Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 27

Rancangan yang dibuat oleh Maryam dan Surya untuk pulang ke kampung menemui Makyung Bedah akhirnya dilaksanakan. Hanya mereka berdua yang pulang. Azman tidak ikut serta.

“Kau berdua saja yang pergi. Abang nak ke Jakarta seminggu.”

“Tapi kami nak abang ikut. Mak mungkin akan dengar cakap abang,” kata Maryam melalui telefon.

“Pergilah dulu. Tengok apa dia cakap. Abang tak boleh nak tinggalkan urusan abang kerana hal sekecil ini,” balas Azman pula.

“Hal ini akan jadi besar kalau kita tak cegah dari sekarang, bang. Cerita mengenai mak dah mula masuk majalah dan surat khabar. Abang tak malu ke?”

Azman diam. Dia memang sudah lama rasa begitu. Nasib baik tidak ramai yang kenal dan tahu latar belakang hidupnya. Tidak ramai yang tahu dia anak kepada penari makyung. Sebenarnya, salahkah dilahirkan sebagai anak kampung? Salahkah dilahirkan dari rahim penari makyung?

Maryam dan Surya sampai di kampung ketika matahari sedang meninggi. Mereka tidak memberitahu lebih awal. Sengaja. Sebab mereka tidak mahu Makyung Bedah menghebohkan hal kepulangan mereka itu kepada orang kampung.

“Assalamualaikum!” Maryam memberi salam ketika sampai di muka pintu.

Senyap. Langsung tidak ada jawapan. Langsung tidak ada keriut pintu. Maryam mengulangi ucapan salam. Beberapa kali, namun masih tidak ada jawapan.

“Dia tak ada. Berjalanlah ni,” kata Surya mengetap bibir. Cuaca panas membuatkan peluhnya menitik di dahi.

Maryam cuba menghubungi melalui telefon bimbit. Dua tiga kali mencuba, hanya deringan yang didengar namun tidak ada suara yang menjawab.

“Ke mana saja orang tua ni merayap,” rungut Maryam dengan muka masam.

Mereka berdua duduk di tangga. Mata dilepaskan kepada sawah yang menghijau. Dulu semasa kecil, mereka pernah berkubang menahan bubu dan menangkap ikan sepat, puyu dan seluang di tanah sawah itu.

“Mungkinkah mak berjalan jauh?” tanya Surya. Dia kesal kalau tidak dapat bertemu Makyung Bedah. Susah payah dia mencari jalan dan berbohong kepada suaminya. Takkan dia nak balik tanpa bersemuka dengan emaknya.

“Sayang nak pergi Kelantan buat apa?” tanya Fazrin.

“Ada sebuah badan NGO minta Su raikan sekumpulan anak yatim.”

“Biar pemandu hantar.”

“Tak payah. Su naik flight dan mereka akan ambil di sana,” balas Surya dengan cepat.

“Berapa hari?”

“Sehari saja. Habis majlis terus balik.”

“Baiklah kalau macam tu. Lepas ni, abang rasa abang tak nak menyanyi lagi. Abang tak nak isteri abang jadi milik orang lain. Abang nak Su ada di rumah ketika akan balik kerja. Su dah janji begitu kan?”

“Tapi, Su minat menyanyi.”

“Menyanyi saja di rumah. Nanti abang buatkan studio untuk Su. Su boleh ajak kawan-kawan Su ke sini.”

Wajah Surya berkerut.

“Kenapa dengan kau ni?” Bahu Surya ditepuk oleh Maryam. Semua ingatannya lerai. Dia mengeluh perlahan.

“Tak ada apalah. Lama lagi ke kita nak kena tunggu? Aku takut terserempak dengan orang kampung. Nanti kalau sampai wartawan tahu aku ke kampung ini, macam-macam soalan yang akan mereka tanya,” jawab Surya.

“Mari kita ke rumah Mak Semah. Mak mungkin ada di sana.”

“Adui, malas betul aku nak ke sana kak.”

“Kita kena cari mak. Kalau dia tak ada di sana pun, mungkin Mak Semah tahu ke mana mak pergi. Mereka kan sahabat baik,” jawab Maryam.

Akhirnya Maryam menghidupkan enjin kereta, Hendak tak hendak, Surya terpaksa akur. Dia masuk ke dalam kereta dan duduk dengan muka masam.

Maryam memandu menghala ke arah rumah Mak Semah.

Di pangkin rumah Mak Semah, Makyung Bedah, Mak Semah dan Imran sedang leka berbual. Sambil tangan mereka menyiang pucuk paku. Gelak tawa dan bualan mesra kedengaran gemersik bersama angin sawah yang segar.

“Kenapa orang Melayu makanannya aneh-aneh ya mak?” tanya Imran.

“Aneh yang macam mana?”Mak Semah menoleh ke arah Imran.

“Mak tengoklah, daun yang lembut segar ni dipanggil pucuk paku. Ada belimbing besi. Ada ketola ular. Ada ikan parang. Ada ikan kapak....” Imran ketawa mengekek.

Mak Semah dan Makyung Bedah ikut menyeringai. Suasana menjadi sangat santai dan mesra. Wajah Makyung Bedah ceria seperti tidak pernah berlaku apa-apa kepadanya.

“Im, malam tadi Marinah ada telefon mak,” beritahu Makyung Bedah ketika ketawa mereka usai.

“Apa yang dia nak, mak?”

“Katanya dia nak datang ke sini cuti semester nanti. Dia nak belajar buat kuih tradisional.”

“Ada-ada saja budak sorang tu!” balas Imran dengan senyuman.

“Im cemburu?” tanya Makyung Bedah. Matanya merenung mata Imran.

“Nak cemburu buat apa. Im suka kalau ramai orang yang ambil tahu pasal mak.”

“Manalah tahu kalau Im cemburu mak rapat dengan dia.”

Imran ketawa berdekah-dekah. Kata-kata Makyung Bedah menggeletek hatinya.

“Kenapa Im ketawa ni?”

“Mak, Im suka kalau mak gembira. Sejak mak kenal Marinah, Im tengok mak makin ceria. Alhamdulillah. Mak dah boleh lupakan apa yang berlaku kepada mak. Mak dah terlupa pasal anak-anak mak tu,” jawab Imran.

“Mak tak pernah lupa. Mak mana pernah lupakan anak-anaknya!” Makyung Bedah tersentak seketika. Suaranya meninggi dan retak.

Imran rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk mempertikaikan perasaan rindu dan kasih sayang Makyung Bedah terhadap ketiga-tiga anaknya itu.

“Mak, Im minta maaf. Im tak bermaksud begitu.”

Makyung Bedah cuba tersenyum. Dia tahu dia tidak terasa dengan kata-kata Imran itu.

“Tak apalah Im. Mak memang gembira dengan kehadiran Marinah dalam hidup mak. Kami memang serasi dan saling memerlukan. Dia anak yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu. Sementara mak pula seorang ibu yang kehilangan kasih sayang anak-anak.”

Suasana sepi. Imran rasa sebak dengan kata-kata Makyung Bedah. Nasib dan ketentuan ALLAH kepada hamba-NYA semuanya bersebab. Itu semua rahsia ALLAH. Seperti dirinya sendiri, sejak lahir tidak pernah melihat seorang ayah. Dia membesar dengan semangat dan kasih sayang seorang ibu.

Dari kejauhan sebuah kereta Volvo warna hitam mula mendekat. Mereka bertiga menoleh.

“Siapa yang datang dengan kereta besar tu Im?” tanya Mak Semah sambil memanjangkan lehernya.

“Entahlah mak. Rasanya macam salah rumah ni,” jawab Imran pula.

“Puteri raja dah sampai nak pinang anak kita, Semah.” Makyung Bedah bergurau.

Mak Semah ketawa berdekah. Dia suka dengan gurauan Makyung Bedah itu. ia menyegarkan minda dan akal mereka yang sudah lama dibelit duka.

Kereta itu berhenti di halaman rumah itu. Maryam dan Surya keluar.

“Bedah, anak-anak kau!” jerit Mak Semah. Matanya bercahaya riang
Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.