Perasaan rindu Mak
Semah kepada Makyung Bedah semakin membara. Ia sudah tidak mampu diselindungkan
lagi. Dia mula kerap demam. Kerap pula letih lesu kerana selera makannya yang
semakin kurang. Imran semakin tidak mampu memujuknya.
“Im, mak nak sangat
jumpa Mak Bedah kau,” kata Mak Semah pada satu malam.
“Sabarlah mak. Im dah
cuba cari nombor telefon Abang Azman, Kak Yam dan Surya. Tapi nampaknya mereka
dah tukar nombor. Semua orang tak tahu nombor mereka.”
Pujukan Imran bertahan
selama beberapa hari. Selepas itu dia akan mula bertanya lagi. Kadang-kadang
dia akan merengek seperti anak kecil yang rindukan ibunya.
“Im, bilakah Mak Bedah
nak balik?”
“Im akan cuba cari
jalan untuk bawa dia balik, mak.”
Mak Semah diam. Di
birai matanya menitik titisan air mata. Wajahnya sangat murung. Hati Imran
memang tidak tahan melihat titisan air mata ibunya.
Akhirnya dia membawa
resahnya itu ke kedai Pak Mud. Hanya kepada lelaki itu, tempat dia mengadu.
Kadang-kadang dirasakan Pak Mud itu seperti ayahnya sendiri. Sejak kecil,
banyak perkara yang dikongsi dengan lelaki itu.
“Pak Mud, tolong saya
Pak Mud. Mak semakin lara. Mak semakin lemah. Apa kita nak buat ni, Pak Mud?”
“Macam mana kalau kita
ke Kuala Lumpur dan cari mereka, Im.”
“Pak Mud, Kuala Lumpur
tu besar dan luas. Kalau tak tahu alamatnya, susah. Bukannya boleh tanya dengan
orang. Bukan macam di kampung ni,” kata Imran.
Pak Mud termenung. Sungai
simpati mengalir deras. Sangat belas dia mendengar suara rindu Mak Semah.
“Saya dah suruh
beberapa orang kawan menjejaki alamat Surya. Dia orang tersohor, mesti ramai
yang kenal. Keluarga mertua dia juga orang ternama. Pasti ada yang tahu. Tapi
setakat ni masih belum ada berita baik,” kata Imran lagi.
Mereka berdua diam.
Suasana sepi seketika. Wajah masing-masing nampak resah dan buntu.
“Aku menyesal
sekarang,” keluh Pak Mud dengan perlahan dan berat.
“Kenapa Pak Mud?” Imran
segera berpaling dan merenung wajah Pak Mud.
“Hari tu ada orang dari
Kuala Lumpur datang bertanyakan Mak Bedah kau.”
“Siapa? Wartawan?”
“Bukan. Katanya dia
utusan dari seorang peminatnya, seorang Datin Seri. Dia nak sangat jumpa
Makyung Bedah. Aku beritahu Makyung Bedah dah dibawa anak-anaknya ke Kuala
Lumpur. Aku beritahu salah seorang anak Makyung Bedah itu penyanyi terkenal.
Tapi aku tak beritahu dia, siapa penyanyi itu,” jawab Pak Mud.
“Kenapa Pak Mud tak
sebut nama Surya?”
“Aku masih nak jaga
nama baik Surya.”
“Jadi, Pak Mud pun nak
nafikan hak Mak Bedah atas Surya? Pak Mud pun tak setuju kalau orang tahu
bahawa Mak Bedah itu emak yang melahirkan Surya?” tekan Imran.
“Itulah yang aku kesal
sekarang. Kalau aku sebut nama Surya, pasti mereka dah dapat jumpa Mak Bedah
kau. Dan kita pun tak bimbang macam ni.”
Imran termenung. Dia
memang kesal dengan sikap Pak Mud tetapi perkara sudah berlalu. Semuanya tidak
akan berulang lagi. Sudah tentu tidak ada orang yang akan mencari Makyung Bedah
di kampung itu lagi.
Seminggu kemudian,
keadaan Mak Semah semakin tidak stabil. Imran terpaksa menghantarnya ke
hospital. Selepas diperiksa, akhirnya dia terpaksa masuk wad.
“Im, Mak Bedah kau dah
sampai?” tanya Mak Semah dengan mata yang terpejam.
“Sabarlah mak. Kami
tengah berusaha,” bisik Imran ke telinga Mak Semah.
Mak Semah membuka mata.
Dia merenung wajah Imran dengan sayu. Air matanya menitik menuruni pipi.
“Im, kamu kena cari Mak
Bedah. Dia tengah susah. Kesian dia.” Suara Mak Semah sangat perlahan di celah
bibir.
“Ya. Im janji akan cari
dia. Sekarang pun Inah dan kawan-kawan di KL tengah cari dia. Beri kami masa
mak. Mak kena sihat untuk membantu kami.”
“Kirim salam mak pada
dia kalau sekiranya mak tak sempat jumpa dia. Mak sayang dia,” balas Mak Semah lagi.
Kali ini, hati Imran bagai disiat-siat. Rasa pilunya menerjah dinding hati.
“Mak, jangan cakap
macam tu. Mak pasti akan jumpa dia. Im akan bawakan mak jumpa dia. Mak kena
kuatkan diri. Mak kena cepat sembuh. Kita ke Kuala Lumpur bersama-sama. Inah dah
janji akan bawa kita ke sana kalau mak dah sembuh.” Imran menggenggam erat
tangan Mak Semah dan mengucupnya dengan penuh kasih sayang. Air matanya cuba
ditahan. Dia tidak mahu emaknya melihat rintik pilu di hatinya.
Mak Semah pula
tersenyum. Dia percaya akan kata-kata Imran itu, namun dia sudah tidak berdaya.
Dia hanya pasrah menunggu hukum ALLAH.
“Im, mak nak tidur
sekejap. Nanti Im tolong buat solat hajat untuk Mak Bedah kau. Tolong minta
ALLAH selamatkan dia di sana,” kata Mak Semah. Dia pejamkan mata. Tidak lama
kedengaran sebuah dengkuran.
Imran membetulkan
selimut yang menutupi kaki emaknya. Wajah emaknya yang pucat dan lemah itu
direnung dengan mata belas. Tiba-tiba muncul rasa kagum terhadap rasa kasih
sayang yang terjalin antara Mak Semah dan Makyung Bedah.
‘Mereka saling
memerlukan. Ya ALLAH, tolong permudahkan jalan untuk mempertemukan mereka.’ Doa
Imran dalam hatinya.
Selepas yakin Mak Semah
tertidur lena, Imran keluar dan cuba menghubungi Marinah.
“Awak dah dapat apa-apa
maklumat baru? Surya ada hubungi awak?”
“Belum lagi.” Suara
Marinah penuh kesal.
“Mak saya masuk
hospital. Saya semakin bimbang...” keluh Imran.
“Maafkan saya, Im.”
Marinah sebak. Suasana sepi. Imran memang rasa sangat bimbang dengan keadaan
Mak Semah. Cakapnya yang mula meracau itu seperti menzahirkan sebuah firasat
yang kurang baik.
“Esok saya akan cari
Surya sekali lagi. Saya harap awak sabar, Im,” kata Marinah.
Keesokan harinya,
Marinah mengotakan janjinya. Dia memandu ke arah syarikat rakaman tempat album
Surya sedang diproses. Walau apapun yang terjadi, dia mesti dapatkan alamat
Surya. Kalau dia tidak berjaya juga, dia akan redah jalan yang lain. Mungkin
dia akan emncari sekolah tempat Maryam mengajar atau mencari pejabat Azman. Dia
akan buat semuanya demi Mak Semah dan Makyung Bedah.
“Minta maaf, Surya
tidak mahu diganggu,” kata Cik Hezrita ketika menerima kedatangan Marinah.
Wajahnya masam. Jelas sekali dia memang kurang senang dengan kunjungan kali
kedua Marinah itu.
“Tolonglah cik. Saya
sangat perlu berjumpa dia. Kalau dia tak nak jumpa saya, biar saya cari dia di
rumahnya. Ada perkara yang nak saya beritahu dia.”
“Saya yang kena minta tolong
dari awak. Tolonglah jangan ganggu dia. Dia perlu tumpukan perhatian kepada
kerja dia.”
“Kalau macam tu, boleh
tak cik berikan saya alamatnya. Saya perlu sangat nak jumpa dia. Ini soal hidup
dan mati. Tolonglah saya cik...” rayu Marinah bersungguh-sungguh.
“Sekali lagi saya minta
maaf. Saya tak boleh dedahkan alamat dia kepada orang lain. Ini melanggar etika
kerja saya,” kata Cik Hezrita.
“Tapi, mahukah cik
melanggar etika sebuah kehidupan?”
“Apa maksud awak?”
“Seorang sahabat sedang
nazak dan ingin sekali bertemu sahabatnya untuk kali terakhir. Cik mahu
bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa kepada dia?”
“Sahabat siapa?”
“Sahabat emaknya.”
Diam. Cik Hezrita
termenung memikirkan sesuatu. Dia keliru dan sangsi dengan apa yang
didengarnya.
“Saya tak bohong. Dan
saya pun tak main-main. Kami sangat perlukan bantuan cik untuk mengubati hati
seorang insan. Tolonglah...” rayu Marinah bersungguh-sungguh.
“Maafkan saya. Saya tak
faham apa yang sedang cik katakan ini. Siapa yang nazak dan siapa yang sakit?
Apa pula hubungannya dengan Surya? Kenapa cik nak sangat tahu alamat Surya?”
tanya Cik Hezrita pula.
Marinah rasa peluang
sudah mula terbuka untuknya. Lalu dia tidak berlengah lagi. Semuanya
diceritakan kepada pengurus merangkap pembantu peribadi Surya itu. Semua hal
Makyung Bedah dan Surya diceritakan dengan tersusun rapi.
“Saya tak berniat nak
aibkan Cik Surya. Saya cuma nak tahu alamat dia dan nak jumpa mak dia. Saya
perlu bawa balik emaknya ke kampung sebelum terlambat.”
“Tapi, Surya mana ada
emak? Dia kan dibela oleh mak ciknya sejak kecil. Dan makciknya juga sudah
meninggal dunia. Cik jangan cuba nak buat fitnah gila semata-mata nak hancurkan
karier Surya yang sedang melonjak naik,” kata Cik Hezrita seperti memberi
amaran.
Marinah terkedu. Itukah
cerita yang mereka dengar dari Surya? Itukah yang membuatkan Surya tidak mahu
mengaku Makyung Bedah itu ibu yang melahirkannya?
“Saya tak tahu apa yang
cik dengar dari Surya. Tapi percayalah, saya cuma nak jumpa maknya.Saya tak
berminat nak hancurkan kariernya.”
Giliran Cik Hezrita
pula berdiam diri dan termenung.
“Kalau saya nak
hancurkan masa depan dia, saya tak datang ke sini. Saya boleh terus berjumpa
wartawan hiburan. Saya boleh terus ke stesen TV dan berjumpa penerbit rancangan
hiburan. Saya boleh panggil orang kampung beri kenyataan. Tapi kami semua masih
ingin menjaga nama baiknya. Kami tak nak yang lain selain emaknya!”
Cik Hezrita angguk
perlahan. Wajah Marinah direnung lama. Ada kejujuran pada kerdipan mata gadis
itu. Ada kesungguhan pada bicaranya. Dalam masa yang sama, ada rasa kesal dan
marah dalam hatinya. Kalau benar cerita Marinah, Surya adalah anak derhaka.
Surya adalah Si Tanggang moden!
“Apa yang boleh saya
bantu?” Akhirnya Cik Hezrita menyerah diri pada kehendak Marinah.
“Tak banyak. Saya cuma
nak alamat tempat tinggalnya. Saya akan pergi sendiri ke sana. Saya tak akan
libatkan Cik Hezrita. Kalau Cik Hezrita nak, saya tak akan sebut nama cik. Saya
janji untuk simpan rahsia. Tolonglah saya... demi seorang ibu...” Marinah
menarik tangan Cik Hezrita dan menggenggamnya erat.
Timbul belas di hati
Cik Hezrita. Dia menarik sekeping kertas dan menulis apa yang Marinah minta.
“Nah, ini alamat rumah
Datuk Seri Azimi dan Datin Seri Nik Hayati. Mungkin tidak mudah untuk awak
masuk ke sana. Saya doakan awak berjaya. Datin Seri seorang yang baik. Mungkin
dia akan belas mendengar cerita awak. Saya tidak tahu nasib Surya kalau hal ini
benar. Pergilah, sebelum ada orang nampak awak di sini,” kata Cik Hezrita.
“Terima kasih Cik
Hezrita. ALLAH saja yang membalas jasa cik ini,” ucap Marinah, menarik tangan
Cik Hezrita untuk bersalaman.
Cik Hezrita hanya
mengerdipkan mata dengan senyuman nipis di bibirnya.
Marinah tidak berlengah
lagi. Dia segera memandu ke arah alamat yang diberikan. Dadanya sangat
berdebar. Bolehkah Surya menerima kedatangannya dengan hati yang terbuka.