Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 10

Malam itu, Makyung Bedah tidak mampu untuk berjemaah di masjid. Dia mengerjakan suruhan yang wajib itu di rumah sahaja. Dari maghrib hingga isyak, dia hanya duduk bermenung di atas sejadah.

Usai solat isyak, Makyung Bedah cuba menghubungi Maryam. Dia ingin mendengar apa pula kata Maryam dalam hal itu. Dia berharap dapat meluahkan rasa kecewanya kepada Maryam.

“Ada apa mak telefon ni? Duit mak dah habis ke?” tanya Maryam sebaik saja dia memberi salam.

Jantungnya hampir terputus dari tangkai.

“Yam, kau jangan ingat mak ni mata duitan sangat. Untuk pengetahuan kau, duit yang kau adik beradik beri setiap bulan itu belum mak sentuh lagi. Kalau kau nak, kau baliklah dan ambil balik semuanya!” balas Makyung Bedah, dengan suara meninggi. Geramnya terlepas.

Diam. Suasana senyap. Makyung Bedah cuba menguatkan hati. Sungguhpun dia rasa sangat merana dengan kata-kata Maryam itu, dia kena kuat untuk mencari kebenaran mengenai kisah perkahwinan Surya itu.

“Kalau tak nak duit, mak nak apa ni?” tanya Maryam lagi namun kali ini suaranya lebih lembut.

“Mak nak tanya kau pasal adik kau Surya. Betulkah dia dah berkahwin malam tadi?”

“Ya mak. Nikah semalam siang dan majlis persandingannya malam tadi di sebuah hotel. Kenapa mak?” tanya Maryam tanpa rasa bersalah.

Sekali lagi dada Makyung Bedah bagai dirobek-robek. Kebenaran yang dicari sangat menyakitkan. Ditambah pula dengan soalan Maryam yang tidak disangka. Dia tidak segera menjawab.

Air matanya dibiarkan berjuntaian tetapi dia cuba menahan esak.Terasa dirinya amat kecil dan tidak diperlukan langsung oleh anak-anak.

“Mak, Surya dah kahwin anak Datuk Seri. Suaminya pewaris kekayaan keluarga itu.Mak jangan kacau hidup dia ya!”

“Apa maksud kau, Yam?” Makyung Bedah masih ingin mendengar apa yang tidak sanggup didengarnya.

“Itupun mak tak faham?Maksudnya, Surya mesti tak nak mak campur urusan dia lagi. Dia dah ada keluarga baru. Jadi, mak tak usah nak telefon dia lagi,” kata Maryam lagi.

“Yam, siapakah orang tua ini? Apa hubungannya dengan Surya? Orang tua ini tetap mak dia. Dia tak boleh nak suka-suka hati memutuskan hubungan yang ALLAH beri ini. Dia siapa nak buat macam tu. Hanya maut yang boleh pisahkan hubungan ini. Itupun pertalian tetap ada selepas mati,” balas Makyung Bedah dengan tegas, kasar.

“Mak, tolonglah faham keadaan kami. Kami dah ada keluarga dan hidup kami sendiri.”

“Jadi, bila anak-anak dah kahwin mereka kena buang ibu bapa mereka? Dan kamu semua nak buang mak kamu ni? Hukum mana yang kamu ikut, Yam?” Suara Makyung Bedah separuh menjerit.

“Bukan macam tu. Kami hanya minta sedikit belas kasihan dari mak. Kami anak perempuan. Tanggungjawab kami lebih kepada suami dan keluarga.”

Darah merecik dari luka hati Makyung Bedah. Dia rasa dinding kehidupannya penuh dengan percikan darah. Lukanya sangat menyakitkan dan dia rasa lemah longlai.

Aduhai anak…

“Inikah yang kau belajar di universiti itu? Kau bercakap seperti orang yang tak ada ilmu. Kau tu seorang guru, Yam. Tak malukah kau bercakap dengan mak seperti itu?”

“Mak, kami minta mak faham. Tolonglah mak. Tolong faham keadaan kami…” Suara Maryam separuh merayu.

Ketika itu, Makyung Bedah rasa dia tidak perlu menegakkan haknya lagi. Maryam tidak akan faham perasaan seorang ibu tua yang malang. Maryam sudah berubah.

“Mak faham… mak tahu… mak janji. Tapi, mak tak boleh paksa hati seorang ibu dari merindui anak-anak….” Esakannya terhambur.

Gagang telefon segera diletakkan. Tidak sanggup lagi dia mendengar suara Maryam. Dia juga tidak mahu Maryam mendengar tangisannya.

“Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim…kuatkan hatiku ini ya Tuhan. Sangat berat dugaan-MU ini ya Rabbi…”

Dia terbaring. Semalaman hingga keesokan hari, dia tetap lemah dan tidak mampu bergerak seperti biasa.Sesuap nasi pun tidak menyentuh bibirnya. Seteguk air pun tidak membasahi tekaknya. Dia hanya gagahkan diri untuk bangun mengerjakan solat.Dia tidak mahu lalai tentang itu.

Selesai solat, dia terus merebahkan diri ke atas sejadah. Memang sangat tidak upaya.

Masuk hari kedua, selepas usai subuh dia memaksa tekaknya dibasahi segelas susu. Dia tidak mahu mengikut kehendak selera yang hilang.

Kemudian dia gagahi diri menelefon Azman. Dia ingin mengadu resah hati kepada anak lelaki tunggalnya itu.

Dia tahu dan yakin bahawa Azman yang mewalikan pernikahan Surya. Hanya dia waris yang layak.

“Sampai hati Man tak beritahu mak langsung hal ini,” kata Makyung Bedah selepas selesai bertanya khabar sebagai basa basi.

“Mak, masa dah suntuk dan terdesak.Surya nak sangat majlis itu dipercepatkan. Kita tak sempat nak berbincang dan bertanya pendapat. Sebagai wali, aku mesti bertanggungjawab.”

“Itu mak tahu. Tapi takkan nak beritahu mak pun susah. Ini mak kamu! Bukan mak tiri atau mak mertua. Tapi ini mak yang melahirkan kau, Man.”

Tidak ada jawapan dari Azman.

“Man, sampai hati kau walikan Surya tanpa pengetahuan mak.Kau nafikan hak mak sebagai ibu…”

“Mak, kalau saya cakap pun mak mesti tak akan dapat datang.”

“Kenapa kau cakap macam tu? Apa maksudnya?” Suara Makyung Bedah semakin kasar dan kering.

“Majlis itu majlis orang kaya-kaya mak. Ada ramai VIP. Mereka datang dengan pakaian yang mahal-mahal. Mereka bercakap dengan gaya orang pandai-pandai. Mak mesti tak mampu nak bercampur dengan mereka. Saya bimbang kalau mak akan jadi rusa yang masuk kampung. Mak hanya akan merosakkan majlis itu.”

Azman menikam dada seorang ibu tanpa belas kasihan. Sangat tertusuk! Sakitnya ALLAH saja yang tahu.

“Jadi, hanya kerana itu kamu tak beritahu mak?”

“Sebenarnya itu permintaan Surya. Dia yang minta saya rahsiakan dari mak. Dia yang tak nak mak datang,” kata Azman.

Makyung Bedah terdiam. Benarkah telinga yang mendengar?

“Dia malu kalau orang tahu dia berasal dari kampung dan dari kalangan orang biasa. Dia tak nak keluarga mertuanya, Datuk Seri Azimi tahu dia dilahirkan oleh seorang penari makyung. Dia tidak mahu…”

“Sudahlah…” Makyung Bedah memotong cakap Azman. Lehernya sudah berselirat dengan duri-duri tajam hingga dia tidak mampu menelan liur. Sangat perit dan menyakitkan. Namun dia harus kuat. Azman harus tahu perasaannya.

“Cukuplah kamu semua menghina mak. Mak memang orang kampung. Mak memang miskin. Mak memang tak ada baju cantik-cantik. Mak memang penari makyung. Mak… mak…” Sampai di situ sahaja kekuatannya.

Dia tidak mampu meneruskan apa yang ingin diluahkan.Dia menangis teresak-esak. Dia membiarkan tangisnya melimpah membanjiri. Biar Azman tahu dia menderita. Biar anak lelaki tunggalnya itu perasan akan hatinya yang terluka.

“Mak, biarlah Surya meneruskan hidupnya. Janganlah diganggu dia. Dia dah bahagia dengan keluarga barunya. Mak tentu nak Surya gembira dan bahagia, kan?”

“Ya. Setiap mak tak pernah inginkan anaknya susah dan menderita. Setiap mak memang inginkan anaknya bahagia dan hidup mewah. Tapi, bukan dengan cara ini. Hati seorang mak sedang remuk sekarang. Susah payah seorang mak sedang dilupakan. Apa salah mak? Rasanya mak dah berikan ilmu dunia dan akhirat yang cukup. Mak sanggup buat apa saja demi kamu bertiga. Akhirnya ini balasan yang mak terima…” rintih Makyung Bedah di celah esakannya.

“Mak jangan ungkit jasa mak pada kami. Dah memang itu tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Dah memang itu hak anak-anak dari ibu bapa,” tingkah Azman dengan cepat.

“Mana pula hak ibu bapa terhadap anak-anak? Kitab mana yang baca. Hukum mana yang kau pakai. Kau tahu arwah ayah pernah ajar hadis. Dalam satu hadis Nabi Muhamad S.A.W pernah bersabda: Keredaan ibu bapa adalah keredaan ALLAH.”

Azman terdiam. Makyung Bedah menyapu air matanya. Esakannya ditahan.

“Tak apalah Man. Buatlah apa yang kamu rasa patut pada orang tua yang tidak upaya ini. Kalau anak-anak dah tak sudi nak mengaku mak ni ibu yang melahirkan kalian, apa boleh buat. Mak tak akan paksa. Mak juga tak akan merayu lagi. Mak serahkan diri dan kehidupan mak ini kepada ALLAH. Kalau ini yang DIA nak mak lalui, mak reda. Biarlah mak hidup sebatang kara asal kamu semua bahagia… mak halalkan air susu yang kamu hisap dari tubuh mak…” Makyung Bedah meletakkan gagang. Dia tidak mahu berlama-lama lagi.

Dia merebahkan dirinya di katil. Tubuhnya rasa gemalai. Hati pula terasa sangat sayu dan menghiris. Kesakitan oleh tusukan Maryam ditambah pula dengan tikaman Azman. Sangat sakit. Sangat terluka.

“Abang, sampai hati anak-anak buat Bedah macam ni…”

“Abang, kalau abang ada mesti nasib Bedah tak seburuk ini. Kepada siapa Bedah nak bergantung lagi bang. Anak-anak dengan terang telah membuang Bedah…”

Rintihan demi  rintihan terluah hingga dia terlena lesu.

Beberapa hari Makyung Bedah tidak ke mana-mana. Dia tidak ke masjid. Dia tidak ke kedai dan dia tidak ke rumah Mak Semah.Dia hanya melayan tangisnya di rumah. Dia merintih. Dia mengeluh. Kemudian dia menangis. Hanya itu yang mampu dilakukannya.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.