Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 43

Peluh menitik laju menuruni dahi bila terik matahari terasa memeritkan kulit yang terdedah dijamah sinararannya. Sesekali Safi memerhatikan keadaan Man dan Ina, yang sedang rakus menyedut milo ais, minuman kegamaran mereka, yang sempat dibeli di kantin sekolah awalnya. Lepas seorang, seorang, mereka bergilir-gilir, tak mahu ada pihak yang melebihi sepihak, biasalah budak-budak, masih belum memahami erti beralah, kerana apa yang mereka tahu, mereka tak mahu kalah.

“Nah, Safi pulak.” ucap Man pada Safi sambil menyuakan plastik air ikat tepi sebelum Safi mencapainya lalu menghirup seteguk. Selesai meneguk beg plastik air berkenaan berubah tangan lagi, kali ini kepada Ina pula dan Ina apa lagi, senyumnya lebar, dah sampai ke telinga.

“Kereta tu, jalan tepi sikit!” arah Safi pada adik-adiknya yang berada di hadapan dan dengan pantas mereka menurut.

Beg sekolah Ina yang penuh dengan buku Safi angkat dengan sebelah tangan, bertujuan untuk meringankan beban, membuatkan Ina segera tersenyum menampakkan baris gigi hadapan.

 

Dari jauh mereka sudah dapat melihat mak yang tebongkok-bongkok membuka papan kayu di belakang pasar. Kok! Kok! Kok!. Bunyi papan bertemu penukul sangat jelas kedengaran, sampai ke hujung jalan. Mereka tergesa-gesa menghampiri Mak yang berjemuran di tengah terik matahari sambil berlari-lari kecil.

“Ha, dah balik?” tutur Mak sambil tebongkok-bongkok menyusun papan-papan kayu yang sudah selesai dibuka.

“Dah.”

“Abah mana? Ada dekat dalam ke?” soal Safi pula ingin mengetahui kedudukan abahnya.

“Tak. Dekat mana lagi, kalau bukan dekat kedai kopi. Tak perasan kalian waktu lalu tadi?”

“Katanya tadi nak mengeteh dekat kedai Kak Eee.” balas mak yang masih menghayun tukul besi

“Tak perasan la pulak, sebeb tak pandang.”

“Tak panas ke mak?” soal Safi pula, tak berapa selesa denga keadaan yang baru dilihatnya.

“Panas tu memang lah panas, tapi kena cepat. Kalau tak nanti, kotak ni habis dibakar dek orang sapu sampah, semak katanya. Sayang pulak rasa sebab kayu-kayunya masih elok, teguh.” balas mak sambil tangannya ligat mengasingkan papan tersebut mengikut saiz berdasarkan kepanjangannya.

“Yang ni dah nak bawak masuk?” soal Safi pula setelah sedar ada kerja yang boleh diusahakannya.

“A’ah. Letak dekat simen depan tu. Nanti mak ikatkan atas basikal.” jawap mak sambil menyusun papan-papan yang lainnya. Tanpa menunggu lama, Safi mengambil seberkas papan tersebut lalu membawanya ke dalam pasar sambil disertai Man dan Ina turut mahu menyumbangkan tenaga.

“Berat tu! Biar je lah kat situ dulu. Nanti Safi datang balik.” ucapnya menegah ketika melihat tindakan kedua-dua adiknya itu.

“Takpa. Boleh. Kami angkat sama-sama.” balas Man, tetap berusaha.

“Ha, Ina pegang kat situ!” arah Man pula, cuba mengangkat seberkas kayu yang agak kecil secara berjemaah. Mak dan Safi hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihatnya.

“Elok-elok, jatuh nanti.” pesan mak setelah melepaskan keluhan berat, masih tak dapat menerima sebelum dia akhirnya tersenyum kerana sikap ringan tulang anak-anaknya tu sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya juga. Anak-anaknya yang kecil sebegitupun faham akan diri, hanya suaminya yang tidak menyokong apa yang diusahakannya itu.

 

“Dah alang-alang awak ada, awak jaga sini ya. Saya nak kebelakang.” tutur mak sambil mengemaskan jarum kait dan benang.

“Awak nak ke mana pulak? Jagalah sini. Nanti kalau orang datang, tak ada yang nak singgah.” balas abah segera melipat surat khabar yang belum selesai dibaca.

“Lah, kenapa pulak?” balas mak tak percaya.

“Iyalah, bukan awak tak tahu, Hamid tu macam mana. Pantang ada orang datang, berterawih dia memanggil, sampai pelanggan biasa kita pun dah tak nampak pada kita. Pandang pun tak nak.” jawap abah pula, dalam nada berbisik sebelum membuang pandang ke arah Hamid yang sedang duduk menunggu di gerainya.

“Dah kalau nak jadi macam tu, apa yang boleh saya buat? Saya ada ke, tak ada ke, sama je. Kalau memang mereka dah tak nak membeli dengan kita, apa yang boleh kita buat lagi?” soal mak pula, sedar pada keadaan dunia dan makhluknya. Fitnah dan nista, lebih mudah untuk diterima sedang kebenarannya, tak begitu diambil kira.

“Awak ni kan? Tak pernahnya nak mendengar cakap saya!” bentak abah dah mula naik marah.

“Bilanya saya tak dengar cakap awak? Bila?” balas mak cuma di dalam hati, tak mahu menggali kubur sendiri, tanpa sedar mak mengeluh, melepaskan ketegangan yang baru mula dirasakan.

“Dahlah, awak tunggulah dekat sini sekejap. Saya nak ke belakang, nak bukak kayu kotak ikan tu, nanti kalau lambat, datang pulak orang majlis membakarnya.” tutur mak, tetap mahu mengerjakan apa yang biasa dia usahakan.

“Ikut suka hati awaklah. Nak pergi, pergi. Tak malu ke awak memungut-mungut macam tu?”

“Tak malu awak, bila orang kampung gelar awak Timah pungut?” balas abah lancar, sebelum pantas mencapai surat khabar yang yang terdampar, langsung tak menghiraukan perasaan mak. Serentak dengan itu mak tersentak, tak menyangka apa yang baru didengarnya.

“Orang mana?” jawap mak ingin mengetahui tentang kebenarannya, namun abah kekal sunyi sahaja sambil terus membaca.

“Iyalah tu orang…ke sebenarnya awak?” tambah mak dengan nada kecewa, tak menyangka usahanya dipandang rendah suami sendiri. Abah yang mendengar sudah mula mendengus, tak suka dipertikaikan. Melihat keadaan itu, mak jadi pasti yang abah sebenarnya malu dengan apa yang dilakukannya. Lalu, berteman rasa hiba mak beredar berbekalkan tukul besi yang dibawa bersama.

 

“Dah tutup ke? Ayam dah tak ada?” soal Mokhtar pada mak yang sedang duduk menyusun ikan.

“Ada-ada. Sekejap.” balas mak segera bangun untuk mengenalpasti gerangan. Namun riak mukanya berubah muram saat terpandangkan si empunya suara membuatkan Mokhtar segera menundukkan pandangannya.

“Ha, nak beli apa?” soal mak mahu menyelesaikan segera.

“Mah, ayam ada ke lagi?”

“Ada.” balas mak ringkas, sambil tunduk mencuci tangan.

“Kalau macam tu, bagi ayam sekor. Ikan? Ikan apa yang ada?” soal Mokhtar lagi pada mak yang sudah mencapai kaki ayam dan menandingkannya di hadapan.

“Yang ni boleh? Ke nak yang lain?” soal mak, mengikut sop jualan, membiarkan pelanggan yang menentukan.

“Boleh boleh. Dah boleh dah tu.” jawap Mokhtar semula sambil mata makin berani meneliti segenap ruang wajah itu sebelum perasaan bersalah yang cuba dikuburkan sekian lama muncul semula.

“Mah, awak masih marahkan saya?” soalnya tiba-tiba mengungkit kisah lama yang cuba dipadamkan dari ingatan, namun mak hanya membisukan diri.

“Ayam ni nak dilayur ke tak?” soal mak mengalihkan topik perbualan, tak ada banyak masa untuk melayan perasaan.

“Tak payahlah. Macam tu je pun takpa.” jawap Mokhtar semula, sambil mata tak lepas memandang ‘bekas isteri tak jadinya’ itu.

“Mah, awak masih marahkan saya lagi kan?” tuturnya semula belum bersedia mahu menamatkan persoalan.

“Buat apa saya nak marah? Ada sebab ke perlu saya marah?” tutur mak berbalas soalan, membuatkan Mokhtar menggaru-garu belakang kepala yang terasa gatal dengan sendirinya.

“Dah, ayam ni nak dipotong ke tidak?” soal mak semula dan Mokhtar segera menganggukkan kepalanya.

 

‘Kok kok kok…kok kok kok!’ binggit bunyi papan berlaga dengan besi, bila mak berusaha untuk menampal lantai-lantai yang sudah mula mereput. Bahagian yang rosak, mak umpil dengan parang dan tanggalkan sebelum diganti dengan kayu yang berjaya di bawa pulang. Bagi papan yang tak cukup lebar, mak akan gunakan dua, tapi, seandainya berlebihan, mak akan tarah dan buangkan, asal boleh, sebab dia tahu hanya itu yang dia mampu.

Abah yang sedang berlunjur kekal tekun menelaah surat khabar, untuk kali yang seterusnya, entah kedua ataupun yang ketiga. Safi yang sedari tadi duduk memerhati, cuba sebaik-baiknya mempelajari cara menguruskan rumah berkenaan. Kalau ada kayu yang reput perlulah segera digantikan, sebaik-baiknya jangan ditangguhkan, takut ada yang tak perasan dan menerima akibat kelewatan. Jatuh terperosok ke tanah…nauzubillah!

“Nah, Safi tolong mak gergajikan kayu ni. Potong bahagian yang mak dah tanda tu.” arah mak sambil menghulurkan kayu yang berkaitan.

“Potong dekat tanda ni? Dua-dua ni?” soal Safi pula, mahu mendapatkan kepastian tentangnya.

“A’ah, dua-dua tu. Pergi buat dekat pintu. Dah siap bawak kat sini.” balas mak pula sambil terus memeriksa lantai-lantai papan yang lainnya.

“Yang dekat sebelah ni pun dah rosak, nak kena ganti jugak.” tuturnya perlahan selelai membuat pemeriksaan.

“Safi, lepas siap tu, boleh Safi tolong mak?” soalnya semula membuatkan Safi menghentikan pekerjaannya.

“Ha.” jawap Safi segera.

“Safi tolong mak ambilkan kayu yang ada dekat bawah rumah tu, sebab kayu yang ada ni macam tak cukup.”

“Kayu yang dekat sini pun dah tak elok jugak, itu belum lagi masuk kayu yang dekat lorong, banyak lagi tu yang nak diguna.” tambah mak menjelaskan setelah menyedari akan kebenaran. Rumah pusaka berkenaan memang perlukan perhatian.

“Ok, nah, yang ni dah siap potong dah.” balas Safi sebelum turun ke tanah bagi memenuhi arahan yang mak keluarkan.

“Mak, nak ambil banyak mana?” soalnya tak berapa lama, tapi suaranya bergema pula dengan bunyi ketukan pada papan.

“Apa?” soal mak semula setelah menyedari ada yang dia ketinggalan dan serentak dengan itu mak menangguhkan kerjanya.

“Kayu ni nak ambik berapa?” ulang Safi semula.

“Ha…ambik…ambiklah empat ke, lima ke, tapi pilih yang besar-besar sikit.” arah mak, sebelum menyambung semula tugasan yang tergendala.

 

“Mak nak pergi mana?” soal Safi saat melihat mak sudah mula turun sambil membawa tukul besi dan gergaji.

“Mak nak pergi betulkan titi dekat hujung tu. Kan dah banyak yang ronggak. Mak ingat nak ganti mana yang boleh.” jawap mak sambil mencari papan-papan yang dirasakan bersesuaian.

“Nak ikut!” pantas Safi membalas.

“Ha, kalau nak ikut, jom, tapi jangan tak pakai selipar, nanti masuk cacing nanti.” tutur mak mengingatkan, jawapan yang biasa diulang-ulangkan.

“Tapi mak…macam mana cacing boleh masuk dalam kaki?” soal Safi, masih mencari jawapan pada persoalan sama yang sudah terlalu lama membebeni benaknya.

“Boleh ke cacing yang buat umpan pancing tu masuk dalam kaki? Macam mana dia boleh masuk?” ulangnya lagi sebelum ditemani perasaan ngeri saat teringatkan gumpalan cacing tanah yang biasa Mat kumpulkan sebelum pergi memancing. Keadaan itu telah membuatkan mak ketawa sendiri.

“Ish Safi ni, bukan cacing yang tu?” balas mak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya tak percaya.

“Dah?” balas Safi semula mahu mengetahui tentang hakikatnya.

“Cacing tu halus je, tak nampak pun dengan mata, tapi dia ada dalam tanah ni. Ni nampak, sebab tulah Safi dengan adik-adik kurus macam ni. Mesti dah ada banyak cacing dalam badan tu.”

“Nanti waktu pergi klinik nak periksa Ina, Man dengan Safi ikut sekali. Nanti bolehlah makan ubat cacing, lepastu kita ambil vitamin sekali.” jelas mak sebelum keduanya tiba ke kawasan titi kayu berkenaan.

“Semalam kan, Safi nyaris lagi tergubus dekat situ, masa air tengah banyak. Mana nampak. Ingat adalah papannya, rupa-rupanya dah hanyut, mesti paku dia dah tak elok.” adu Safi tentang segala yang terjadi.

“Mak pun sama, dah nyaris dah termasuk kaki dalam lubang tu, tapi mujurlah mak jalan perlahan-lahan, kalau tak…” balas mak pula menceritakan tentang apa yang dialaminya juga, sambil tercegat, mak memikirkan apa yang perlu dilakukannya dulu.

“Takpa, kita usahalah mana yang boleh. Kita kena cepat ni, sebab kita tak sembahyang Zohor lagi, nanti kalau lambat takut tak sempat.”

“Ha, Safi tolong mak paku kayu yang dekat hujung sana tu, pakai paku yang panjang sikit. Mak nak ukur yang dekat sini.” tutur mak membahagi-bahagikan tugas supaya dapatlah mereka menyelesaikan kerja berkenaan seberapa segera yang boleh.

“Ok!” jawap Safi lalu mencapai tukul dan plastik paku yang ada di tangan mak sebelum kedua-duanya leka pada kerja-kerja pembaikan yang perlu dilakukan.

“Mak, ubat cacing tu rasa macam mana? Sedap ke? Ke….” tutur Safi meneruskan perbualan, mahu mengetahui akan kebenaran.  

 

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.