Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 14

Waktu rehat tiba bila loceng yang dinanti sejak tadi akhirnya kedengaran juga. Mat dan Asim berjalan beriringan menuju ke kantin sekolah untuk mendapatkan sedikit habuan bagi menenangkan perut yang kelaparan. Di dalam perjalanan mereka bertembung pula dengan Kojek, anak cikgu Ali berserta dengan ahli-ahli gengnya sekali.

“Mana?” soal Nuar, salah seorang ahli tetap geng berkenaan sambil menadah tangan di hadapan Mat dan Asim.

“Apa?” soal Mat tak mengerti.

“Apa kau kata! Duitlah! Apa lagi! Tak tahu-tahu lagi?” soalnya pula sambil bertindak lebih berani dengan menyelukkan tangan ke dalam kocek seluar Mat untuk mencari apa yang dihajat.

“Wei, jangan!” rayunya perlahan tak mahu terlalu menarik perhatian.

“Janganlah ambik, itu duit aku nak buat makan.” rayunya lagi namun hampa bila dia hanya ditertawakan.

“Ini je duit yang kau ada? 20 sen je?” tutur Nuar saat melihat hasil yang tangannya dapat.

“Kau Asim, berapa yang kau ada?” soalnya pada Asim yang menjadi pemerhati sejak tadi.

“Aku ada 50 sen!” pantas Asim membalas sebelum segera mengeluarkan wang yang ada, tak mahu menerima nasib yang sama seperti Mat.

“Bagi aku 20 sen, yang lebih tu kau boleh buat makan!” balas Nuar memeras dan tanpa berlengah Asim menghulurkan kadar wang yang diperlukan.

“Kau ingat ya, setiap hari kau kena sediakan 20 sen kalau nak selamat… kalau tak…nahas!” ugut Nuar, orang kanan Kojek lagi, menakut-nakutkan mangsa, sekadar strategi pemangsa.

“Ok!” jawap Asim menurut sebelum tertunduk, takut nak bertentang mata lebih lama, namun tak disertai oleh Mat, dan keadaan itu telah membuatkan Nuar rasa lebih tak puas hati pula.

“Hei kau! Faham ke tak!” teriaknya agak tinggi membuatkan Mat tersentak di hati.

“A..a..aku faham.” balas Mat takut-takut, tak mempercayai, kerana perkara seperti itu pertama kali terjadi.

 

Keadaan rumah jadi sunyi bila mak dan abah dah tak ada di rumah dan keadaan itu telah memudahkan kegiatan-kegiatan haram itu dilakukan.

Safi, Man dan Ina tak dibenarkan untuk keluar ke tanah sesuka hati beberapa hari ni kerana sekarang dah sampai musim orang berburu. Salakan anjing dapat didengari sejak awal-awal pagi lagi disusuli pula dengan bunyi tembakan peluru hidup yang sayup-sayup kedengaran membuatkan semua yang mendengar lari ketakutan untuk mencari perlindungan, dan tempat yang paling selamat adalah rumah kediaman.

“Phang!” sedas lagi peluru dilepaskan, lebih kuat kali ni menandakan kawanan apek pemburu semakin menghampiri mereka.

Daripada belahan tingkap rumah yang ada sedikit terbuka, mereka dapat melihat gerombolan ‘kerbau-kerbau pendek’ pelbagai saiz yang berlari untuk menyelamatkan nyawa sendiri.

“Tu tu tu! Nampak tak? Banyak gila kerbau pendek! Yang besar tu mesti bapak dia, nak bawak anak-anak dia lari, takut mati.” tutur Ateh perlahan, sekadar ingin memaklumkan sambil semuanya duduk berkerumun di bukaan tingkap berkenaan, berhimpit-himpit, tak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara pemburuan haram yang berlangsung secara tahunan, kebiasaannya bila dah hampir dengan musim perayaan.

“Ye ke bapak dia? Entah-entah mak dia tak?” balas Ina pula sedikit meraguinya.

“Eh! Dah ateh kata bapak dia, bapak dialah! Kenapa degil sangat!” balas ateh mula berbahas, sebelum segerombolan anjing pemburu dilihat melintas, mengikuti jejak-jejak kaki kerbau pendek yang berlari pantas. Bodok yang sedang bersantai di dalam tong, cepat-cepat berlari untuk memerhati, mujurlah kepalanya dirantai rapi, kalau tak, tentu Bodok dah tumpang sekaki, berlari sekuat hati.

“Auk auk auk!!!” salaknya kuat, teruja ataupun tak suka ada yang melalui kawasannya.

“Bodok senyap!” jerkah Safi dan Man, tak mahu tindakan Bodok menarik perhatian anjing-anjing lain yang sedang berlarian, tapi tak ada guna, buat sakit tekak sahaja, sebab Bodok tak ketinggalan mahu menunjukkan kehebatannya dalam menjaga.

“Aukkk!Aukkk!Aukkk!!!” salaknya tak berhenti, betul-betul boleh membuatkan orang yang mendengar naik darah tinggi.

“Nampak tak besar macam mana kerbau pendek tu? Kalau terjemuh dengan kita, silap haribulan, kita pun dimakannya.” tambah ateh lagi memberi peringatan.

“Takkanlah! Kerbau pendek mana boleh makan orang? Dia kan makan ubi kayu dengan buah jambu?” balas Safi pula tak dapat menerima.

“Eh budak ni! Yang tak percaya tu kenapa? Kan mak ada cerita, orang kat hulu tu, yang kena gigit dengan kerbau pendek, lepastu sampai habis semua jari pak cik tu dia makan, tak ingat?” jawap ateh mengingatkan dan serentak dengan itu Safi, Man dan Ina menganggukkan kepala setelah berjaya mengingatinya.

“Sekejap. Ni siapa yang tak gosok gigi ni?” soal ateh tiba-tiba sebelum menutup hidungnya bila dia dapat menangkap bau hawa seludang masam yang tak menyelerakan menyerang bertubi-tubi rongga hidung yang terbuka besar dan serentak dengan itu Safi, Man dan Ina segera menutup mulut sendiri, tak mahu tertangkap tak menggosok gigi.

“Yang dekat-dekat sangat ni kenapa? Jauh sikit! Panas!” arahnya, tak selesa bersempit-sempit begitu dan tampa membantah, adik-adiknya itu patuh pada arahan penjarakan yang diberikan, namun tak lama sebelum mereka berkerumun semula saat terdengarkan suara apek cina yang baru melintasi rumah mereka.

“Ha! Tu tu tu!” tutur mereka serentak, teruja semula.

“Shh shh! Senyap! Nanti dia dengar!” arah ateh sambil meletakkan jari di bibir, tak mahu pemburu itu sedar yang mereka sedang diperhatikan dan serentak dengan itu, adik-adiknya terus keraskan badan.

Selang beberapa ketika setelah puas mendengar salakan anjing-anjing di sini dan sana, juga bunyi teriakan dan lauhan yang dikeluarkan oleh pemburu-pemburu berkenaan, mereka mula jadi bosan dengan perintah berkurung yang mak keluarkan. Bila dah bosan mulalah ada saja idea yang timbul di fikiran.

“Jom kita main kawin-kawin nak?” cadang Man pada Safi dan Ina, namun tak mendapat perhatian kerana mereka sedang leka menyelongkar lipat kain mak, melihat kain-kain batik dan baju-baju kebaya lama mak, tak ketinggalan bekas barang kemas mak yang ada terselit kemas di antara lipatan.

“Keciknya pinggang mak dulu! Tengok, besar ni je.” tutur Safi sambil mengukur baju kebaya kuning keemasan itu dengan jengkal tangan sebelum tersenyum sendiri, tak mempercayai badan mak boleh jadi sekecil itu dan tanpa berlengah, baju tersebut disarung pula ke badan.

“Ini kan baju lama mak. Sekarang mana muat dah, sebab sekarang mak kan dah gemuk!” balas Man pula bersahaja sambil ketawa, mujurlah empunya badan tak ada berdekatan, kalau tak, pasti dah dibalas piatan.

“Pandai-pandai je cakap mak gemuk! Mak bukan gemuklah! Mak sihat! Man tak suka ke mak sihat?” balas Safi tak puas hati, tapi Man masih tersenyum lagi, membuatkan Safi rasa makin sakit hati.

“Takpa, nanti mak balik Safi report pada mak! Safi cakap yang Man cakap mak gemuk!” ugut Safi tak suka bila ada yang mentertewakan maknya sendiri.

 “Janganlah…jangan bagitahu mak. Man tipu je. Mak tak gemuk! Mak cantik!” balas Man sambil duduk di sebelah Safi setelah selesai memuji.

“Kalian buat apa tu, ha?” soal Ateh yang berada di bilik bersebelahan dapur, tekun membaca majalah mastika sambil mendengar radio, tapi tetap tak lupa pada tugasan harian iaitu menjaga adik-adiknya.

“Kami tak buat apa-apa…” balas yang di sebelah sana sebelum Man menjengukkan kepalanya di pintu tengah membuktikan.

“Kalian jangan buat benda bukan-bukan!” tegahnya lagi mengingatkan, sebelum meneruskan pembacaan sambil sesekali menyanyi-nyanyi mengikut alunan lagu nyasid yang dikumandangkan di radio Ikim.fm.

“Jomlah kita main kawin-kawin. Cepatlah!” tutur Man mencadangkan semula, sambil mencapai kertas surat khabar yang berada tak jauh daripadanya dan membuat lipatan kon tirus yang berulangan sebelum terbentuk hasil akhir berupa keris kertas yang bakal digunakan dalam pertarungan nanti, tak ubah lagak aksi pahlawan yang kerap kali disiarkan di dalam tv.

“Nah! Safi buat keris Safi.” tutur Man lagi sambil menyerahkan kertas yang lain pada Safi, sambil tangan masih merapi keris kertas sendiri. Bahagian pangkal kertas dilipatkan secara menyerong untu membentuk kesan hulu keris, biar nampak benar di mata.

“Taknaklah main kawin-kawin! Kan dah main dah hari tu.” balas Safi tak berminat sambil matanya fokus pada benda yang berjaya menarik minat, gelang tangan emas mak yang nampak berkilat di dalam bekas putih bulat, tak ketinggalan keronsang baju kebaya yang ada bersama.

“Haaa…jomlah main! Man nak main gaduh-gaduh!”rengek Man pula setelah sedar Safi tak berminat dengan cadangannya.

“Tak! Nak!” balas Safi tegas sambil mengeluarkan gelang tangan berkenaan dan menyarungkannya ke tangan. Keronsang pula dilekatkan di bahagian dada, tempat dirasakan seharusnya ia berada.

“Safi jomlahhh…jomlah main tumbuk-tumbuk!” gesanya lagi, teringin sangat nak bermain permainan lelaki sambil mula menghentak-hentakkan kaki.

“Hish! Man ni! Tak habis-habis!”

“Nak main tumbuk-tumbuk sangat? Ha, jom kita bertumbuk!” balas Safi memakbulkan permintaan, akibat tak tertahan dengan gesaan.

“Safi jadi pengantin lelaki, Ina jadi pengantin perempuan. Man jadi pengacau.” tutur Safi membahagikan watak.

“Ok!” balas Ina dan Man serentak, mengikut sahaja rentak.

“Ina duduk sini.” tambahnya lagi selesai menyusun bantal agak tinggi, sesuai dengan ketinggian kaki.

“Nanti masa kami tengah kahwin Man masuk buat kacau.” arahnya sambil menyusun bantal bagi dijadikan tempat duduknya sendiri dan seketika kemudian permainan mereka dimulakan.

“Direnjis-renjis dipiris, di tepungngi lah tawar! Hai beras kunyit ditabur, disiram si air mawar…” Safi bernyanyi, membuat suara latar.

“Pengantin duduk bersanding…” belumpun sempat menghabiskan nyanyian Man dah datang menerjah.

“Cisss!!! Berani tuan hamba kawin dengan dia!” tutur Man sambil mencabutkan keris kertas yang ada tersisir di pinggang dan mengangkatnya tinggi, lagak pendekar mustar.

“Siapa tuan hamba?” balas Safi pula mula bersoal jawap. Ina yang ada di sebelah hanya mampu menahan ketawa.

“Kalau tuan hamba nak tahu sangat siapa saya, tanya dia!” balas Man sambil menunjukkan keris yang dihunus pada Ina yang sedang menahan diri, namun dek kerana soalan yang diberi, ketawa yang cuba disembunyi akhirnya terkeluar dengan sendiri.

“Hikhikhik…”gelaknya sambil menutup mulut sendiri, tapi itu tak cukup untuk membuatkan Man berhenti. Serentak dengan itu, dia meluru sebelum melepaskan satu tikaman pada perut Ina. Ina yang masih ketawa terkejut dibuatnya.

“Ina dah mati!” tuturnya memberitahu keadaan sebelum serangan dialihkan pada Safi yang ada duduk bersebelahan, tapi belumpun sempat tikaman dilepaskan tangan Man dah berada di dalam genggaman. Apa lagi melihat keadaan itu, Man mulalah bertindak balas dengan mengeluarkan buah-buah lain yang tinggal. Kaki dan tangan digunakan untuk melepaskan diri, namun setiap serangan mudah ditepis Safi yang berbadan lebih tinggi.

“Ha! Cepatlah! Tadi kata nak bertumbuk sangat!” cabar Safi pada Man yang dah nampak kekalutan.

“Macam mana nak lawan kalau Safi pegang tangan Man macam ni. Ha, Safi lepaslah dulu. Lepastu kita mula semula.” balas Man mencadangkan, bila keadaan yang berlaku tak menjadi seperti yang dirancangkan.

“Ok, kita mula semula.” balas Safi dengan rasa berbesar hati.

“Ina kan dah mati, mana boleh duduk macam tu lagi! Baring. Kenalah buat macam orang mati.” tambah Safi memberitahu keadaan, dan tanpa berlengah Ina melurutkan badan dan bersandar pada bantal yang ada berdekatan, mahu menjiwai lakonan. Demi Ina, Safi melupakan sementara Man yang ada dihadapan, namun begitu, Man nyata tak nak melepaskan peluang keemasan yang sedang dihidangkan.

“Yah! Ambik kau!” tuturnya sebelum menghunuskan keris kertas di tangan ke arah Safi yang terpesong perhatian, mujurlah Safi berjaya bertindak pantas dan mengelakkan tikaman.

“Kurang ajar! Pukul curi ya!” balas Safi yang dah rasa tercabar, bila air susu dibalas dengan tuba rupanya. Tanpa berlengah mereka membuat aksi kejar-mengejar sambil berbalas-belas serangan bila ada peluang yang terhidang, dah melupakan orang, bila kedua-duanya tenggelam dalam imaginasi sendiri, sampai dah tergolek-golek Man demi mempertahankan diri, dan Safi apa lagi, takkan sesekali dia berlembut kali ini. Rumah yang mula bergoyang-goyang membuatkan Ateh menghentikan pembacaannya sebelum bergerak ke ruang depan untuk melihat.

“Ya-Allah! Apa yang kalian buat ni ha?” jerit Ateh saat terlihatkan lipatan kain yang sudah berselerakan disusuli pula dengan Man yang sedang terbaring di atas lantai.

“Siapa yang buat semua ni?” soal ateh lagi sambil jari dituding ke arah kain yang sudah bertaburan.

“Cepat kemas semula, kalau tak…” tambahnya lagi memberikan masa untuk adik-adiknya itu membersihkan kawasan berkenaan dan tanpa berlengah, Safi, Man dan Ina bergegas untuk menyelesaikan.

“Entah apa-apalah kerja kalian ni! Tak habis-habis! Ada je kerjanya!”

“Tu, lipat semula elok-elok kain tu. Nanti kalau mak perasan, habislah kalian.” ngomel ateh sambil mencekak pinggang lagak mandur, tapi tak lama sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala tanda tak puas hati dengan hasilnya.

“Bukan macam tu lah! Dah dah! Pergi duduk kat bilik dapur! Kalian ni memang tak boleh langsung dibiarkan!” rungutnya lagi sebelum bertindak untuk menyelesaikan masalah, dan dengan pantas adik-adiknya itu bergegas meninggalkan kawasan kejadian.

“Entah apa-apa.” bebel Ateh lagi sambil membetulkan lipatan yang dah dilakukan. Selesai melipat, berpandukan kesan lipatan yang ada, kain berkenaan disusun semula pada rak besi, di tingkat kain mak. Beberapa kali aksi yang sama dilakukan sebelum pandangannya terhenti tadkala terpandangkan rantai tangan emas yang ada di dalam bekas.

 

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.