Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 40

Angah menatang sebesen air yang baru mendidih dan membawanya ke rumah depan. Selesai meletakkan, dia segera mencapai tuala yang ada tersidai di ampaian.

“Angah? Nak buat apa?” soal Safi sedikit curiga pada tindak-tanduk kakaknya.

“Angah nak buat sauna muka.” balas angah sambil tersenyum senang hati.

“Sauna? Pada muka?” balas Safi tak tahu.

“Ha, takpa nanti angah tunjuk. Kalau Safi nak cuba, nanti Safi cuba lepas angah.” tutur angah yang sudah mula duduk sambil tertunduk dengan jarak yang sepatut.

“Angah! Tak melecur ke nanti!” soal Safi terkejut.

“Nak melecur apa! Kalau masuk muka dalam air tu memanglah melecur. Eeee…Safi ni. Dahlah, tengok dulu macam mana angah buat. Nanti lepasni baru giliran Safi.” balas angah dah tak nak berlengah.

“Ok…” balas Safi perlahan sambil tercongok menantikan.

 

“Angah cari apa?” soal Safi pada angah yang sedang mencari di atas almari.

“Safi, timun lebih makan semalam mana? Ada nampak tak dekat mana?” soal angah pula, sedang tangan kekal juga menyelisik beg-beg plastik.

“Timun? Haaa…timun! Timun kan semalam mak simpan dekat sini.” tutur Safi sebelum bergerak mencari.

“Angah nak buat apa dengan timun pagi-pagi ni? Nak masak apa?” soalnya pula dan angah hanya mengulum senyum sahaja.

“Bukan anak buat makan, tapi nak buat…nak buat tak? Jom sama-sama buat facial treatment dengan angah.” jawap angah sebelum membasuh timun tersebut lalu mencapai pisau yang ada berdekatan.

“Nak! Nak kena buat macam mana?” soal Safi teruja.

“Ina pun nak! Ina pun nak jugak!” turur Ina berteriak.

“Ha, kalau nak, jom! Kita pergi depan. Safi pergi ambik bantal.” arah angah pula menguruskan semua.

Selesai melakukan beberapa potongan, hirisan berkenaan diagihkan. Safi dan Ina segera mencapainya sambil menanti arahan yang seterusnya.

“Man tak nak?” soal angah pada Man yang hanya melihat daripada kejauhan dan serentak itu dia segera mengangguk mengiyakan.

“Ha, ambik ni, lepastu sapu. Sapu rata-rata pada muka macam ni.”

“Lepas dah sapu rata, baring senyap-senyap dekat situ. Ni, hirisan yang ni, ambik letak atas biji mata. Sejuk kan?” soal angah pula.

“Hmm…sejukkk…” balas adik-adiknya suka.

“Ha, siapa yang dah siap pergi baring.” arahnya semula lalu diikuti oleh yang lain-lainnya.

 

“Angah! Malam ni kita nak pakai bedak sejuk ke buah kani?” soal Safi pada angah yang sedang duduk sambil menjahit jelujur bahagian kaki baju kurung yang sudah siap dijahit.

“Kita pakai kani lah, sebab semalam kan kita dah pakai bedak sejuk.”

“Ha, Safi pergi ambik alas pasu dengan buah kani yang ada angah simpan dekat bawah meja sana tu. Lepastu ambil air sikit.” arah angah sebelum menamatkan kerja-kerja jahitan dan menyimpan.

“Safi, tolong ambilkan air minum untuk angah boleh?” pinta angah pula, menambahkan pesanan.

“OK!” balas Safi sambil terus berusaha memenuhi segala apa yang sudah diarahkan.

 

“Nanti bila dah besar Safi nak jadi apa?” soal angah pada Safi yang ada berbaring di sebelah sambil mengemaskan tepekan masker air kani yang masih belum cukup kering.

“Safi nak jadi polis.” jawap Safi pasti kerana itu memanglah kerjaya impiannya.

“Polis? Tapi kenapa polis?”

“Susah tau jadi polis. Nanti nak kena lawan dengan orang jahat. Silap-silap haribulan nyawa pun boleh terbang.”

“Tak payahlah jadi polis, bahaya. Baik jadi cikgu, cikgu selamat sikit.” tutur angah memberikan pendapat. Mak yang sudah turut sama terbaring hanya memasang telinga sahaja sedang abah, sudah lama melayan mata.

“Nak nak nak! Ina nak jadi cikgu. Ina suka ajar orang!” sampuk Ina pula menyatakan keinginan.

“Shh…janganlah bising! Kan abah dah tidur tu!” bisik angah perlahan tak mahu ada yang dibahan.

“Man nak jadi bomba. Nak padamkan kebakaran. Man nak jadi hero.” jawap Man pula selesai memikirkannya.

“Herolah sangat.”

“Ingat kerja bomba tu senang? Susah tau. Bukan kena padamkan api kebakaran je, kena selamatkan orang kemalangan, lepastu kena cari orang lemas, itupun kerja yang bahaya jugak. Carilah kerja yang lain. Kerja-kerja yang selamat sikit. Macam…” jawap angah sambil memikirkan pekerjaan yang bersesuaian.

“Macam abah!” balas Man sedikit tinggi, membuatkan angah dan Safi segera meletakkan jari di bibir sendiri.

“Huh! Apa tu ha? Tak reti nak tidur-tidur lagi?”

“Dah! Tidur!” sergah abah, sudah mula naik marah dan serentak itu juga mereka menurut arahan yang baru dikeluarkan.

 

“Ha! Macam mana? Elok?” soal Safi yang sedang memegang buluh, batang arial tv yang ada di bahagian hadapan rumah.

“Tak! Tak elok lagi…” jawap angah pula, sambil terus memerhati skrin tv.

“Tak?”

“Ha, sekarang ni, ok ke tak?” soal Safi semula sambil terus memusingkan batangnya secara perlahan, sambil berdoa yang siaran akan dapat dicantikkan.

“Ha!Ha!Ha! Dah dah dah!”

“Alah…dah terlepas. Pusing sikit lagi. Pusing ke belakang semula. Pusing sikit je.” arah angah lagi.

“Ha! Dah!” tutur angah sambil disampuk Ina yang penyibuk.

“Belum!” bidas Ina pula, sengaja mahu mengganggu mereka yang sedang bekerja.

“Cakaplah betul-betul. Dah ke belum?” teriak Safi tinggi, tak mengetahui yang mana harus dituruti. Ina yang mendengar mula ketawa sendiri.

“Ina janganlah menyibuk! Sorang je cakap dah la. Yang nak sibuk tu kenapa?” tutur Man pula yang turut rasa tak seronok, manataknya, siaran bolasepak peringkat akhir liga sedang berjalan, tapi, mereka masih tak mendapat gambaran. Hanya suara dan sorakan peminat yang kedengaran dan mereka tak mahu ketinggalan menyaksikan jaringan.

“Pusing sikit je lagi…ha, kebelakang sikit, ha! Dah dah dah! Dah cantik dah!” tutur angah menoktah membuatkan Safi segera lega kerana kegelapan malam yang menemani telah meremangkan bulu tengkok sendiri. Selesai memacakkan tiang, dia segera berlari ke mata tangga pertama.

 

Sedang sedap-sedap menonton, siaran jadi terganggu semula bila skrin tv bertukar menjadi kemayar dan berbintik-bintik. Tak cukup dengan itu, gambarnya mula jadi turun naik, betul-betul boleh membuatkan tekanan darah turut sama naik.

“Hish tv ni! Rosak lagi!” tutur Safi sebelum segera berlari lalu menghentak tangannya sekali di penguru bahagian atas tv dan dengan sekali hentakan, tv yang ‘kepeningan’ berjaya disedarkan…namun tak berapa lama, kepalanya ‘mabuk’ semula.

“Man pergi ketuk pulak. Dah merah dah tangan Safi.” arahnya sebelum diikuti Man.

 

Rumah yang sunyi jadi makin sunyi bila tv dah tak berfungsi. Sudah beberapa minggu keadaan berlarutan sampai mereka dah mula jadi macam batang kayu. Keras membatu. Walaupun sedar yang tv sudah tidak dapat berfungsi, tapi Safi ingin mencuba lagi. Suis televisyen dipasang sebelum dia kekal menanti berteman harapan yang meninggi, manalah tahu ada rezeki, tapi nampaknya dia kena menunggu lagi.

“Tak boleh?” soal Man yang sedang menyaksikan gelagat si kakak.

“Tak…entah apalah agaknya masalah tv ni kan?” tuturnya sambil tercegat memerhati.

“Safi! Jom kita bukak nak?”

“Apa?” soal Safi semula.

“Tv.” balas Man bersahaja.

“Gila! Man tahu ke macam mana nak betulkan?” soal Safi lagi makin meragui.

“Kita bukak la dulu. Lepastu baru tahu. Nak ke tak?”

“Tapi nanti kita janganlah bagitahu siapa-siapa. Ina pun sama.” tuturnya berbisik sambil memandang ke arah Ina yang sedang tidur di atas katil bujang ateh.

“Kalau abah dengan mak tahu, habislah kita.” tambah Man menyatakan perancangan.

“Hmmm…ok!” jawap Safi kerana jauh di sudut hati dia juga telah memikirkan idea yang sama. Mendengarnya, Man terus berlari ke bilik dapur untuk mencari alatan yang diperlukan.

 

Selesai dibuka, mereka terpana kerana tak tahu kerosakan berpunca di mana.

“Cuba Safi pasang suis tu dulu.” arah Man lagak mekanik terhebat dengan mata yang membulat memerhatikan setiap bahagian komponan tv yang mungkin ada berlaku kejanggalan, bahagian wayar terutamanya. Selesai memerhati dia tetap juga tak dapat nak memasti.

“Ada nampak? Ada nampak kat mana yang rosak?” soal Safi yang sudah selesai menghidupkan.

“Man elok-elok, mesti ada elektrik dekat situ. Jangan usik dengan tangan…” namun belumpun sempat menghabiskan, Man dah mengaduh kesakitan.

“Argh! Adui!” jeritnya sebelum menggenggam jari yang kekebasan.

“Ha! Kan dah cakap! Dah kena dah?”

“Dah dah! Jangan usik dah!” tegah Safi yang sudah mula dipalit rasa bimbang.

“Sakit ke?” soalnya semula, dan Man hanya tersengih sahaja.

“Nasib baik tak kuat, kalau tak mesti dah hitam dah Man!” ujarnya sebelum berbalas senyuman selesai melakukan pemeriksaan pada jari Man.

“Safi rasa, rosak dia dekat dalam la. Ingat tak hari tu, sebelum rosak kan ada bunyi macam meletop. Entah-entak dekat bahagian cermin dia tu yang rosak. Kalau dekat situlah yang rosak, memang takkan dapatlah kita nak membetulkan.”

“Dahlah, pasang semula. Nanti kalau abah balik, lepastu abah nampak kita buraikan tv ni macam ni, matilah kita nanti.” tambah Safi lagi sebelum dia bergegas mematikan suis tv kembali.

 

“Ohok! Ohok!” bunyi batukan abah menyedarkan Safi yang terlena setelah penat menelaah sepanjang pagi. Beberapa ketika dia menyambung baringnya sebelum hati jadi ingin memeriksanya sendiri. Kepala dijulurkan sehingga separas aras jenang tingkap sedang mata mula meliar memerhati, dan apa yang dilihat adalah permandangan yang sama lagi. Abah sedang ‘berseronok’ dengan ‘hobinya’ itu.

“Abahhh…abah!”

“Hai entahlah! Entah bilalah baru abah nak berubah…” tuturnya sebelum terus menyaksikan apa yang abah lakukan. Selesai memeriksa nombor ramalan yang sudah ditikamnya, abah menyelitkannya semula di bahagian bawah atap reban ayam, tempat penyimpanan harta ‘keramat’, tempat yang takkan mungkin mak dapat.

Previous: Bab 39b
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.