Marinah sampai ke rumah banglo Datuk Seri
Azimi. Seperti kata Cik Hezrita, memang payah untuk dia masuk ke kawasan itu.
Dia terpaksa bersoal jawab dengan seorang lelaki berpakaian seragam lengkap yang
bertugas sebagai pengawal keselamatan.
“Cik nak jumpa siapa?”
“Saya nak jumpa Puan
Surya.”
“Puan Surya tak ada.
Dia baru saja keluar.”
“Boleh saya jumpa Datin
Seri atau Datuk Seri?”
“Awak ni nak jumpa
siapa sebenarnya?” tengking pengawal keselamatan. Suaranya tegas dan langsung
tidak mesra.
“Saya nak jumpa Makyung
Bedah!” Marinah tiba-tiba ikut panas dengan tengkingan itu.
“Mana ada orang nama tu
di sini.”
“Dia mak Puan Surya.”
Marinah terus sahaja menjawab tanpa rasa takut dan bimbang. Dia nekad.
“Puan Surya mana ada
emak?”
Marinah terpana. Sekali
lagi hatinya geram ketika mendengar kata-kata itu. Rupanya semua orang sudah
dirasuk oleh cerita bohong itu.
“Awak pergi dari sini
sebelum saya bertindak,” ancam lelaki itu.
Marinah tetap tidak
berganjak dari situ. Dia tetap bertegas tidak mahu meninggalkan kawasan itu
selagi hajatnya tidak terpenuh.
“Saya akan pergi
selepas jumpa Makyung Bedah. Kalau dia tak ada, saya akan tunggu di sini hingga
tuan rumah ini balik! Awak boleh telegon Datuk Seri, Puan Seri atau Puan Surya
dan suaminya. Saya nak jumpa semuanya!” tegas Marinah.
Pengawal keselamatan
menekan interkom dan bercakap dengan Bik Sumi. Dia melaporkan kehadiran
Marinah.
“Suruh dia tunggu.
Sekejap lagi saya keluar.” Kedengaran suara Bik Sumi memberi arahan.
Marinah rasa lega.
Sekurang-kurangnya ada orang yang sudi mendengar permintaannya.
“Adik cari siapa?”
tanya Bik Sumi meneliti wajah Marinah.
“Saya nak jumpa Mak
Bedah, emak Puan Surya.”
Wajah Bik Sumi berubah.
Dia merenung Marinah dari hujung kaki hingga ke hujung rambut.
“Adik ni siapa?”
“Saya anak angkatnya
dari kampung. Mana dia bik?” Marinah melilau dan menjengah-jengah ke dalam
rumah.
Bik Sumi termenung
lama. Wajahnya masih curiga.
“Siapa kata dia tinggal
di sini?” Bik Sumi menduga.
“Ini rumah Surya. Baru
bulan lepas kami bercakap melalui telefon. Mak kata dia tinggak dengan Surya di
Kuala Lumpur ini,” balas Marinah, tanpa ragu-ragu.
Bik Sumi rasa seperti
hendak menangis. Matanya yang baru kering kini mula berlinangan air mata.
“Bik, tolong bawa saya
jumpa dia bik. Ada orang yang sedang merindui dia di kampung. Dan orang itu
sedang nazak di hospital. Saya mesti bawa dia balik. Tolonglah bik...” rayu Marinah.
Tangan Bik Sumi ditarik dan digenggam penuh harap.
Bik Sumi terharu. Air
mata yang bergenang di birai matanya akhirnya pecah menitik.
“Kamu dah terlambat,”
katanya perlahan.
“Apa maksud bibik?”
Marinah merenung tepat ke dalam mata Bik Sumi.
Namun sebelum sempat
Bik Sumi menjawab, telefon Marinah berdering. Dia segera meraba telefon bimbit
dari beg tangannya.
Nama Imran tertera. Dia
segera menjawab.
“Assalamualaikum Im!”
Tidak ada jawapan salam
dari Imran melainkan sebuah esakan kecil yang sangat meruntun rasa.
“Im, kenapa?” Marinah
mula panik. Tangisan Imran yang mendayu itu sangat menyentuh nubarinya.
“M... mak saya dah
meninggal...” Suara Imran tertahan-tahan.
Marinah terkedu. Dia
terpempan. Telefon di tangannya hampir terjatuh.
“Innalillahhiwainnailaihirajiun...”
ucapnya dengan bibir yang bergetar. Air matanya mula jatuh berjuntaian.
“Siapa yang meninggal?”
tanya Bik Sumi ketika Marinah mematikan talian telefon.
“Memang kita dah
terlambat, bik. Orang yang menunggu Makyung Bedah di kampung sudah kembali
mengadap Ilahi... kesian dia... hajatnya tak sampai,” tangis Marinah.
Esakannya melata lembut
menusuk ke hati Bik Sumi. Walaupun dia tidak mengenali orang yang meninggal
dunia dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya namun dia tetap terasa pilunya
perpisahan itu.
“Memang kita
betul-betul terlambat. Mak Bedah dibawa pergi oleh Surya pagi ini,” kata Bik
Sumi ketika tangis Marinah belum reda.
“Ke mana?” Marinah
mendongak. Air matanya dikesat. Dia baru teringat bahawa tujuannya masuk ke
kawasan rumah mewah itu adalah untuk mencari Makyung Bedah.
“Entahlah. Surya
menghantarnya dengan sebuah teksi. Kasihan mak cik...” keluh Bik Sumi.
“Apa maksud bibik?”
Marinah semakin ingin tahu.
“Dia dikurung di sini.
Datuk, Datin dan Fazrin tidak tahu dia ada di sini. Surya mengurungnya dalam
bilik stor itu. Dia dianiaya... Surya anak derhaka...” Tiba-tiba rasa sebak Bik
Sumi menjadi ledakan tangis yang kuat.
Pengawal keselamatan
yang ada di pondok pengawal menjengah. Wajahnya curiga.
“Bibik, ada masalah
ke?”
Bik Sumi menoleh sambil
menggeleng. Dia tidak mahu pengawal itu tahu apa yang mereka bincangkan.
“Kenapa Surya begitu
zalim?” tanya Marinah sambil mengesat air matanya.
“Dia tak nak keluarga
ini tahu dia ada emak yang miskin. Dia tidak mahu mengaku Makyung Bedah itu
emaknya. Sangat dahsyat perangai dia.”
Marinah mula teringat
akan kata-kata Cik Hezrita. Rupanya memang benar Surya mengaku dia sudah tidak
ada keluarga lagi selain kakak dan abanngya.
“Cik, tolong cari dia.
Aku sangat bimbangkan dia. Dia tak berapa sihat. Sejak akhir-akhir ini dia
memang rindukan kampung. Dia tak selera makan. Dia hanya termenung saja. Aku
tahu dia sangat gembira dapat keluar dari sini. Tapi...” Bik Sumi terhenti.
“Kenapa bik?”
“Dia tak tahu yang dia
tak akan dihantar ke kampung.Aku tahu Surya tak hantar dia ke kampung.”
“Habis tu ke mana?”
Marinah semakin panik.
“Itu yang aku tak tahu.
Kamu kena cari dia. tolonglah.” Bik Sumi bersungguh-sungguh merayu. Walaupun
dia mengenali Makyung Bedah sekejap saja, namun dia rasa sangat bersimpati dengan
nasib wanita itu.
“InsyaALLAH bik. Saya
akan cari dia,” janji Marinah.
Tanpa berlengah dia
melangkah ke kereta yang diletak di luar pagar. Dia menghidupkan enjin. Namun
dia teringat sesuatu. Dia menarik sekeping kertas dari laci kereta dan menuliskan
sesuatu. Kemudian dia keluar semula dari kereta dan berjalan ke arah pagar yang
memang sudah tertutup rapat sebaik sahaja dia keluar tadi.
“Bik, ini nombor
telefon saya. Kalau ada apa-apa, bibik tolong hubungi saya. Tolong ya bik.”
Marinah menghulurkan kertas itu.
Bik Sumi menerimanya
dan dengan cepat pula dia memasukkan ke dalam poket bajunya. Dia tidak mahu ada
orang yang melihatnya. Biarlah pertemuan antara mereka menjadi rahsia. Pengawal
keselamatan yang bertugas pun tidak tahu siapa Marinah. Biarlah dia terus tidak
tahu.