Safi gembira tak terkata setelah mengetahui dia dipilih untuk menyertai rancangan makanan tambahan yang sekolah anjurkan. Cikgu Siti Endon sendiri telah memberitahu padanya yang dia layak menerima, tinggal kena isi borang kebenaran daripada mak dengan abah sahaja.
“Mak! Cikgu kata Safi dapat bantuan makanan kat sekolah! Dia suruh isi borang, lepastu kasi semula esok!” terang Safi teruja sambil mencari borang yang diselitkan didalam buku.
“Mana?” soal mak mahu memastikannya dulu.
“Ni!” balas Safi sambil menghulurkan kertas borang berkenaan.
“Tak payah masuk! Tak tahu ke lagi awak siapa yang menguruskan kantin sekolah rendah tu?” tutur abah, dah mula marah. Mak terdiam, hilang terus minatnya.
“Tak kebulur kita pada harta benda Hamid tu! Dah, tak payah ambil! Macamlah kita tak mampu nak bagi anak-anak makan!” gerutu abah lagi, sebelum mencapai kotak rokok dan turun ke tanah, selesai mengarah. Safi yang mendengar terus rasa sedih, tak menyangka, abah tak mahu menerima. Dia cuba untuk tak rasa kecewa, tapi nampaknya dia tak berjaya. Setitik demi setitik air matanya jatuh melambangkan kekecewaannya. Mak segera menghela nafas dalam, memendam.
“Safi nak mak isi borang ni?” soal mak simpati dan serentak dengan itu Safi menggeleng, kerana dia dah mula tawar hati.
“Tak payahlah…abah kan tak bagi…” balasnya lemah sebelum perlahan-lahan mencapai semula borang berkenaan.
“Safiyyah…borang semalam dah isi? Kalau dah bawa ke sini.” arah Cikgu Siti Endon yang baru duduk di kerusi. Safi bangun dan menuju ke meja depan, berbekalkan borang di tangan.
“Kenapa kosong ni? Kan cikgu suruh isi. Safiyyah lupa suruh mak isi?” tutur Cikgu Siti Endon terkejut.
“Abah tak bagi ambil.” jawap Safi perlahan, menyampaikan, membuatkan guru kelasnya itu kehairanan.
“Abah tak bagi?” soalnya lagi, betul-betul tak percaya, serentak Safi menganggukkan kepala.
“Takpalah, kalau abah tak bagi, takpa. Safiyyah pergi duduk.” arahnya kembali, sebelum borang yang ada ditangan diletakkan ke tepi. Memang sukar untuk dia menerima, tapi dia tahu dia tak boleh nak memaksa.
“Safiyyah…” panggil Cikgu Siti Endon sambil menggamitkan tangan mengisyaratkan Safi untuk menghampiri dan tanpa bantahan Safi bangun lalu maju ke depan.
“Safiyyah ambil.” tuturnya pada Safi sambil melonggokkan susu kotak coklat yang ada berlebihan setelah diagih-agihkan pada pelajar-pelajar yang layak. Safi terpegun, lalu ingatannya terus teringatkan abah. Melihatkan Safi yang masih teragak-agak membuatkan Cikgu Siti Endon segera menambah.
“Ambil bawa balik. Yang ni memang Safiyyah punya. Semua yang lain dah dapat dah.” tambahnya sambil menghulurkan kotak susu berkenaan. Safi takut abah marah, tapi dia dah tak tahu macam mana nak buat, lalu akhirnya dia menerima juga bila perasaan takut dah dikaburi dengan rasa gembira. Dia gembira kerana memperolehinya, juga gembira kerana dapat sesuatu yang hebat untuk dikongsikan bersama dengan adik-adiknya. Rita, Khadijah dan Fairuz hanya menjeling ke arah Safi, macam tak berapa puas hati.
Kata-kata Ustaz Usman tadi, betul-betul tak dapat nak dihilangkan daripada ingatan. Sukar untuk dia mempercayainya kerana buat pertama kali dalam hidup dia mendengar akan tempat letaknya syurga.
“Syurga seorang anak, letaknya di bawah tapak kaki ibu.” terang Ustaz Usman, jelas dan terang. Safi yang mendengar mula rasa tak percaya.
“Betul ke ada???” soalnya pada diri sendiri.
“Mak?” tutur Safi pada mak yang sedang duduk bersila sambil menjalankan kerja-kerja gubahan.
“Ha? Kenapa?” balas mak cuba memberikan perhatian padanya.
“Mak tak sakit kaki ke? Nak Safi pijak?” soalnya pada mak pula.
“Hai, dah kenapa baik sangat hari ni? Biasanya bila mak suruh, payah. Ni, kenapa boleh jadi rajin sangat ni?”
“Ha, bagitahu mak apa yang Safi dah buat?” soal mak seperti biasa kerana dia kenal benar dengan setiap perangai anak-anaknya. Kalau terlebih baik tu, mesti ada sebabnya.
“Mana ada…Safi tak buat apa-apa.” balas Safi sampai meleret senyumnya.
“Ha, betul ke ni? Betul ke Safi tak ada buat apa-apa?” soal mak, sambil kekal menghadiahkan senyuman yang curiga.
“Iya…orang nak tolong je. Tak nak ke?” soalnya semula sambil berharap yang rancangannya berjaya.
“Mestilah nak! Dah penat dah kaki mak ni terlipat. Safi tolong mak pergi ambil bantal. Ambil dua ya.” tutur mak sebelum melunjurkan kaki yang sudah mula rasa kebas dan keras. Satu bantal digunakan sebagai alas kepala dan satu lagi berfungsi sebagai alas kaki supaya taklah rasa sakit bila bertemu dengan permukaan lantai yang keras nanti. Safi apa lagi, gembiranya tak terkata kerana dia bakal mendapatkan jawapannya.
Selesai memijak, Safi segera mengurut pula dengan tangan kecilnya, dan sambil mengurut dia mula mencari apa yang Ustaz Usman katakan padanya tadi. Puas dibelek-belek kaki mak, dari sebelah ke sebelah, namun dia langsung tak nampak apa-apa.
“Mananya?”
“Mana ada! Tak adapun syurga.” bisiknya di dalam hati setelah lelah mencari.