Cikgu Siti Endon menapak masuk ke perkarangan pasar yang sunyi kerana kebanyakan perniaga telah selesai menjalankan aktiviti perniagaannya, cuma yang tinggal hanya mak sahaja. Sesampainya dia ke gerai, dia terus memulakan urusniaga.
“Assalammualaikum kak, bagi saya ayam seekor.” tuturnya sambil terus berdiri di situ.
“Cikgu nak yang mana? Yang besar ke yang kecil?” soal mak pula sambil mengangkat dan membanding-bandingkan ayam berkenaan.
“Tak kisahlah kak, yang besar tu pun boleh. Ikan ada?” soalnya semula mahu menambahkan stok makanan di rumahnya sambil dalam hati menanti saat terbaik untuknya menceritakan apa yang terjadi.
“Ada, ada kat bawah ni, cikgu nak ikan apa?” soal mak pula sambil mengeluarkan semula ikan-ikan yang dah disimpan bersama dengan air batu di dalam kotak polisterin putih berkenaan.
“Ikan apa yang ada?” balas Cikgu Siti Endon, sambil datang menghampiri.
“Ikan kembung ada, ikan kerisi, selar…tenggiri pun ada, semuanya segar-segar lagi. Beli pagi tadi. Cikgu nak yang mana?” soal mak kembali sambil dalam hati ditemani perasaan gembira kerana masih ada yang sudi membeli barang jualannya.
“Akak bagi saya ikan selar dengan ikan tenggiri.” jawapnya setelah memeriksanya sendiri.
“Nak banyak mana?” soal mak kembali untuk memasti.
“Ikan selar sekilo, ikan tenggiri tu bagi tiga keping. Senanglah sikit nanti nak memasak kalau bahan-bahan dah ada dekat rumah. Mujurlah akak berniaga sampai petang, mudahlah saya, tak terkejar-kejar.” tuturnya sambil tersenyum menyatakan kelegaan, membuatkan mak yang mendengar rasa dihargai, kerana walaupun tak banyak, sikit masih dapat diberi.
“Alhamdulillah…” bisiknya di dalam hati mensyukuri nikmat Allah sambil tangan kekal bekerja menyiapkan pesanan yang baru diterima. Selesai memotong ayam, mak teruskan dengan membersihkan perut ikan.
“Kak…hmm…” kata-katanya terhenti sejenak sebelum memikirkan kepentingan perkara terbabit untuk disampaikan, membuatkan mak menghentikan sebentar pekerjaan.
“Kenapa cikgu? Ada apa yang jadi? Anak-anak saya ada buat masalah kat sekolah?” soal mak, pantas menduga kerana hatinya berkata, seperti ada yang tak kena.
“Kak…nak tak nak, saya kena jugak cakap apa yang saya nampak.” balas Cikgu Siti Endon setelah selesai menyusun segala kata-kata yang perlu dicerita.
“Saya nampak Safi dengan adik-adiknya menyorok dalam rumah lama dekat belakang sekolah.”
“Pagi semalam, baru saya perasan, itupun secara kebetulan, sebab saya terlewat sikit nak ke sekolah. Kalau saya tak silap, abangnya yang dah sekolah menengah tu pun ada sekali.” terang Cikgu Siti Endon membuatkan jantung mak seperti rasa terenggut, sukar untuk mempercayai apa yang baru didengari.
“Dah banyak kali agaknya mereka buat macam tu, sebab saya dah periksa buku kedatangan, rupanya dah dekat seminggu Safi tak datang sekolah, Tina pun sama.” tambahnya lagi menjelaskan fakta yang ada.
“Seminggu cikgu? Sedangkan hari-hari mereka keluar rumah. Saya ingatkan mereka ke sekolah, rupanya…Ya-Allah…” balas mak menyatakan kekesalan. Paling dikesalkan Mat, dan tindakannya yang tak menjalankan amanah. Serentak dengan itu mak menghela nafas dalam sebagai usaha untuk membuatkan hatinya tenteram.
“Kak jangan marah-marahkan mereka nanti. Nasihatkan baik-baik. Lagipun mereka tu budak-budak lagi. Sejak semalam saya simpan hal ni, sebab saya rasa masih di peringkat awal lagi ni.”
“Budak-budak, biasalah, kadang-kadang buat salah. Kita yang dewasa ni kena cari jalan untuk didik mereka supaya mereka tahu bezakan yang mana baik dan yang mana buruk.” jelas Cikgu Siti Endon cuba meredakan gelora yang melanda, tak mahu mengadu domba. Lagipun mereka masih kanak-kanak, belumpun sampai ke usia remaja, dan keadaan tu masih boleh diterbalikkan semula.
“Saya nak ucapkan terima kasih pada cikgu sebab bagitahu saya hal ni. Kalau tak, sampai bila-bilapun saya tak tahu. Takpa, balik nanti saya cuba ikhtiar apa yang termampu, cuma saya harap jasa baik daripada cikgu…tolong jangan bagitahu dengan abahnya lagi, biar saya cuba ikhtiarkan dulu. Bukan apa, saya takut perkara lain pulak yang jadi nanti.” balas mak minta kerja sama, bukan berniat untuk merahsiakan, cuma tak sanggup melihat kesan, takut anak-anaknya itu diapa-apakan.
“Yalah, kalau akak dah cakap macam tu. Sama-sama kita usahakan dulu. Saya sayang semua anak-anak murid saya kak. Safi tu, sejak dari darjah satu saya ajar dia, samalah juga dengan abang dan kakak dia. Kalau boleh saya nak tengok dia berjaya, sama macam mereka.”
“Nizam dengan Wati apa khabar. Macam mana dengan pelajaran budak-budak tu sekarang?” soal Cikgu Siti Endon mahu mengetahui perkembangan semasa bekas-bekas pelajarnya itu.
“Nizam dah belajar di ITM, Wati sekarang tahun akhir asasi di Melaka, dah jauh daripada rumah, balikpun sekali sekala, itupun bila ada cuti panjang. Kalau tak biasanya dia tak balik.” balas mak menceritakan perkembangan anak-anaknya.
“Alhamdulillah syukur, gembira rasanya bila dengar ada anak-anak murid saya yang dah berjaya.” ucapnya sambil tersenyum gembira, sambil mereka berborak-borak, abah akhirnya sampai juga. Daripada jauh mak dah dapat mengenalpasti suaminya.
“Dah, dah sampai dah abangnya.” tutur mak memberitahu letak keadaan.
“Dah sampai dah abangnya?” jawap Cikgu Siti Endon sedikit terkejut sebelum menoleh ke arah kawasan luar pasar yang seluas pandangan untuk memastikan.
“Berapa kak semuanya?” soal Cikgu Siti Endon pula, segara minta dikira.
“Ayam 13, ikan 25…semua sekali 38.” jawap mak.
“Ni 38 ringgit, cukup kan?” soalnya semula minta kepastian.
“A’ah, cukup. Terima kasih cikgu, saya jual.” tutur mak sebelum menghulurkan plastik ayam dan ikan berkenaan.
“Sama-sama, saya beli kak, assalammualaikum.” ucapnya mengakhiri perbualan sebelum beransur pergi.
“Waalaikummussalam…” balas mak ditemani rasa lega kerana perkara terbabit masih dapat dirahsia, bukan disengaja, tapi terpaksa, sebab dia faham benar dengan baran suaminya. Kalau dibiarkan…takut ada dikalangan anak-anaknya yang tak berkaki dan bertangan.
“Mat, mak ada benda nak tanya ni? Tapi mak nak Mat cakap jujur dengan mak. Jangan sesekali bohong.”
“Mat bawak adik-adik ponteng sekolah kan? Bawak adik menyorok dalam rumah lama kat belakang sekolah rendah tu? Mat ingat mak tahu?” soal mak terus, langsung tak memberi ruang untuk Mat membuat alasan lagi dan serentak dengan itu dia tertunduk sunyi.
“Jawap! Mak tanya ni? Dah berapa lama Mat buat perangai macam ni? Mak dah amanahkan Mat jaga adik-adik, tapi Mat…” bebel mak lagi sebelum dia berhenti, dah tak tahu nak cakap apa lagi kerana reaksi anaknya itu telah mengesahkan segala-gala. Safi, Man dan Ina yang ada berlonggok di dapur terlopong dibuatnya, tak menyangka mak dah mengetahui kegiatan mereka.
“Kalaulah abah kalian tahu…hai…tak tahulah mak apa nak cakap. Ya-Allah…kenapa Mat bawak adik-adik ponteng sekolah? Kenapa?!” soal mak kembali mahu mengetahui puncanya, namun Mat mahu kekalkannya sebagai rahsia.
“Safi, bagi abah air!” arah abah yang baru balik mengutip buah koko sambil menanti pesanannya diselesaikan membuatkan semua yang ada segera dilanda kebisuan.
“Mana pulak budak-budak ni? Siapa ada kat atas rumah? Bagi abah air!” arahnya lagi sambil menghidupkan batang rokok yang keduanya, sepanjang waktu sejam dua bekerja, bukan untuk tempoh seharian lamanya.
“Sekejap!” tutur Safi sebelum bergegas menyediakan pesanan, kerana abah memang tak cukup sabar untuk menunggu terlalu lama.
“Hmm, tolong ambilkan tuala abah sekali.” arahnya lagi setelah selesai menyejukkan tekak yang kekeringan dan tanpa berlengah Safi bergegas mencarikan apa yang abah perlukan.
“Tu abah kalian dah balik. Dahlah, lain kali jangan buat lagi. Kalau Mat buat lagi, mak dah tak boleh nak bertolak-ansur dah. Nak tak nak, mak kena juga bagitahu pada abah.” tutur mak berbisik dalam usaha memberikan peringatan. Segera Mat menganggukkan kepala perlahan.
Hari Khamis yang dinanti akhirnya tiba dan abah mulalah memainkan peranan, minta dilayan kehendaknya. Sejak tadi mata abah tak lepas daripada memandang mak yang sedang kusyuk mengait benang baju panas yang sudah berminggu diusahakan untuk disiapkan itu.
“Tak siap-siap lagi ke kerja awak tu?” soal abah yang dah merapatkan diri ke sisi mak, namun mak buat faham-tak faham sahaja apa yang suaminya itu hendak. Abah mula menggaru-garu belakang kepalanya sambil berusaha mententeramkan kehandak.
“Dahlah tu! Awak layan saya sekejap. Nanti lambat, budak-budak pulak balik sekolah.” pinta abah, terang dah tak nak main suluh-suluh dah, sambil merangkul kemas tubuh mak membuatkan mak mula rasa lemas.
“Hish awak ni! Cubalah belajar bersabar sikit! Sikit je lagi ni.” balas mak masih tak mahu berhenti.
“Sejak tadi lagi, sekejap-sekejap! Dah tu sampai bila baru nak siap? Nanti saya nak ke bandar lagi ni!” bangkang abah dah mula nak meradang.
“Huh! Kalau dah tak ada yang nak melayan, biar saya cari yang lain jelah!” ugut abah dengan perkara yang orang lelaki paling suka nak cakap, tapi orang perempuan paling benci nak dengar. Sengaja mahu membuatkan si isteri terasa. Mak pun apa lagi mulalah naik angin dibuatnya.
“Awak ni memang dah tak ada modal lainlah kan? Ini jelah modal awak! Bila saya tak nak melayan, benda yang sama ni jugak yang awak cakap!”
“Ha, kalau macam tu, pergilah awak kawin! Janda-janda kat kampung ni banyak, berlambak. Awak tinggal pilih je mana-mana yang awak nak!” balas mak tak gembira mendengar ugutan yang abah utarakan. Mendengarnya abah ketawa pula.
“Apa ketawa-ketawa? Awak ingat saya buat lawak ke? Kalau memang dah gatal sangat, tak cukup dengan yang satu, ha, pergilah menikah dengan orang lain! Janda mana yang awak berkenan?” soal mak tak berapa lama kemudian, memberikan kebenaran atau sebenarnya cuma tanda ketidakpuasan akibat daripada hati yang disakitkan.
“Saya kalau nak kawin lagi, tak mainlah dengan janda-janda ni…”
“Kalau betulpun saya nak kawin, saya cari yang anak dara, yang umur belasan tahun lagi, barulah kena.” jawab abah sambil tersengih menampakkan barisan giginya, dah lupa diri barangkali.
“Ceh! Nak muntah saya mendengar! Tak malu ke awak berbinikan isteri yang sebaya dengan anak sendiri! Tak malu awak?” balas mak yang sudah naik minyak, bila perasaan benci mula terbit di hati.
“Nak malu buat apa? Bukannya buat dosa. Lagipun ada orang yang buat macam tu. Tu Mi, anak saudara awak tu, boleh je kawin dengan budak belajar universiti..” bidas abah kembali, namun tak dapat sejauh mana perginya bila mak dah mula memuntahkan segala yang dah lama terbuku di fikiran.
“Elok sangatlah tu! Tak habis-habis nak mengikut orang! Kalau orang tu terjun longkang, awakpun sama terjun longkang!”
"Nak dapat, memang boleh dapat, kalau kerjanya hanya tahu nak 'mengenakan' orang."
“Dahlah! Dah malas saya nak terus meleter panjang-panjang!” tambah mak sebelum segera mengemaskan jarum kait dan benang.