Seminggu selepas itu,
Imran menerima jawapan dari pihak Jabatan Kesenian Negara. Jawapan yang sangat
menyenangkan hati Imran. Dia segera menghidupkan enjin motor.
“Im! Nak ke mana?”
laung Mak Semah dari dalam.
“Nak ke rumah Mak Bedah
kejap, mak!”
Imran tidak berlengah
lagi. Khabar itu mesti segera disampaikan. Dia suka sekali melihat senyum
senang Makyung Bedah. Mudah-mudahan ada perkara yang mampu membuat hatinya rasa
gembira.
Ketika Imran sampai,
Makyung Bedah sedang memberi makan ikan di kolam belakang rumahnya.
“Mak! Mereka terima
usul saya untuk memasukkan mak dalam senarai penggiat seni dan budaya dan
warisan Melayu. Mak akan dijemput untuk bertemu siswa sebuah universiti tak
lama lagi. Mereka sangat teruja nak jumpa mak,” kata Imran menunjukkan surat
yang diterimanya.
Makyung Bedah mendekat.
Matanya bercahaya.
“Bila?”
“Dua minggu lagi.”
“Im temankan mak ya?”
“Siapa nak tengok mak
saya tu pula?” Imran serba salah. Dia tahu Makyung Bedah tidak mampu berjalan
sendirian. Apa lagi di tengah kota besar Kuala Lumpur.
Makyung Bedah
termenung.
“Kalau macam tu, tak
payahlah mak pergi. Nanti mak sesat di sana. Nanti mak tak tahu nak buat apa.
Mak tak pernah pun ke Kuala Lumpur tu.”
“Kan mak pergi masa
majlis konvokesyen Abang Man, Kak Yam dan Surya?”
“Itu mereka yang bawa.
Masa konvo Surya, mak hanya ditinggalkan di hotel. Mak tak dibenarkan pergi ke
majlis tu. Alasannya, mereka tak nak mak pengsan di celah orang ramai.”
Giliran Imran pula
termenung.
“Kalau macam tu,
nantilah kita bincang dulu dengan mak Im. Tapi, Im nak mak pergi.”
“Kenapa Im ni beria-ia
sangat?”
“Sebab Im nak mak
dikenang. Masa mak tersohor dulu, generasi kami masih kecil dan tak pernah
kenal mak. Mak memang patut diberi penghargaan.”
**
Perjalanan ke Kuala
Lumpur mengambil masa enam jam. Lenguh seluruh tubuh Makyung Bedah duduk dalam kereta.
Sepanjang jalan dia berpusing ke kiri dan ke kanan. Nasib baik juga tempat
duduk dalam kereta itu luas dan selesa. Kalau sempit dan sesak entahlah apa
yang berlaku kepadanya.
Kalau tidak kerana
Imran, memang dia tidak akan berjalan sejauh itu. Imran yang bersusah payah dan
beriya-iya.
“Mak, maafkan Im kerana
tak dapat hantar mak ke sana.”
“Kalau macam tu, mak
pun tak payah ke sana. Mak takut Im.”
“Jangan hampakan mereka
mak. Siswa-siswi dari Fakulti Seni terlalu ingin berjumpa mak. Mereka mengharap
sangat.”
“Habis macam mana?
Takkan mak nak pergi sorang diri?” Makyung Bedah terpinga-pinga bingung. Imran
terlebih-lebih lagi.
“Im, pergilah temankan
Mak Bedah. Mak boleh minta tolong sesiapa temankan mak tidur. Hal yang lain,
mak boleh buat sendiri. Untuk makan, mak suruh saja budak-budak belikan nasi
bungkus,” kata Mak Semah pula.
“Ish jangan Semah.
Jangan kerana aku kau pula nak susah begitu. Imran kena jaga kau,” tingkah Mak
Semah dengan cepat.
Imran mati akal. Memang
dia buntu. Lalu hal itu diceritakan kepada Tengku Asnida, Ketua Urusetia yang
menganjurkan pertemuan itu.
“Jangan susah pasal
itu. Pihak kami akan datang mengambil Mak Bedah di sana.”
“Betulkah? Kalau tidak
saya terpaksa batalkan pertemuan ini.”
“Ya. Nanti kita aturkan
tarikh dan masanya. Kami akan membayar semuanya. Kami hanya nak orang yang
bernama Makyung Bedah itu ada bersama kami.”
Hati Imran sangat
senang. Dia menarik nasaf lega.
“Mereka akan datang
ambil mak.”
Hendak tak hendak,
Makyung Bedah terpaksa akur dengan perjalanan itu. Tidak ada alasan lagi untuk
menolak.
“Puan, nama saya Marinah.”
Seorang gadis yang manis bertudung sopan menghulurkan tangan.
“Tolong jangan panggil
puan. Panggil mak saja. Cakap dengan kawan-kawan. Mak nak kita berbual dalam
keadaan mesra dan selesa,” kata Makyung Bedah ketika menerima huluran tangan
“Baiklah mak. Saya yang
akan jaga mak selama mak di Kuala Lumpur ni. Mak jangan segan dan malu dengan
saya. Kalau mak perlukan apa-apa, mak cakap saja,” kata Marinah dengan senyum
senang.
Makyung Bedah merenung
wajah wanis Marinah dengan mata kasih seorang ibu.
“Cik Marinah, saya
harap awak jaga mak saya ni dengan baik,” kata Imran kepada gadis yang bernama Marinah
itu.
“Insya-ALLAH saya akan
jaga dia seperti saya menjaga emak saya sendiri. Awak jangan susah hati.”
Memang benar apa yang
dijanjikan oleh Marinah. Makyung Bedah memang dijaga dengan baik. Dia dilayan
seperti seorang ratu.
“Mak, mak berehat dulu
ya. Malam ni kita berehat saja dulu. Esok baru kita ke majlis itu.”
“Mak nak mandi dan
solat. Mana kiblatnya?”
Marinah mendongak ke
atas. Ada satu anak panah menunjukkan arah kiblat.
“Arah ke sana, mak,”
tunjuk gadis itu.
“Kamu tak solat ke?”
“Ermm... saya uzur
mak.”
“Kalau betul-betul uzur
tak apa. Jangan kamu yang sengaja uzurkan diri kerana malas nak solat. Solat
itu wajib. Ia tiang agama. Kalau agama kita tidak bertiang macam mana?” Makyung
Bedah merenung wajah Marinah dengan renungan kasih sayang.
Marinah terkebil-kebil
resah.
“Maafkan mak ya. Mak
cuma nak ingatkan kamu. Sebagai saudara seIslam, tidak salah kalau kita saling
mengingati. Dahlah, mak nak mandi dan berwuduk dulu.” Makyung Bedah bangun.
“Mak...” Tiba-tiba
menarik tangan Makyung Bedah. Dia mencium tangan Makyung Bedah berkali-kali.
“Ada apa ni?” Makyung
Bedah rasa canggung dan pelik dengan kelakuan gadis itu.
“Saya terharu dengan
teguran mak. Saya rasa macam mak saya masih hidup,” jawab Marinah bernada
sebak.
“Teguran ke arah
kebenaran kena terima dengan hati terbuka.”
Marinah angguk
perlahan.