Sesi kimoterapi yang ketiga berlangsung juga, setelah doktor mengesahkan yang sel-sel kenser tersebut masih tak dapat dihapuskan. Angah cekal meneruskan apa yang telah dimulakan, walaupun tak banyak, namun sedikit, terdetik juga rasa kekesalan kerana sebagai ahli farmasi dia lebih fasih pada ubat-ubatan dan juga kesan-kesan sampingan.
“Has, kau nak solat?” soal Fizah pada angah yang sedang berbaring dan serentak itu angah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Takpalah, nanti kalau Has nak solat, Has bagitahu ya…” tuturnya semula dalam usaha diplomasi dan angah hanya kekal memandang. Safi yang turut sama berada di sisi rasa kecewa. Dia kecewa pada angah, tapi belum lagi sampai ke tahap marah.
Kesan kimoterapi lebih ketara kali ini, bila badan sudah tak sehati dengan kepalanya. Dia mula rasa sangat letih, rambut kian jarang, selera makan hampir hilang, sepenuhnya dan badan jadi makin susut daripada hari ke hari, sampai jaluran urat-urat di tangan sudah dapat dibilang dengan jari. Safi perasan perubahan angah, bukan sekadar luaran, namun dalaman. Angah dilihat lebih kerap senyap dan sangat kurang bercakap.
“Angah tak nak sembahyang?” tutur Safi minta difahami kerana itulah tujuan diri manusia dijadikan di dunia ini.
“Tak nak.” balas angah pasti, namun Safi kekal bertanya lagi.
“Kenapa? Kenapa angah tak nak sembahyang?” soalnya semula mahu mendengar rasionalnya. Angah membalas dengan jelingan tajam, tanda tak puas hati bila tindakannya dipersoalkan. Safi tak mampu membiarkan sahaja bebanan yang terpikul di bahunya tu, kerana sedaya-upaya dia ingin membantu angah ke jalan Allah.
“Angah, kita sembahyang ya. Biar Safi tolong angah ambik air sembahyang. Kita…”
“Kan angah dah cakap angah tak nak!” balas angah keras sampai ternampak mata putihnya. Safi betul-betul terkejut dengan cara angah berbicara kerana seingatnya, angah bukan jenis penderhaka.
“Angah!”
“Jangan sampai angah salahkan Allah!” tuturnya tegas sebelum beredar menuju ke tangga kecemasan, tempat biasa dia melepaskan perasaan. Tersedu-sedan dia di situ sambil bibir tak henti memohon kemaafan daripada Allah.
“Astargfirulllah hal adzim…”
“...astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…” tuturnya berulang kali sambil sesekali menyeka air mata dengan jari.
Selepas seketika melayan perasaan, Safi kembali semula untuk menemankan. Angah nampak mata Safi yang masih kemerahan dan keadaan itu telah membuatkan dia dihambat rasa kekesalan.
“Safi…”
“...angah nak minum.” tuturnya dengan senyuman yang tawar dan Safi segera bertindak untuk menyedia.
“Nak minum air yang mana? Kita minum air Yasin ya.”
“Nah, minum.” balasnya sambil menyua, namun angah tak cepat meneguk, sebaliknya dia hanya memegang cawan tersebut.
“La, kenapa? Kenapa tak minum? Tadi kata nak minum?” soal Safi pula mahu mengetahui puncanya, namun angah hanya membalas dengan senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
“Safi tak tahu…”
“...berat Safi…” balasnya.
“Apa yang berat?” soal Safi tak mengerti.
“Berat rasa nak minum air ni.” jawap angah sambil tangan masih lagi terlekat pada pemegang cawan. Safi yang mendengar betul-betul rasa tak percaya, namun tenungan angah sudah cukup mengesahkan ucapan.
“Bak sini! Biar Safi minum.” tutur Safi pula sambil mencapai cawan tersebut lalu meneguknya deras.
“Tak berat pun! Dah tu apa yang berat?” soalnya kembali setelah setiap titisan dihabisi sedang angah kekal lagi tersenyum sendiri.
“Nah, minum!” arahnya pula sambil mengisikan yang baru.
“Safi, angah nak tidur sekejap ya.” tutur angah pula dalam usaha untuk mengelak.
“La…tadi angah kata nak minum. Minumlah dulu, lepastu baru tidur.” jawap Safi pula, tapi angah dah mula menyelimuti diri sendiri.
“Nanti…”
“Nanti-nantilah angah minum. Angah nak tidur jap eh.” pintanya berteman senyuman. Safi sedar yag dia tak seharusnya meneruskan paksaan.
“Ok, tidurlah.” balas Safi ditemani perasaan yang berbelah-bahagi sebelum dia teringatkan apa yang mak cerita beberapa bulan sebelumnya.
“Mak Su kata, ada empat ekor…” kata-kata mak mati di situ. Safi yang baru sampai dari Kuala Lumpur segera memberikan perhatiannya.
“Empat ekor? Apa yang empat ekor?” soalnya semula.
“Kan Mak Su ada bawak angah pergi jumpa dengan ustaz, berubat hari tu kan? Ustaz tu kata ada empat ekor jin dekat badan angah.” jawap mak berkongsi apa yang dah diketahui.
“Hish, takkkanlah! Macam mana pulak boleh jadi macam tu? Dari mana pulak datangnya? Takkanlah!” jawap Safi tak mudah untuk mempercayai. Bukan tak percaya pada perkara-perkara ghaib, cuma mempersoalkan puncanya. Takkan! Siapa yang sanggup buat benda-benda terkutuk sebegitu pada angah.
“Entahlah…mak pun tak tahu. Tapi ustaz tu kata lagi yang angah dah ‘terkena’. Ada orang bagi benda ‘kotor’ dalam air minum dia.” terang mak lagi dan Safi hanya mampu menghela nafas sendiri.
“Mak, angah ni bukan jenis yang suka cari pasal dengan orang. Berkelahi tak tentu hala. Safi kenal angah macam mana.”
“Macam mana pulak boleh ada yang nak mengenakan dia? Apa pulak sebabnya?” soal Safi terlalu sukar untuk menerima.
“Benda-benda macam ni Safi, tak payah tunggu kita cari pasal dengan orang. Kalau dia nak buat, dia buat jugak. Lebihnya sebab dengki, tak puas hati dengan orang lain. Sengaja nak mencuba-cuba. Nak tengok ilmu yang dituntut tu betul ke tak menjadi.”
“Itu namanya gila! Gila, sebab tak takut mati!” balas Safi yang dah bergerutu hati, tak menyangka dalam arus serba kemodenan, dia tetap dapat melihat kejahilan.
Bilik wad berkatil enam itu makin lengang bila seorang demi seorang pesakit ‘hilang’. Sebahagian telah dapat pulang, manakala sebahagian besarnya dah pergi. Pergi untuk selama-lamanya. Semalam, seorang lagi pesakit telah meninggalkan dunia, tempat hidup yang sementara. Safi dan angah duduk sambil memerhati katil yang dah banyak kosong kerana kini hanya tinggal dua yang terisi, termasuk mereka sendiri.
“Angah, nak turun tak?” soal Safi mahu menghirup udara segar, setelah semalaman mendengarkan ratapan daripada yang baru kehilangan.
“Bolehlah.”
“Angah terasa nak makan buah nenas.” balas angah, dan seperti kebiasannya Safi segera bergegas mencari kerusi roda, alat bantuan yang diperlukan.
“Assalammualaikum…” tutur Fizah yang tiba tak lama selepas mereka kembali mengambil angin di luar.
“Waalaikumussalam…”
“Awal lagi ni.”
“Cepatnya sampai.”
“Keluar rumah pukul berapa?” soal angah setelah memeriksa jam tangannya.
“Kan hari ni hari cuti. Dapatlah aku datang awal. Lagipun jauh manalah Seramban tu ke sini. 30 minit pun dah boleh sampai.” balasnya sebelum berbalas senyum, menyatakan kegembiraan dapat bertentang mata dengan kawan, biarpun baru seminggu lepas dipertemukan. Safi segera menghulurkan tangan, bersalaman.
“Safi tak balik mandi lagi?”
“Belum, ingat kejap-kejap lagi baru nak pergi.” balas Safi.
“Takpalah, Safi pergi balik mandi, rehat dulu. Biar Kak Fizah yang take over.” arahnya pula.
“Hmmm…” kulum Safi masih tak mahu beredar.
“Safi pergilah balik dulu.”
“Nanti dah siap, Safi datanglah semula.”
“Ha, Safi tolong bawakkan sekali…”
“...‘adik-adik’ angah dekat bawah tu.”
“Tolong angah basuhkan ya…”
“Lepastu…”
“...tolong ambil yang baru, dekat dalam almari.” pinta angah pula sambil menunjukkan beg plastik yang berisi persalinan kotornya.
“Ok. Lagi? Ada apa-apa lagi?” soal Safi pula, manalah tahu ada yang angah terlupa.
“Hmmm…”
“Tak ada. Itu je.” jawap angah kekal tersenyum, perkara yang sudah menjadi darah dagingnya. Biar dilebihkan senyuman daripada muncungan.
“Ok. Kalau macam tu, Safi balik dulu. Malam nanti baru Safi datang!” balas Safi setelah mencapai topi keledar yang ada tersimpan di bucu meja.
“Ha!?” tutur angah tak percaya.
“Acah je lah. Kejap lagi Safi datang balik. Safi balik tukar baju dulu. Nanti dah siap Safi datanglah semula. Kalau angah ada teringat apa-apa lagi, telifon Safi. Nanti Safi bawak.”
“Safi gerak dulu. Assalammualaikum.” tuturnya yang sudah menyandang beg sambil sebelah tangan mengepit topi keledar.
“Waalaikumussalam…”
“Bawak motor tu jangan laju-laju!” pesan angah pula, tak penat mengingatkan.
“Ok, jangan risau. Safi bawak sampai 100 je nanti.” balas Safi sambil tersenyum menampakkan barisan gigi hadapan.
“Haaa…jangan…” bidas angah pula, tak mengizinkan.
“Tipujelah. Takkan bawak sampai 100. Sedang 80 pun dah nak tercabut kepala, inikan pulak 100. Silap gaya, melayang nyawa. Tak nak Safi jadi macam buah kelapa muda.”
“Safi balik ya. Angah tinggal. Assalammualaikum…” tuturnya sebelum beredar.
“Waalaikummussalam…” balas kedua-duanya sebagai pengakhiran.
“Assalammualaikum!” ucap Safi kembali, tak lama sebelum dia menjengukkan kepala di sebalik pintu semula setelah seketika menyembunyikan dirinya.
“Ish Safi ni!”
“Janganlah main-main!” tutur angah yang dah mula rasa diperolok-olokkan. Berkerut alisnya dan gigi sudah mula diketap geram.
“Hikhikhik…ha! Lupa!”
“Lupa nak salam dengan angah!” tuturnya sebelum datang semula setelah menyedari.
“Safi balik sekejap tau. Sekejap je. Sekejap lagi Safi datang balik. Angah rehatlah.” tambahnya, selesai menyalami dan mengucup kedua-dua belah pipi.
“Ok…hati-hati.” pesan angah lagi, kerana takkan dia berhenti untuk memanjatkan doa pada llahi agar perjalanan Safi dirahmati.
“Hmm, insyaAllah…”
“Akak, Safi balik jap. Assalammualaikum…” tuturnya sebelum beredar, dengan benar, menoktahkan sebuah perpisahan sambil menghadiahkan lambaian dan angah takkan pernah lupa untuk membalasnya.