Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 58

Masa berlalu tanpa mereka sedari. Tempoh 4 tahun akhirnya pergi. Petang tu along kembali sejak sekian lama mengasingkan diri. Betul kata abah, satu hari nanti along akan menyesali segala perbuatannya. Hidup along tak pernah senang selama ini, sempit lagi terhimpit. Ayah, bapa mertua along, sudah pergi dijemput llahi akibat dari ketumbuhan di bahagian telinga yang tak dapat diubati.

Kata mak, mungkin itulah balasan Allah kerana selama ini dia tak pernah mahu mendengar luahan hati orang lain. Apa yang dia tahu, semua yang dia inginkan haruslah berlaku. Mungkin dia terlupa, segala perbuatan, pasti akan mendapat pembalasan, setiba masa yang telah ditetapkan. Kita hanya mampu menadah tangan berdoa dan doa orang yang teraniaya makbul di sisiNya, insyaAllah.

“A..abah…” tutur along, memberanikan dirinya mendekati abah. Menghulurkan salam sejak sekian lama tidak dapat melakukannya, namun abah menyambut dengan hujung jari sahaja. Belumpun sempat along mengucup tangannya, abah sudah menariknya kembali sebelum abah bangkit dan menyarung bajunya, kasar. Ternyata abah masih belum dapat memaafkan along kerana hatinya tak sebesar hati isteri yang terlalu mudah memberikan kemaafan. Mak hanya mampu memerhatikan sahaja sambil di dalam hati tak putus-putus berdoa agar amarah suaminya itu menjadi longgar.

Selesai berpakaian, abah turun dan mengayuh basikal tuanya ke kedai untuk menenangkan fikiran. Sudah 4 tahun semua itu berlaku, tapi kemarahannya hanya kurang sedikit berbanding waktu dulu.

 

“Awak pesan dekat dia. Kalau dia nak balik, saya nak dia tinggalkan isteri dan anak-anaknya tu. Saya tak nak ada kaitan dengan keturunan Zam tu!” tutur abah tegas tadkala mak memberitahu hasrat along untuk kembali beberapa bulan dahulu.

“Awak ni, sampai ke situ pulak merepeknya kenapa? Sanggup awak biar along tu bercerai-berai, tinggalkan anak-anaknya yang masih lagi kecil semata-mata sebab dendam awak pada arwah yang tak sudah-sudah?”

“Cuba-cubalah bawak mengucap.” tutur mak perlahan. Tak mahu memburukkan keadaan. Kalau diikutkan hati, nanti dia sendiri yang akan lebih dilukai bila suaminya itu menyalahkannya lagi.

“Itu syarat saya! Kalau dia nak balik, dia kena ikut. Kalau dia tak suka, jangan mimpilah nak jejakkan kaki ke sini. Saya tak izinkan!” balas abah, kekal dengan keputusan.

 

Teh tarik yang terhidang di hadapannya dihirup. Panas, tapi, panas lagi terasa di hati. Isterinya itu memang tak pernah mengerti. Syarat yang ditetapkan tak pernah dipatuhi. Abah makin geram sebelum wajah Zam Mara yang menjengkelkan itu terbit di fikiran, mendera hati dan perasaan.

 

“Mak, siapa ni?” soal along terkejut bila ternampak Safi yang baru sampai di muka pintu dengan baldi besar di kedua-dua belah tangan.

“Safilah, siapa lagi.” along nampak seperti tak percaya kerana Safi sudah jadi setinggi itu, dan dengan tak semena-mena, air mata yang cuba ditahan sejak tadi gugur dengan sendiri. Baru dia sedar, sudah terlalu lama dia pergi. Kenangan bersama-sama adik-adiknya yang tersimpan di minda sudah tak sama lagi. Adik-adiknya sudah banyak berubah. Safi menuju ke arah along dan menyalaminya. Man dan Ina yang membuntuti turut sama-sama beraksi.

“Dah besar adik-adik along. Ni Man dan Ina kan?” soalnya pula sebelum kedua-duanya mengangguk, masih cuba untuk menyesuaikan diri kerana sudah bertahun along pergi dan mereka sudah terbiasa dengan ketiadaan along dalam keluarga, tapi mak mahu menyatukan semua. Kata mak, dia yakin yang along sudah berubah. Dia dah insaf.

“Maafkan along…”

“Along yang bersalah. Along tinggalkan Mak dan adik-adik. Along minta maaf mak…” ucapnya menyesali diri. Berderaian air mata keduanya. Mak gembira kerana impiannya terlaksana dan kini, along sudah ada di hadapan mata. Safi, Man dan Ina menuju ke ruang depan. Tak mahu terlibat sama kerana perasaan ,mereka pada along…tiada.

“Sudahlah. Dah lama mak maafkan along.”

“Isteri dan anak-anak macam mana? Sihat? Kenapa mereka tak ikut sekali?” soal mak ketika keduanya sudah dapat menenangkan diri.

“Alhamdulillah sihat. Zai kirim salam. Dia nak datang, tapi dia takutkan abah. Dia takut abah akan halau dia nanti. Dia tak cukup berani.” jawap along. Sekali lagi tangan mak dikucup.

Mak sangat gembira. Saban tahun dia menanti kepulangan along. Sepanjang Along tiada, setiap kali hari raya, dia pasti akan menitiskan air mata. Sambutan hari kebesaran itu jadi tak sempurna. Abah buat-buat tak faham. Saja ditambah derita mak dengan kata-kata yang dia sendiri tak maksudkan.

“Kalau awak dah rindu sangat kat along tu, suruhlah dia balik. Saya tak halang…” tutur abah dengan senyuman sinis. Mak tertunduk, semakin berderai air mata mendengarkan kata-kata suaminya itu.

“Tapi awak ingat, pesan kat dia, saya akan terima dia saja.”

“Anak dengan isterinya, saya tak nak. Selagi saya hidup, jangan berani nak jejakkan kaki ke sini!” tambah abah tegas berteman senyuman dan mak apa lagi? Meraunglah dia mendengarnya.

“Huuu…sampai hati awak buat saya macam ni kan?” balas mak sayu. Abah mula dihambat perasaan bersalah, tapi sesekali dia tak akan mengaku kalah.

Safi, Man dan Ina sedang memerhatikan semua yang berlaku dari ruang hadapan. Jauh dari penglihatan mak dan along yang sedang rancak berkongsi cerita.

“Safi macam mana?” soal Man.

“Apa?” balas Safi kembali, tak mengerti.

“Iyalah! Safi sokong Mak ke Abah? Safi suka ke along dah balik, balik?” soalnya lagi.

“Entahlah. Safi pun tak tahu, tapi mak kan dah lama sangat nak along balik. Bila setiap pagi raya mak mesti menangis ingatkan along. Man tak ingat?” soalnya kembali.

“Ingat tu ingatlah! Tapi abah kan tak nak along balik. Ha…nanti tengoklah, mak dengan abah mesti gaduh lagi.” balas Man. Terangguk-rangguk kepalanya menyatakan pendapat. Dia tak mahu melihat mak dimarahi abah lagi. Dah banyak kali, dan setiap kali itu jugalah dia rasa marah pada along. Along punca keluarga mereka bercakaran.

“Entahlah. Kan Safi dah cakap, Safi tak tahu! Eee…Man ni! Peninglah kepala dibuatnya!” balas Safi geram. Mulut Man mengalahkan perempuan. Ada saja bunyinya, betul-betul merunsingkan hati dan fikiran.

“Safi tak ingat apa yang along cakap pada kita dulu? Masa dia baru kahwin. Masa kita telefon keluarga Zam Mara tu?”

“Kan along marah kita! Along kata kita bodoh macam keldai. Safi tak ingat?” soal Man lagi, membuka lembaran hitam yang mahu dipadam.

Safi terdiam. Dia tahu mereka juga bersalah dalam hal itu. Mereka tak sepatutnya mengganggu ketenteraman keluarga mertua along hanya kerana perasaan tak puas hati yang menebal dalam diri. Tapi nak buat macam mana? Hati mereka sakit! Sakit bila setiap kali melihat mak menitiskan air mata. Geram! Geramkan keluarga mertua along yang dirasakan menjadi penyebab kesedihan mak yang tak pernah habis. Mereka hanya mahu membela mak, tak lebih dari itu. Biar sama sama tak tenteram. Baru puas hati. Tambahan pula usia mereka masih sangat muda dan mereka bertindak tanpa berfikir banyak.

“Dah tu, kita ni macam mana?” soal Ina yang sudah berada di darjah 5. Safi mencebik geram. Mulut adik-adiknya itu memang tak tahu senyap. Ada saja yang mahu dikomennya.

“Manalah Safi tahu! Kita tunggulah dulu! Lagipun kan along baru balik! Kita tengok macam mana nanti! Kalau ok, oklah. Tapi kalau ko, Safi taknak campur.”

“Biar je mak dengan abah yang uruskan. Tapi Man dengan Ina tak kesiankan mak?”

“Tengok, mak nampak gembira sangat. Dah lama Safi tak nampak mak senyum sampai macam tu. Kesian pulak tengok.” serentak mereka bertiga menjenguk ke dapur.

Mak dan along masih rancak berborak. Senyuman mak tak tergambar. Segar dan mekar. Tanpa mereka sedari senyuman yang sama terbit di bibir masing-masing, tumpang gembira bagi pihak keduanya.

 

“Mak, ada Mat bagitahu yang dia nak ikut along kerja di KL?” soal along tika mak sedang sibuk menyundukkan lauk ke pinggan. Riak wajah mak segera berubah. Senyumannya tak seceria tadi. Seketika dia terlupa pada keinginan yang dinyatakan mat awal paginya.

“Bukannya apa mak. Kesian along tengok Mat tu. Dah lama dia terperuk di kampung. Teringin benar nak tengok bandar.” pujuk along, namun, mak masih belum dapat membuat keputusan. Hatinya belum sedia untuk merelakan.

“Apa kerjanya Mat tu di sana nanti?”

“Dia bukannya ada kelulusan. SRP pun tak lepas. Ade ke kerja yang sesuai untuk dia dekat sana?” soal mak dalam usaha untuk menidak.

“Ada. Kerja kilang kan banyak bahagian. Ada bahagian yang tak ambil kisah pasal kelayakan. Along dah tanya dengan supervisor, kalau Mat nak dia boleh tolong uruskan.”

“Kalau rajin, boleh sampai beribu gajinya. Lebihlah daripada kerja di kedai mamak. Macam mana? Mak setuju?” beriya-iya along meyakinkan mak, tapi entah kenapa, mak masih ragu-ragu.

“Dah tu nanti dekat sana, dia tinggal di mana?”

“Kilang ada sediakan asrama, dalam kawasan kilang jugak. Lengkap semua mak dengan katil sekali. Mat cuma perlu bawak badan je. Mak janganlah risau. Along kan ada. Along boleh tolong tengok-tengokkan.” jawap along, berjanji.

“Mak tak kesiankan Mat? Dia nak sangat merasa hidup di bandar.” tambahnya lagi. Mak terdiam. Kata-kata along dibiarkan sepi.

 

Mak menjenguk ke dalam bilik Mat. Mak nampak Mat sedang sibuk melipat bebarapa helai baju dan seluar jeans kesayangan sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian.

“Betul ke Mat nak pergi ni?” soal mak sekali lagi dan sekali lagi wajah anaknya itu dipandang.

“Ya lah mak. Mat memang nak pergi.”

“Mat nak sangat cuba nasib kat sana. Mak doakan Mat selamat ya mak. Mak, Mat lupa nak cakap. Terima kasih.” ucapnya dengan senyuman manis yang sampai ke telinga.

Dia betul tak sangka yang mak dapat memujuk abah untuk membenarkannya pergi. Mak memang hebat! Bisiknya di dalam hati.

“Mak janganlah risau. Along kata setiap minggu ada cuti. Bila cuti nanti Mat baliklah kampung. Lagipun Along kan ada. Mak tak payah risaulah. Mak doakan Mat, tolong doakan Mat ya.” wajah sayu mak, Mat tatap lama. Dia nampak ada manik-manik jernih menitis dari kelopak mata mak. Dia tahu, mak keberatan untuk melepaskannya pergi bila kesunyian mak meyakinkannya lagi.

“Ke mak tak izinkan Mat pergi?”

“Takpalah kalau macam tu.”

“Kalau mak tak kasi, Mat tak jadilah pergi.” ada nada kecewa dalam kata-katanya membuatkan mak dipalit rasa bersalah.

“Tak ada lah. Mak izinkan. Mak izinkan Mat pergi.”

“Tapi ingat, dekat sana jaga diri baik-baik. Jangan sampai tinggal sembahyang. Ingat tuhan. Kerja elok-elok…”

“Nanti, jangan sampai lupa balik kampung jenguk kami.” pesan mak sebelum airmatanya berderaian. Mak sedih kerana Mat sudah bersedia untuk pergi. Along yang memerhatikan keadaan sejak tadi datang menghampiri.

“Mak janganlah risau. Along kan ada. Along boleh jaga Mat.” ucapnya meyakinkan mak. Mak mengangguk lemah. Abah yang sedang terbaring di hadapan pintu sedari tadi, langsung tak berkata apa. Menegah tidak, membenarkan pun tidak. Semuanya telah diserahkan pada isterinya untuk diputuskan, tapi, hatinya tetap berasa sangsi. Dia tak dapat nak percayakan along lagi…buat masa ini, namun dia sudah bersedia untuk memberikan along peluang sekali lagi. Along perlu buktikan yang dia sudah berubah kerana hanya itu satu-satunya cara untuk meyakinkannya.

“Mak, abah…Mat pergi dulu ya.” ucapnya sebelum menyalami kedua-dua orang tuanya yang masih terpaku. Mak mula bercucuran air mata dengan banyaknya. Teresak-esak dia menahan tangis. Safi, Man dan Ina turut menghantar pemergian Mat dengan linangan air mata. Mereka turut terkesan kerana sejujurnya, mereka sangat sayangkan Mat. Keperibadiannya yang baik membuatkan Mat sentiasa dipandang tinggi, lebih dari abang-abangnya yang lain.

“Safi, Man, Ina belajar rajin-rajin ya.” pesannya. Serentak itu mereka mengangguk faham sebelum semuanya menghulurkan salam. Semakin deras air mata bercucuran tadkala mendengar amanat Mat itu. Mat melambai-lambaikan tangan tanda perpisahan dan setitis air matanya, gugur juga.

Setiap langkahan Mat dihantar pergi dengan mata, sehingglah Mat dilihat semakin jauh daripada penglihatan dan sesampainya di hujung jalan, Mat dah tak kelihatan.

“Huuuu…” esakan jelas kedengaran, saling berbalas, tanda kasih sayang yang tak terbatas. Tersedu-sedu mereka menangisi pemergian abang kesayangan. Pilu, kerana tak pernah terjangka perkara sebegitu akan berlaku.

 

Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.