Akhirnya, dia paksa dirinya untuk tabah. Demi masa
depan anak-anak. Demi sebuah kehidupan yang masih panjang.
Anak-anaknya membesar dengan baik.
Dia tidak mengabaikan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Semuanya diberikan
sama rata.Tatkala dia menari mencari
rezeki di pentas, anak-anak terus mengaji dan belajar di sekolah. Dia cuba
mencukupi apa yang kurang. Selain rezeki dari pentas makyung, dia juga membuat kuih muih sebagai jualan setiap pagi.
“Im, dahlah. Mak dah kenyang.”Makyung Bedah menahan
Imran daripada menyuap nasi ke mulutnya. Dia sebenarnya bukan kenyang tetapi
dia kurang berselera. Sejak akhir-akhir ini, dia sering memaksa diri untuk
makan. Semuanya demi untuk kekuatan diri.
“Makanlah lagi mak. Biar mak lebih bertenaga dan
kuat,” pujuk Imran.
“Im, mak dah tak perlu nak kuat lagi. Cukuplah kalau
mak boleh bergerak untuk mengerjakan solat dengan baik.”
“Mak, itu cakap orang yang putus asa.”
“Bukan putus asa, Im. Tapi hidup mak dah hampir ke
hujung. Tak perlu nak berjuang untuk apa-apa lagi selain berjuang untuk persediaan
mati,” balas Makyung Bedah.
“Itupun berjuang juga. Kalau badan mak tak kuat, macam
mana mak nak buat amal ibadat. Kan mak?” Imran berpaling kepada emaknya Mak
Semah untuk mencari jawapan.
“Benar Bedah. Kalau dah jadi macam aku ni, lagi susah.
Nak buat ibadat pun dah kena tunggu orang tolong. Makanlah banyak-banyak,
Bedah. Biar kau sihat dan bertenaga. Biar kau gemuk sikit,” kata Mak Semah
pula.
“Kalau aku gemuk, banyak pula kain yang kena beli nak
buat baju. Orang sibuk jaga makan untuk kuruskan badan. Kau pula suruh aku
gemuk.” Makyung Bedah ketawa perlahan.
Ketika itu Imran menyuakan sesuap nasi dan Makyung
Bedah menerima suapan itu dengan senang hati.
Sambil mengunyah nasi dalam mulutnya, Makyung Bedah
terus mengunyah kenangan silam hidupnya.
“Kahwin saja Bedah. Nanti anak-anak kau dapat juga
kasih sayang seorang ayah,” kata Semah, sahabat baiknya.
“Kalau dapat laki yang penyayang tak apa. Kalau dapat
laki yang tak senonoh dan kaki pukul, habislah anak-anak aku.Lagipun, hati aku ni belum
boleh nak lupakan Abang Mail.”
“Aku tahu. Kau sayang Abang Mail sepenuh hati kau.
Tapi, kau harus fikirkan masa depan kau dan anak-anak kau. ”
“Kau suruh aku kahwin, tapi kau tu?”Makyung Bedah cuba
bergurau.
“Aku ni lain Bedah.Aku digantung tidak
bertali, disalai tidak berapi. Aku tidak ada talak. Aku masih isteri orang
walaupun aku tak tahu di mana suamiku. Kalau hidup dia di mana? Kalau mati di
mana kuburnya.”
“Tapi kau boleh minta fasakh.”
“Aku belum bersedia menjadi janda.”
“Tapi sekarang hidup kau macam janda.Kau berhempas pulas
untuk besarkan Imran.”
“Aku rela, Bedah. Janji Imran dapat hidup dan berjaya
macam orang lain.”
“Masa depan kau?”
“Masa depanku hanya bersama Imran.”Suara Mak Semah terasa
masih baru. Namun kata-kata itu kini menjadi kenyataan. Imran, anak yang sangat
berbudi.
“Bedah, kau ni selalu sangat mengelamun. Apa yang
mengganggu fikiran kau, Bedah?” tanya Mak Semah sambil menepuk bahu Makyung
Bedah.
“Aku rindukan masa lalu aku. Hidup yang susah,
tapi hati gembira dengan keletah anak-anak,” jawab Makyung Bedah dengan jujur.
Mak Semah dan Imran saling berpandangan.
“Aku bangga dengan kejayaan anak-anak aku. Kau pun
tahu kan? Mereka bertiga dapat masuk universiti kerana usaha keras aku mencari
rezeki. Aku tak nak mereka hidup susah macam aku. Tapi, selepas berjaya apa
yang mereka buat pada aku?”
Mak Semah angguk faham. Dia tahuMakyung Bedah begitu bangga dengan kejayaan
anak-anaknya. Senyumnya sentiasa terukir di bibir setiap kali orang memuji
kejayaan anak-anaknya. Impiannya untuk melihat anak-anaknya berjaya sudah
tercapai. Tugasnya dirasakan selesai dengan baik. Tetapi itu dulu. Sekarang,
rasa bangga itu mula hancur bersama sikap kurang ajar dan biadap anak-anaknya
itu!
“Harapan aku nak hidup bahagia dan gembira di hari tua bersama mereka
nampaknya tak sampai, Semah. Mereka semakin jauh dari aku. Mereka benci sangat
dengan penari makyung macam aku ni,” kata Makyung Bedah lagi.
“Bedah, mungkin mereka tak berniat begitu.”
“Mereka memang malu nak mengaku aku ni mak mereka. Mereka tak suka
kalau aku sebut pasal makyung di hadapan mereka. Maryam pernah kata begitu.
Azman pun sama. Surya lagilah. Dia ketawakan aku dan makyung.”
Mak Semah semakin bersimpati dengan sahabatnya itu.
“Di mana anak-anakku, Semah?” keluh Makyung Bedah dengan perlahan. Dia
mencapai segelas air putih yang ada di hadapannya kemudian meneguknya perlahan.
Semua makanan yang tersekat di kerongkong hilang. Dia rasa lega. Namun,
fikirannya masih bercelaru dengan berbagai soalan yang tidak ada jawapannya.
Di mana anak yang
kukendong masa kecilnya?
Di mana anak yang
kubedung kakinya dulu?
Di mana anak yang
kucium pipi gebunya dulu?
Di mana anak yang
kusuap ketika laparnya dulu?