Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 64

Setelah memeriksa keadaan sekeliling, Safi mencapai tangkai lidi penyapu dan mula melakukan tugasnya, membersih rumah. Selesai di dapur dia ke rumah depan pula dan semua itu dilakukan atas dasar kewajiban, berteman sedikit rasa keterpaksan. Manataknya, kalau mak balik dan nampak rumah berselerak, tak payah cakaplah, pasti banyak bunyinya nanti.

Sedang asyik bekerja, dia sempat melihat kelibat Usop yang baru balik, entah untuk tujuan apa kerana hari masih pagi lagi. Sempat kedua-dua mereka berbalas jelingan sebelum Usop terus ke biliknya.

‘Phang!…khong, khang!’ bunyi barang dilanting dan dibaling membuatkan Safi terus bertahan, tak mahu termakan ‘umpan’.

‘Phang!!!Khong!!!Khang!!!” ulangan yang tak dapat nak dibiarkan tanpa bantahan. Serentak itu, mulutnya terus berubah lancang.

“Usop ni dah kenapa ha?!” jerit Safi dah tak tertahan lagi. Manataknya, dia baru selesai mengemas tadi, jadi haruslah dia panas hati. Tak perlu menunggu lama, berteman bunyi hentakan kaki, Usop sudah datang menerpa ke arahnya dengan muka menyinga. Tanpa sebarang kata, satu demi satu hentakan dilepaskan ke arah kepala Safi demi memuaskan hati dan Safi cuba bertahan demi melindungi aset terpentingnya itu, muka. Serta-merta, kepalanya direndahkan dengan kedua-dua belah lengan yang dirapatkan agar kesan serangan tak terlalu memberi kemudaratan.

“Ha! Kau nak merasa sangat kan! Sekarang rasakan!” tutur Usop menunjukkan kehandalan tanpa belas kasihan. Namun, Safi terus juga menguatkan pertahanan. Sudah banyak kali hentakan diterima, tapi hatinya kekal tenang menghadapinya, kerana itu perkara biasa.

Sampailah ke satu ketika, saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Ketika Usop mula mengendurkan serangan akibat kepenatan, barulah dia mendongak dan melepaskan satu tumbukan padu ke bahagian hadapan badan yang terbuka, serangan yang sudah cukup untuk membuatkan Usop berundur beberapa langkah sambil menekan dada.

“Kau ingat ya!”

“Jangan kau haraplah satu sen pun daripada duit gaji aku nanti!” tutur Usop yang sudah mula melangkah ke tanah.

“Apa ingat orang heran?!”

“Orang langsung tak hingin, satu sen pun duit Usop tu!” tutur Safi berbalas jeritan.

“Ok, takpa! Kita tengok jelah nanti!” jawap Usop lagi yang sudah menyongsong semula basikalnya. Sebelah tangan kekal mengusap-usap dada yang masih keperitan.

“Pergi matilah!” tutur Safi, membalas lagi.

“Tak guna! Kalau macam ni, baik tak payah ada abang.” rungutnya pula sambil memicit-micit tengkok dan puncak kepala yang sudah lembik isinya. Air mata yang bergenang segera diseka kerana dia tak biasa dan tak suka mempamerkan ‘kelemahan’ pada sesiapa.

 

“Dalam hidup ini, kita kena pandai merancang dan mengurus masa. Setiap satu perkara ada prosesnya. Dan setiap satu proses perlulah mengikut aturannya. Yang dahulu, didahulukan, dan yang kemudian di kemudiankan…” tutur kaunselor, merangkap cikgu disiplin sekolah menengah berkenaan. Safi tekun memberikan perhatian kepada apa yang baru sahaja disampaikan.

“Cikgu beri satu contoh di sini. Macam M-16 dan cara-cara nak menggunakannya.”

“Mula-mula, pasang kelopak, kemudian…” terang cikgu berkenaan dan dengan bersahaja Safi menggayakan. Satu demi satu langkah didemonstrasi mengikut aturan dan cara yang telah ditontonnya di kaca tv kerana rancangan Rembo memang menjadi kegemarannya. Cikgu berkenaan jadi teruja dan terus-terusan melanjutkan arahan. Sebelum tersenyum menandakan kepuashatian.

“Hmm, betul.” pujinya sambil mengengguk-anggukkan kepala dan Safi kekal juga bersahaja, tak tahu nak kata apa kerana semuanya bukan disengaja, tapi dah terbiasa.

“Di samping itu, kamu perlu juga kenalpasti kekuatan dan kelemahan diri. Guna kekuatan yang ada pada diri dan fokus untuk capai matlamat yang dihajati. Sebaliknya, lakukan pembaharuan untuk mengatasi kelemahan…”

“Kaji cara untuk menjadikan kelemahan sebahagian punca kekuatan kerana bukan dalam setiap keadaan kelemahan adalah kekurangan.”

“Baik, cikgu nak dengar setiap orang senaraikan, samaada kekuatan ataupun kelemahan yang dia rasa ada pada diri dia”

“Ok, kita mula dari sini, ke sini…” arahnya sebelum menunjukkan aturan. Seorang-demi seorang mengambil bahagian dan kebanyakannya memilih untuk menyenaraikan kekuatan, sehinggalah sampai ke giliran Safi untuk memberi pandangan.

“Pemarah.” jawap Safi sepatah, membuatkan cikgu berkenaan agak terkejut dengan pilihan.

“Oh, kalau macam tu, awak perlu lakukan sesuatu.” tuturnya dan serentak dengan itu Safi menganggukkan kepala mempersetujuinya.

 

“Safi!” panggil abah untuk kali yang pertama.

“Ina!” lauhnya lagi, sambil bergerak ke tangga dapur.

“Ke mana pulak perginya budak-budak ni?” soal abah sebelum melihat daun pintu yang dikunci rapat.

“Safi! Ina!” ulangnya semula, namun keadaan kekal serupa, tiada sesiapa yang menyahut seruannya.

“Ke air agaknya budak-budak ni.” tutur abah setelah menyangkutkan plastik ikan pada paku yang ada terpacak di gelegar, tempat kebiasaan dia meninggalkan bungkusan.

 

“Kelapanya mana?” soal mak yang baru balik daripada pasar.

“Tu, dekat bawah tudung saji tu.” jawap Safi sebelum bergerak ke dapur untuk menanak.

“Ikan tadi mana?” soal mak pula.

“Ikan apa?” balas Safi, betul-betul tak mengetahuinya.

“La, ikan! Ikan bawal yang mak kirim pada abah. Mana ikannya?”

“Bila abah hantar?” balas Safi kekal terkejut mendengar.

“Tadi! Awal-awal pagi tadi abah dah hantar. Apa yang kalian buat dekat rumah sampai tak tahu dekat mana letaknya?”

“Manalah Safi tahu! Bila masanya abah hantar?”

“Kalian tidur ke tadi! Membuta sampai tak dengar ada yang memanggil?” marah mak sebelum menjenguk ke arah paku yang ada di bahagian tepi tangga.

“Laillahaillallah...! Ni plastik apa ni? Kenapa plastik je yang tinggal? Isinya mana? Macam mana boleh jadi terkoyak macam ni?” tutur mak setelah hampir pasti ke mana ikannya pergi. Safi segera datang berlari demi memeriksanya sendiri.

“Apa yang kalian buat duduk rumah sepanjang hari, sampai kucing melarikan ikan pun kalian boleh tak sedar?!”

“Dah tu apa yang nak dimasak sekarang ni? Lauknya dah tak ada! Ya-Allah…apalah yang kalian buat…” rungut mak menyatakan kekecewaan, tapi Safi belum sedia untuk memikul segala kesalahan.

“Manalah Safi tahu! Bila masa pulak abah gantung ikan tu dekat situ. Cakap orang tidur, mana ada orang tidur!” balas Safi keras, tak suka dipersalahkan pada sesuatu yang dia tidak lakukan.

“Kalau tak tidur, takkanlah boleh jadi macam ni! Macam mana boleh tak sedar yang abah letak ikan dekat situ? Memang tak ada lainlah! Mesti kalian membuta kan!” tutur mak, kekal juga dengan pendirian.

“Orang dah cakap tak tu, taklah! Yang tak percaya tu kenapa?”

“Manalah orang tahu siapa yang letak dekat situ! Lepastu senang-senang je menuduh orang! ” tutur Safi kekal membela diri, sampai terlupa dengan siapa dia sedang berbicara.

“Ha! Melawan! Satu orang cakap, sepuluh yang dijawap! Cili ke mulut tu nanti baru tahu!” marah mak, menjerkah.

“Huh! Kalau nak cili, cililah! Ingat orang takut ke?” jawap Safi perlahan, kekal membentak sebelum beredar, namun sudah cukup untuk ditangkap telinga jegang mak.

“Apa Safi cakap? Nak merasa sangat? Ha, tunggu! Tunggu dekat situ!” gertak mak sambil menghentak-hentakkan kaki, tanda bersedia ingin memenuhi. Melihatkan itu, Safi terus berlari dan tempat yang ingin ditujui, tak lain, melainkan pinggir sungai yang mendamaikan.

“Tahu pulak lari! Tadi macam berani sangat!” jerit mak melepaskan segala sisa-sisa kemarahan.

“Ikut suka hati oranglah nak buat apapun!” balas Safi berkongsi teriakan sambil kaki terus juga berjalan.

“Apa Safi cakap!!!” sergah mak, makin marah.

“Ikut suka hati orang lah!”

“Ha! Menjawap!” jerit mak, tak suka dibantah.

“Entah apa-apa entah! Menyampah!”

“Benci betul hidup macam ni! Benci!”

“Daripada hidup macam ni, baik mati!” tuturnya sambil melajukan langkahan kaki. Titisan air mata yang menitis di pipi segera dilanting dengan marahnya. Sesampainya di tebing sungai, dia terus terjun dan menenggelamkan keseluruhan bahagian badan.

Arghhhhh….!!!” teriakannya bergema di dalam air separa deras yang sedang ‘mengebumikannya’ itu.

Tak guna!!!….” jeritnya untuk kali yang kedua sebelum dia makin pasti dengan misi. Mati!!! Namun, belumpun sempat putus nafasnya, dia bergegas ke batang tengah dan memeriksa bahagian jari kaki.

“Setan punya buntal! Orang nak mati pun tak senang!” gerutunya sambil mengusap jari kaki yang sudah diserang.

“Huuu…” esaknya perlahan, demi memujuk hati yang sedang diselubungi kecelaruan. Dia kecewa pada diri, pada semua, dan pada dunia. Dia benci pada dirinya! Benci pada keadaan yang sedang dihadapinya dan satu-satu cara yang dirasakan ada, hanyalah dengan ‘menghentikan’ semuanya. Biar dia tiada, biar dia mati dan biar dia pergi, kerana wujudnya selama ini memang tak pernah memberi erti, tapi…dia takut pada Allah. Bukankah membunuh diri ditegah Allah? Seandainya ia benar-benar terjadi, bukankan neraka yang akan dihuninya? Soalnya pada diri sendiri sebelum dia jadi betul-betul pasti.

“Huuuu…” esakannya berterusan sebelum dia akhirnya menyedari akan kesalahan yang telah dilakukan. Bunyi kocakan air yang terhadang oleh batang, berjaya membuatkan damainya datang.

“Astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…” taubatnya berulang kali, setelah menyedari kekurangan diri.

“Allah, orang mintak maaf…”

“Orang tahu orang salah…orang mintak maaf…” rintihnya menzahirkan penginsafan pada tuhan yang telah memberikannya kehidupan. Serta-merta tangannya ditelangkupkan ke muka sebelum dia menangis dengan sepuas-puasnya.

“Huuu…” rintihya.   

 

Mak memanjangkan tengkok dan memeriksa tempat Safi berada. Safi perasan apa yang mak lakukan, namun dia kakal tidak memberi sebarang reaksi, kerana hatinya masih ‘sakit’ lagi.

Melihat keadaan itu, mak tak berkata apa-apa kerana memang begitulah kebiasaanya. Safi bila dah marah, dah tak nak pandang dan cakap dengan sesiapa dah. Puas menunggu, mak akhirnya mula bergerak berbekal lipatan guni panjang dan parang.

“Bismillah…” tuturnya sebelum mula melangkah dan meranduh semak untuk mengutip pucuk paku. Sesekali kepalanya ditolehkan untuk memeriksa keadaan. Iyalah, manalah tahu kan, kalau-kalau anaknya itu berubah fikiran, namun, dia kekal hampa bila menyedari, Safi tiada.

Sejenak, dua jenak…tapi Safi tetap keraskan kepala, biarpun hati dah mula kata sebaliknya.

“Tak tak tak! Baik jangan!”

“Minggu ni, biar mak pergi cari sendiri!” tuturnya kekal memarahi sebelum bergerak ke muka pintu sambil mula mencari di mana mak berada tika ini. Puas dia memerhati, namun, kelibat mak langsung tak kelihatan. Serentak itu, dia menggaru-garukan kepala, tak gembira dengan keadaan. Satu keluhan dilepaskan tanda mengalah…akhirnya.

“Tapi, takkan nak biar mak pergi sorang-sorang? Nanti kalau jadi apa-apa macam mana?” bisiknya pula, tak lama sebelum dia mula menutup daun pintu.

 

Mak semakin asyik saat matanya terpandangkan pucuk-pucuk paku muda lagi subur yang beratur panjang, seperti sedang menanti-nanti dia datang, sampai hampir terlupa yang dirinya kini sedang berada bersendirian di dalam semak yang hampir separas dada itu. Bimbangnya memang ada, cuma, hanya itulah cara yang dia ada. Ikhtiar yang dapat dilakukan untuk menambah pendapatan.

“Ya-Allah! Terkejut!” latah mak sambil mengurut dada ketika ternampak kelibat Safi yang berada tidak jauh daripadanya. Safi hanya memandang sekilas sebelum berusaha untuk mengawal ‘machonya’, walaupun hati sedang rasa digeletek saat ini kerana dia masih nak ‘jual mahal’ lagi. Dalam pada terkejut, mak turut rasa gembira dan lega.

 

Wajah mak pucat, seperti sedang menahan sesuatu. Sambil belunjur, mak menekan perut, memeriksa sebarang kejanggalan yang dirasa. Melihat keadaan itu, Safi mula datang mendekat untuk bertanyakan sebabnya.

“Kenapa?” soal Safi, tak biasa membiarkan persoalan membebani diri.

“Mak…”

“Mak rasa, macam…entahlah.”

“Tadi masa mandi, mak rasa macam ada lintah masuk dekat badan mak. Tapi entahlah betul ke tak.” jawap mak berteman bibir pucatnya. Safi terus terkesima, tak tahu nak buat apa.

“Lintah kalau dah masuk dalam badan, memang takadalah. Kalau hidup pun, dah tak semenggah…”

“Mak ingat lagi ada orang dekat hulu sana, lintah masuk dalam badan dia. Dah puas dah berubat, ubat kampung, ubat hospital, sampai doktor dah karenkan pun, tapi, masih lagi tak boleh nak bunuh lintah tu. Akhirnya sampai ke sudah, dia hidup dengan lintah…matipun dengan lintah.” terang mak menceritakan, membuatkan Safi semakin dipalit perasaan kebimbangan.

“Safi tolong mak. Tolong ambik abu yang ada dekat bawah dapur kayu tu. Lepastu bancuh dengan air masak. Mak nak minum.” arah mak, dan serentak dengan itu Safi bergerak.

 

Kesunyian malam dapat dirasa bila langsung tiada yang bersuara, sebaliknya yang ada hanya dengkuran pengenalan. Safi sedari tadi tak dapat nak melelapkan mata kerana di fikirannya hanya ada mak sahaja. Sekali lagi dia bangun dan berhati-hati menghampiri mak yang sedang tidur nyenyak di hujung kepalanya.

Dalam samar-samar cahaya, lama dia mengamati perut dan dada mak, sebelum dia seperti mendapat jawapan, mak masih ada. Tak cukup dengan itu, jarinya diarahkan pula pada bahagian bawah hidung mak untuk memeriksa nafasnya pula.

“Ada!” bisiknya lega, namun di hati sahaja. Selesai memeriksa, lama  matanya melekat pada wajah mak sebelum perasaan bersalah datang menyelubungi diri…lagi. Segera dia menyeka air mata yang datang dengan sendiri.

“Mak…janganlah mati.”

“Orang tak nak mak mati…

“Allah…janganlah ambik mak…”

“Orang janji!”

“Orang janji, lepas ni, orang dah takkan buat jahat pada mak dah, sebab…sebab orang sayang mak…” bisiknya lagi, membuat pengakuan, juga  berupa sebuah perjanjian. 

Previous: Bab 63
Next: Bab 65

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.