Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 12a

Usop menggaru-garu bahu yang kegatalan bila bintik-bintik kudis yang diisi dengan air bisa itu terasa sangat mendera tubuh. Miang dan gatalnya dah tak terkata, kalau sehari takpa, tapi dah masuk beberapa minggu, dan kawasan jangkitannya sudah mula merebak ke hampir keseluruhan badan. Tengah dia sedap-sedap menggaru mak datang untuk memantau keadaan.

“Tak ada ke kurangnya? Gatal lagi?” soal mak pada Usop yang sedang berlunjur.

“Gatal.” balasnya beserta anggukan sebelum menggarut-garut bahagian jari pula.

“Jangan asyik digaru! Lagi senanglah merebaknya nanti…” tutur mak sebelum memeriksanya sendiri. Krim sapu yang dibeli di kedai ubat nampaknya tak memberi sumbangan yang besar dalam proses penyembuhan. Ubatnya dah nak habis sebotol, tapi kudisnya kekal juga berleluasa.

“Mak rasa ini bukan gatal biasa ni. Tengok, tak susut pun, makin bertambah adalah, ke Usop ni kena kudis buta?” tambah mak sebelum menelitinya semula. Usop hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala kerana dia sendiri memang tak tahu apakah bendanya.

“Takpa, petang nanti kita ikhtiar cara lain. Dah tak boleh nak dibiarkan lama-lama ni, takut makin teruk. Nanti mak pergi tanya dengan Cu Tanda. Kalau betul kudis buta, dia tahu caranya.”

“Usop jangan garu ya, nanti kalau air dia pecah, makin merebak dia nanti.” tutur mak meninggalkan pesanan.

“Mak nak pergi ke bukit sekejap, nak tanya apa ramuannya. Usop rehat.” arah mak sebelum beredar.

“Mak nak pergi mana?” soal Safi yang sedang menonton tv bila terpandangkan mak yang sedang bersiap-siap.

“Mak nak pergi ke bukit kemuning kejap, nak cari Cu Tanda.” balas mak yang sudah selesai menyalin pakaiannya.

“Nak ikut!” jawap Safi, mahu mengekori.

“Tak payahlah, mak nak cepat, lagipun mak pergi sekejap je. Safi duduk rumah.” jawap mak dah tak nak berlengah, membuatkan Safi tertunduk sunyi, sedih kerana tak dapat ikut mak pergi. Melihat keadaan itu, mak segera mengubah keputusannya pula.

“Kalau nak ikut, cepat pakai baju!” arah mak yang sudah mencapai tudung sebelum menyarung. Safi apa lagi, terus berlari saat mendengarnya, gembira tak terkata sambil bergegas menyelongkar almari baju. Man dan Ina yang melihat jadi tak senang duduk kerana mereka pun mahu mengikut. Mak boleh nampak dengan cara mereka pandang mak, tapi mak sengaja buat-buat tak tahu, sebab dia betul-betul nak cepat.

“Man dengan Ina duduk rumah, tengok tv. Lain kali baru ikut ya.” tutur mak selesai mengemaskan tudungnya. Man dengan Ina mengangguk sebelum tertunduk.

“Bai…” tutur Safi yang dah lengkap berpakaian membuatkan Man dan Ina terus-terusan dijeruk rasa.

“Pakai selipar, jangan asyik nak berkaki ayam je. Masuk cacing nanti.” arah mak seperti biasa. Safi segera menyarungkan selipar yang ternampak dek mata, dah tak kisahlah siapa yang punya, janji ada.

“Bai-bai…” tutur Man dan Ina sambil cuba mengawal air mata.

“Bai..” balas mak pula sebelum disertai Safi yang tak ketinggalan melambai-lambaikan tangan. Air mata yang cuba dikawal jatuh juga akhirnya saat terpandangkan Safi yang keriangan, tak seperti mereka yang dihambat kesedihan. Berjurai-jurai air mata mereka, tapi tak lama sebelum tumpuan mereka teralih semula pada rancangan yang disiarkan.

 

Baldi berisi air rebusan daun kunyit, daun lengkuas, daun jambu air dan jambu batu beserta daun asam gelugur dibawa ke mata tangga. Air yang suam-suam panas itu bakal digunakan untuk memandikan Usop, ikhtiar terakhir yang ada, kalau masih tak berkurang barulah mak bercadang membawa anaknya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya dah siapkan airnya ni…” lauh mak pada abah yang baru selesai bersolat maghrib.

“Usop, cepat!” arahnya pada Usop pula, meminta dia datang segera.

“Mana airnya?” soal abah yang baru sampai sambil melipat-lipatkan lengan baju melayunya tinggi.

“Tu, saya dah hantar ke bawah. Usop cepat! Abah dah siap ni.” tutur mak lagi, tak mahu berlengah-lengah kerana abah paling tak suka menunggu.

“Ha.” balas Usop sepatah dengan perasaan berat hati kerana dia mula meragui akan keberkesanan rawatan yang akan diberi. Sambil berdiri abah menjiruskan air rebuasan berkenaan pada belakang badan Usop yang terdedah.

“Abah pedih bah!” jeritnya sebelum bertindak untuk mengelak. Melihat keadaan itu abah terus mencengkam bahu Usop kemas, tak mahu dia terlepas. Mendengarkan jeritan Usop, Safi, Man dan Ina bergegas untuk menjenguk.

“Pedih bah! Pedih…” rayu Usop lagi minta belas ihsan, tapi, abah langsung tak terkesan. Selesai membuat beberapa jirusan, tangannya menggenggam daun-daun yang ada sebelum menggaraskannya ke kawasan yang terkena jangkitan. Usop apa lagi, meraunglah dia kesakitan.

“Abahhh! Pedih bah! Pedih…” raungnya macam budak-budak, betul-betul pengecut.

“Tahan jelah! Sikit je lagi ni!” balas abah menyergah sambil meneruskan genyehan di setiap kawasan yang terdedah. Bekang badan, lengan, tapak tangan tak ketinggalan betis dan kaki, semuanya dikerjakan sesedap hati, tak langsung ada rasa simpati.

“Sabarlah…sikit je lagi tu.” tutur mak memberikan harapan pada Usop yang sedang menanggung kesakitan.

“Aduh bah! Aduh! Sakit bah…” rengek Usop lagi, dah tak ada rupa lelaki.  

“Senyap!” jerkah abah, masih belum selesai. Sesudah habis menggaras abah capai penimba dan meratakan baki air yang ada ke seluruh kawasan badan. Usop apa lagi, menggeletik dia kepedihan.

“Aduh!!!” teriaknya sengsara.

“Ha dah! Dah siap dah!” tegas abah tak lama kemudian, setelah selesai dengan tugasan.

“Awak bilaskan badan budak tu.” arah abah pada mak sesudah dia membasuh tangan dan kaki menggunakan air yang ada di dalam tempayan yang terletak di sisi tangga dan tanpa banyak kata, mak melakukannya.

“Mak, pedih mak…” tutur Usop belum habis mengadu.

“Takpa, dah siap dah ni. Sabar ya. Nanti kita bilas dulu.” jawap mak sambil menjiruskan air bersih ke seluruh tubuh Usop yang sedang menggeletar kesakitan. Safi, Man dan Ina hanya mampu berpandangan sambil meneguk air liur sendiri, tak menyangka apa yang sedang disaksi.

 

Keesokan paginya sebaik bangun mak memeriksa keadaan Usop yang masih lena dibuai mimpi, mahu melihat keberkesanan rawatan yang dilakukan. Mak nampak ada perubahan ketara pada kudis berkenaan. Kawasan yang membengkak dah bertukar menjadi kemerah-merahan. Kudis berair itu juga sudah mula kering dan mengecut menandakan kejayaan.

 

Previous: Bab 11
Next: Bab 12b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.