Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 78

Tangan yang basah dikeringkan pada sapu tangan yang ada tersedia di tepi rak pinggan. Sekali lagi api pada dapur gas diperiksa sebelum mak jadi pasti akan keadaannya.

“Assalammualaikum…” tutur ateh yang sudah sampai di muka pintu, membuatkan mak segera dihambat perasaan yang tak menentu.

“Waalaikummussalam! Dah macam mana ateh boleh sampai awal-awal pagi macam ni? Kan ke baru pukul 10 lebih ni? Mana ada bus siang-siang macam ni? Ateh naik apa balik tadi? Tumpang siapa? Bukan ke biasanya ateh sampai malam?” soal mak tak percaya setelah meneriksa waktu pada jam dinding yang ada tergantung di situ.

“Ha???”

“Ha, ateh…” balasnya sambil berusaha untuk menyusun kata-kata.

“Mak, abah mana mak?!” soalnya pula memusing keadaan.

“Abah ke bandar, berjalan. Ni, ateh tak jawap lagi mak tadi. Siapa yang hantar ateh balik?” soal mak semula, tak selesa bila belum mendapatkan jawapannya.

“Ateh…”

“Abang Hakim yang hantar!” tambahnya dah tak nak berselindung.

“Hakim? Dah kenapa dengan ateh ni? Kenapa sampai berani sangat nak balik jauh-jauh menumpang kereta lelaki?”

“Mak tak pernah ajar ateh macam ni. Kalaulah abah kalian ada, hai tak tahulah. Alamatnya, mengamuk besar dia nanti!” marah mak dah tak dapat nak menahan perasaan sendiri.

“Awak tu perempuan, cubalah beringat sikit! Kalau benda tak baik jadi macam mana? Kalian hanya berdua.”

“Ya-Allah, apa yang ateh dah buat?” tambah mak segera menuntah segala amarah.

“Tapi, kami bukan berdua je mak! Hakim ada bawak kawan dia teman sekali.” balas ateh mencantikkan perbuatan.

“Ha? Dengan kawan dia sekali? Laki-laki?” soal mak tak berhenti dengan mata yang membesar dengan sendiri. Ateh hanya tertunduk dengan muka terperosok, kerana nak membalas dia rasa takut. Melihat keadaan itu, mak cepat-cepat beristigfar di dalam hati, berkali-kali.

“Dah tu mana Hakimnya?!” soalnya semula setelah memikirkan apa yang harus dilakukan.

“Ada dekat hujung lorong sana. Takpa, kalau macam tu, ateh suruh dia balik jelah…” jawap ateh sebelum bertindak bergerak semula ke bahagian luar rumah.

“Orang tu dah hantar jauh-jauh sampai ke sini, lepastu takkanlah pulak nak terus disuruh pergi? Dah tu apa pulak katanya nanti? Itulah sebabnya, fikir dulu sebelum buat apa-apa, ni tak. Main buat je.”

“Hai…dah pening dah kepala mak ni tahu tak?”

“Dah tu sekarang ni, mak nak suruh ateh buat apa?!” soal ateh pula, bila dia juga dah rasa pening kepala.

“Panggillah dia masuk! Tapi ateh, mak harap sangat benda macam ni tak jadi lagi nanti. Kita duduk kampung, banyak mata yang memandang, nanti apa pulak kata orang.” balas mak tegas, tak mahu kejadian yang sama berulang.

“Ok!” balas ateh teruja dengan wajah bercahaya dan mak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.

 

Ateh menghampiri mak lalu duduk bersimpuh di sebelahnya sebelum wajah mak dipandang takut-takut. Tempoh hari, Hakim telah menyatakan hasrat untuk melamarnya setelah lebih 3 tahun mengenali satu sama lain. Pengajiannya di maktab masih berbaki tapi keinginannya untuk berumah tangga dah tak dapat nak di buang ke tepi.

“Mak…”

“Ateh…ateh ada benda nak beritahu mak ni.” tuturnya perlahan.

“Apa dia? Cakaplah?” balas mak sambil terus menyiang pucuk paku untuk dimasak buat jadi juadah makan tengah-hari mereka.

“Ateh…ateh nak kahwin!” ucapnya sebelum menundukkan muka ke jubin. Mak nyata terkejut sebelum mendongak dan memandang ke arah ateh yang ada di sebelah.

“Ateh dah fikir masak-masak? Keluarga dia macam mana? Keluarga dia setuju ke?” soal mak berteman wajah ateh yang tersipu-sipu dan memenuhi ruang mata.

“Keluarga Abang Hakim semuanya dah setuju. Mak dengan ayah tak bantah. Lagipun mereka orang baik-baik mak. Ayah Abang Hakim tu Tok Siak kat masjid. Warak orangnya, alim, pandai dalam hal-hal agama. Pendek kata, tahu serba-serbi. Mereka semua suka dengan ateh.” ucapnya bangga. Mak terdiam mendengarnya.

“Bila masa pula ateh ke sana? Macam mana pulak mereka berjumpa? Kerana seingatnya ateh tak pernah menceritakan apa-apa.” bisiknya di dalam hati, sambil terus menadah telinga lagi.

“Anak-anak saudara dia, Mia tu terutamanya, suka sangat dengan ateh. Langsung tak nak berenggang. Bila ateh ada, dah taknak kan orang lain dah, sampai mak ayah dia sendiripun dia dah tak layan.” sambungnya lagi beserta senyuman menampakkan gusi.

Mak terkejut. Nampaknya dalam diam ateh berjumpa dengan keluarga bakal mertuanya itu terlebih dahulu tanpa pengetahuan mereka suami isteri. Patutlah selama ini ateh ragat nak ke sana, katanya ke rumah kawan, rupanya lain yang dibuatnya. Mak mengeluh. Semakin besar anak-anak, semakin banyak ragamnya.

“Mak tolong beritahu dekat abah boleh? Ateh takut. Ateh takut abah tak izinkan.”

“Yang angah tu lambat sangat nak kahwinnya kenapa?! Kalau ateh kahwin dulu sebelum angah, mak tak kisah kan?”

“Ateh bukannya apa mak, masa ada orang nak ni, terima je lah. Nanti kalau dah tak ada orang nak, susah pulak.” kata-kata terakhir ateh telah membuatkan mak berfikir lebih panjang.

 

Kedatangan rombongan keluarga pihak lelaki disambut seadanya. Mak sibuk menyiapkan juadah untuk para tetamu yang seramai 10 orang semuanya. Daripada dapur, mak sempat menjenguk ke arah abah yang sedang duduk beramah-mesra dengan bakal besannya, Haji Din.

“Saya ni bukannya apa, kalau boleh saya nak langsungkan cepat-cepat.”

“Dah tak sanggup saya tengok budak-budak tu ke hulu ke hilir berdua. Datang dijemput, balik di hantar. Bukannya kita tak ajar mereka ilmu agama, cuma takut jadi apa-apa yang tak elok.” ucapnya pada abah. Abah hilang kata-kata. Kelu lidahnya untuk bersuara, bila muka rasa berbahang hangatnya.

“Maksud abang?” soalnya minta dijelaskan, biarpun sudah dapat memahami makna kiasan.

“Dah kerap sangat Hakim bawa Liza ke rumah. Memanglah ada orang tua sekali, tapi tak manis dipandang orang. Lagipun saya orang masjid, semua kenal. Kalau ikutkan saya, harini saya nak nikahkan mereka.” hati abah menggelegak mendengar, bila ateh dah memalukannya. Tak pernah dia menyangka yang mereka serapat itu. Bila ateh ke sana, katanya tinggal di rumah kawan, maksudnya selama ini ateh berbohong padanya? Abah jadi makin geram.

“Kalau macam tulah kata abang, hujung bulan ni kita langsungkan terus. Tak payah tunang-tunang, kita selesaikan sekaligus.” balas abah demi menutup aib yang terbuka.

“Elok sangatlah macam tu. Lagipun saya selalu sibuk. Tak boleh nak selalu pergi jauh-jauh. Kalau itu cadangannya, saya setuju.” balas Hj. Din berteman senyuman.

 

Abah menutup pintu dengan kuat. Kipas syiling di dalam bilik dipasang pada kadar maksimum, namun, masih tak mampu menyejukkan hatinya yang panas sebelum tombol pintu segera dipulas. Mak yang berada di dapur rasa kehairanan setelah terdengarkan hentakan.

“Awak tahu apa yang bakal tok besan awak tu kata pada saya tadi?!” soalnya geram.

“Manalah saya tahu. Kan dia cakap dengan awak. Apa yang dia cakap?” soal mak kembali sambil terus juga sibuk mengemaskan pinggan mangkuk.

“Dia kata yang ateh dah selalu sangat ke sana, siap bermalam lagi di rumah mereka!”

“Awak tahu! Malu saya dibuatnya! Malu bila disindir macam tak pandai nak mendidik anak!” jerkah abah, betul-betul dah marah. Mak kekal bertenang sambil membuang pandang pada abah yang dah meradang.

“Dah tu, kita nak buat macam mana lagi? Anak-anak dah besar panjang, dah bebas pergi kemana yang dia nak. Bila kita tanya dia jawap lain. Dah tak terkawal dek kita.” balas mak berserta keluhan di jiwa. Kecewa? Ya, itulah yang dia rasa.

“Tadi saya dah bagitahu Haji Din tu, hujung bulan ni, kita langsungkan terus. Tak payah nak buang masa dah! Kalau dah kemaruk sangat nak berlaki, biar kita beri.” tutur abah, membuatkan mak ternganga tak percaya.

“Ya-Allah awak ni, kot iya pun, bawaklah bersabar! Kawallah sikit marah tu! Sempat ke kita nak uruskan semuanya? Kerja kahwin ni bukan boleh dibuat main. Banyak benda yang nak dibuat, bukan macam kenduri doa selamat. Saya takut tak sempat.” balas mak bimbang. Suaminya itu memang suka buat keputusan sendiri.

“Awak cakap kat anak awak tu!”

“Kalau nak, buat! Kalau tak nak, tak payah langsung buat!” balas abah tegas kerana pendirinnya sudah jelas. Mahu tak mahu, ateh harus mengikutinya dan mak mula merasakan kakinya bertambah lemah.

Previous: Bab 77
Next: Bab 79

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.