Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab119b

Barangan-barangan dapur yang sudah siap dibeli dimasukkan ke dalam bonet kereta sebelum dia memeriksa senarai tugasan yang lainnya.

“Oh! Bil!”

“Bil eletrik dengan air mak!” bisiknya sebelum tersedar akan hal-hal yang berkaitan dan serentak itu juga dia membuka langkah menuju ke bank yang ada berhampiran.

 

“Nak bungkus makanan ke untuk mak? Tapi kang, takut letak tok aji pulak, tak pasal-pasal mengidap.” bisiknya selesai menimbangkan semua di hadapan kedai makan berkenaan.

“Tak la kot. Balik masak jelah nanti.” tambahnya sebelum membuat keputusan untuk beredar. Namun mata seperti sedang tertarik pada sesuatu. Pasangan yang baru melintasi, berjaya mencuri perhatiannya. Bila diperhati, Safi hampir pasti, yang mereka adalah suami isteri.

“Abang, kita makan dulu ya.” tutur si isteri lembut pada suami yang sedang bersandar di atas kerusi rodanya. Dengan sepenuh kekuatan, si isteri menolak kerusi roda berkenaan untuk melepasi beberapa halangan, termasuk anak tangga tinggi yang harus dilalui untuk sampai ke destinasi. Melihat kepayahan itu Safi bergegas untuk membantu.

“Kak, biar saya tolong!” tutur Safi sebelum mengangkat bahagian depan kerusi roda berkenaan.

“Terima kasih dik, terima kasih!” ucap si isteri berulang.

“Sama-sama. Sini kak, duduk sini.” balas Safi yang sudah menjumpai kerusi.

“Akak, pergilah ambil nasi, biar saya tunggu sini.”

“Iyalah. Terima kasih ya dik.” tuturnya menghargai dan Safi hanya membalasnya dengan senyuman yang disertai dengan anggukan. Keadaan si suami sempat diperhati sebelum dia dipalit rasa hiba dengan tiba-tiba. Wajah yang cengkung, dengan tubuh yang kekeringan, berteman tangan yang kekejangan, betul-betul membuatkan Safi luluh hati.

“Ya-Allah…permudahkanlah urusannya ya-Allah…” bisiknya memanjatkan doa sambil menyeka air mata yang tiba-tiba keluar. Ujian bagi yang lain, tak mustahil ianya berupa ujian bagi kita juga.

“Dah, akak dah ambil makanan akak. Adik pergilah ambil makanan adik. Adik siapa nama? Akak, Kak Ita, yang ni suami akak, Abang Lan. Adik?”

“Safi.” jawap Safi, membalas.

“Takpa, akak makanlah. Sebab Safi nak balik masak.” tambahnya, namun mulutnya jadi ringan pula untuk bertanya.

“Akak dah lama ke abang jadi macam ni?”

“Dah bertahun jugak, lepas dia kena serangan jantung. Tadi pun kami baru balik daripada hospital buat terapi.” terangnya sambil menyuapkan nasi yang sudah siap diratakan.

“Doktor cakap apa?”

“Alhamdulillah, katanya ada sikit perkembangan. Kaki tu ada nampak kuat sikit.”  

“Alhamdulillahlah kalau macam tu.”

“Rumah akak dekat mana? Tadi akak datang dengan apa?” soal Safi ingin membantu apa yang termampu.

“Akak tinggal dekat Kampung Batu Dua. Tadi kami datang dengan teksi. Teksi adik ipar akak. Sekejap-sekejap lagi datanglah dia mengambil kami.” jawapnya sambil menghulukan straw air minuman ke arah suaminya. Safi tersentuh melihat kasih sayang yang dipamerkan oleh mereka. Berkongsi pinggan dan cawan minuman bersama, tak lupa juga senyumannya. Saling memberi dan menerima, tanpa ada langsung riak wajah malu dan kecewa. Serta-merta dia jadi teringatkan Wan pula.

“Isteri jenis apa kau Safi!”

“Tak seharusnya kau rasa lega bila berjauhan dengannya…” bisik hati, menyesali kelemahan diri.

“Akak, kalau akak tak kisah, akak ambillah ni.” tutur Safi sambil menghulurkan sedikit bantuan.

“Eh, eh, adik! Takpayah, takpayah!”

“Takpa kak, ambil!” tegas Safi sebelum tetap menyelitkan wang tersebut ke tangan Kak Ita.

“Safi balik dulu ya. Assalammualaikum.” balas Safi sebelum segera beredar.

“Adik!” panggil Ita, namun Safi hanya membalasnya dengan lambaian sambil terus melajukan langkahan.

“Allah, maafkan Safi. Orang tahu, orang dah buat salah…” mohonnya, merayu kemaafan daripada tuhan.

Previous: Bab119a
Next: Bab120a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.