Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 73

Surat khabar yang baru selesai ditelaah dilipat dan diselitkan ke dalam tong yang ada di belakang tembok. Sempat abah mencapai bungkusan ayam yang sudah siap dipotong dan menuju ke arah pemegang basikal sebelum digantung.

“Malam ni, kawan-kawan saya nak datang. Nak berbincang. Mak Leha pun akan turun nanti. Awak sediakanlah apa-apa yang patut.” arah abah pada mak yang sedang mengetuk bongkah ais.

“Berapa ramai yang nak datang?” soal mak pula, acuh tak acuh.

“Dalam 7, 8 orang macam tu. Nanti saya beli mee untuk buat masak. Bawak ayam yang tak habis tu balik, boleh buat rencah nanti.”

“Iyalah, kalau dah itu cakap awak. Pukul berapa mereka datang?”

“Lepas Maghrib atau Isyak. Takpa, nanti kalau mereka sampai mereka bagitahu.”

“Dahlah awak siapkan kemas semuanya. Saya nak pergi hantar ayam mek ni. Dah lama dia menunggu di kedai tu.” tambah abah sebelum mengangkat tong dan terus mengikat.

 

“Bilalah nak balik! Dah pukul berapa dah ni?”

“Ha, tengok! Dah dekat pukul 12 dah! Apalah faedahnya asyik mengulang benda yang sama sejak tadi! Dah ke depan, lepastu kebelakang semula!” rungut Safi pada mak yang baru datang dan duduk di sisi.

“Hish Safi ni! Mana boleh cakap macam tu. Lagipun mereka kan tetamu.” tegur mak, tak berkenan dengan sikap si anak.

“Iyalah, kalaupun nak berborak, tengoklah jam tu jugak. Dah dekat pukul 12 dah, tak reti-reti nak balik lagi? Orang nak tidur! Ke semuanya nak tidur dekat sini?” bidas Safi kekal tak berpuas hati. Suara abah mengulang perkara yang dah sudah, membuatkan hati jadi makin marah.

“Tengok tu! Cerita benda yang sama lagi! Entah apalah kerjanya entah!” gerutu Safi sambil bergaru. Habis terangkat semua anak-anak rambut yang ada di puncak kepalanya.

“Dahlah. Kalau rasa nak tidur, tidur je dekat sini. Nanti bila semua dah balik, mak kejutkan. Tu, tengok Ina, dah nyenyak dah dia.” arah mak sebelum bangun dan menuju kedepan lalu mengambil apa yang Safi perlukan.

“Nah bantal. Tidurlah dulu. Tak lama lagi baliklah mereka tu.” tutur mak cuba untuk menenangkan dan segera disambut Safi dengan penuh rasa kesyukuran.

“Terima kasih.” balasnya sebelum mengambil tempat di sebelah Ina yang sudah lama kejong melayan mata.

  

“Jadi Usop ke Banting esok?” soal abah pada Usop yang sedang belunjur sambil membaca akhbar.

“Jadi, Arun pun ikut sekali. Abah nak ikut? Kalau nak, boleh. Sebab kereta ada kosong lagi.” cadang Usop pula, berkongsi kegemaran.

“Tak rasanya. Tak larat abah nak duduk dalam kereta lama-lama. Lagipun rasanya esok abah nak ke hulu, nak jumpa dengan Bahar. Harap-harap kali ni ada barang baik.” jawap abah ceria.

“Ha, abah! Jadi ke tak nak bagi duit tu? Pak Bahar dengan Abang Lokman cakap apa? Mereka nak kongsi bayar ke tak?”

“3500, memang banyak bunyinya, tapi kalau dibandingkan dengan pulangan yang bakal kita dapat, memanglah tak sebanyak mana. Kalau sama-sama kongsi, lagilah sikit.”

“Wak tu dah nak balik kampung minggu depan kan? Dah? Macam mana sekarang? Kalau dia dah balik seberang, susahlah nanti. Lagipun semua benda-benda tu dia kena cari di sana. Abu dekat kuil dengan tanah dekat masjid tu, semuanya nak kena ambik dari sana.” tutur Usop sambil mencongak jumlah yang perlu dibayar oleh semua.

“Bahar ada cakap pada abah yang dia tak dapat nak bagi. Abang Lokman pun sekali. Dah tak ada duit katanya. Dah banyak habis lepas hantar anak daftar masuk universiti.” jawap abah.

“Kalau macam tu takpalah. Biar kita je yang modalkan semuanya. Duit pinjaman yang Usop buat hari tu pun ada baki sikit lagi. Cukuplah buat bayar pada wak tu. Kalau tak cukup, Usop pinjam lagi, apa susah.”

“Kalau kerja kerajaan memang mudah. Pergi bank mana-mana pun, semuanya nak bagi pinjam.” balas Usop dengan senyuman bangga.

“Kalau Usop dah cakap macam tu, abah ikutkan. Untung-untung, tak lama lagi, kaya kita.” ucap abah, bergembira.

 

“Abah dengan Usop tengah buat satu projek sekarang ni. Kalau berjaya, tak habis makan dibuatnya.” tutur abah pada Safi yang ada duduk berhampiran dengannya.

“Hmm…” Safi membalas, malas.

“Tok guru tu dah balik dah ke Indon sana, balik nak kumpulkan abu dengan tanah yang ada dekat kuil dengan masjid yang ada dekat sana. Abah dengan Usop dah bagi dia 3500 untuk belanja dia pergi balik. Tak lama lagi baliklah dia.” terang abah berkongsi minat.

“Abah dengan Usop bagi dia 3500! Banyak tu abah! Dia nak buat apa sampai banyak macam tu?” soal Safi terkejut mendengarnya.

“La, iyalah. Buat belanja tiket kapal terbang dia, lepastu belanja dia nak uruskan hal-hal dekat sana. Tak banyak mana kalau dibandingkan dengan hasilnya. Abah dengan Usop dah kira, kalau berjaya, boleh dapat berjuta-juta sorang. Nanti kalau dah dapat duit tu abah ingat…” terang abah kekal mahu berkongsi, namun Safi dah mula sakit hati.

“Ya-Allah…apalah kerja kalian?! Macam manalah boleh mudah sangat ditipu? Dahlah nak guna benda entah apa-apa entah! Debu kuil la, tanah masjid la, tak ke syirik semua ni?”

“Hai, kalau tok guru menjadah tu boleh buat sendiri, buat apa dia nak cari orang lain lagi? Kan lebih mudah kaya sorang-sorang? Tak ke?”

“Ni tak ada lain! Mesti dah kena kencing.” bidasnya di dalam hati sambil telinga kekal menadah apa yang abah sampaikan. Melihatkan wajah abah yang ceria membuatkkan hatinya rasa lebih terluka.

“Abah…abah!”

“Kesian betullah…tapi, kalau cakap, confirm dapat sebijik…”

“Habislah. Entah-entah duit 3500 tu dia dah buat modal untuk bukak kedai jual bakso dekat sana…”

“Eee!!! Bodoh punya Usop! Sia-sia je hantar belajar tinggi-tinggi kalau otak letak bawah tapak kaki!” gerutunya lagi, namun kekal juga di hati.

 

“Mak cubalah pohon rumah murah tu. Kalau ada rezeki dapatlah kita duduk rumah baru.” tutur angah ketika balik bercuti hujung minggu.

“Kalau dapat nanti kita nak bayar dengan apa?” balas mak yang sedang merehatkan badan di tiang seri rumahnya.

“La. Itu mak tak payah fikirlah. Nanti pandai-pandailah kami adik-beradik uruskan. Lagipun angah risau, dah tak ada ramai di rumah. Akhir-akhir ni angah tengok, abah kerap sangat keluar malam. Tengoklah dah lebih pukul 11 dah, tapi masih tak balik-balik lagi. Entah apalah yang dibuatnya melepak di kedai tu?” tutur angah kesal bila abah dilihat dah banyak sangat berubah.

Sejak Usop mula bekerja, aktiviti abah ‘makin bertambah’. Lepas Isyak berdedai ke kedai, mengeteh, sampai jauh malam pun masih tak ingat nak balik rumah. Mujur Ina masih ada, kalau tak, mesti mak ketakutan ditinggalkan sendirian saban malam. Lokasi rumah yang agak terpencil turut membimbangkannya. Seandainya berlaku sesuatu, mak tak ada tempat nak mengadu.

“Mak pohon je dulu! Manalah tahu ada rezeki nanti. Soal membayar biar angah yang uruskan. Lagipun bukan senang kerajaan buat keputusan untuk buka taman perumahan tu. Berpuluh-puluh tahun baru ada satu. Itupun jumlahnya tak adalah banyak mana. Mesti dah ada ramai yang nak.” tambahnya lagi. Mak tak dapat nak membantah bila angah nampak beriya-iya benar.

“Lagipun susah kat sini! Bila hujan sikit, banjir. Kalau tak banjir pun lecak. Nak bawa kereta ke rumah pun tak boleh. Kena tinggal dekat luar. Takut jugak kalau jadi apa-apa. Kita di sini, kereta jauh di sana. Nanti dipukah pulak dek orang.” bunyi mesin jahit memenuhi ruang rumah. Kain baju kurung yang telah selesai dipotong siang tadi perlu dijahit segera. Esok dia perlu balik semula ke bandar dan dia tahu dia perlu menyiapkannya.

“Kalau angah dah cakap macam tu, iyalah. Nanti mak ke pejabat uruskan. Tak menyusahkan angah ke nanti? Dahlah angah nak beri duit pada mak dengan abah, lepastu, belanja adik-adik belajar lagi. Mak tak nak angah susah.” tutur mak, mengenangkan jasa yang dah dibuat angah. Dia tahu dia tak harus membebankan anaknya itu lagi.

“Tak susah la! Yang penting mak selamat. Kalau di taman ada banyak jiran, taklah sunyi sangat.” balasnya sebelum menyambung hobi masa terluangnya itu, menjahit baju.

  

Previous: Bab 72
Next: Bab 74

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.