Home Puisi Umum KAMI 360
KAMI 360
anga wati
26/8/2022 05:50:37
2,412
Kategori: Puisi
Genre: Umum

KAMI 360

 

Nun di sana, sayup kedengaran,

Gegek gema, laungan kemenangan,

Hasil gerakan, perjuangan dan pengorbanan,

Demi sebuah kedaulatan idaman.

 

Tangisan bersulam senyuman,

Sebelum teriakan disambut sahut-sahutan,

Sambil pelukan pada si kecil dieratkan,

Tanda kebebasan impian berada di dalam genggaman.

 

Berabad lama, ia menjelma.

Kebimbangan pada sesuatu yang bermula,

Pengisian roh anak bangsa,

Juga pengakhiran jalannya…

 

Ibu pertiwi tercinta,

Seperti sudah kehilangan arah punca,

Rakus dijajah dan diteroka,

Bila yang berusaha makin terasa manisnya kuasa, perhiasan dunia.

 

Adakah ini penamat pada titisan darah yang sudah ditumpahkan?

Kemerdekaan bakal bergantikan gangguan,

Fitnah yang diusahakan dengan tangan,

Hasil galakan golongan kiri yang menyesatkan?

 

Ibuku,

Berbekal janji yang pernah dipadu,

Ibarat isi dengan kuku,

Kami akan terus memelihara kedaulatanmu.

 

Ibuku,

Walau apa yang bakal berlaku,

Tanpa ada sekelumit ragu-ragu,

Kami kekal menjaga amanahmu.

 

Ibuku,

Meskipun berabad telah berlalu,

Malah, gantian ratusan abad dengan itu,

Takkan sesekali kami lepaskan genggamanmu.

 

Ibuku…

Berbekal keringat yang basah di baju,

Kami bersujud dikakimu,

Demi sumpah bakti diseru.

 

(Selamat hari merdeka. Salam…)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.