Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 1

Sepasang burung berkeriau di dahan pokok. Entah apa yang dibincangkan. Mungkin mereka sedang berbicara tentang alam yang sudah tidak menentu hujan dan panasnya. Atau mereka berbicara tentang anak-anak mereka yang sudah terbang jauh membawa nasib. Atau juga mungkin berbual tentang rezeki yang semakin sukar didapati.

Sejak tadi Makyung Bedah memerhati gelagat pasangan itu. Dia rasa seronok melihat keharmonian hidup pasangan burung itu.

Angin petang bertiup nyaman.

Makyung Bedah membiarkan pipinya disentuh angin. Dia masih setia di anjung rumah, mengadap sawah nan menghijau. Di situlah tempat duduknya saban petang. Dia mengharapkan suasana yang tenang dan damai setiap kali dia duduk di situ. Dia cuba melepaskan rindunya di situ.

Petang itu, dia bertemankan zikir. Bibir dan hatinya ikhlas berzikir ya Rahman ya Rahim. Zikir itu selalu bergetar di jiwanya. ALLAH Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Dia mengharapkan semua kesedihan dan kegelisahan berlalu pergi.

Petang itu dirasakan sangat tenang. Sangat damai. Namun kedamaian itu tidak lama.

Dia rasa dadanya berdebar. Sebuah debar rindu menerjah hati. Dalam denyut nadinya mengalir rindu yang sangat lembut dan halus kepada anak-anaknya : Azman, Maryam dan Surya.

Tiba-tiba dia rasa ingin memeluk ketiga-tiga anaknya seperti semasa mereka kecil dahulu. Dia ingin menyuap nasi ke mulut anak-anaknya. Dia ingin tidur bersama-sama mereka seperti dulu. Dia terlalu ingin. Keinginan itu menjadi satu rasa yang sangat meresahkan.

Azman, anak sulung juga anak lelaki tunggal telah menjadi orang kaya dan berjaya. Dengan ijazah dari sebuah universiti tempatan, dia mula bekerja sebagai pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Kemudian dia berkahwin dengan Humaira, anak perempuan kepada seorang saudagar kapal. Menurut kata orang, keluarga mertua Azman sangat kaya. Azman pun pernah kata begitu.

“Keluarga Humaira ni sangat kaya mak. Harta berselerak di dalam dan luar negeri,” beritahu Azman.

“Mak tak kisah kalau dia kaya atau miskin. Yang penting bagi mak ialah dia menantu yang pandai menghormati orang tua. Yang kaya keluarga dia. Ia tak akan jadi milik kita.”

Selepas kahwin, Azman berhenti kerja dan diserahkan sebuah syarikat untuk diuruskan. Sejak itu dia jarang pulang ke kampung. Alasannya, amat mudah.

“Man juga tak dapat nak selalu tengok mak. Isteri Man tu orang bandar. Dia tak biasa dengan cara hidup kita,” kata Azman, anak lelaki tunggalnya itu.

“Mak tak harapkan Man balik selalu, tetapi jenguklah mak sekali sekala. Mak tak tahan menanggung rindu kepada anak-anak.”

“Tengoklah nanti.”

Sudah lima tahun Azman kahwin. Hanya sekali dia membawa Humaira pulang ke kampung. Itupun semasa majlis menyambut menantu. Itupun Makyung Bedah yang teringin sangat untuk mengadakan kenduri kesyukuran bersama orang kampung. Kalau nak harapkan Azman, jauh api dari panggang.

“Mak, tak payahlah nak buat apa-apa. Kami dah disandingkan dalam majlis yang gilang gemilang di hotel tempoh hari. Kami dah berbulan madu di luar negara. Tak ada maknanya Humaira nak diraikan di sini,” kata Azman, menolak usul yang dirancangnya.

“Mak nak buat juga majlis tu. Biarlah orang kampung tahu Man dah kahwin. Biarlah Humaira kenal dengan orang kampung.”

“Nak kenal orang kampung ni nak buat apa? Bukan ada faedah pun!”

“Man, kenapa Man ni? Baru kaya sikit dah nak lupakan orang kampung? Man lupa masa kita susah, siapa yang tolong kita? Orang Kampung Gual Ipoh nilah. Walaupun tidak dengan duit dan harta benda, mereka tolong dengan tenaga. Ingat masa atap rumah kita roboh kerana ribut, siapa yang tolong? Orang kampung ini yang bergotong-royong membetulkannya. Man lupa?”

“Habis, Man kena balas semua budi mereka? Mana ada pahalanya lagi kalau setiap yang mereka buat dulu tu minta dibalas?”

“Astagfirullahhalazim... pahala itu milik ALLAH. Kita pun tak tahu bila DIA nak berikan kita pahala.”

Azman berubah selepas jadi kaya. Dia bukan Azman yang berhati mulia dan baik budi seperti di masa kecilnya. Dia tidak mewarisi sifat tawaduk ayahnya Imam Ismail.

Ingatan Makyung Bedah beralih kepada Maryam. Dia anak kedua dan anak perempuan sulung. Selepas menggenggam segulung ijazah, dia menjadi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Di sanalah dia bertemu dengan Shamsul.

Makyung Bedah tidak tahu menantunya itu kerja sebagai apa. Tetapi semasa hari perkahwinan, dia datang dengan kereta besar dan rombongannya juga berpakaian mewah.

Majlis yang diadakan di kampung itu sederhana sahaja.

“Mak tak payah jemput ramai-ramai. Kami cuma nak bernikah saja di sini. Jadi mak buat kenduri nikah saja. Panggil Pak Imam dan kenalan terdekat. Dua ekor ayam pun cukup.”

“Kenapa sampai macam tu? Kamu tu anak dara, bukannya janda. Apa pula kata orang.”

“Yang mak nak dengar cakap orang tu kenapa? Ini masalah keluarga kita. Biarlah kita yang selesaikan. Orang luar jangan masuk campur,” kata Maryam dengan keras.

Hati Makyung Bedah sangat tidak setuju dengan keputusan Maryam ketika itu. Sangat hinakah dia sebagai ibu hingga langsung tidak diberi hak mencampuri dan membuat keputusan untuk anak perempuannya?

“Kami akan mengadakan majlis resepsi di Dewan Jubli Intan. Yam akan berikan mak beberapa keping kad jemputan. Mak boleh jemput sesiapa yang mak suka. Tapi ingat, jangan rosakkan majlis itu. Datang dengan pakaian yang cantik. Jangan buat perangai yang menjolok mata kerana mak nanti akan ditertawakan orang.”

Aduhai anak!

Akhirnya Maryam berkahwin juga. Majlis pernikahan diadakan di masjid. Tidak ada majlis besar di rumah melainkan kenduri tahlil dan doa selamat.

“Yam dah kahwin bang. Sayangnya, dia tak nak adakan apa-apa majlis di sini. Dia pun sama dengan Azman, memandang rendah kepada saudara kita di kampung ini. Kalaulah abang ada, mungkin hal ini tak berlaku bang. Maafkan Bedah...” Itu rintihannya pada hari Maryam menjadi isteri Shamsul yang sah.

Selepas majlis nikah di masjid, Makyung Bedah segera pulang ke rumah. Dia hendak bersiap-siap. Orang kampung sudah memasak sedikit juadah untuk rombongan pernikahan. Semuanya diuruskan oleh Mak Semah, sahabat baiknya.

Namun, selepas dua jam menantu yang ditunggunya langsung tidak tiba. Juadah yang terhidang juga menjadi sejuk.

“Mana suami kau tadi Yam?” tanya Makyung Bedah kepada Maryam ketika mendapati Maryam balik sendirian.

“Dah balik semula ke KL, mak. Semuanya dah selesai, buat apa nak tunggu di sini lagi. Mereka tu biasa duduk dalam penghawa dingin. Berpeluh-peluh mereka tadi.”

“Suami kau tak datang jumpa mak sebelum dia balik?”

“Nak jumpa mak buat apa?” Maryam berkata tanpa menoleh. Dia berjalan terus ke arah bilik yang dihias dan dijadikan bilik pengantin.

Hati Makyung Bedah mula carik. Sampai hati mereka. Itu yang terdetik di hatinyadang

“Astaghfirullahhalazim!” Hanya itu yang mampu meniti bibirnya, sementara air mata sedang meniti birai mata.

“Sabarlah Bedah,” pujuk Mak Semah yang melihat dan mendengar semuanya.

Mendengar suara Mak Semah, air mata yang bertakung itu menitik dengan lebatnya. Ia berserta esakan yang mampu menggamit pilu siapa saja yang mendengarnya.

Azman dan Maryam, masing-masing sudah mempunyai dua orang anak. Namun tidak sekalipun tangan Makyung Bedah dapat mendukung dan membelai cucu-cucunya itu.

Tidak mengapalah. Dia memujuk hati. Dia mampu menahan rindu terhadap cucu yang belum pernah dilihat. Namun, dia tidak kuat menanggung rindu kepada anak-anak yang dilahirkan dari rahimnya dan dibesarkan dengan titik peluh serta air matanya.

Selalu sahaja dia mengganggu mereka dengan suara rayuannya di talian telefon.

“Maafkan saya mak. Saya tak dapat nak jenguk mak selalu. Saya ni bekerja. Anak-anak saya pula sedang membesar.”

“Mak bukan nak suruh kau selalu balik, Yam. Tapi masa cuti sekolah, apa salahnya kau balik kampung sekejap. Mak ni dah makin tua. Mak semakin tak tahan rindukan kau. Setiap malam, mak mimpikan anak-anak mak. Tolonglah faham perasaan seorang ibu sebab kau pun sekarang dah jadi ibu.”

“Mak jangan ikutkan hati mak tu. Mak kena juga fikirkan orang lain. Mak ingat senang saya nak balik?”

“Apalah susahnya. Duit kau banyak. Kalau kau tak nak naik kereta, kau boleh naik kapal terbang. Kalau hendak seribu jadi, Yam.”

“Kalau saya tak balik pun, saya tak pernah lupa masukkan mak duit.”

“Mak bukan nak duit sangat. Mak nak kau! Mak rindukan anak mak!”

“Mak, Yam ada banyak kerja ni. Kalau ada apa-apa, mak beritahu nanti. Bye mak.” Suara Maryam hilang dari pendengarannya. Begitu cepat. Belum habis seorang ibu berbicara, dia sudah mematikan talian.

Makyung Bedah rasa semuanya masih baru. Terasa seperti semalam telinganya mendengar kata-kata anaknya itu. Dia menoleh ke arah kalendar yang tergantung di dinding. Sudah lebih setahun. Dalam masa itu Maryam tidak pernah menjenguknya. Hanya suaranya muncul sekali sekala.

“Di mana kau Yam?” keluh Makyung Bedah dengan rindu yang semakin memberat.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.