Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 17

Sudah dua bulan masa berlalu. Surya sudah menjadi isteri orang. Berita perkahwinan itu sudah melata ke seluruh ceruk kampung. Sesiapa yang mengenali Surya mula bercakap tentang hal itu. Mereka mula marah dan geram dengan tindakan penyanyi yang sedang mencipta nama itu.

Namun tidak ada seorangpun yang berani bertanyakan hal itu. Pak Mud dan Imran sudah berusaha meminta jasa baik semua warga kampung agar tidak menyebut-nyebut hal Surya itu di hadapan Makyung Bedah.

“Ikutkan hati kami, nak kami telefon wartawan.Biar liputan besar-besaran dibuat kepada kes anak derhaka ini.Biar dia hilang peminat!” kata Mat Deris, yang memang sangat sakit hati sejak Makyung Bedah masuk hospital lagi.

“Tolonglah saudara semua. Jangan sakiti hati dia dengan hal Surya ini. Kalau Surya malu mengaku Makyung Bedah itu ibunya, biarlah. Kita jangan buat apa-apa. Kita serahkan saja kepada ALLAH. Semoga Surya diberi keampunan dari-NYA.” Itu kata Pak Mud kepada orang kampung.

Makyung Bedah semakin kuat. Biarpun dia kerap demam dan lemah, namun layanan Imran yang tulus dan penuh kasih sayang menyebabkan jiwanya menjadi mudah sembuh.

“Biarlah mereka hidup gembira dengan cara mereka mak.Selagi Im ada, Im akan jaga mak sama seperti Im jaga mak Im sendiri. Walaupun syurga Im bukan di bawah telapak kaki ma, tapi Im akan buat rasa mak ada anak yang sayangkan mak,” kata Imran pada satu hari ketika air matanya tidak berhenti mengalir terkenangkan perbuatan anak-anaknya.

“Benar Bedah. Lupakan mereka. Buat apa kau nak kenang kepada yang tak sayang.”

“Sebab mereka anak-anak aku. Aku yang kandungkan mereka. Aku yang lahirkan mereka dan aku pula yang membesarkan mereka hingga berjaya ke universiti dan menjawat jawatan tinggi. Aku menguruskan sendiri hidup kami. Yang Abang Mail tinggalkan kepada kami hanya tanah tapak rumah ini.”

Mak Semah angguk. Memang dia mengakui semuanya benar.Makyung Bedah memang tabah dan kuat. Dia sendiri menumpang semangat sahabatnya itu. Dikala dia rasa susah dan sangat serabut, kepada Makyung Bedah dicurahkan masalah.

Makyung Bedah berusaha mengubat luka hatinya. Sesak di dada perlu dileraikan sebelum ia tersimpul mati dan menjadi satu kesakitan yang tidak terubat.

Dia banyak menghabiskan masa di sejadah. Dia menyerahkan dirinya kepada ALLAH. Bersama air mata yang membasahi pipi, dia berzikir tanpa henti. Dia tidak mahu dilalaikan dengan kesedihan dan kekecewaan itu.

“Anak-anak adalah perhiasan dunia. Jangan sampai kasih sayang terhadap anak-anak melalaikan kita dari mengingati ALLAH.” Itu pesan seorang ustaz dalam sebuah ceramah di masjid.

Pagi itu, ketika azan subuh dilaungkan dari masjid dia belum sepicingpun terlena.Dia semakin rasa dekat dengan ALLAH dan rasa tidak mahu berenggang dari-NYA.

“ALLAH sangat menyayangi hamba-NYA. Untuk itu dia memberikan nikmat yang banyak kepada kita. Cuba fikirkan kejadian kita sendiri. Kita hanya dijadikan daripada debu yang kering. Kemudian ALLAH titipkan kita ke dalam air mani seorang ayah sebelum bersatu dalam rahim seorang ibu. Dari dalam rahim itulah kita dilengkapi dengan tulang temulang dan sifat seorang manusia. Bila lahir ke dunia, kita dilengkapi dengan ilmu dan akal. Dengan akal itulah ALLAH mahu kita beribadat kepada-NYA.” Suara Ismail anak Pak Imam Yunus terasa segar dalam ingatan. Suara suaminya!

“Subhanallah! Maha Suci Engkau ya ALLAH!” ucap Makyung Bedah seperti tersedar dari sebuah lena. Dia segera bangun. Solat sunat dan solat subuh segera dikerjakan dengan kusyuk.

Selesai berwirid dan berdoa, Makyung Bedah membaca Al-Quran. Itu sebahagian dari rutinnya setiap pagi. Namun pagi itu, bacaannya lebih panjang dari biasa.



Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.