Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 8

Imran angguk. Dia sudah biasa dengar penjelasan itu dari mulut ibunya.Sejak kecil lagi.

“Sayangnya dia pergi dulu. Dalam usia masih muda, dia tinggalkan kita. Tapi perginya dengan aman dan tenang. Perginya tinggalkan Mak Bedah bersama tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih kecil,” kata Makyung Bedah.

Imran diam. Dia masih mengunyah jemput-jemput. Sekali-sekala dia menghirup kopi O dari cawan. Dia masih ingin mengunyah kisah hidup Makyung Bedah. Walaupun sejak kecil, semua cerita itu selalu didengar, namun dia tidak pernah jemu.

“Kita sama-sama ditinggalkan dengan tanggungjawab, Bedah. Cuma cara Abang Mail pergi lebih terhormat dan mulia kerana dia pergi atas jemputan ALLAH. Tapi aku…” Mak Semah menoleh kepada anaknya. Dia rasa kesal berkata begitu. Dia terlupa bahawa Imran ada bersama mereka. Kalau boleh Imran tidak perlu mendengar keluhannya.

“Ya, dia pergi kerana ALLAH sayangkan dia. Kasih sayang kita tak dapat mengatasi hak ALLAH. Aku reda dengan pemergiannya. Cuma, aku kesal dengan sikap anak-anak aku. Mereka tak pernah ingat dan tak pernah menghargai pengorbananku selama ini,” balas Makyung Bedah. Wajahnya yang tadi ceria menjadi murung.

“Sabarlah Bedah. Kau kena terus berdoa agar hati mereka terbuka untuk ingat pada kau.” Mak Semah memujuk. Dia tahu pujukan itu hanya sebagai basa basi sahaja. Dia sendiri tidak yakin dengan apa yang diucapkannya.

“Harap-harap begitulah. Sungguhpun mereka benci aku, aku tak pernah benci mereka.”Suara Makyung Bedah bergetar sebak.

“Mak Bedah, jangan susah hati.Biarkan mereka dengan cara mereka. Kita di sini perlu terus hidup dengan gembira. Kalau Mak Bedah sudi, anggaplah saya ini anak Mak Bedah. Adik kepada Abang Man dan Kak Yam. Abang kepada Surya,” kata Imran cuba menamatkan suasana pilu yang muncul tidak dijemput itu.

Makyung Bedah angkat kepala. Matanya bertembung dengan mata Imran yang sedang mengerdipkan mata kepadanya. Mata itu jernih. Wajah itu tulus. Hatinya sangat tersentuh dan berkenan dengan anak muda itu.

“Mahukah Im jadikan penari makyung ini sebagai emak?”

“Mahu.” Imran menjawab spontan. Tidak mengambil masa untuk berfikir.

“Im tak malu?”

“Biarlah kita letakkan rasa malu itu pada tempat yang baik. Kalau malu untuk melakukan perkara yang mungkar itu akan mendapat pahala ALLAH. Saya rasa mengangkat martabat seorang wanita yang pengasih ini sebagai ibu, juga akan mendapat keredaan ALLAH,” jawab Imran dengan tenang. Memang dia berkata ikhlas.

Kaca yang ditahan oleh Makyung Bedah tadi, akhirnya benar-benar pecah dan jatuh berhamburan.

Hatinya sangat tersentuh dengan kata-kata anak muda yang ada di hadapannya. Mahu saja dia memeluk anak muda itu. Namun, mereka masih dibatasi hukum. Walau sayang mereka setinggi gunung, mereka tetap bukan muhrim!

“Mak, sabarlah…” pujuk Imran sambil meletakkan tangannya di bahu Makyung Bedah. Tubuh itu bergoncang. Sentuhan Imran menambahkan gegarannya.

“Benar tu Bedah. Imran pun tidak ada sesiapa melainkan aku.Apa salahnya dia ada emak seorang lagi. Aku rela berkongsi kasih Imran dengan kau, Bedah,” kata Mak Semah pula.

Makyung Bedah semakin terharu. Mata Mak Semah direnung lama. Mata itu tetap bening dan jernih tulus sejak dari zaman mereka kanak-kanak.

Makyung Bedah menarik Mak Semah ke dalam pelukannya.

“Terima kasih Semah. Hanya kau yang ada ketika aku bersedih. Dari zaman dulu hingga kini, kau tetap setia menjadi sahabat aku,” bisik Makyung Bedah di hujung telinga Mak Semah.

“Kau pun sama. Masa aku susah dan terlantar di hospital, siapa yang bergilir-gilir jaga aku kalau bukan kau. ALLAH dah berikan aku sahabat yang baik. Biarlah Imran mendapat emak angkat yang baik. Kalau aku tak ada, dia masih ada kau.”

“Ish! Jangan cakap pasal mati ketika aku masih belum puas dengan kasih sayang kau,” kata Makyung Bedah sambil meleraikan pelukannya.

“Kita tak perlu takut pada mati. Mati itu kan memang wajib untuk kita yang hidup,” balas Mak Semah dengan senyuman.

“Itu aku tahu. Tapi, aku selalu minta dari ALLAH.”

“Apa yang kau minta? Minta nak kahwin sebelum mati?” gurau Mak Semah dengan ketawa panjang.

“Apa celupar mulut kau ni? Nak kena cili ke ?” Makyung Bedah mencubit paha Mak Semah.

Mereka sama-sama ketawa. Imran melihat gelagat kedua-dua emaknya itu dengan ketawa juga.

“Apa yang kau minta?” tanya Mak Semah.

Makyung Bedah tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengambil cawan kopi dan meneguk seteguk dengan penuh nikmat kopi.

“Aku minta ALLAH ketemukan aku dengan anak-anak aku sebelum aku mati. Aku nak jumpa menantu-menantu aku. Aku nak peluk cucu-cucu aku.Aku nak rasa semua tu, baru aku nak mati. Mengada-ngada aku ni kan?” Makyung Bedah merenung wajah Mak Semah.

Ketika itu Mak Semah tunduk merenung lantai. Dia tidak berani melihat mata sahabatnya itu. Dia bimbang pada air matanya yang merembes laju.

“InsyaALLAH. Kalau itu permintaan mak, ALLAH pasti akan memakbulkannya. DIA kan Maha Tahu dan Maha Mengasihani,” kata Imran cuba menyelamatkan suasana dari terus menerus menjadi lara.

“Ya, insya-ALLAH,” bisik Makyung Bedah.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.