Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 14

Sejak keluar dari hospital. Makyung Bedah menjadi lebih pemurung. Dia ingin lebih kuat dalam mengharungi kehidupan hari tuanya yang kesaorangan. Namun, dia sangat tidak berdaya.

Subuh itu solat Makyung Bedah tidak sekusyuk biasa. Tumpuannya bercelaru. Bermacam ingatan melintasi fikiran. Kata-kata Azman dan Maryam tidak mungkin dilupakan begitu sahaja.Perbuatan Surya pula tidak mampu dibuang dari akal seorang ibu.

Lama dia duduk di atas sejadah dengan hati yang kosong. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Cerita Pak Mud mengenai Surya disahkan oleh Azman dan Maryam. Hatinya memang terluka. Namun, ia ingin matanya melihat sendiri kemeriahan majlis itu. Dia tidak mahu mendengar cerita orang.

Dia bangun meninggalkan sejadah untuk segera menelefon Imran. Pagi itu dia rasa dia sangat perlukan bantuan anak Semah yang baru diangkat menjadi anaknya itu. Biarlah dia menganggap Imran sebagai anak lelakinya untuk menggantikan tempat Azman.

“Im, mak nak minta tolong sikit,” kata Makyung Bedah ketika talian bersambung.

“Ada apa mak?” tanya Imran.

Telinga Makyung Bedah disentuh desir suara Imran yang bimbang.

“Boleh temankan mak ke bandar sekejap. Ada benda yang mak nak beli.”

“Baiklah mak. Mak tunggu saja ya. Im nak masak sarapan dan mandikan emak dulu. Dah siap semua Im datang ambil mak.” Dengan cepat Imran menyanggupi. Alangkah baiknya budi anak Semah itu. Dia langsung tidak mewarisi sikap panas baran dan sombong ayahnya Mat Nor.

Mat Nor berasal dari Pahang. Datang bekerja di Kelantan sebagai buruh kasar. Jodohnya memang ditakdirkan bersama Semah. Mereka berkahwin. Ketika itu Makyung Bedah sudah ada Azman dan Maryam. Dia dan arwah suaminya yang bertungkus lumus menguruskan majlis perkahwinan Semah dengan Mat Nor.

Makyung Bedah selalu mendengar keburukan perangai Mat Nor dari mulut Semah.Lelaki itu rupanya kaki pukul bini. Dia lelaki pemalas dan panas baran. Selepas Imran dilahirkan, lelaki itu menghilang. Tidak ada khabar berita hidup atau mati. Lalu, Semah membesarkan Imran seorang diri.

“Imran…” keluh Makyung Bedah ketika meletakkan gagang telefon.

Sementara menunggu Imran sampai, Makyung Bedah bersiap-siap. Kemudian dia pergi ke belakang rumah memberi makan ikan-ikan di kolam.Senang hatinya melihat ikan talapia, keli dan haruan berebut makanan.

Kolam itu digali bersama arwah suaminya. Mereka hanya menggali menggunakan cangkul. Sudah lebih tiga puluh tahun usia kolam itu. Banyak kenangan yang ada di situ.

Semasa anak-anak masih kecil, di situlah tempat mereka berkumpul. Azman berusia 6 tahun akan ikut ayahnya memancing. Maryam yang berusia tiga tahun akan terkedek-kedek mengacau mereka. Dia pula duduk di pangkin sambil meriba Surya yang masih bayi.

Kemudian bila anak-anak sudah bersekolah, di atas pangkin di tepi kolam itu tempat mereka menyiapkan kerja sekolah.

Semuanya indah. Semuanya manis untuk dikenang. Terasa masih baru suasana itu dilalui. Seperti masih segar di ruang mata.

“Mari makan! Kamu dah lapar ya.” Makyung Bedah menaburkan makanan ke permukaan air. Melompat-lompat ikan yang bermacam jenis itu berebut makanan. Hati Makyung Bedah sedikit terhibur.

Tanpa diminta, wajah Surya muncul. Surya suka makan ikan keli masak lemak cili padi. Maryam pula suka ikan keli masak sambal. Azman suka semua. Dia tidak kisah sangat. Apa yang dimasak, semua dimakan.

Itulah sebabnya arwah suaminya menggali kolam itu.Dia tahu anak-anaknya suka makan ikan air tawar. Daripada membeli lebih baik membela sendiri.

“Kalau Surya dah besar, kolam ini Surya nak lebarkan. Surya nak buat pondok yang cantik di sini agar menjadi tempat mak dan cucu-cucu bersantai. Kita lebarkan kolam ini. Mana tahu cucu-cucu mak nanti suka bermain rakit.”

Makyung Bedah menoleh. Dia mencari-cari Surya. Suara itu seperti dekat berbisik di telinganya.Tiada.

“Ya ALLAH. Kenapa aku ni?”Dia menyapu mukanya dengan kedua telapak tangan. Kemudian dia menarik nafas panjang. Kenapa dia tidak mampu melupakan anak-anaknya?Kenapa pula anak-anak boleh melupakannya begitu sahaja?

Bunyi hon kereta di halaman menghentikan semua ingatan dan lamunan. Makyung Bedah meninggalkan kolam ikan dan segera ke halaman.

“Mak dah siap?” tanya Imran dengan senyuman mesra.

“Dah. Marilah kita pergi,” kata Makyung Bedah sambil membuka pintu dan duduk dengan selesa.

Imran memandu dengan berhati-hati.Setengah jam sahaja mereka sampai di Bandar Tanah Merah.

“Mak nak beli apa?” tanya Imran ketika memparkir keretanya di ruang parkir yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Tanah Merah.

“Kita singgah di pasar. Mak nak beli lauk dan sedikit sayur.”

Imran akur. Semua hajat Makyung Bedah diikuti. Dia ingat pesan ibunya untuk membuat Makyung Bedah senang hati. Mungkin selepas baik dari demam, Makyung Bedah teringin hendak makan macam-macam. Itu juga yang difikirkan oleh Imran.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.