Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab119a

Usai makan malam, pinggan mangkuk yang sudah siap diguna saling dilapis sebelum dia membawanya ke sinki dapur.

“Safi dah bincang dengan…”

“Ish! Nak panggil apa ya?!” soalnya di dalam hati, tak mahu tersalah atur dan terlanjur.

“Safi cakap dengan mak ke?”

“Apa Safi cakap? Mak tak berapa dengar.” balas mak yang masih berada di ruang tamu.

“Ha? Ha!”

“Safi cakap, yang Safi dah bincang dengan Abang Wan. Tentang kerja dekat ladang. Safi rasa Safi nak berhenti, lagipun Abang Wan nampak macam tak berapa nak izinkan. Memang dia tak halang, tapi cara dia tu, nampak macam…” jawap Safi yang sudah datang selesai membasuh pinggan di dapur.

“Hmm. Eloklah tu. Kan mak dah cakap pada Safi awal-awal. Kalau Safi nak terus kerja, susah mak rasa. Iyalah, bukannya dekat nak ke sana. Berjam-jam juga masa perjalanannya.”

“Kalau itu cakap dia, ikutkanlah.”

“Safi kena ingat, yang sekarang ni, Safi dah tak sama macam dulu. Dulu, semua keputusan Safi sendiri yang putuskan, tapi sekarang, bila dah berdua kenalah bincang sama-sama.”

“Jangan buat keputusan melulu, berbincang bila perlu dan yang paling penting, jaga hati suami tu.” tambah mak menitipkan pesanan.

“Ok, mother!” balas Safi berseloroh dengan senyuman sengetnya.

“Ha, orang cakap betul-betul ni, dia buat main-main.”

“Mana ada main-main, mak ni. Orang pun betul-betul la ni! Ha, lagi?! Ada apa-apa petua lagi? Ada apa-apa yang mother nak kongsi lagi?” soal Safi tak mahu mak berhenti.

“Jaga perut suami. Jangan beri dia keluar bekerja dalam keadaan tak berisi langsung perutnya. Bangun awal, jangan malas nak mandi...”

“Eh mak ni! Orang rajin la mandi! Kan biasanya memang Safi bangun pukul 5 pagi, lepastu mandi.”

“Dahlah, dah! Nah, ambik makan buah ni. Mak kan suka makan mangga. Ha, yang ni Safi beli masa singgah r&r tadi. Entahlah manis ke tak. Cuba mak rasa.” arah Safi sambil menyua mangga yang sudah siap dihirisnya.

“Manis?” soalnya semula.

“Hmm, manis! Ha, Safi pun makanlah sekali.” arah mak pula.

“Safi nak makan biji.” balas Safi yang sudah mula mengepong isi yang masih berbaki pada biji.

“Hish, Safi ni! Tak berubah-ubah! Kalau Wan tengok, tak tahulah apa yang akan dicakapnya.”

“Dah?! Takkanlah makan macam ni pun salah?” soal Safi tak gembira.

“Salah tu memang la tak, cuma tak berapa sopan.”

“Tapi Safi dah biasa. Lagipun tak suka tengok ada baki dekat biji macam ni.” balasnya kekal berbahas.

“Susah apanya! Kalau tak nak tengok, ha, potong jimat-jimat isinya sampai biji. Ha, macam ni. Biar mak yang buat. Lepasni, jangan cari alasan untuk makan bijinya lagi.” jawap mak sebelum mengambil tanggungjawap yang selebihnya dan Safi sedar dia dah tak dapat nak mengelak.

 

“Eh?! Kenapa pulak ni?” soal mak pada Safi yang sudah memanjat katil dan baring disebelahnya.

“Malam ni, Safi nak tidur dengan mak!” balasnya sambil tersenyum gembira bila mendapat kehidupan lamanya, dan mak, andai kecil tapak tangan, nyiru yang ditadahkan.

“Mak…”

“Mak ok ke tinggal sorang-sorang dekat sini?” tutur Safi perlahan dengan nada kebimbangan.

“Ok. Kenapa pulak tak ok?” balas mak terang, tak mahu Safi berhati bimbang.

“Iyalah, mak duduk sorang-sorang dekat sini. Makan minum pun sorang-sorang. Nak tak kalau mak duduk sekali dengan Safi dengan Abang Wan?”

“Kalau mak nak, nanti Safi bagitahu pada Abang Wan. Mak nak tak?” soal Safi sambil menoleh ke arah mak.

“Takpayah Safi, takpayah! Biar mak duduk sini. Lagipun kalau mak ikut Safi, macam mana dengan rumah ni nanti? Tu, semua adik-adik berbulu Safi tu, macam mana? Takkanlah nak diangkut semuanya?”

“Biar mak tinggal sini! Safi tak payah risaukan mak. Mak dah lama hidup Safi, tahulah mak jaga diri. Kalau nak beli barang dapur, mak telefon. Tak lama, adalah yang menghantarnya. Mudah kerja nak membeli barang sekarang, cuma perlu sediakan duitnya.”

“Tapi nanti kalau mak…”

“Mak sakit macam mana?” balas Safi perlahan menyatakan pokok pada kebimbangan.

“Safi…percaya pada Allah. Dia ada, biar Dia yang jaga mak. Safi tak perlu risau-risau tentang mak. Kawan-kawan mak ada, Cik Nom dengan Cik Zai, boleh kata hari-hari kami berjumpa. Kalau tak di masjid waktu kelas agama, di rumah.”

“Dah, dah. Takpayahlah fikir sangat tentang mak. Safi tu yang mak lebih risaukan.”

“Banyak peringkat dalam perkahwinan ni, Safi.”

“Mula, lepastu ditengah, dan yang akhir sekali, penamat. Tak boleh kita nak bercakap banyak-banyak sangat, sebab memang tak ada apa yang pasti. Safi tengok sendiri keluarga kita jadi macam mana.”

“Mak ingat lagi, masa mak budak-budak, mak nak sangat ada adik-beradik yang banyak, sama macam kawan-kawan mak…”

“Lepas mak kahwin, mak gembira bila Allah beri rezeki anak yang banyak pada mak. Seronok bila tengok keluarga jadi makin besar, tapi…apalah daya...”

“Walaupun mak ada banyak anak, hanya Safi yang ada tinggal dengan mak…” tutur mak bernada pilu dan Safi tak perlu mengesahkannya terlebih dahulu kerana dia sangat memahami tentang lagu itu. Serentak, tangan mak diraih dan digenggam erat.

“Dahlah mak. Tak payahlah kita nak ingat semua tu lagi. Yang lepas tu biarlah lepas. Buat apa lagi nak dikenang-kenang. Kalau ada yang mencari nanti, mak buatlah keputusan, samaada nak terima ataupun tak. Safi ikut je apa kata mak. Kalau mak rasa yang mak boleh percaya pada budak-budak tu…”

“Tak adanyalah Safi. Mak tak rasa yang mak boleh percayakan mereka lagi lepas semua yang mereka dah buat ni. Kalaupun mereka dah insaf, biarkanlah mereka hidup ikut haluan sendiri, sebab mak dah tak ada hati.”

“Dahlah, tidurlah kita.” jawap mak, menoktah.

“Ok, assalammualaikum mak. Selamat malam.” tutur Safi sebagai penutup hari.

“Hmm. Waalaikumussalam…selamat malam…” jawap mak melengkapkan.

Previous: Bab 118
Next: Bab119b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.