Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 8a

Hujung minggu yang agak sunyi, setelah terlalu banyak perkara terjadi. Sejak kes along ditangkap merokok, mak dengan abah dilihat dah kurang ramah. Pantang ada salah, mulalah, mesti ada yang kena marah, baik dengan mak mahupun abah. Kedua-duanya nampak cuba memendam perasaan yang meluap-luap daripada keluar dan bertukar menjadi asap.

Mat rasa betul-betul tak puas hati bila tahu apa yang berlaku sebab dia lebih kenal along, dan dia tahu memang along buat semua tu.

“Kenapa along tak berani mengaku? Kenapa along sanggup tipu?” soalnya perlahan pada along yang ada baring berdekatan setelah selesai tugas-tugas mencuci ayam. Along terus bangun kerana dah tak ada minat nak berehat.

“Yang Mat sibuk sangat dengan hal along kenapa? Mat tu pun sama, jadi tak payah nak sibuk-sibuk hal orang.” balas along mengingatkan Mat.

“Ya, memang Mat pun merokok, tapi Mat tak menipu, bukan macam along, berani buat, tapi tak berani nak mengaku sampai cikgu pulak yang dituduh menipu. Betul ke along tak langsung ada rasa malu?” jawap Mat menyatakan isi hati bila telah berhari-hari perkara itu dipendamkan sendiri kerana ada beza antara orang jahat dengan orang keji. Prinsip si jahat, kalau dah buat berani mengaku kesalahan diri, berbeza pula dengan si keji yang hanya tahu menuding jari.

“Mat! Mulut tu jaga sikit! Mat dah lupa ke along ni siapa? Mat ingat along ni adik Mat ke ha?” tengking Along pula dengan mata yang sudah mula merah menahan marah. Angah, Ateh, Safi, Man dan Ina yang ada di ruangan depan kekal sunyi, langsung tak berani untuk mengeluarkan bunyi sejak tadi. Sambil duduk, mereka berpandangan sesama sendiri.

“Angahhh…” rengek Ina yang sudah mula takut tadkala mendengar suara tinggi along.

“Shh!” balas angah segera memintas, tak mahu mengganggu proses. Paling tak, biar pesalah diingatkan dengan keadaan dan berhenti memberi alasan. Paling terpenting, jangan mengambing hitamkan orang lain.

“Mat tak lupa! Mat tak lupa, tapi perangai along tu yang tak betul! Mentang-mentanglah mak dengan abah sayang dan percaya sangat kat along, sanggup along tipu. Along tak malu?” tutur Mat meluahkan segala yang tersimpan. Sakit hatinya bila melihat sikap kepura-puraan along itu, memang dah dasar pengecut, hanya berani buat, tapi tak berani nak menanggung, dah dasar pengecut! Bisiknya hanya dalam hati, tetap berusaha untuk menjaga bahasanya.

“Mat, cukup! Berhenti!” tutur along memberi peringatan, tak mahu isu itu terus-terusan dipanjangkan. Kalau abah dengan mak tahu dia dah pandai merokok, kesannya tentu teruk.

“Along tu yang sepatutnya berhenti! Bukannya Mat! Tolonglah berhenti berpura-pura. Along ingat mak dengan abah tu apa? Tengok, sebab along cikgu tu pulak yang jadi mangsa.” balas Mat lagi, sedikit tinggi kali ini, memuntahkan sisa-sisa amarah yang masih ada bila hatinya rasa betul-betul tak puas hati saat teringatkan nasib cikgu berkenaan, sentiasa menjadi bahan sumpahan abah saban waktu.

“Mat! Along kata cukup tu cukuplah! Yang tak faham-faham bahasa kenapa? Cakap orang pandai! Dah tu, Mat tu baik sangat ke?” pekik along.  Ina dah mula menitiskan air mata, tak suka dengan apa yang sedang dilihatnya.

“Huu…huu…huu…” tangisnya sebelum segera didakap angah.

“Dah dah. Jangan nangis.” pujuk angah sambil menghela nafas dalam, tak menyangka keadaan boleh jadi sampai setegang itu.

“Ingat ya! Kalau Mat report kat abah along merokok, nanti Along pun akan bagitahu pada abah yang Mat pun merokok jugak.” jawap Along dengan nada mengugut, selebihnya tak bersedia untuk dikalahkan oleh seorang yang lebih muda usia.

“Cakaplah! Apa along ingat Mat takut ke? Memang Mat jahat! Mat mengaku Mat jahat, Mat pun merokok, tapi rasanya Mat lebih baik daripada along, sebab Mat bukan penipu!”

“Takpa, kalau along tak nak mengaku sendiri apa sebenarnya yang jadi, biar Mat yang bagitahu.”

“Biar Mat bagitahu mak dengan abah yang sebenarnya dah lama along pandai merokok.” tegas Mat sebelum bertindak angkat kaki daripada situ. Melihatkan keadaan itu, along pantas bangun dan mengejar Mat kerana hatinya mula rasa cemas teramat. Bunyi tapak kaki yang dihentak kuat membuatkan adik-adik yang berada di rumah depan bergegas datang untuk melihat.

“Mat! Mat!!!” pekik along kuat membuatkan semua yang ada jadi terperanjat, begitu kuat sampai tahi telinga pun boleh tercabut dibuatnya, tapi itu bagi orang yang lemah, tidak bagi Mat yang kuat semangat. Tanpa berlengah basikal yang ada dipakir di halaman rumah segera ditolak sebelum dikayuh sekuat hati kerana hatinya langsung tak tergerak mendengar along berteriak.

‘Phang!’ bunyi hentakan kuat pada papan kayu yang didengari membuatkan Mat berhenti sebelum menoleh ke belakang.

 

Angah segera bergerak merapati mak yang baru pulang berniaga dan dalam keadaan teragak-agak dia duduk di sebelah mak.

“Angah, tolong ambilkan mak air minum boleh? Dah rasa kering dah tekak mak ni.” tutur mak sebelum bertindak membuka kain tudung dan mengipas-ngipaskannya ke arah muka yang masih rasa berbahang.

“Sekejap.” balas angah lalu bergegas ke dapur untuk memenuhi permintaan.

“Yang lain-lain mana?” soal mak selesai meneguk air putih yang dihulurkan.

“Safi, Man dengan Ina ikut along menjala, Usop pun sekali. Ateh ke sungai kot, mandi.” jawap angah mengemaskini lokasi semua adik-beradiknya ketika ini.

“Mak, abah mana?” tambahnya bertanya.

“Abah biasalah, tersangkut lagi kat kedai kopi Pak Long, nak mengeteh dulu.” jawap Mak sambil bangun dan melangkah menuju ke arah dapur.

“Mat?” soalnya lagi.

“Mat kat kedai mamak lagilah agaknya, sebab tadi mak nampak dia ada jumpa dengan kawan dia, siapa namanya? Anak saudara guru besar tu? Alah lupa pulak mak. Siapa ke namanya?” balas mak sambil cuba mengingati.

“Ooo…Nuar, anak Pak Ya.”

“Ha, betullah tu, Nuar anak Pak Ya.” jawap mak sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Nasi dah masak? Ada tak Mat pesan yang mak suruh kukurkan kelapa tadi?” soalnya pula sebelum bergerak ke dapur untuk menyimpan ayam lebihan yang bakal dibuat juadah makan tengah hari mereka nanti.  

“Ada, dah kukur dah, ada kat bawah tudung saji.” jawap angah sambil berjalan membuntuti mak ke dapur sambil dalam hati tak henti-henti berdoa agar Mak tak perasan apa yang sudah terjadi, tapi nampaknya mak memang seorang yang peka pada keadaan sekelilingnya.

“Ya-Allah! Apa dah jadi dengan pintu ni? Kenapa boleh sampai berlubang macam ni?” soal mak seperti tak percaya kerana pagi tadi sebelum dia keluar berniaga semuanya masih baik-baik saja.

“Angah! Macam mana pintu ni boleh sampai pecah!” tambah mak lagi. Serentak itu angah dipandang sebelum lubang yang sebesar tapak tangan itu diteliti lagi.

“Angah, mak tanya ni! Ini kerja siapa ni?” tutur mak semula mahukan penjelasan.

“A..along. Along tumbok pintu tu masa gaduh dengan Mat.” jawap angah perlahan, seboleh-bolehnya tak mahu memanaskan keadaan.

“Ya-Allah, apa yang digaduhkan sampai boleh jadi macam ni? Apa sebenarnya yang jadi?” soal mak lagi mahukan penjelasan yang lebih jelas, dan serentak dengan itu angah menggeleng-gelengkan kepala, tak mahu membongkar apa-apa.

“Penat rasa badan, tapi..., rasanya lagi penat mata.” tutur mak perlahan sambil otak memikirkan jalan penyelesaian. Agak lama dia terduduk sebelum dia menjumpai jalan untuk menyelesaikan.

“Angah cepat tolong mak! Angah tolong mak ambilkan gergaji dengan tukul besi kat belakang almari. Mak nak tampal lubang ni. Kena siapkan cepat, sebelum abah balik. Kalau abah nampak ni, teruk semua kena nanti.” arah mak sebelum dia turun ke tanah mencari kayu papan untuk membuat tampalan.

“Hai la anak-anak…entah apalah masalah budak-budak.” bisik mak perlahan, menyatakan kekesalan.

 

Along duduk di atas tebing pasir sambil memerhatikan adik-adiknya bermain dalam air sungai yang cetek, sambil memantau keadaan adik-adik, dia mencapai plastik berisi hasil tangkapan, anak-anak ikan sia dan terebul yang berjaya dijala, namun tak lama sebelum wajahnya berubah mendung pula. Serentak itu, dia teringatkan pertelingkahannya bersama Mat awal paginya.

Otaknya dah jadi buntu, tak tahu mahu melakukan apa lagi. Dia tahu dia yang bersalah, namun dia tak cukup berani untuk mengakui perkara yang sebenar dihadapan abah, dia takutkan abah dan tindakan susulan abah. Tanpa dipaksa kenangan lama mula menjelma, kenangan yang takkan mudah untuk dilupa sampai bila-bila.

Previous: Bab 7
Next: Bab 8b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.