makyung Bedah seperti
melihat sebuah kehancuran dan kecelaruan dalam rumah itu. Kenapa?
Dia keluar ke halaman
rumah. Halamannya tidak besar seperti halaman rumah Azman. Namun ia cukup untuk
menanam pokok kunyit dan halia. Atau untuk menanam beberapa pokok bunga sebagai
penyeri mata. Tetapi semua itu tidak ada. Halaman itu kosong dan kering
berdebu.
‘Maryam memang sejak
kecil tidak sukakan pokok. Bukan. Pokok yang tidak sukakan Maryam. Kalau dia
menanam, tak pernah hidup. Tangannya panas.’ Itu yang berbisik di hati Makyung
Bedah.
Kenangan itu berbalam
datang.
“Kak Yam tanam pokok,
pokok pun tak nak hidup. Tangan Kak Yam memang panas!” kata Surya mengekek
ketawa.
“Esok kalau kau ada
rumah, rumah kau tak ada pokok apa-apapun Yam.” Dia pula mencelah dan menyokong
cakap Surya.
“Mak, apa nak
disusahkan. Esok kalau Yam dah ada rumah sendiri, Yam gaji orang menjaga
halaman rumah Yam. Lagipun buat apa nak tanam bunga dan pokok. Nak makan
kunyit, beli saja. Buat menyemak saja jika ditanam.” Maryam meningkah.
Memang benar kata
Maryam. Sekarang dia langsung tidak menanam apa-apa pokok di halaman rumahnya.
Sedang dia termenung
dan memerhati, sebuah kereta berhenti di pintu pagar. Seorang lelaki keluar
bersama seorang wanita. Mereka berjalan berpelukan menuju ke pintu. Makyung Bedah cuba mengecam betul-betul.
Shamsul menantunya!