Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 39

Hari-hari yang dilalui selepas itu, sama sahaja. Azman tetap tidak mesra, tidak kasih dan tidak sayang kepada Makyung Bedah.

Makyung Bedah semakin rasa tersisih. Hanya kepada Imran dia mencurah rasa. Walaupun hanya bercakap melalui telefon, dia rasa lega setiap kali bercakap dengan Imran.

“Mak rasa nak balik, Im. Tapi tak ada peluang nak cakap dengan Azman. Kalaulah mak tahu balik sendiri, dah lama mak balik saja.”

“Sibuk sangatkah dia?”

“Dia dah jadi orang kaya, Im. Mak ni dah bukan taraf dia dah. Kadang-kadang dia tak balik. Kalau balik pun dia tak beri mak peluang. Dia lebih melayan kawan-kawannya. Mak rasa sangat tersisih di sini. Kalau mak tahu dia nak layan mak macam ni, mak tak ikut dia. Biarlah mak hidup di kampung saja,” kata Makyung Bedah meluahkan kesal.

“Sabarlah mak. Tunggulah sekejap lagi. Mana tahu dia akan berubah hati.” Itu yang dipesan oleh Imran. Hati Makyung Bedah lega seketika. Dan dia mengharungi hidupnya dengan hari-hari yang sepi dan suram.

Sudah hampir sebulan, namun dia belum bersua muka dengan orang yang bernama Nafisa yang dikatakan isteri Azman itu.

“Nyonya masih di luar negeri. Dia belum pulang. Urusannya di sana belum selesai,” kata Ningsih ketika ditanya mengenai hal itu.

‘Humaira pun aku belum begitu kenal. Sekarang, ada pula Nafisa. Betulkah bini dia?’ Hati Makyung Bedah masih keliru. Dia masih ingin tahu di mana Humaira dan anak-anaknya. Dia tahu Azman mempunyai dua orang anak. Cuma dia tidak pernah melihat cucu-cucunya itu.

Malam itu, dia tidak melihat kawan-kawan Azman datang berkunjung. Tidak ada gelak ketawa di ruang tamu sehingga lewat malam.

Seperti seekor kucing yang takutkan tikus, Makyung Bedah berjingkit keluar dari bilik. Dia nampak Azman sedang menonton TV.

“Man, boleh mak cakap sikit?”

Azman berpaling. Kemudian dia angguk tetapi langsung tidak tersenyum.

“Dah lama mak di sini tetapi mak masih belum jumpa cucu-cucu mak. Mana Humaira dan anak-anak kau, Man?”

“Mak nak jumpa dia orang nak buat apa?”

“Man, mak nak peluk cucu-cucu mak. Mereka dah besar tapi sekalipun mak belum pernah peluk cium mereka. Mak rindukan mereka, Man,” jawab Makyung Bedah dengan jujur. Memang itu yang dirasakan. Dia ingin menjadi nenek seperti orang lain yang dapat memanjakan cucu.

“Mak, mak jangan bermimpi boleh tak?” Azman ketawa sinis.

“Bermimpi apanya?”

“Mereka tu tak pernah tahu pasal mak. Tak mungkin mereka nak dipeluk cium oleh mak. Humaira pun takkan biarkan anak-anak kami mendekati mak.”

Darah Makyung Bedah berderau. Jantungnya seperti tertusuk sembilu. Ngilu.

“Apa maksud kau, Man?”

“Maksud saya, mak tu tak setaraf dengan mereka.”

“Habis kau?” Makyung Bedah tiba-tiba rasa sangat terhina. Dia tidak sedar kalau suaranya meninggi menengking Azman.

“Kau tu lahir dari perut mak, Man. Sampai hati kau pertikaikan taraf mak. Kau sedar tak, taraf kita sama saja. Kalau mak tak setaraf dengan Humaira, kaupun sama. Tak setaraf!”

“Mak, dahlah. Kita jangan bincangkan lagi hal ini. Biarlah Humaira dan budak-budak tu dengan hidup mereka. Jangan diganggu mereka,” kata Azman sambil bangun.

“Ni lagi satu mak nak tanya, Nafisa ni siapa pulak?” tanya Makyung Bedah sebelum Azman melangkah meninggalkan ruang tamu itu.

“Dia isteri saya.”

“Humaira?”

“Kami dah bercerai.” Azman berlalu dan tidak menoleh lagi.

Makyung Bedah terkedu. Begitu banyak yang dia tidak tahu mengenai hidup anak-anaknya. Humaira? Apakah yang berlaku sebenarnya?

Sejak hari itu, Makyung Bedah tidak mahu bertanya lagi. Dia berdoa agar satu hari dia diketemukan dengan Humaira dan cucu-cucunya. Dia akan merayu kepada Humaira. Walau hanya sekali, dia minta diberi peluang memeluk cucu-cucunya.

Selang seminggu, Makyung Bedah mendengar suara Azman berbual-bual dengan seorang wanita di awal pagi. Dia segera ke dapur, mencari Ningsih.

“Nyonya dah balik. Ibu kena hati-hati dengan dia,” bisik Ningsih.

“Kenapa?”

“Entahlah. Menantu ibu tu kadang-kadang zalim!”

Makyung Bedah keliru seketika dengan kata-kata itu. Namun ketika ingin bertanya lebih lanjut, Ningsih sudah meninggalkannya. Dia teragak-agak samada ingin keluar ke ruang tamu atau tidak.

Sedang dia berfikir, suasana di ruang tamu sudah sepi. Mereka sudah meninggalkan ruang itu. Entah ke mana. Ke bilik atau ke tempat kerja. Azman langsung tidak endahkan kehadiran Makyung Bedah di rumah itu. Ada tidak untung, tiada pun tidak rugi.

Makyung Bedah masuk ke bilik semula.

‘Apa yang aku dapat tinggal di rumah mewah ini sedangkan aku terus miskin dengan kasih sayang. Aku juga miskin dengan amal ibadat. Tak dapat nak ke masjid berjemaah. Lebih baik rumah kecilku di kampung daripada di sini. Aku mesti suruh Azman hantarkan aku balik, esok.’

Itu yang muncul dalam kotak fikiran Makyung Bedah.

Keesokan pagi, Makyung Bedah keluar menunggu Azman di ruang tamu. Dia tahu hanya waktu begitu dia dapat bertemu Azman.

Azman dan Nafisa turun dari tangga berpimpin tangan dengan hilai tawa. Sungguh bahagia dan mesra.

“Man!” panggil Makyung Bedah perlahan.

Azman dan Nafisa menoleh. Wajah Azman berubah resah.

“Man, boleh mak cakap sikit.”

“Tak boleh tunggu nanti?”

“Kau selalu sibuk. Tak pernah beri mak masa. Jadi mak rasa hanya ini masanya.”

Nafisa menarik tangannya dari genggaman. Dia berjalan keluar dengan muka masam. Langsung tidak menoleh dan bersalaman dengan Makyung Bedah. Langsung tidak menyapa!

“Cakaplah apa yang mustahak sangat tu mak,” kata Azman dengan muka masam.

“Maafkan mak, Man. Mak rasa tak ada apa yang mak boleh buat di rumah besar kau ni. Boleh tak tolong hantarkan mak balik kampung.”

“Mak tak boleh balik ke kampung lagi. Suka atau tidak mak kena duduk di sini!”

“Tapi kenapa Man?”

“Mak tak payah banyak tanya boleh tak? Ini keputusan kami adik beradik. Mak akan tetap tinggal di sini!” tengking Azman sambil berlalu ke arah kereta.

Makyung Bedah mengintai dari belakang pintu.

“Sayang, siapa yang you bawa masuk dalam rumah kita ni?” tanya Nafisa sebaik sahaja Azman muncul keluar dari pintu.

“Abang minta maaf tak cakap dengan you pasal dia.”

“Siapa dia?”

“Dialah yang menjaga I sejak kecil.”

“Kenapa you bawa dia ke sini? I tak suka di rumah kita ada orang lain. Kalau dia nak balik kampung, biarlah. Buat apa you nak tahan dia?”


Previous: BAB 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.