Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 13

Imran pulang membawa berita Makyung Bedah ke pangkuan ibunya dengan wajah sedih.Mak Semah terlebih lagi sedihnya.

“Siapa nak jaga dia di hospital, Im? Kalau mak tak macam ni, tentu mak akan jaga dia. Tapi, mak sendiri pun Im yang jaga,” keluh Mak Semah.

Imran termenung. Memang sejak dari hospital, hanya itu yang difikirkannya. Dia buntu. Kalau dia menjaga Makyung Bedah siapa yang akan menemani dan menjaga emaknya di rumah.

“Kita serahkan saja kepada pihak hospital, mak.”

Mak Semah angguk setuju.Namun tidak lama, dia berpaling kepada Imran.

“Apa kata Im telefon Abang Azman atau Kak Yam. Mak ada nombor mereka,” kata Mak Semah bersungguh-sungguh.

Giliran Imran mengangguk. Kenapa tidak dicuba?Mana tahu ada belas di hati anak-anak Makyung Bedah itu?

Mak Semah membelek buku telefon yang ada di atas meja. Kemudian dia menghulurkan buku itu selepas halaman yang mencatitkan nama dan nombor anak-anak Makyung Bedah itu ditemui.

Tanpa berlengah, Imran mencuba. Cubaan pertama ialah kepada Azman, anak sulung serta anak lelaki tunggal. Telinga Imran mendengar deringan. Namun talian tidak bersambung.

“Tak ada orang angkat, mak.”

“Cuba lagi Im. Kita tak boleh putus asa. Atau Im cuba nombor Kak Yam pula,” usul Mak Semah yang memang setia menunggu di sebelah Imran.

Imran patuh. Selepas beberapa kali mencuba dan gagal, dia mendail pula nombor telefon Maryam. Sama seperti Azman, tidak ada jawapan dari Maryam.

Deringan berterusan.

Imran tidak jemu mendail.

“Helo, siapa ni?” Satu suara menyentuh kuping telinga Imran. Lelaki. Imran cam suara itu.Suara Azman.

“Abang Man?”

“Awak sapa?

“Saya Imran, anak Mak Semah.”

Senyap. Mungkin Azman sedang mengerah mindanya untuk mengingati nama yang disebut.

“Ada apa telefon aku ni?” Tiba-tiba Azman bertanya dengan suara kasar.

Hati Imran sedikit tersentak.

“Maaflah mengganggu. Saya nak beritahu, Mak Bedah masuk wad.”

Senyap. Tidak ada sebarang komen.

“Abang Man baliklah.Mak bedah tu demam rindu. Dia meracau memanggil nama abang, Kak Yam dan Surya.”

“Tengoklah nanti. Terima kasih.”

Talian diputuskan. Imran terkebil-kebil.

“Apa dia cakap, Im?” tanya Mak Semah, ingin tahu.

“Dia kata tengoklah nanti,” jawab Imran mengajuk cakap Azman.

Mak Semah mengeluh, berat dan mendesah. Dia seperti tahu bahawa Azman memang tidak akan pulang menjenguk ibunya.

“Cuba telefon Surya pula. Mana tahu dia ada masa nak balik jaga Mak Bedah,” suruh Mak Semah.

Sekali lagi Imran akur.Nombor telefon Surya didail. Sekali sahaja, dia sudah berhenti.

“Kenapa Im?”

“Nombor ni dah tak ada dalam perkhidmatan, mak.”

Wajah Mak Semah berubah kesal.Memang Surya selalu mengelak diri dari dihubungi. Sejak jadi penyanyi, sombong benar anak Makyung Bedah yang sorang tu.

“Tak apalah mak. Kita cari jalan lain kalau mereka tak balik,” kata Imran, cuba menyenangkan hati ibunya. Dia tahu kegelisahan Mak Semah dengan hal itu. Mereka kawan baik dari kecil hingga kini. Susah senang sudah dilalui bersama. Semasa Mak Semah sakit, Makyung Bedah yang menjaganya. Sekarang, Mak Semah tidak mampu membalas kebaikan itu. Tentulah dia rasa bersalah.

**

Sudah seminggu Makyung Bedah dirawat di wad perempuan, Hospital Tanah Merah. Tidak ada yang menjaganya melainkan jururawat dan doktor di hospital itu. Imran dan Mak Semah hanya pasrah kepada keadaan.

“Maafkan Im mak. Im tak dapat nak jaga mak di sini,” kata Imran selepas dua hari Makyung Bedah dirawat.

“Tak apalah Im. Mak pun tak nak Im tinggalkan mak Im dan jaga mak di sini. Mak tak apa-apa. Demam pun dah mula kebah. Im jangan bimbang sangat,” balas Makyung Bedah dengan suara lemah.

Imran anak yang baik. Imran memang berbudi. Itu sahaja yang ada dalam ingatan Makyung Bedah ketika itu.

Selama seminggu itu sudah tiga kali kereta roda Mak Semah disorong oleh Imran masuk ke wad itu. Keadaannya semakin pulih. Tekanan darah dan demamnya mula stabil.

“Buat apa kau susah-susah datang, Semah. Aku dah baik dah. Kau tu kena jaga kesihatan kau juga,” kata Makyung Bedah sambil menggenggam tangan Mak Semah.

“Aku tak susah pun. Selagi ada kereta Mercedes aku ni, aku tak susah Bedah.” Mak Semah sengaja melawak sambil menunjukkan kea rah kereta sorongnya.

Makyung Bedah ketawa perlahan.

Mak Semah rasa senang hati kerana lawaknya menjadi. Dapat juga dia melihat sahabatnya ketawa, biarpun ketawa itu tidak seceria mana.

“Kau jangan nak bangga dengan kereta kau tu, Semah. Kau ingat kalau tak ada pemandu yang berbudi ini, kereta kau tu boleh sampai ke sini?” kata Makyung Bedah.

Mak Semah ketawa. Tangan Imran ditarik. Seluruh rasa bangga mengalir lembut dalam hati seorang ibu.

“Benar tu Bedah. Nasib baik aku ada pemandu ni. Kalau tidak tak tahu macam mana nasib aku,” kata Mak Semah dengan kerdipan mata kasih ke arah Imran.

“Bukan nasib kau saja, nasib aku juga. Kau tengoklah apa dia buat semasa aku di hospital ni. Aku tak ada anak dan dialah anak aku sekarang…” Suara Makyung Bedah mula bergetar.

“Mak, jangan cakap macam tu. Mak kan ada anak yang ramai,” celah Imran.

“Mana ada?”Makyung Bedah membeliakkan matanya.

“Tu! Anak-anak yang menjaga mak di sini, siang dan malam. Mereka yang buang najis mak. Mereka yang mandikan mak. Dan mereka yang suapkan mak makan. Mereka tu layak dipanggil anak. Kan mak?” tunjuk Imran kepada sekumpulan jururawat yang sedang leka menjalankan tugas.

Mata Makyung Bedah tertumpu ke arah yang ditunjukkan. Benar. Merekalah yang menjaganya. Merekalah yang mencuci kencing beraknya selama seminggu di hospital ini. Tangan mereka yang menyuap makan dan minum ke mulutnya ketika badannya tersangat lemah untuk bergerak.

Di mana anak-anaknya?

Tiba-tiba air matanya bergenang. Hatinya berdenyut ngilu. Setiap bulan dalam akaun bank miliknya memang ada dimasukkan sejumlah duit. Ketiga-tiga anaknya menganggap, duit mereka telah membayar semua tanggungjawab yang perlu sebagai anak.

“Bedah, kalau kau dah keluar hospital nanti kau tinggallah di rumah aku.”

“Semah, aku dah janji dengan Abang Mail tak akan tinggalkan rumah itu selagi ada hayat aku.”

“Tapi aku risaukan kau nanti.”

“Tak usah risau. Kalau mati, kita pun sorang-sorang kat dalam kubur. Jadi apa nak dirisaukan pada aku yang hidup sendirian di rumah,” balas Makyung Bedah.

Mak Semah tidak berani berbahas lagi. Makyung Bedah masih lemah dan dia dalam sengsara. Sengsara dan lara seorang ibu yang menyebabkan dia terlantar begitu.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.