Suasana pagi itu sangat
sepi. Mungkin orang-orang di rumah banglo itu belum bangun. Atau sudah ke
tempat kerja. Makyung Bedah malas untuk berfikir hal mereka. Biarlah Surya
dengan agenda hidupnya.
Makyung Bedah duduk di
bangku panjang sambil mukanya menengadah ke langit. Dia mengharapkan langit
yang cerah itu memberi kecerahan juga kepada nasibnya. Hanya langit itu yang
menjadi tempat tatapan matanya. Dalam dunianya yang sempit itu, tidak ada lain
yang dapat dilihat sebagai pemandangan matanya.
Langit yang tenang
dengan awan memutih. Angin yang lembut segar
sedikit sebanyak menyegarkan jiwanya yang tandus dan hatinya yang kesakitan.
Tiba-tiba pagi itu,
rindunya kepada kampung halaman muncul lagi menikam jiwa. Dia sangat rindukan
Mak Semah dan Imran. Dia rindukan pusara Ismail. Semuanya membuatkan dia duduk
merenung langit seolah-olah apa yang dihajatinya itu ada di langit yang bersih.
‘Semah, kau tunggu aku
balik ya Semah. Kita makan sama-sama. Kita ke masjid sama-sama. Kau tunggu aku
ya!’ bisik hatinya ketika melihat awan putih berarak tenang.
‘Tapi bila Bedah?’ Dia
terdengar seperti suara Mak Semah gemersik di celah awan.
‘Aku pun tak tahu
berapa lama, Semah. Kalaulah aku bersayap sudah lama aku terbang balik. Kau
tunggu ya Semah.’ Dia berdialog sendiri.
Bik Sumi berdehem dari
belakang. Makyung Bedah berpaling. Mata mereka bertemu. Ada duka di mata
Makyung Bedah. Ada belas di mata Bik Sumi.
“Mak cik, apa yang mak
cik menungkan?” tanya Bik Sumi sengaja menduga. Walhal dia rasa dia tahu
perasaan Makyung Bedah. Sudah hampir tiga bulan dia berdepan dan menjaga wanita
itu. Jadi dia sudah mampu mengira dan mencongak setiap menungan dan keluhannya.
Dia sudah melihat begitu banyak titisan air mata yang membasahi pipi ibu malang
itu. Acap kali juga dia mendengar esakan
Makyung Bedah.
“Aku teringatkan
kampung. Aku nak balik kampung. Tapi Surya tu...”
Bik Sumi mendengar
jawapan itu dengan dada yang sebak. Dulu semasa baru sampai di Malaysia, dia
juga seperti itu. Siang dan malam dia merindui kampung halaman. Namun, lama
kelamaan semuanya hilang kerana iltizamnya ialah mencari rezeki untuk
menyambung hidup.
“Mak cik, sabarlah ya. Doakan
agar satu hari Puan Surya berubah hati dan akan hantar mak cik balik ke kampung.”
Makyung Bedah
tersenyum. Senyuman itu sangat sinis. Dia tidak mahu meluahkan keraguannya kepada
Bik Sumi. Biarlah. Dia melepaskan sebuah keluhan yang kasar dan berat mendesah
dari bibirnya.
“Mak cik, mari masuk.
Bahaya mak cik duduk di sini lama-lama. Hari ini mereka lambat ke pejabat.
Nanti kalau mereka nampak mak cik di sini, susah kita!” ajak Bik Sumi dengan
nada bimbang.
“Kamu tinggalkan saya
di sini sekejap. Nanti saya masuk. Saya nak nikmati suasana pagi yang segar ni.
Jangan bimbang, saya tak akan tunjukkan diri saya kepada anak menantu dan besan
saya. Saya sedar diri saya siapa...” jawab Makyung Bedah dengan nada bergetar.
Bik Sumi akur. Dia
tidak sampai hati untuk berkeras dengan Makyung Bedah. Lalu dia meninggalkan
Makyung Bedah di situ. Biarlah Makyung Bedah merenung awan gemawan yang memutih
cantik itu. Biarlah Makyung Bedah mengira burung-burung yang berterbangan
keluar untuk mencari rezeki. Biarlah. Biarlah. Asalkan tidak ada air mata yang
dilihat mengalir di pipi wanita malang itu!
Lama juga Makyung Bedah
duduk di situ. Lama dia merenung ke dalam dirinya. Apa salahnya hingga dia
menerima nasib seperti itu. Puas di
situ, dia bangun. Sebelum melangkah, dia merenung ke arah banglo itu.
‘Belum sudikah kau
memeluk mak, Surya?’ Hatinya berbisik. Tiba-tiba dia rasa dadanya terbelah dua.
Dia sangat merindui pelukan dan kasih sayang anak-anaknya!.
Dia segera beristighfar
dan berlalu masuk. Lebih baik mengingati ALLAH dari yang lain-lainnya. Lalu dia
mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat. Hatinya kembali
tenang. Jiwanya mula aman.
Dia mengambil Al-Quran
dan terus membaca. Itulah raja segala penawar untuk merawat luka dan kecewa
yang sedang parah di hatinya.
Selesai beberapa helai,
tiba-tiba bacaannya terhenti. Fikirannya tidak mampu menumpukan kepada
ayat-ayat yang ada. Sebaliknya, pada lembaran ayat-ayat suci itu dia ternampak
Mak Semah dengan wajah sedih dan muram.
“Kalau aku pergi dulu,
kau jangan sedih ya Bedah.” Sebuah bisikan suara Mak Semah menyentuh
telinganya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari. Tidak ada.
‘Apa yang berlaku
kepada kau, Semah? Kenapa aneh sangat perasaan aku hari ni?’ soalnya kepada
diri sendiri.
Fikirannya sudah
bercelaru. Dia tidak mampu menghabiskan bacaan lagi. Lalu kitab suci ditutup
dan dipeluk erat sebelum disimpan di atas meja kecil di sebelah katilnya.
Dia bangun berdiri di
tingkap. Resahnya semakin memuncak di dada.
‘Macam mana aku nak
keluar dari sini? Aku tak boleh terus tunggu dan menyerah pada keadaan. Aku
mesti cari jalan untuk keluar dari penjara ini.’
Makyung Bedah berfikir
dan terus bertekad.