Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 23

Makyung Bedah terus masuk ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, matanya terpandang kepada Marinah yang masih termenung. Dia tidak mahu menegur.

Dia menunaikan solat dengan tenang dan kusyuk. Kemudian lama pula dia berwirid dan berzikir. Ketika itu tidak ada orang lain yang muncul antara dia dan ALLAH. Langsung tidak berhijab. Dia memohon doa terus kepada ALLAH.

“Ampuni anak-anakku ya ALLAH. Berikan mereka perlindungan dan rahmat-MU. Sesungguhnya aku adalah ibu yang tidak berdaya...” Makyung Bedah menahan sebak. Dia terdiam lama, mengulum semua duka dan pilu hati. Menelan semua rasa rindu kepada arwah suami dan anak-anaknya dengan tabah.

Lama di sejadah, akhirnya dia bangun dan mengemas sejadah.

“Mak, mari kita keluar makan,” ajak Marinah.

“Tak apalah. Mak tak rasa lapar. Kamu pergilah.”

“Mak kena makan. Nanti mak lapar nak tunggu hingga pagi esok.”

Makyung Bedah berfikir sejenak. Benar juga kata Marinah. Kalau dia tak makan, pasti perutnya akan pedih menunggu masa bersarapan pagi esok.

“Baiklah, mak ikut kamu. Tapi, jangan jauh-jauh sangat. Pening kepala mak naik ereta tadi tak habis lagi ni,” kata Makyung Bedah. Dia menukar pakaian. Jubah hitam pemberian Azman beberapa tahun yang lepas dipakainya. Jubah itu sangat digemarinya. Banyak kali dia memakai dalam majlis-majlis yang dihadiri di kampung.

“Kita makan kat restoren di tingkat bawah sahaja,” kata Marinah ketika melihat Makyung Bedah sedang berkemas.

Mereka turun menaiki lif. Kemudian Marinah memimpin Makyung Bedah ke arah satu meja yang jauh dari pelanggan lain.

“Mak nak makan apa? Biar saya ambilkan. Di sini, kena layan diri,” kata Marinah selepas mendudukkan Makyung Bedah di kerusi.

“Apa sahaja asal jangan masakan barat. Biarlah masakan kampung dan masakan Melayu sebab mak ni masih orang Melayu tulin,” jawab Makyung Bedah, menyengih.

Marinah berlalu. Makyung Bedah tinggal sendirian. Dia melilau melihat perhiasan yang ada di restoren itu. Semuanya cantik dan mahal-mahal belaka. Sesuatu yang tidak mungkin ditemui di kampung.

“Kalau nanti Man dah kerja dan bergaji besar, Man akan buat rumah batu untuk mak. Man akan upah seorang pakar hiasan dalaman untuk menghias rumah kita nanti.” Terngiang suara Azman sepuluh tahun dulu.

“Man, atap rumah kita dah mula bocor.”

“Mak gunalah dulu duit yang Man berikan pada tiap bulan tu. Man tak ada duit ni.”

“Tapi duit tu mak nak simpan untuk ke Mekah. Mak teringin sangat nak ke Mekah. Kalau tak dapat pergi haji pun mungkin pergi umrah pun jadilah,”

“Mak, baikilah dulu atap tu. Nanti kalau Man balik, Man berikan ganti duit mak tu.”

Makyung Bedah mengeluh perlahan. Bukan kerana atapnya yang bocor, tetapi kerana Azman yang tidak pernah muncul lagi selepas berjanji begitu.

“Mak, silakan makan. Semua lauk kampung ni. Ada kerabu nangka. Ada daging bakar cicah air asam, ada masak lemak pucuk paku. Jemput makan, mak.” Marinah berdiri dengan sedulang lauk pauk.

“MasyaALLAH! Banyaknya. Mak tak boleh habis ini,” kata Makyung Bedah.

“Tak apa. Mak makan saja. Kalau tak habis, biar saya yang habiskan.”

Makyung Bedah mencedok kuah lemak pucuk paku untuk membasahkan nasi. Dia mula membaca bismillah. Sesuap nasi disuakan ke mulut. Kunyahannya sangat perlahan dan tertib. Dia seperti memaksa selera.

“Ada ikan kering tak?” Makyung Bedah menoleh ke arah Marinah yang juga sedang mengunyah.

“Nanti saya tengok ya mak.” Marinah segera bangun dan berjalan ke arah meja buffet. Tidak lama dia kembali ke meja dengan sepiring ikan kering.

“Hanya ini yang ada mak,” kata Marinah sambil meletakkan piring itu di hadapan Makyung Bedah.

Mata Makyung Bedah berkaca riang. Dengan cepat dia mencubit ikan kering. Seleranya tiba-tiba muncul. Nasi putih dengan ikan kering sepat itu terasa sangat menepati seleranya. Namun semuanya tidak lama. Beberapa suap kemudian, kunyahan terhenti. Fikirannya menerawang kepada masa lalu...

“Mak, tengoklah abang ni. Habis ikan kering Yam dia ambil. Habis Yam nak makan dengan apa?”

“Man, kenapa buat adik macam tu. Kan mak dah bagi sorang seekor?”

“Ala... gurau pun tak boleh. Yam ni manja sangatlah!”

“Mak, Surya nak ikan kering lagi,” celah Surya dengan mulut yang penuh.

“Ikan tu empat ekor saja Su.”

“Kenapa sikit sangat?”

“Memang mak beli empat ekor sahaja.”

“Kenapa beli sikit sangat? Mak tahu Su suka ikan ni!”

“Nanti esok kalau mak ada duit lebih mak beli banyak-banyak ya. Sekarang makanlah apa yang ada.”

“Su nak ambil bahagian mak, boleh?”

“Su! Kenapa kurang ajar sangat ni. Habis mak nak makan dengan apa nanti!” jerit Maryam sambil mengangkat tangan ke arah Surya.

“Nanti mak merajuk, mak panggil batu belah batu bertangkup. Padan muka. Mak akan tinggalkan kau!” kata Azman pula.

“Betulkah mak nak merajuk dan tinggalkan kita?” Surya merenung wajahnya. Makyung Bedah hanya tersenyum.

“Mak jangan tinggalkan kami ya. Su janji tak ambil ikan kering mak. Su boleh makan nasi dengan kicap saja. Mak jangan tinggalkan Su ya!”

Hati Makyung Bedah sangat tersentuh dengan kata-kata Surya itu.

“Mak, ada apa?” Bahunya disentuh lembut. Dia menoleh. Marinah merenungnya dengan rasa aneh.

“T...tak ada apa-apa.”

“Masin sangatkah ikan kering ni?” tanya Marinah lagi.

“Dah nama ikan kering. Kalau tak masin, ia dipanggil ikan tawar. Kalau dikampung mak, ikan tawar sedap dicicah dengan budu.”

MakYung Bedah membasuh tangan. Seleranya hilang. Tidak boleh dipaksa lagi. Wajah ketiga-tiga anaknya muncul menghalang kelazatan ikan kering di hadapannya.

“Kenapa mak berhenti?”

“Mak dah kenyang. Orang tua tak boleh makan banyak.”

“Mak diet ke?” Marinah cuba bergurau. Walaupun dia tahu lawaknya lawak bodoh, namun hatinya rasa senang bila melihat Makyung Bedah ketawa perlahan.

“Biar saya ambilkan mak pencuci mulut. Mak nak apa? Buah-buahan atau kuih?”

“Apa-apalah. Sudah dilayan begini, mak rasa tak ada hak nak memilih.”

Marinah bangun dan berjalan semula ke arah meja buffet. Makyung Bedah sendirian lagi. Rasa rindu kepada anak-anaknya mengalir lembut dari sudut jiwa seorang ibu.

Ketika dia termenung itu, tiba-tiba dia terpandang kelibat seorang lelaki berjalan beriringan dengan seorang wanita berjalan ke arah restoren itu. Mereka nampak begitu mesra. Sekali sekala lelaki itu memeluk bahu wanita itu.

Darah Makyung Bedah berderau. Denyut jantungnya menjadi kencang. Dia bangun dan berjalan ke arah pasangan itu.

“Man? Anak mak!” tegur Makyung Bedah dengan dada sebak. Seluruh minda dan penglihatannya tertumpu kepada wajah sasa anak sulungnya itu. Setahun lebih tidak bersua muka. Setahun lebih tidak mendengar suara. Kini Azman ada di hadapan mata. Alangkah gembiranya.

“M... mak? Apa mak buat kat sini?” tanya Azman, sedikit gugup.

“Mak ada kerja sikit di sini.”

“Kerja? Sejak bila pulak mak ni pandai keluar rumah cari kerja?”

Makyung Bedah tidak menjawab. Dia meneliti wajah Azman dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Kerinduannya terlerai.

“Man, mari mak peluk Man. Mak rindu sangat pada Man. Siang malam mak tunggu nak jumpa Man macam ni. Mari mak peluk Man...” Makyung Bedah mendepang tangannya. Dia pejamkan mata. Dia mengharapkan Azman merebahkan diri ke dalam pelukannya. Dia rindukan kehangatan tubuh Azman...

“Sayang, siapa ni?” tanya wanita yang ada bersama Azman.

Makyung Bedah menoleh. Matanya bertembung dengan mata wanita itu. wajah Makyung Bedah berubah. Wanita itu bukan menantunya? Dia bukan isteri Azman.

“Man, siapa ni?”

Azman segera menarik tangan wanita itu dan meninggalkan Makyung Bedah dengan seribu tanda tanya.

Makyung Bedah ingin menjerit memanggil Azman. Namun, dia rasa malu apabila menyedari ada berpuluh mata yang sedang melihat ke arahnya. Hajatnya ingin memeluk Azman tidak tercapai!

“Mak, kenapa ni?” Marinah muncul dengan sepiring kuih di tangannya.

Makyung Bedah segera membetulkan dirinya. Air mata yang bergenang segera disapu. Dia tidak mahu Marinah nampak titisan pilu seorang ibu.

“Tak ada apa. Mak salah orang. Mak ingat anak mak. Orang lain rupanya,” jawab Makyung Bedah dengan senyuman yang dipaksa.

“Kes rindulah ni,” balas Marinah pula. Dia memimpin Makyung Bedah kembali ke meja.

Makyung Bedah terdiam. Ketika Marinah menghulurkan buah-buahan, dia mengambil dan mengunyahnya tanpa sepatah kata. Fikirannya amat terganggu dengan kemunculan Azman tadi. Lebih terganggu dengan kemunculan seorang wanita lain di sisi anaknya itu!


Previous: bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.