Makyung
Bedah tersenyum-senyum selepas talian telefon dimatikan. Dia rasa seperti
sedang mendapat bulan. Sudah lama dia tidak rasa gembira dan bahagia menjadi
ibu. Malam ini, kegembiraan itu muncul seperti munculnya pelangi selepas hujan.
“Mak,
hujung mingu ni Man akan balik. Man nak bawa mak datang ke rumah Man di Kuala
Lumpur. Mak bersiap-siaplah.”
“Betulkah
Man? Mak tak bermimpi?”
“Betul mak.
Mak memang tak bermimpi. Memang ini anak mak yang telefon dan sedang bercakap
dengan mak.”
Aduhai anak…
Akhirnya
yang ditunggu sekian lama muncul juga. Benar kata Haji Awang, setiap yang
berlaku ada hikmahnya.
Keesokannya
turun dari tangga masjid, Makyung Bedah mencari Imran.
“Im, mak
nak ikut Im balik,” kata Makyung Bedah ketika Imran sedang menyarung selipar.
Imran rasa
hairan. Wajah Makyung Bedah begitu ceria.
“Mak,
ada berita gembira ke? Wajah mak berseri-seri ni!” balas Imran. Sudah lama dia
tidak melihat senyuman menguntum di bibir Makyung Bedah. Hatinya ikut girang.
“Nanti
sampai di rumah, mak cerita. Marilah kita balik,” ajak Makyung Bedah.
Imran
menghidupkan enjin motornya. Kemudian selepas Makyung Bedah membonceng di
belakangnya, dia segera berlalu meninggalkan perkarangan masjid.
“Awalnya
kau sampai hari ni, Bedah? Air pun Imran tak bancuh lagi tu,” kata Mak Semah
yang masih dalam telekung.
“Kenapa
hari ni kau tak ke masjid. Aku cari kau di sana.Ada berita baik yang aku nak kongsi.”
“Aku
rasa tak sedap badan.”
“Eh,
betulkah?” Dengan cepat Makyung Bedah meletakkan tangannya di dahi Mak Semah.
“Panas
sikit. Kau dah makan ubat ke?”
“Dah. Tadi
sebelum ke masjid, Im dah berikan. Im ke dapur dulu. Tengok apa yang kita boleh
makan pagi ni,” kata Imran.
“Im,
mari duduk dulu. Pasal makan tu kemudian kita fikir.Sekarang, mak ada hal nak beritahu ni!” Makyung Bedah
menarik tangan Imran.
Imran akur
dan duduk di sebelah Mak Semah.
“Macam
penting sangat ni. Kenapa Bedah?”
“Aku dah
dapat anak aku, Semah.”
“Apa maksud
kau, Bedah?”Mak Semah ikut
teruja. Matanya terbuka luas.
“Azman
telefon aku malam tadi. Hujung minggu ni dia nak balik. Dia nak bawa aku ke
Kuala Lumpur. Dia nak bawa aku ke rumah dia, Semah!” Makyung Bedah terlonjak
riang. Memang jelas di wajahnya keriangan itu.
“Alhamdulillah…”
Imran mengucap syukur sambil menyapu mukanya.
“Alhamdulillah,
Azman dah berubah. Harap adik-adiknya juga ikut berubah,” kata Mak Semah
tumpang gembira mendengar berita yang disampaikan oleh Makyung Bedah itu.
“Akhirnya
dapat juga aku menjejakkan kaki ke rumah anakku, Semah. Akhirnya dapat juga aku
memeluk menantu dan cucu-cucuku.”
Makyung
Bedah mengesat air mata gembira.Sungguh
gembira. Imran dan Mak Semah pun sama. Selama ini mereka berkongsi air mata
duka.Kali ini mereka berkongsi air mata gembira pula.
“Lama
ke kau nak ke sana tu, Bedah?”
“Entahlah.
Pergi pun belum, Semah.”
“Aku
akan rindukan kau nanti,” bisik Mak Semah perlahan.
“Jangan
macam tu. Aku tak akan lupakan kau. Aku akan telefon kau nanti.”
“Harap
kau tak pergi lama-lama.”
“Kita
tak akan berpisah lama. Walau di mana aku berada, aku takkan lupakan kau Semah.
Hanya maut yang akan pisahkan kita.” Makyung Bedah memeluk bahu Mak Semah.
“Yalah,
mana tahu maut pisahkan kita tapi kau tak ada.Aku ni dah selalu uzur. Kalau boleh aku nak kau hantar
aku sampai ke kubur,” kata Mak Semah lagi.
Makyung
Bedah ketawa segar.
“Kau
ketawakan aku ya?” tanya Mak Semah sambil mencubit bahu Makyung Bedah.
“Aku
ketawa sebab kau nak suruh aku hantar sampai ke kubur. Kau nak suruh aku lambai
selamat tinggal ke?”
Mak
Semah ikut ketawa. Kesedihannya hilang selepas mendengar gurauan Makyung Bedah
itu.
Hati
Imran tiba-tiba rasa cuak dan bimbang.Kenapa
Azman berubah begitu cepat? Apa yang terjadi kepadanya? Atau muslihat apakah
yang sedang dimainkan oleh anak-anak Makyung Bedah itu.
*37*
Azman tidak mungkir
janji. Hujung minggu yang dikatakan itu, dia muncul dengan kereta mewahnya. Kereta
Mercedes model baru, masuk ke kampung itu dipandu oleh seorang pemandu yang
siap berpakaian seragam.
“Mak dah siap ke?”
tanya Azman ketika sampai di tangga. Bersalam pun tidak, Azman terus dengan
soalannya. Dia melabuhkan punggung di tangga. Tidak naik dan wajahnya langsung
tidak mesra.
“Takkan kita nak terus
pergi. Kamu tak nak rehat dulu. Kalau kamu nak makan, mak boleh masakkan
apa-apa,” jawab Makyung Bedah mendekati Azman.
“Mak, tak payahlah.
Kita makan kat tengah jalan nanti. Saya nak cepat mak. Saya tinggalkan bisnes
saya sebab nak ambil mak. Kita tak boleh lengah-lengah masa. Saya kena sampai
KL malam ni juga sebab pagi-pagi esok saya ada mesyuarat penting.”
Makyung Bedah merenung
wajah Azman dengan ragu-ragu. Betulkah Azman akan membawa dia pergi dengan rasa
kasih sayang atau ada sebab lain?
“Man, berterus terang
dengan mak. Apa sebabnya Man nak bawa mak ke rumah Man? Isteri Man macam mana?
Kalau boleh mak tak nak menyusahkan Man.” Makyung Bedah mengharapkan satu
kepastian. Getar hati seorang ibu sangat tidak menyenangkan.
“Mak, kalau Man tak
balik mak sibuk suruh Man balik. Man tak cukup masa untuk selalu balik. Jadi,
apa salahnya Man bawa mak tinggal dengan Man,” kata Azman. Dia langsung tidak
berpaling dan mengadap muka Makyung Bedah.
Makyung Bedah termenung
lama. Dia rasa berat hati untuk mengikut Azman.
“Mak, cepatlah bersiap.
Kita bertolak sekarang. Mana beg mak?”
Dengan perlahan Makyung
Bedah bangun dan masuk ke bilik. Sebuah beg dijinjit keluar. Kemudian dia masuk
lagi ke bilik untuk menukar pakaian. Dalam masa yang sama, dia menelefon Imran.
“Im, datang sekarang.
Mak dah nak bertolak ni.”
“Cepatnya! Pukul berapa
Abang Man sampai?”
“Baru setengah jam. Dia
tak nak tunggu. Dia nak terus bertolak balik. Tak apalah. Mak ikut saja. Im
datang ya,” jawab Makyung Bedah.
Dia keluar dan menutup
semua tingkap dan pintu. Kemudian dia turun ke tanah dan memakai selipar.
“Dah siap mak?
Marilah,” ajak Azman. Dia membawa beg pakaian milik Makyung bedah ke dalam
kereta.
“Tunggu sekejap.”
“Nak tunggu apa lagi
ni?” tanya Azman dengan muka berkerut.
“Mak tunggu Imran. Mak
nak jumpa dia dulu sebelum pergi.”
“Nak buat apa mak?”
“Mak nak suruh dia
tengokkan rumah ni. Mak nak serahkan kunci rumah pada dia. Hanya dia yang boleh
mak harapkan,” jawab Makyung Bedah dengan wajah selamba.
Azman mendengus. Dari
wajahnya Makyung Bedah dapat melihat kebencian Azman kepada Imran. Mungkin dia
sudah mendengar banyak cerita buruk dari Maryam dan Surya mengenai kejadian
yang berlaku tempoh hari.
Tidak lama, Imran
sampai dengan motornya. Selepas menongkat motor, dia terus berjalan ke arah
Azman dan bersalam dengan penuh hormat takzim.
Azman berwajah masam.
“Im, nah ini kunci
rumah mak ni. Tolong jaga rumah mak. Beri makan ikan di kolam. Tolong siram
pokok bunga mak sekali sekala.”
Imran menerima kunci.
Dia angguk perlahan.
“Mak pergi tak lama.
Sekejap saja mak akan balik. Kalau mak Im tak sihat, cepat-cepat telefon mak,”
sambung Makyung Bedah lagi.
Imran angguk lagi.
Entah kenapa dia hilang kata-kata. Dadanya diserbu rasa sebak yang mendalam.
Sehingga kereta Azman berlalu pergi, Imran masih berdiam diri. Hanya matanya
yang berkaca.
‘Semoga mak gembira dan
bahagia di sana.’ Itu yang berbisik di hati Imran.