Beberapa laras senapang terung pipit terkepit erat di pinggang sebelum Usop mengagih-agihkan senapan itu diantara mereka beserta dengan peluru terung pipit yang mereka kumpulkan awal tadi, ketika berjalan menyusuri sungai untuk mengail ikan. Sambil menyelam minum air, aktiviti petang mereka pasti gempak hari ni. Peperangan bakal tercetus dan yang kalah akan memenuhi permintaan yang menang. Hadiah masa yang tak terhingga nikmatnya.
“Hahahaha…” gelak Usop di dalam hati, kekal menyembunyikan tujuan diri.
Usop membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Dia dan Man, manalaka Safi dan Ina sepasukan. Safi mencebik tak puas hati. Tak mahu sepasukan dengan Ina ahli yang terkenal dengan sifat kememehnya itu. Pantang ada saja yang tak kena, dengarlah tekaknya. Satu kampung pun boleh tahu ada orang sedang melalak di situ dan abah, pasti akan cepat-cepat menyebelahinya macam selalu.
Abah sedang duduk berbaring dan bersantai di muka pintu, selesa ditiupi angin petang yang mendamaikan. Rimbunan dahan pokok rambutan yang dah terjelepak di atas atap membantu menyejukkan suasana di dalam rumah. Mak pula seperti biasa, sedang mengoreng pisang di dapur menyediakan kudapan petang mereka.
“Hari ni kita lawan lelaki dengan perempuan. Siapa kalah kena tolong angkat air dalam tong. Satu gelang. Macam mana? Setuju?” cadang Usop pada adik-adiknya, Safi terutamanya kerana esok mereka perlu memenuhi tempahan yang telah diambil, jadi banyaklah air yang perlu diangkut dan ini merupakan salah satu cara untuk meringankan bebannya itu. Desisnya di dalam hati, berharap rancangannya menjadi.
“Ok, set! Tapi kalau Safi menang, Usop kena angkatkan air dua kali untuk Safi pulak. Macam mana? Setuju?” balas Safi berani.
“Okey setuju. Kita tengoklah siapa yang menang nanti.” tutur Usop dengan muka berlagaknya, terhangguk-hangguk tak ubah macam burung belatuk, mencerminkan keyakinan pada habuan yang bakal diterima sedikit masa saja lagi. Betul-betul pasti yang Safi akan ditewaska lagi, seperti perlawanan-perlawanan yang sebelumnya.
“Tapi ingat ya, jangan tembak muka.” tutur Safi membuat syarat, tak mahu ada yang mendapat mudarat.
“Okey. Sekarang kita mula. Cari tempat persembunyian masing-masing.” ucap Usop, serentak itu mereka bertempiaran menyembunyikan diri.
Safi dan Ina menuju ke bawah rumah lalu bersembunyi di belakang almari lama mak, tempat ayam bertelur, manakala Usop dan Man bersembunyi di sebalik deretan bakul ayam di sebelah reban sambil minda pantas merangka taktik yang bakal dilaksanakan berteman hati yang turut sama merasakan debaran. Puas menunggu, tapi tiada siapa yang mahu memulakannya dulu kerana kedua-dua pasukan kekal menganalisa keadaan sebelum melancarkan serangan.
Ketika Safi berkira-kira ingin memulakan serbuan, mereka terlebih dahulu diserang hendap oleh Usop dan Man yang selangkah di hadapan. Melihat pasukan lawan yang semakin menghampiri Safi cepat-cepat angkat kaki. Ina hanya mampu menandang hairan sebelum Safi tersedar yang dia terlupa untuk memaklumkan.
“I..Ina!” tuturnya memberi amaran, namun sudah terlambat.
“Tush..tush…” bertubi-tubi peluru terung mengenai badan Ina. Sebiji di perut, dan sebiji di belakang kepala, kalau dah nama peluru…memang tak pernah bermata.
“Matii! Matiiii…sorang dah mati! Ina dah mati!” ucap Man teruja, terlupa yang kini dia menjadi target serangan Safi kerana pelurunya mengambil masa untuk diisi. Melihatkan keadaan itu, sepantas kilat Safi berpatah balik. Peluang keemasan seperti itu tak patut dilepaskan. Serentak senapang kayu dihunus.
“Tush!” Tembakannya tepat mengenai belakang badan Man yang tak berbaju.
“Mati!” ucapnya sebelum mengubah sasarannya pada Usop yang sedang tergesa-gesa mengisi peluru dan dengan pantas Safi mencapai senapang Ina yang masih berpeluru dan menghambat Usop daripada belakang. Lintang- pukang Usop lari demi menyelamatkan diri, dan Safi hanya mampu terkekeh-kekeh sendiri, menyaksi kecemasan yang Usop pamerkan sampai selipar yang tercabut pun tak sempat untuk disarungkan, tapi maaflah…hari ni dia nak jadi orang jahat!
‘Tush’. Peluru tepat mengenai belakang Usop yang kurus macam cicak kubin itu.
“Kena! Mati, matiiii! Usop dah mati!”
“Ina, kita menang.” seru Safi pada Ina yang seronok menyaksi daripada tadi. Sera-merta langkah Usop terhenti. Dia tak sangka akan kalah pada adik perempuannya tu. Tak masuk dek akal. Malu rasanya muka.
“Mana ada kena!” ucapnya ingin mengelat.
“Jangan nak tipu eek! Ni, nampak?!” balas Safi pantas sambil tangannya cepat-cepat mengutip peluru yang terdampar di tanah.
“Kena! Ina kita menang.” tutur Safi ceria sambil meraikannya bersama Ina yang sudah datang menghampiri untuk sama-sama menyambut kemenangan yang baru diperolehi. Suara anak-anak yang riuh-rengkak membuatkan abah mula rasa tak tenteram dibuatnya.
“Hei, kenapa bising sangat tu?” soal abah dalam nada yang sederhana sahaja, sekadar mengingatkan semuanya dan serentak dengan itu semua yang terlibat merendahkan suaranya.
“Yess..petang ni tak payah angkat air. Jangan lupa janji kita tadi.” ingat Safi perlahan pada Usop yang masih kebingungan sebelum Usop mengecilkan matanya yang sedia cemel tu. Harapkan mata sahaja empat, tapi tetap tak dapat membantunya untuk menang. Usop mencebik geram, sebelum memandang wajah kelat Man di sebelah sambil Safi dan Ina masih berbekal rasa kegirangan.
“Mana aci! Kita main satu round lagi, yang tadi tu praktis je. Kali ni baru betul-betul!” ucap Usop ingin mengelak, belum bersedia mahu kalah.
“Mana boleh! Tadi kan Usop yang janji. Ni…” balas Safi tak puas hati kerana Usop memang jenis yang tak boleh dipercayai.
“Eeee…Usop penipu!” tutur Ina pula, menambah mana yang kurang.
“Ah, lantak kalianlah! Malas nak dengar!” tutur Usop sengaja mencabar kesabaran adik-adiknya.
“Tak puas hati? Ha, kalau tak puas hati, kita lawan sekali lagi.” tambah Usop semula, mencadangkan.
“Okey! Kita lawan sekali je lagi. Tapi ingat ya…kali ni kalau Usop kalah jugak jangan lupa janji kita!” balas Safi tegas mahu menyelesaikan perbalahan dengan lekas. Lagipun apa yang nak ditakutkan, kerana hidup memang satu percaturan.
“Okey, tak ada masalah. No problem. Mo man tay!” jawap Usop ceria sampai jadi tersenyum dibuatnya, tak menyangka dia diberikan peluang untuk kali yang kedua.
“Dalam kiraan tiga kita berpecah, okey? Satu..dua…tiga.” serentak mereka bertempiaran menyembunyikan diri, sama seperti tadi, tapi, tanpa Safi dan Ina sedari rupa-rupanya Man mengekori rapat di belakang, mahu membuat serangan curi, lagak si pengecut yang nampak tenang, tapi sebenarnya penakut.
‘Tush!’ bunyi peluru manggo tepat mengenai kening Ina yang baru berpaling, dan serentak dengan itu dia terduduk di laman. Mulutnya luas ternganga, sebelum diikuti dengan raungan yang kuat, cukup kuat untuk membuatkan mereka dihambat. Melihat keadaan itu, Usop, Safi dan Man terpaku di tempat yang dijejak.
“Hei budak-budak ni!” pekik abah dengan penuh kuasa, marah bila tegahannya sebentar tadi diambil secara samberono sahaja.
“Kan dah pesan, jangan tembak kepala!” marah Safi sambil memiat telinga Man dan Man hanya mampu kaku, masih terkejut kerana dia tak menyangka semua itu akan terjadi.
“Aaabahhhh…!” pekik Ina untuk kali yang keduanya dalam tangisan, mahu membuktikan kemanjaan. Mendengar rayuan yang Ina suarakan, abah pun apa lagi, bingkas saja dia bangun sambil memintal kemas bantal alas kepala, masih juga mahu menyambung istirehatnya.
“Apa ke lagi tu!” jerit abah, mahu menunjukkan kuasa yang ada pada diri. Suara abah yang berpadu dengan tangisan Ina boleh didengari sampai ke atas bukit. Satu kampung pun boleh dengar, volum memeng tak agak-agak.
“Kan dah pesan tadi! Ni apa lagi?!” ucap abah kasar segera memuntahkan segala rasa amarah. Marah kerana waktu bersantainya terganggu. Lebih marah kerana anak-anaknya itu dilihat tak makan saman bila sudah banyak kali dia berpesan. Kalau main tu elok-elok, tapi perangai anak-anaknya tu tetap tak berubah! Marahnya tanpa memikirkan…takkan ke mana tumpahnya kuah.
“Memang tak serik-serik budak-budak ni…” bisik mak perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepala sebelum memasukkan goreng pisang yang sudah di angkat ke dalam pingan.
“Ha! Ha! Ha!!! Memang nak kena kalian ni!” tutur abah sambil disertai bunyi tapak kaki yang kuat menghentak lantai, bila dia dah hilang minat bersantai. Usop, Safi dan Man yang masih menanti sejak tadi apa lagi, saat terlihatkan hujung jari kaki abah pada mata tangga atas, barulah mereka bertempiaran melarikan diri. Seorang lari ikut jalan utama, manakala seorang lari ke sungai dan seorang lagi lari ke belakang rumah, menyembunyikan diri di belakang batang jambu galah. Bila abah jenguk ke laman, dia hanya nampak Ina yang sedang duduk kesorangan dan yang lain-lain langsung tak kelihatan. Serentak itu, kain pelikat yang tersarung, digulung.
“Dah! Ina naik! Jangan nak bermain-main lagi dah!” tutur abah tegas demi memujuk anak terkecilnya itu dan tanpa berlengah Ina segera menurut.
“Awak tu kalau nak marahkan akak pun boleh tak kalau tak terjerit, terpekik…”
“Dah selalu sangat macam ni. Nanti orang ingat kita yang bergaduh laki- bini. Ni tengok, batang penyapu saya habis patah liuk awak kerjakan.” ucap mak dengan suara yang berusaha untuk ditahan.
“Lantaklah apa orang nak kata pun! Mereka apa tahu! Susah senang kita, ada mereka peduli? Pandang kita pun tak nak. Kalau ke pasar, saja ikut pintu belakang. Takpun order dari dalam kereta. Tahu pulak mereka segan ke kita.”
“Dah tu nak buat macam mana lagi? Takkan nak paksa orang beli barang dengan kita? Awak tu kalau dah marah, orang lain jadi mangsa. Tak pasal-pasal anak-anak yang kena.” balas mak.
“Manjakan sangatlah anak tu. Orang nak mengajar. Dia membela. Esok lusa entah apa jadinya.” bidas abah. Tuala mandi yang sudah lusuh itu dicapai sebelum kakinya laju menuruni anak tangga menuju ke sungai.