Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 45

Keesokan paginya, selepas solat subuh Makyung Bedah meneruskan rutin biasa. Dia mengaji. Namun baru bibirnya dibasahi beberapa ayat, Maryam muncul di muka pintu.

“Mak, saya akan hantar mak ke rumah Surya sekarang. Mak dah siap?” tanya Maryam dengan kasar.

Makyung Bedah angkat muka. Dia menamatkan bacaan. Al-Quran di tangannya segera ditutup.

“Yam, jangan hantar mak ke mana-mana lagi. Hantar saja mak balik ke kampung. Mak tak nak menyusahkan sesiapa lagi. Rumah pusaka yang arwah ayah bina itu cukup untuk mak hidup sampai mak mati,” kata Makyung Bedah dengan lemah lembut dan perlahan.

“Tak boleh! Surya tak nak mak tinggal di kampung.”

“Aku nak balik kampung. Hantarkan aku ke kampung!” tegas Makyung Bedah. Tiba-tiba suaranya berubah nada.

“Tidak mak. Surya dah setuju untuk jaga mak.”

“Surya? Dia nak jaga aku?” Makyung Bedah mengulum senyum sinis.

“Dia baru saja telefon.”

“Bukan kau yang paksa dia, Yam?”

Diam. Maryam rasa dia sedang dijerat.

“Kalau aku di rumah Azman dan di rumah kau ini dah bawa masalah, buat apa aku nak beri Surya masalah juga. Lebih baik aku balik ke rumah aku sendiri. Hidup dan mati aku biarlah di sana,” putus Makyung Bedah.

“Mak! Jangan degil boleh tak? Ikut saja apa yang kami rancang ni. Semua untuk kebaikan!” Tiba-tiba Maryam menengking.

“Untuk kebaikan kau adik beradik, tapi bukan untuk kebaikan aku!” balas Makyung Bedah pula.

“Mak nak ke tak nak, sekarang saya nak hantar ke sana. Tak boleh nak tunggu lagi. Mari!” ajak Maryam.

Makyung Bedah masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia diam membatu.

Maryam keluar dari bilik dan segera ke garaj. Dia menghidupkan enjin kereta. Kemudian dia masuk semula untuk mengambil beg tangannya. Dia menjengah ke bilik Makyung Bedah.

“Mak! Cepatlah. Saya tak cukup masa nak main-main macam ni!” jerit Maryam.

Air mata seorang ibu berlinangan. Kenapa dalam suara Maryam langsung tidak ada kasih sayang dan rasa hormat. Rasanya dia tidak pernah mengajar anak-anaknya dengan kasar. Tetapi kenapa anak-anaknya menjadi begitu kasar dengan orang tua?

Dengan perlahan, akhirnya Makyung Bedah bangun. Beg dikelek dengan kemas sebagai tanda menguatkan perasaannya yang sedang haru biru dan retak!

Sepanjang jalan dia diam. Maryam pun diam.

“Kita dah sampai rumah Surya. Saya tinggalkan mak di depan pagar tu. Mak jangan ke mana-mana pulak, nanti Surya keluar ambil mak.”

Makyung Bedah tidak menggeleng, tidak pula mengangguk. Hatinya cuma berbisik, “Buatlah apapun anak, kerana ibu tua ini sudah menjadi Quran buruk untukmu ...’

Makyung Bedah berdiri di luar pagar. Seorang pengawal keselamatan mendekatinya.

“Mak cik nak jumpa siapa?”

“Saya nak jumpa anak saya, Surya.”

Lelaki itu meneliti wajah Makyung Bedah dengan rasa kurang senang dan cuak. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dia merenung, mencari jawapan.

Makyung Bedah berdiri dengan tenang. Dia tahu mesti tidak akan ada yang mempercayainya.

“Pak cik! Puan Surya suruh benarkan mak cik ni masuk.” Tiba-tiba seorang wanita muncul dari belakang.

“Jadi, benarlah ini maknya Puan Surya?”

Namun soalan itu tidak berjawab. Makyung Bedah sudah dipimpin masuk dan pagar segera ditutup.

Makyung Bedah memandang rumah besar itu dengan pandangan kosong. Sedikitpun dia tidak berbangga. Rumah gedung itu memang begitu mewah. Tetapi itu bukan rumah Surya. Itu rumah keluarga suaminya. Surya hanya bernasib baik kerana dipilih menjadi sebahagian daripada ahli keluarga rumah itu.

Sudah dua rumah dia menumpang. Sudah dua anak dia rasa ‘belaian’nya. Kini dia sampai ke rumah yang ketiga. Dia belum tahu nasibnya di rumah itu.

Makyung Bedah dibawa masuk melalui pintu belakang.

“Mak cik tunggu di sini ya. Kejap lagi Puan Surya akan turun. Mak cik nak minum apa?”

“Air kosong.” Makyung Bedah duduk dengan tenang. Dia tidak berselera untuk meminta lebih dari air kosong. Hanya tekaknya yang perlu dibasahkan.

Segelas air kosong diletakkan di hadapannya. Dengan bismillah, dia meneguk air itu dengan perlahan. Sejuk. Dahaganya hilang.

Makyung Bedah cuba memujuk hati agar bertenang dan tabah. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Tanpa menunggu lama dia menekan butang dan menjawabnya.

“Mak, jadi tak mak balik kampung?” Suara Marinah menerjah telinga. Suara itu sarat dengan harapan dan rasa rindu.

“Inah, maafkan mak...” Suara Makyung Bedah pula mula sebak.

“Mak tak jadi balik? Tapi kenapa?”

“Mereka tak nak hantar mak balik. Mak pula tak tahu nak balik sendiri.”

“Kalau macam tu, mak berikan alamatnya. Biar Inah datang ambil mak.”

“Mak tak tahu mak ada di mana, Inah. Nantilah, kalau ada peluang mak minta alamat rumah ini dengan Surya.”

Akhirnya perbualan usai dengan rasa hampa. Marinah tidak mampu berbuat apa-apa. Makyung Bedah pula hanya menahan esak dan sebak.

“Hah, mak dah sampai?” Surya muncul di hadapannya dengan pakaian yang cantik dan rapi.

Makyung Bedah merenung wajah Surya. Cantik. Itu yang terbetik di hatinya. Benar juga kata Pak Mud, Surya adalah bayangan dirinya waktu muda-muda dulu.

Pertanyaan Surya itu dibalas dengan senyuman yang terpaksa. Dia tenang menunggu Surya mendekat dan bersalam. Dia menanti Surya memeluknya dengan penuh rindu. Dia pejamkan mata, menanti penuh harap!

Namun semuanya tidak berlaku. Surya tidak memeluknya. Malah Surya juga langsung tidak mendekatinya. Rindunya terbiar sepi. Aduhai anak...

“Mari, saya tunjukkan bilik mak.” Surya berjalan ke arah pintu.


Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.